Anda di halaman 1dari 8

1.

0 PENDAHULUAN

Islam itu agama yang indah. Islam datang di tengah-tengah umat manusia bukan untuk
menyusahkan. Ia datang untuk memperindah pesanan. Apa yang rosak, ia perbaiki. Apa yang salah, ia
membetulkan. Yang bengkok, ia luruskan. Islam mengajar kebaikan dan melarang kerosakan. Islam itu
wujud demi kasih sayang untuk sekalian alam. Sebagaimana firman Allah Taala di dalam surah Al-Anbiya
ayat 107 yang bermaksud : “ Kami tidak mengutus engkau, wahai Muhammad, melainkan sebagai
rahmat bagi seluruh manusia.” Nabi Muhammad s.a.w diutus dengan membawa ajaran Islam, maka
Islam adalah rahmatan lil’alamin iaitu Islam adalah rahmat bagi seluruh alam. Namun dewasa ini,
fenomena Islamofobia iaitu fenomena kebimbangan atau fobia kepada Islam di kalangan masyarakat
barat terutamanya semakin hari semakin popular dan memberikan implikasi pelbagai kepada kehidupan
umat Islam. Hal yang demikian, menurut Dr. Zulkifli Hassan (2014), beliau menyatakan fenomena
Islamofobia yang semakin popular ini berlaku berikutan beberapa insiden keganasan yang berlaku di
dunia yang seringkali dikaitkan dengan umat Islam, antaranya kejadian pembunuhan lebih 120 orang di
Paris, peritiwa 11 September 2001, pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 dan pengeboman di
London pada 7 Julai 2005 oleh pengganas yang disyaki Muslim telah memburukkan lagi imej Islam di
mata masyarakat dunia. Ironinya, pada 15 Mac 2019, berlaku insiden tembakan ke atas umat Islam di
dua buah masjid di bandar Christchurch, New Zealand yang telah mengakibatkan 50 kematian dan
puluhan yang cedera jelas menggambarkan Islamofobia yang semakin menebal kini. Justeru itu, tugasan
ini akan membincangkan konsep Wasatiyyah dan ‘Alamiyyah dalam Islam, salah faham non-muslim
terhadap agama dan penganut Islam, dan pengaplikasian akhlak Islam sebagai dakwah kepada golongan
non-muslim.

2.0 WASATIYYAH DAN ‘ALAMIYYAH DAN TRAGEDI TEMBAKAN DI CHRISTCHURCH

2.1 Konsep Wasatiyyah

Dalam Islam, wasatiyyah merupakan salah satu elemen yang penting kerana ia berkaitan dengan
cara dan pembawaan agama dalam kehidupan seseorang dan masyarakat. Dalam bahasa Arab, istilah
wasatiyyah berasal daripada perkataan wasat yang bermaksud “di tengah-tengah”. Namun wasatiyyah
mempunyai maksud yang banyak, termasuk sederhana, pertengahan, seimbang, adil dan tidak
melampau.

Intisari gagasan ‘wasatiyyah’ Islam terkandung didalam firman Allah (al-Baqarah 2: 143) yang
bermaksud : “ Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat pertengahan agar
kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammmad) menjadi saksi atas
(perbuatan) kamu.”
Menurut Mohammad Kamil et.al (2014), wasatiyyah daripada sudut bahasa membawa maksud
seimbang dan pertengahan. Manakala dari segi istilah bermaksud berada di tempat yang sesuai antara
dua situasi yang bertentangan dengan mengambil pendekatan yang seimbang dalam berhadapan
dengan apa-apa yang berlaku dalam kehidupan. Beliau mengatakan juga bahawa wasatiyyah diambil
daripada sumber Al-Quran yang bercirikan sifat adil dan terpuji dan perlu diamalkan oleh umat Islam.

Dr. Yusof al-Qaradawi (1997) menterjemahkan wasatiyyah sebagai sesuatu yang memerlukan
hak yang sewajarnya iaitu memberikan hak yang sepatutnya dengan mengambil jalan tengah agar tidak
melampaui batas-batas syariat Islam. Tambahan beliau lagi, kesederhanaan ini adalah sebagai kuasa
penyatuan. Ini kerana pemikiran sederhana mampu menerima pendapat dan pandangan orang lain
berbeza dengan pandangan orang yang ekstrem dan melampau.

Ringkasnya, konsep wasatiyyah sangat luas. Ia bermula dengan usaha menjadi umat yang
terbaik dan dalam usaha mencapainya, banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

2.2 Konsep ‘Alamiyyah

Alamiyyah bermaksud sejagat iaitu Islam agama yang sesuai kepada semua tanpa mengira
bangsa, tempat, dan zaman ((Ramlan Ahmad & Nor Aishah Raduan, 2002). Konsep alamiyyah bersandar
kepada beberapa prinsip antaranya ialah Islam sebagai agama yang memuliakan manusia. Manusia
adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah s.w.t di dunia ini. Kejadian manusia adalah berasal
daripada Nabi Adam a.s. yang dianugerahkan dengan akal yang menjadi pembimbing manusia memilih
jalan hidupnya berpandukan wahyu Illahi.

Nilai keadilan Islam bersifat sejagat. Keadilan Islam tidak membezakan manusia berdasarkan
bangsa, keturunan, atau darjat seseorang. Semua manusia adalah sama tarafnya disisi Islam kecuali
orang-orang yang bertakwa. Keadilan Islam menyeluruh dan tidak terhad kepada umat Islam sahaja.
Keadilan harus ditegakkan tanpa mengira kawan, saudara atau musuh selagi manusia itu berhak
mendapat haknya. Islam sentiasa menyeru umatnya menegakkan kebenaran dan mencegah
kemungkaran. Kebenaran yang dimaksudkan termasuklah mengamalkan kebajikan dan sifat mahmudah
(baik), manakala kemungkaran termasuklah menghalang perkara maksiat dan menjauhi sifat mazmumah
(buruk).

Islam yang bersifat sejagat mementingkan keadilan dan kebajikan dengan memastikan
kebebasan hak asasi manusia terjamin. Islam tidak memaksa seseorang menganuti agama Islam
sebagai cara hidupnya. Islam juga memberi kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat untuk
perkara yang membawa kebaikan bersama.
Islam juga menjamin hak perlindungan nyawa dan kehormatan. Islam sentiasa mengutamakan
keamanan dan kedamaian serta mengekalkan kesejahteraan manusia. Islam diturunkan untuk memberi
keamanan dan kesejahteraan kepada manusia. Peperangan hanya dibenarkan untuk mempertahankan
negara, ummah dan kesucian agama Islam. Islam tidak memusuhi sesiapa melainkan mereka yang
menentang agama Islam. Islam mendidik sahsiah umatnya supaya mempunyai akhlak yang baik.

2.3 Pengaplikasian konsep wasatiyyah dan ‘alamiyah berkait insiden Christchurch

Jika dilihat kepada insiden tembakan di Cristchurh, jelas menggambarkan Islamofobia yang
semakin menebal kini. Dengan manifesto yang disebarkan oleh suspek penembak yang seolahnya
menyalahkan imigren muslim ke negara-negara Eropah serta menuduh Islam sebagai agama yang
mengajar keganasan. Sedangkan Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian dan kasih
sayang. Terlalu banyak hujah dan contoh dalam sejarah dan tradisi Islam untuk membuktikan Islam
sangat mementingkan kasih sayang dan kedamaian hatta kepada binatang sekalipun. Dalam konteks ini,
umat Islam harus memahami bahawa konsep wasatiyyah yang dianjurkan oleh ajaran Islam ini wajib
dijadikan asas kepada pembentukan peribadi muslim yang seterusnya akan menyumbang kepada
keamanan sejagat.

Konsep wasatiyyah tidak harus ditafsirkan sebagai cara hidup yang membawa umat Islam ke
belakang, ke arah kemunduran dan ketinggalan dalam segala bidang kehidupan. Pendekatan wasatiyyah
lebih menjurus kepada pembentukan masyarakat yang mempunyai sikap dan tindakan serta amalan tidak
ekstrem dan condong kepada radikal dan melampaui batas dalam semua keadaan dan bidang
kehidupan. Ia adalah pendekatan yang tidak melupakan nilai akhlak dan moral kerohanian dalam segala
tindakan dan amalan, tidak melampaui batasan akhlak dan nilai tamadun dalam memperjuangkan hak
dan melaksanakan tanggungjawab. Mereka yang bersikap melampau akan menyukarkan sesuatu
tindakan sehingga membebankan dan akhirnya Islam itu dilabel sebagai agama yang tidak relevan
dengan kemampuan manusia.

Berdasarkan kepada konsep alamiyyah pula, Islam memandang berat terhadap hak asasi
manusia. Islam tidak mengajar umatnya mencabuli mana-mana hak asasi seseorang individu samada
sesama muslim mahupun terhadap non muslim. Perlindungan hukum Islam terhadap hak hidup manusia
dapat dilihat daripada ketentuan-ketentuan syari’at yang melindungi dan menjunjung tinggi darah dan
nyawa manusia, melalui larangan membunuh, ketentuan qisas dan larangan bunuh diri.

Umat Islam perlu mempraktikkan konsep wasatiyyah dan alamiyyah dalam kehidupan mereka
agar tidak ekstrem dalam melakukan sesuatu perkara seterusnya memperbetulkan pandangan orang
bukan Islam dan mengelakkan kesan yang buruk.
3.0 SALAH FAHAM NON-MUSLIM TERHADAP AGAMA DAN PENGANUT ISLAM

Islam adalah agama yang sering disalahtafsir bukan hanya oleh orang bukan Islam malahan
orang Islam itu sendiri. Salahtafsiran ini menyebabkan Islam tidak terserlah dan indah dari segi ilmiah dan
amaliahnya. Justeru ia menjadi punca orang bukan Islam tidak tertarik mendekati bahkan memusuhi
Islam. Berikut antara salah faham non muslim terhadap agama dan penganut Islam :

1. Orang Islam adalah pengganas atau pelampau

Ini merupakan salah faham yang paling besar tentang Islam, tidak syak lagi ini berpunca
daripada sikap stereotaip dan prejudis yang berterusan serta media barat terutamanya yang memutar
belit berita tentang Islam dan memburuk-burukkan Islam. Apabila seseorang atau sekumpulan orang
bukan Islam melakukan keganasan menggunakan nama agama mereka keatas orang awam yang
beragama Islam yang tidak bersalah, tindakan sebegini tidak pula digembar-gemburkan oleh media
sebagai serangan berkait dengan agama atau kepercayaan pengganas tersebut. Namun seringkali kita
mendengar perkataan ‘Islam, muslim fundamentalis, dll’ dikaitkan dengan keganasan.

Politik di kebanyakkan negara-negara Islam tidak bersandar kepada dasar Islam yang
sebenarnya. Kebiasaannya, diktator mahupun ahli politik ini menggunakan nama Islam untuk
kepentingan peribadi. Harus diingat untuk kembali merujuk kepada sumber utama dalam Islam iaitu Al-
Quran dan As-Sunnah supaya menggambarkan ajaran Islam yang sebenarnya dan menyangkal
gambaran salah oleh media. Islam dari segi harfiah bermaksud ‘penyerahan diri kepada Tuhan (Allah)’
dan terbit dari kata dasar yang bermaksud ‘aman/kedamaian’.

Sebagaimana dalam agama Kristian, Islam membenarkan berlawan/berperang dengan niat


mempertahankan diri, mempertahankan agama, atau mempertahankan tempat mereka apabila diusir
keluar secara paksa. Namun, ia mengambil kira garis panduan yang ditetapkan yang meliputi larangan
menyakiti orang awam, dan memusnahkan tanaman dan ternakan. Perang adalah jalan terakhir, tertakluk
kepada syarat-syarat yang ketat seperti yang digariskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah
Taala di dalam Al-Quran yang bermaksud : “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi
kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, karena sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-
orang yang melampaui batas.” (Al-Baqarah, ayat 190) “Tetapi jika mereka condong kepada perdamaian,
maka terimalah dan bertawakallah kepada Allah.Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.” (Al-
Anfal, ayat 61).
2. Islam menindas wanita

Gambar tipikal wanita muslim memakai tudung dan terpaksa tinggal di rumah dan dilarang
memandu adalah perkara biasa dalam pemikiran kebanyakan orang. Walaupun terdapat beberapa
negara Islam mungkin mempunyai undang-undang yang menindas wanita, ini tidak seharusnya dilihat
berasal dari Islam. Sebilangan besar negara-negara ini tidak mengikut garis panduan syari'ah (undang-
undang Islam), sebaliknya memperkenalkan sudut pandang budaya mereka sendiri mengenai isu
kesetaraan jantina. Islam sebaliknya memberikan lelaki dan wanita peranan yang berbeza dan
keserataan antara keduanya sebagaimana yang digariskan dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Islam melihat seorang wanita, sama ada bujang atau berkahwin, sebagai seorang individu
dengan haknya sendiri, dengan hak untuk memiliki dan membelanjakan harta benda dan pendapatan
mereka. Hadiah perkahwinan diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan adalah untuk
kegunaan mereka, dan dia menggunakan nama keluarganya sendiri daripada mengambil nama keluarga
suaminya. Kedua-duanya lelaki dan wanita digariskan berpakaian dengan cara yang sederhana dan
bermaruah. Rasulullah saw bersabda: "Yang paling sempurna iman di antara mereka orang yang
beriman adalah orang yang paling baik budi pekerti dan baik kepada isterinya. " Keganasan dalam
bentuk apa pun terhadap wanita dan memaksa mereka bertentangan dengan kehendak mereka bagi
tujuan apapun adalah tidak dibenarkan.

3. Islam agama yang mundur, kolot

Pada saat ini, gejala-gejala baru timbul seperti yang dinyatakan di atas iaitu orang-orang barat
menganggap islam agama yang kolot. Dalam erti kata yang lain mereka menuduh islam tidak lagi dapat
diterima di zaman yang moden ini. Tambahan lagi, mereka mengatakan Islam ini tidak lagi relevan
dengan logik akal kehidupan moden hari ini. Seterusnya, mereka menuduh cara hidup islam itu akan
menjadikan manusia berfikiran sempit mengenai perkembangan terkini dan menghalang kemajuan
sesebuah negara..Contohnya perkembangan dalam bidang sains dan teknologi.Sedangkan islam adalah
agama yang syumul (lengkap). Syumul ini berkait rapat dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta
merangkumi semua aspek kehidupan manusia termasuklah sains dan teknologi. Namun begitu aspek ini
tidak mengira umat islam atau disebaliknya. Dari sudut ekonomi pula melalui sistem riba, mereka
mengatakan bahawa riba itu penting dalam sistem ekonomi. Oleh itu mereka anggap islam kolot kerana
tidak mengamalkan sistem riba ini.
4.0 AKHLAK SEBAGAI MEDIUM DAKWAH BAGI GOLONGAN NON-MUSLIM

Umat Islam merupakan duta-duta kecil yang membawa nama Islam kemana sahaja mereka
berada. Orang yang beramal dengan agama Islam juga mempamerkan kesucian agama itu yang turut
akan dilihat oleh orang lain. Setiap perbuatan dan sifat-sifat yang ditunjukkan oleh agama yang dikuti itu
juga menonjolkan perkara-perkara yang dituntut dalam agama tersebut. Oleh yang demikian, segala
bentuk perbuatan seseorang individu muslim itu, adalah berpandukan kepada akhlaknya yang dibentuk
melalui agama itu sendiri.

Akhlak yang dipamerkan oleh setiap muslim dapat membantu mengurangkan malah menyangkal
salah faham yang sering timbul di kalangan golongan non-muslim terhadap agama dan penganut Islam.
Jika akhlak yang baik dipelihara dan diamalkan oleh umat Islam, seluruh kehidupan manusia akan
menjadi aman dan tenteram serta tiada persengketaan. Bagi maksud ini, umat Islam sewajarnya
mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. Firman Allah Taala didalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang
bermaksud “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (yaitu) bagi
orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat, dan dia banyak menyebut Allah.”

Antara perilaku atau akhlak terhadap non muslim yang sepatutnya seorang muslim amalkan termasuklah:

1. Menolong non muslim yang memerlukan

Sungguh sebagai seorang muslim seharusnya membantu golongan yang memerlukan samada
individu atau kelompok muslim sendiri mahupun non muslim. Jika melihat mana-mana non muslim yang
memerlukan bantuan, seorang muslim perlu bersegera umtuk membantu tanpa perlu berkira-kira individu
itu adalah bukan Islam. Sebagaimana yang akhlak yang dipamerkan oleh baginda Nabi Muhammad
menerusi kisah yang masyhur iaitu nabi memberi perhatian kepada seorang pengemis tua dari bangsa
Yahudi yang menetap di salah satu sudut pasar di Madinah. Setiap hari, nabi Muhammad datang
menyuapi pengemis tersebut, yang selain faktor usia, ia juga sudah tidak dapat melihat. Disaat nabi
datang menyuapi, pengemis Yahudi itu selalu menyebut-nyebut Muhammad sebagai orang yang jahat,
mesti dijauhi dan sebagainya.

Hingga pada akhirnya, Yahudi tua itu terkejut, ketika tangan yang biasa menyuapinya selama ini
berbeza pada suatu hari. Ya, tangan itu adalah tangan Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa ingin
mengikuti Nabi dalam segala hal. Ketika itulah, pengemis Yahudi dimaklumkan bahawa tangan yang
selama ini menyuapinya telah tiada, dan tangan itu adalah tangan Nabi Muhammad s.a.w. Daripada
kisah yang masyhur ini, dapat dilihat bahawa menolong non muslim menjadi satu bentuk dakwah melalui
akhlak yang dapat menyangkal pandangan negatif mereka terhadap agam dan penganut Islam.
2. Membalas kejahilan atau keburukan non muslim dengan kebaikan

Orang Islam yang sebenar adalah orang yang melaksanakan tindakan yang tidak menyakiti
orang lain. Perilaku ini dilihat sukar dilaksanakan walaupun melibatkan antara muslim sendiri. Namun,
inilah akhlak yang dipamerkan oleh Nabi Muhammad sehingga berjaya menambat hati golongan non
muslim. Diriwayatkan ketika masih di Makkah, apabila baginda selalu keluar beribadah di masjid,dalam
perjalannanya, Nabi selalu mendapat perlakuan jahil (buruk) dari seorang Yahudi yang itu dilakukan
hampir setiap kali Nabi melintas. Baginda nabi Muhammad s.a.w tidak membalas perbuatan tersebut.
Sehinggalah suatu hari Rasulullah s.a.w hairan kerana tiada lagi halangan dan najis diletakkan semasa
perjalanan baginda. Lantas nabi pergi menziarah perempuan yahudi itu dan mendapati perempuan
tersebut tidak sihat (sakit). Oleh itu, baginda turut memberikan makanan kepadanya. Diatas sifat
perbuatan yang mulia dari Rasulullah SAW itu, perempuan yahudi itu memeluk agama Islam dan
mengikuti amalan mulia yang diamalkan oleh baginda.

3. Berlemah lembut dan saling menghormati

Islam mengajar umatnya agar sentiasa mewujudkan suasana kemesraan dan hormat
menghormati antara sesama muslim bahkan juga kepada non muslim. Antara caranya jika bertemu
dengan bukan Islam mulakan dengan ucapan penghormatan yang baik. Tidak menyakiti mereka samada
melalui perkataan, perbuatan atau sekadar sangkaan buruk. Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik
dan menghormati mereka sebagai manusia sekalipun berbeza agama dan kepercayaan. Sentiasa
merendahkan diri merendahkan diri dan berlemah lembut dengan mereka dan mengelak daripada
bersikap kasar.

Firman Allah Taala didalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud : “Serulah ke jalan
Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan
berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya
Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang
lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” Berdasarkan kepada ayat ini
dapatlah difahami bahawa perilaku berlemah lembut dan sikap menghormati orang bukan Islam boleh
menjadi satu bentuk dakwah yang baik agar agama Islam lebih mudah dan senang untuk didekati oleh
mereka.

4. Bersikap adil

Antara nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai keadilan. Ia akan
menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Keadilan Islam
adalah bersifat sejagat iaitu bukan hanya untuk orang Islam semata-mata tetapi juga meliputi seluruh
manusia tanpa mengira keturunan, warna kulit dan agama. Islam melarang membezakan pelaksanaan
keadilan dalam masyarakat disebabkan oleh perbezaan anutan agama dan kepercayaan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran
dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak
melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir
kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam
akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah: 8). Menegakkan keadilan antara seruan utama al-
Quran kepada manusia, justeru menjadi kewajipan kepada kita memastikan diri termasuk dalam
kalangan mencintai keadilan dan menegakkannya dalam seluruh sistem kehidupan. Pengabaian
terhadap nilai keadilan sebenarnya adalah pengabaian terhadap nilai Islam yang dibawa oleh Rasulullah
SAW dan juga Rasul sebelum Baginda.

5.0 KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, tragedi berdarah seperti di Christchurch memberi pengajaran iaitu


permasalahan Islamofobia masih lagi menjadi cabaran besar terhadap umat Islam di seluruh dunia. Sikap
benci dan dendam terhadap agama dan masyarakat Islam kelihatan masih berleluasa di kalangan
masyarakat bukan Islam. Umat Islam di seluruh dunia hendaklah mengambil sikap berhikmah
menghadapi cabaran Islamofia yang masih berleluasa. Pemahaman dan pendekatan konsep wasatiyyah
dan alamiyyah dalam kalangan umat Islam adalah sangat penting supaya ianya dapat diamalkan dengan
sebaiknya. Umat Islam perlu memainkan peranan memperbetulkan salah faham terhadap penganut dan
agama Islam yang timbul dikalangan bukan Islam. Umat Islam seharusnya sedar bahawa perlakuan dan
tindakan mereka adalah menjadi cerminan kepada Islam. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab
setiap umat Islam untuk mempamerkan keindahan agama Islam dalam setiap perbuatan dan pertuturan.

Anda mungkin juga menyukai