Anda di halaman 1dari 15

1.

0 PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013), perkataan “dasar luar” ditakrifkan
sebagai sesuatu dasar negara yang diamalkan berasas kepada persetujuan dan tolak ansur
antara dua parti politik ataupun kerajaan yang bertentangan. Selain itu, dasar luar juga dapat
diertikan sebagai matlamat, rancangan, dan tindakan yang dilakukan oleh sesebuah negara
berhubung dengan negara yang lain. Hubungan di antara negara dengan negara yang lain
adalah perlu dan penting bagi menjaga kepentingan, keselamatan dan kemakmuran sesebuah
negara. (Mohd Noor Mohd Yazit dalam M. Rajendran, 1986). Dasar luar yang dibuat oleh
sesebuah negara biasanya dikaitkan dengan hubungan luar dan hubungan antarabangsa.
Hubungan luar ialah merupakan suatu bentuk pengurusan yang melibatkan perhubungan
antara polisi pentadbiran dalam sesebuah negara dengan polisi yang melibatkan negara-negara
luar. Hubungan luar akan melibatkan perspektif kepentingan diri sesebuah negara tersebut
dalam melibatkan perhubungan dengan negara luar. Hubungan luar yang terjalin secara tidak
langsung akan memberi manfaat kepada setiap pihak.

Dalam era globalisasi pada hari ini, setiap negara sememangnya perlu menjalinkan
hubungan luar dengan negara lain tidak kira sama ada negara tersebut adalah negara maju
ataupun negara yang sedang membangun. Kebergantungan antara negara-negara di dunia
adalah sangat penting. Hubungan luar yang dijalankan antara negara-negara bukan sahaja
untuk faktor ekonomi namun faktor-faktor lain seperti untuk perkongsian pakar, tujuan
keselamatan dan sebagainya. Sebagai contoh, kuasa ekonomi terbesar dunia pada masa
sekarang iaitu negara China turut melaksanakan hubungan luar dengan negara kita supaya
barang-barangan yang dihasilkan oleh negara tersebut mampu dieksport ke negara kita untuk
dipasarkan dan secara tidak langsung juga kita mampu mendapat faedah daripada hubungan
luar tersebut.

1
2.0 TEORI HUBUNGAN DAN POLITIK ANTARABANGSA

Macapada ini, sesebuah negara semestinya akan menjalinkan hubungan luar mahupun
hubungan antarabangsa dengan negara-negara yang lain untuk memastikan negara tersebut
mampu berdiri dengan kukuh tidak kira dari aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Terdapat
pelbagai teori yang telah diutarakan berhubung dengan perhubungan luar sesebuah negara.
Teori-teori tersebut seperti teori realisme, teori konstruktivisme dan teori liberalisme diwujudkan
bagi menjelaskan bagaimana pendirian dan konsep sesebuah negara dalam pemerintahan dan
ideologinya. Hal ini demikian kerana, setiap negara mempunyai ideologi yang berbeza.
Terdapat negara yang suka kepada peperangan dan terdapat juga negara yang lebih kepada
keamanan sejagat. Oleh itu, dengan adanya teori hubungan dan politik antarabangsa ini
mampu menjelaskan ciri-ciri setiap ideologi dan konsep pemerintahan setiap negara di dunia
ini.

Sekiranya melibatkan negara Malaysia dalam perbincangan iaitu kaitan teori hubungan
dan politik antarabangsa dengan dasar luar Malaysia, maka teori yang sesuai yang boleh
dikaitkan dengan kedua-dua aspek tersebut ialah teori liberalisme. Secara umumnya, teori
liberalisme wujud selepas perang dunia pertama ekoran daripada sesetengah negara-negara
dunia pada ketika itu tidak mampu untuk mengawal keadaan politik dunia sehingga
mencetuskan peperangan yang telah mengorbankan beribu nyawa manusia. Oleh itu, dalam
teori liberalisme ianya adalah bertunjangkan kepada kesamarataan peluang dan kebebasan
seseorang individu. Kebebasan tersebut semestinya tidak boleh melampaui batas yang
ditetapkan. Sekiranya seseorang manusia atau sesebuah negara mengamalkan nilai
kebebasan, maka ianya dapat mengelakkan berlakunya perselisihan faham dan peperangan.

Malaysia sememangnya sesuai dikaitkan dengan teori liberalisme. Hal ini demikian
kerana, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Apabila
berbicarakan tentang demokrasi, maka secara teorinya Malaysia merupakan sebuah negara
yang mengamalkan kebebasan tidak kira dari aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Buktinya,
Malaysia terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum yang bebas mengamalkan agama
masing-masing. Liberalisme yang diamalkan oleh Malaysia tidak terhad kepada domestik
semata-mata malah ianya juga diterapkan dalam dasar luar yang telah dilaksanakan pada
peringkat global. Pelbagai dasar luar Malaysia yang telah dijalankan adalah mementingkan
kepada kesamarataan dan hak asasi negara-negara dunia atau serantau. Di samping itu,

2
kebebasan juga merupakan suatu elemen yang sangat penting untuk mengelakkan campur
tangan kuasa asing yang boleh mengikis kedaulatan dan keamanan negara-negara serantau.

Sebagai contoh, kita mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang
lantang bersuara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan dengan isu yang
melibatkan hak asasi manusia iaitu berkaitan dengan dasar Apartheid yang dilaksanakan di
Afrika Selatan pada tahun 1948. Dasar Apartheid ialah sebuah dasar perkauman dengan
matlamat untuk memisahkan kaum kulit putih dan kaum kulit gelap. Dasar ini telah membawa
kepada pertelingkahan antara kaum kerana wujud diskriminasi dan ketidaksamarataan peluang
antara dua kaum tersebut. Semasa pelaksanaan dasar ini, rasisme telah dilaksanakan iaitu dari
segi larangan perkahwinan antara kulit putih dengan bukan kulit putih, tempat larangan untuk
bangsa bukan kulit putih dan peluang pekerjaan untuk kaum kulit putih sahaja. Oleh itu,
kerajaan Malaysia adalah sangat tidak puas hati terhadap tindakan tersebut kerana Malaysia
ingin Afrika Selatan mengamalkan kebebasan dari segala aspek dan hapuskan diskriminasi
yang berlaku supaya rakyat negara tersebut mampu hidup dengan aman.

Selain itu, untuk memastikan negara-negara serantau dalam ASEAN adalah bebas
daripada campur tangan kuasa-kuasa luar, Malaysia turut memberi sumbangan dalam
penubuhan dasar Zon, Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Dasar tersebut merupakan
ilham daripada kerajaan Malaysia dan dibentangkan dalam Deklarasi Kuala Lumpur pada 21
September 1971. Pelaksanaan dasar ZOPFAN adalah bertujuan untuk menjadikan kawasan
rantau Asia Tenggara sebagai sebuah kawasan yang bebas daripada campur tangan kuasa-
kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia. Selain itu, ianya juga bertujuan untuk
meredakan ketenggangan politik antarabangsa serta memastikan kedamaian dan hak-hak
asasi negara-negara ASEAN tidak dicabuli.

Selain daripada teori liberalisme, teori konstruktivisme juga sesuai dikaitkan dengan
negara Malaysia. Teori konstruktivisme merupakan suatu teori yang diperkenalkan pada awal
90-an iaitu selepas perang dingin. Teori konstruktivisme menjelaskan bahawa faktor sosiologi
iaitu berkenaan dengan sikap, tingkah laku, budaya dan sebagainya yang merupakan tapak
kepada cara sesebuah negara itu berurusan dengan negara lain. Teori ini menganggap bahawa
idea, nilai, norma dan kepercayaan yang dikongsi bersama adalah lebih penting. Segala
amalan yang dipraktikkan oleh sesebuah negara akan menentukan halu tuju negara tersebut.
Sebagai contoh, sekiranya sesebuah negara tersebut adalah zalim, maka ianya akan
mencetuskan peperangan dengan negara-negara yang lain. Sebaliknya, sekiranya sikap dan

3
budaya sesebuah negara tersebut adalah baik dan diterima umum, maka ianya akan dapat
menjalinkan hubungan yang baik dengan negara lain.

Dasar luar Malaysia yang dibuat pada zaman dahulu sehingga sekarang terhadap
negara-negara lain sememangnya mengaplikasikan teori konstruktivisme untuk membina
hubungan yang rapat demi kepentingan tertentu. Sebagai contoh, dasar luar Malaysia yang
dijalankan dengan Indonesia dan Brunei mampu berjalan dengan lancar tanpa sebarangan
kekangan disebabkan budaya dan agama yang diamalkan oleh negara Malaysia dengan
kedua-dua negara tersebut adalah sama. Oleh itu, sebarang hubungan luar yang dijalankan
sememangnya berlandaskan hukum agama Islam supaya intipati dalam perhubungan tersebut
tidak melampau mana-mana batas yang boleh melanggar peraturan agama. Sebagai contoh,
Malaysia telah bekerjasama dengan Indonesia dan Brunei dalam Majlis Bahasa Brunei-
Indonesia-Malaysia (MABBIM) untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa.
Kerjasama ini secara tidak langsung telah mengeratkan lagi hubungan antara ketiga-tiga buah
negara tersebut. Kita boleh lihat contoh luar negara antara Amerika Syarikat dan Iraq pada
suatu ketika dahulu. Selepas kejadian 911, Amerika Syarikat terus mempunyai tanggapan
negatif terhadap negara Islam kerana disebabkan budaya negara Iraq yang kejam terus
Amerika Syarikat melabelkan semua negara Islam adalah kejam.

Selain itu, Malaysia turut melaksanakan Dasar Pro Barat semasa pemerintahan Tunku
Abdul Rahman iaitu dalam sekitar tahun 1957 hingga tahun 1970 iaitu selepas termeterainya
perjanjian Anglo-Malaya. Perjanjian Anglo-Malaya merupakan sebuah perjanjian di mana pihak
British akan memberikan perlindungan kepada Tanah Melayu pada ketika itu. Disebabkan
Tanah Melayu menerima perlindungan daripada British, maka Tanah Melayu terus menjalinkan
hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat dan menyisihkan negara Komunis seperti negara
China. Malaysia pada ketika telah melaksanakan dasar tersebut kerana pada ketika itu
Malaysia menghadapi ancaman komunis dalam negara, manakala pihak Amerika Syarikat pula
tidak sehaluan dengan negara komunis seperti Rusia dan China. Disebabkan oleh ideologi dan
matlamat yang sama, maka Malaysia dan Amerika Syarikat telah menjalinkan hubungan
kerjasama. Hal ini telah menyebabkan negara China tidak berpuas hati dengan Malaysia dan
pihak Barat. Oleh itu, untuk merapatkan lagi hubungan dengan negara-negara di dunia ini,
Dasar Pro Barat telah dimansuhkan oleh Tun Abdul Razak. Dari saat itulah Malaysia terus
mengadakan hubungan luar dalam semua aspek dengan semua negara kerana budaya
Malaysia yang mengamalkan dasar buka pintu serta berbaik-baik dengan semua negara dan
secara tidak langsung telah mengeratkan lagi hubungan dengan semua negara.

4
3.0 PENDIRIAN DAN DASAR KERAJAAN MALAYSIA BERHUBUNG ISU-ISU
ANTARABANGSA

Pada hari ini, dalam zaman yang dilingkari oleh kemajuan sains dan teknologi, terdapat
pelbagai isu yang timbul dalam peringkat antarabangsa. Isu-isu yang timbul adalah isu yang
tidak pernah berlaku pada zaman dahulu kerana pada zaman ini yang merupakan zaman
globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan, menyebabkan manusia-manusia bertindak secara
negatif demi kepentingan diri sehingga menyebabkan isu tersebut menjadi isu antarabangsa.
Salah satu isu antarabangsa yang banyak memberi kesan kepada negara kita ialah isu
pendatang asing tanpa izin (PATI). Kita mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah
negara yang mengamalkan dasar buka pintu, iaitu menggalakkan pekerja-pekerja daripada luar
negara untuk berkhidmat di negara kita dalam sektor pembinaan, pembuatan dan sebagainya.

Sekiranya pekerja yang diambil daripada luar negara tersebut adalah secara sah maka
ianya tidak akan mengundang masalah kepada negara kita. Namun, disebabkan Malaysia
merupakan sebuah negara yang sedang membangun dan berkembang dengan pesat dalam
bidang ekonomi seterusnya menyebabkan Malaysia sebagai tumpuan untuk mencari pekerjaan
bagi negara yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi seperti China, Indonesia,
Bangladesh dan sebagainya. (Rusniah Ahmad et.al, 2014). Menurut Kapathy dalam Rusniah
Ahmad et.al, 2014, kebanyakan pekerja asing di Malaysia lebih kepada pekerja kontrak atau
sementara dan sepatutnya mereka perlu balik ke negara asal untuk memperbaharui visa
sebelum datang semula ke Malaysia. Tetapi hakikatnya, mereka terus menetap di negara kita
secara tidak sah setelah kontrak tamat dan mencari majikan yang baharu untuk bekerja secara
haram.

5
Gambar 1: Banjiran pekerja asing di Malaysia

Banjiran pekerja asing tanpa izin di Malaysia sebenarnya telah mendatangkan banyak
impak negatif kepada negara kita sendiri. Penerimaan pekerja asing yang banyak akan
menyebabkan berlakunya masalah sosial dalam kalangan masyarakat kita dan seterusnya akan
mengancam keselamatan sesebuah masyarakat. Selain itu, lambakan pekerja asing tanpa izin
di negara kita juga semestinya akan menyebabkan rakyat negara kita sendiri menganggur. Hal
ini demikian kerana, majikan-majikan yang ada di negara kita semestinya mengupah pekerja
asing untuk berkhidmat dengan mereka berbanding rakyat negara kita sendiri kerana upah
yang dibayar kepada pekerja asing adalah jauh lebih murah berbanding gaji minimum pekerja di
Malaysia sejak tahun 2012 iaitu sebanyak RM 800 sebulan. (Sinar Harian, 2012)

Setelah berlakunya isu lambakan pekerja asing tanpa izin di negara kita, ianya telah
mengundang kepada masalah sosial di negara kita yang telah mengancam keselamatan
masyarakat kita. Menurut laporan Sinar Harian pada 30 Mac 2015, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu menyatakan bahawa statistik
jenayah yang melibatkan pekerja asing ialah sebanyak 14.8 peratus iaitu 13997 kes daripada
94371 kes yang berlaku dalam negara. Antara kes yang melibatkan pekerja asing ialah seperti
merompak, merogol, membunuh dan sebagainya. Menurut beliau juga, suatu badan khas akan
ditubuhkan berfungsi untuk mengkoordiansi semua proses pengambilan dan pendaftaran serta
pemantauan dan penguatkuasaan pekerja asing supaya kadar jenayah yang melibatkan
pekerja asing boleh dikurangkan.

Menurut Rusniah Ahmad et.al (2014), untuk menangani masalah pendatang asing tanpa
izin di negara kita, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa inisiatif bagi menyelesaikan
masalah tersebut secara bijak tanpa menjejaskan hubungan antara negara-negara asal
pendatang asing tersebut. Salah satu dasar atau usaha kerajaan Malaysia menangani masalah
PATI adalah melalui Program 6P. Menurut laporan Berita Harian Online pada tanggal 10
September 2011, Program 6P merupakan suatu program yang melibatkan proses pemutihan
dan pengampunan secara besar-besaran untuk pekerja asing tanpa izin dengan merekod dan
mendaftar golongan tersebut di Malaysia. Program 6P meliputi aspek pendaftaran, pemutihan,
pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran. Proses tersebut dimulakan
dengan pendaftaran PATI di jabatan imigresen sama ada secara persendirian atau oleh majikan
masing-masing.

6
Pihak kerajaan seterusnya akan menjalankan proses pengampunan dengan
merekodkan jumlah pekerja yang tidak berdaftar dalam sistem biometrik setelah golongan PATI
mendaftar dengan pihak Imigresen. Apabila mereka dibawa keluar dan didaftarkan oleh majikan
menerusi sistem biometrik, maka kerajaan akan mempunyai rekod di mana mereka berada,
bilangannya, siapa majikan mereka dan berapa gaji yang mereka dapat. Langkah tersebut akan
menyelesaikan beberapa isu seperti masalah sosial, jenayah dan hal ehwal ekonomi
membabitkan golongan itu serta rakyat tempatan. Untuk memastikan Program 6P tersebut
berjalan dengan lancar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga mengambil langkah untuk
memaklumkan semua kedutaan asing di Malaysia berhubung Program 6P dan mereka
bersetuju untuk membantu bagi urusan visa dan dokumen penting yang lain. PATI yang telah
berdaftar di bawah Program 6P dibenarkan berkhidmat dengan majikan masing-masing dengan
menggunakan pas kerja sementara. Langkah KDN tersebut adalah supaya tidak wujud konflik
antara negara luar dengan Malaysia sehingga boleh menyebabkan perbalahan dan seterusnya
mengganggu kerjasama antara negara. (Jabatan Penerangan Malaysia, 2015)

Di samping itu, kerajaan Malaysia juga mempunyai pendirian yang tegas berhubung
dengan isu PATI dengan mengambil inisiatif untuk berbincang dengan dengan wakil negara-
negara asal PATI. Menurut laporan akhbar The Malaysian Times pada tanggal 14 Mei 2015,
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar akan mengadakan perbincangan
dengan wakil pihak Myanmar dan Bangladesh berhubung isu PATI dari negara berkenaan.
Perbincangan tersebut juga akan dihadiri oleh kedutaan-kedutaan asing yang lain dalam usaha
menangani proses penghantaran semula pulang warga asing yang memasuki Malaysia secara
haram. Kebanyakan pendatang asing tanpa izin yang memasuki Malaysia pada hari ialah
melalui jalan laut kerana pengawasan sempadan laut oleh pihak Maritim Malaysia adalah
kurang diberi perhatian. Oleh itu, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan
Junaidi Tuanku Jaafar, beberapa agensi keselamatan seperti PDRM, Agensi Penguatkuasa
Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia akan berganding bahu
untuk memastikan perairan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak.

Selain itu, menurut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam laporan Utusan
Malaysia pada 24 Mei 2015, polisi kerajaan Malaysia sememangnya tidak sama sekali
membenarkan pendatang asing tanpa izin untuk memasuki negara Malaysia, tetapi atas dasar
kemanusiaan, Malaysia tetap memberi bantuan kepada mereka. Namun, untuk mengelakkan
masalah tersebut berterusan, pendekatan yang diambil oleh Malaysia pada hari ini adalah
dengan menghantar golongan PATI yang ada di negara kita balik ke negara asal mereka

7
ataupun ke negara ketiga. Pihak kerajaan menganggap bahawa langkah tersebut merupakan
langkah paling efektif untuk menangani isu PATI. Untuk melaksanakan langkah tersebut
bukanlah suatu perkara yang mudah, kerajaan Malaysia telah bekerjasama dengan PBB
terutama sekali Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian
(UNCHR) bagi menangani Isu PATI. Hal ini demikian kerana, pihak kerajaan yakin bahawa isu
PATI boleh diselesaikan dengan adanya kerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti
UNCHR dengan menempatkan golongan PATI di negara ketiga ataupun menghantar mereka
balik ke negara asal dengan sukarela.

Di samping itu, dalam laporan Sinar Harian pada 18 Ogos 2015, Timbalan Perdana
Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa permohonan
pengambilan pekerja asing pada masa akan datang tidak lagi melibatkan ejen, sebaliknya
majikan perlu mengemukakan permohonan itu secara dalam talian. Usaha tersebut adalah
untuk memudahkan lagi proses pendaftaran pekerja asing yang ingin dibawa untuk bekerja di
Malaysia bagi mengelakkan berlakunya isu banjiran pendatang asing tanpa izin seperti mana
yang telah berlaku sebelum ini. Sistem permohonan secara talian yang baru diperkenalkan
tersebut dikenali sebagai sistem “Single Window Synchronization” mampu menguruskan sistem
permohonan dengan lebih cekap dan mampu mengelakkan berlakunya pertindihan
permohonan seperti kaedah manual.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri berkata,
permohonan konvensional dengan majikan perlu hadir ke Pusat Kelulusan Setempat (PKS) dan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil masa selama tiga hingga enam bulan untuk
memproses permohonan tersebut. Tetapi permohonan dalam talian akan mendapat kelulusan
hanya dalam masa 48 jam setelah permohonan itu menepati syarat-syarat ditetapkan oleh
kementerian. Oleh itu, pihak majikan atau ejen-ejen tidak perlu membazirkan wang untuk
membuat permohonan kerana kerajaan telah menyediakan kemudahan perkhidmatan tersebut
secara percuma.

Selain daripada “Single Window Synchronization”, selepas mempengerusikan


mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang
pertama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, Datuk Seri Zahid
Hamidi juga telah memutuskan dalam mesyuarat bahawa setiap majikan yang memerlukan
pekerja asing perlu menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada mereka. Penyediaan
kemudahan penginapan oleh majikan akan dijadikan sebagai prasyarat kelulusan permohonan
bagi majikan yang layak mengambil pekerja asing. Bagi pekerja asing yang sudah lama

8
menetap di Malaysia pula, mereka akan diletakkan di satu kawasan penginapan khusus dengan
menyediakan kemudahan asas seperti tempat makan, tandas dan pusat ibadah di atas tahap
kemanusiaan serta mengurangkan risiko masalah sosial dan jenayah.

Di samping itu, untuk menghadapi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI), Malaysia
juga telah berbincang dengan pihak Indonesia tentang isu pembantu rumah Indonesia di
Malaysia atau dikenali sebagai Amah. Menurut laporan Sinar Harian Online bertarikh 3 Jun
2012, Menteri Sumber Manusia pada ketika itu iaitu Datuk Seri Dr. S. Subramaniam
menyatakan kerajaan telah menerima antara 70,000 dan 80,000 permohonan untuk
mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia yang dijangka akan terus meningkat. Jika dinilai
dari jumlah tersebut, ianya akan menyebabkan banjiran pekerja asing di negara Malaysia
sehingga ada yang tidak dapat dikesan sama ada sudah berdaftar ataupun tidak dengan
kerajaan Malaysia yang akhirnya akan menimbulkan masalah PATI. Sehubungan itu, perkara
tersebut akan dirujuk kepada Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA)
supaya segala permasalahan yang berlaku dapat diatasi dengan kadar yang segera.

Berhubung dengan perkara tersebut, bukan sahaja pihak Malaysia yang ingin menyekat
pengambilan pekerja asing, namun usaha tersebut juga dilakukan oleh kerajaan Indonesia.
Kerajaan Indonesia mengetatkan pelbagai syarat bagi setiap pengambilan pekerja asing dari
negaranya sendiri, termasuk memastikan pengambilan dan penghantaran dibuat melalui proses
yang sah di sisi undang-undang. Indonesia telah melaksanakan pembekuan sementara Amah
pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kes penderaan terhadap pembantu rumah dari negara itu
oleh majikan di Malaysia. Walau bagaimanapun, pembekuan sementara penghantaran
pembantu rumah ditarik balik setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Presiden Indonesia pada ketika itu iaitu Susilo Bambang Yudhoyono mendapat kata sepakat
untuk menyelesaikan masalah tersebut.

9
4.0 SUMBANGAN DAN PERANAN MALAYSIA DALAM PERTUBUHAN
ANTARABANGSA

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat 2013, perkataan “pertubuhan” telah ditakrifkan
sebagai sesuatu organisasi yang ditubuhkan demi sesuatu kehendak dan bukannya untuk
menggaut keuntungan. Manakala “antarabangsa” pula diertikan sebagai suatu lingkup kawasan
yang meliputi semua negara di dunia, benua dan luar daripada garisan sempadan. Secara
kesimpulannya, pertubuhan antarabangsa merupakan sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh
negara-negara dunia untuk menjaga kebajikan negara-negara anggotanya. Kita sedia maklum
bahawa pada hari ini terdapat banyak pertubuhan antarabangsa yang telah ditubuhkan selepas
Perang Dunia Kedua. Antaranya ialah seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
ASEAN, OIC dan sebagainya. Apabila berbicarakan tentang pertubuhan antarabangsa,
Malaysia bukan lagi nama yang asing sebagai negara anggota dalam mana-mana pertubuhan
antarabangsa. Malaysia adalah sbeuah negara yang sanagt proaktif dalam menyertai
pertubuhan antarabangsa seperti PBB, ASEAN, Komanwel dan sebagainya.

ASEAN atau lebih dikenali sebagai persatuan Negara-Negara Asia Tenggara telah
ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok. ASEAN ditubuhkan oleh lima negara pengasas iaitu
Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina, namun sehingga ke hari ini, negara
anggotanya telah mencecah sepuluh buah negara dengan Timor Leste sebagai negara
pemerhati. Terdapat beberapa matlamat penubuhan ASEAN iaitu sebagai sebuah persatuan
kerjasama serantau dalam kalangan negara Asia Tenggara, menjalinkan kerjasama bagi
memperkembangkan bidang pendidikan, professional, teknikal dan pentadbiran,
mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan perkembangan kebudayaan dan
sebagainya. (M. Rajendran, 1986)

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia merupakan salah sebuah negara
yang banyak memberi sumbangan dalam ASEAN tidak kira aspek politik, sosial ataupun
ekonomi. Sebagai contoh, dalam aspek ekonomi, Malaysia merupakan sebuah negara operasi
yang baik bagi sektor perkilangan dan pembuatan. Disebabkan galakan yang tinggi dalam

10
industri pembuatan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia telah ditubuhkan untuk
menerajui pelaburan nasional bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
Malaysia pada hari sememangnya terkenal dengan industri pembuatan bahan semi konduktor
seperti mikrocip, pemancar cahaya (LED) dan sebagainya. Dengan adanya industri sebegini,
maka negara-negara serantau akan membuat pelaburan ke atas industri tersebut dan secara
tidak langsung ianya akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak apabila Malaysia
mengeksport barangan industri tersebut ke luar negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan
sebagainya.

Selain itu, Malaysia juga merupakan salah satu negara yang banyak memberi
sumbangan kepada ekonomi ASEAN melalui penubuhan BIMP-EAGA iaitu Brunei, Indonesia,
Malaysia and Philippines East Asia Growth Area pada Mac 1994. Penubuhan kerjasama
tersebut menunjukkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan
kerjasama pelbagai hala (multilateral). Tujuan penubuhan BIMP-EAGA adalah untuk
meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan kerjasama BIMP-EAGA agar sejajar dengan
arus pembangunan melalui pertambahan aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan
melalui pembangunan infrastruktur penting. Melalui kerjasama ini, sumber tenaga kerja, barang
dan perkhidmatan akan dapat digerakkan dan dieksploitasi merentasi sempadan negara dan
menyokong pertumbuhan ekonomi serantau. (Unit Perancang Ekonomi Malaysia, 2013)

Selain bidang ekonomi, Malaysia turut memberi sumbangan dari aspek pendidikan di
bahawa pertubuhan ASEAN. Menurut laporan Utusan Malaysia 17 September 2014, pendidikan
merupakan suatu wadah untuk merapatkan lagi hubungan antara negara anggota ASEAN.
Sebagai contoh, Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) ditubuhkan
pada 30 November 1965 adalah hasil daripada kerjasama pendidikan negara-negara ASEAN
dengan matlamat untuk meningkatkan taraf pendidikan di Asia Tenggara terutama penduduk
yang terpinggir dari arus pembangunan. Melalui kerjasama inilah, SEAMEO RECSAM atau
dikenali sebagai Pusat Serantau Sains dan Matematik telah dibina di Pulau Pinang. RECSAM
adalah merupakan sebuah pusat yang berperanan untuk membawa pembaharuan untuk
perkembangan kurikulum tempatan dalam bidang Sains dan Matematik, menganjurkan kursus
inovatif dalam sains dan matematik, menjadi pusat perkhidmatan rundingan berkaitan kajian
dalam pendidikan sains dan matematik bagi negara-negara ASEAN. Sumbangan Malaysia
dalam pendidikan ini sememangnya tidak dapat dinafikan mampu menjalinkan hubungan baik
dengan negara-negara Anggota ASEAN yang lain di samping mampu mewujudkan budaya
pertukaran ilmu antara negara melalui pendidikan.

11
Di samping itu, Malaysia turut memberi sumbangan terhadap penubuhan Zon Aman,
Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). ZOPFAN adalah merupakan suatu deklarasi yang digubal
oleh ASEAN di Kuala Lumpur pada 21 September 1971 yang dikenali sebagai Deklarasi Kuala
Lumpur. Menurut Jabatan Penerangan Malaysia (2015), Deklarasi Kuala Lumpur merupakan
satu persidangan yang telah dihadiri oleh menteri-menteri luar ASEAN. Hasil daripada
persidangan tersebut, beberapa ketetapan telah diputuskan sebulat suara oleh wakil-wakil
setiap negara iaitu kawasan rantau Asia Tenggara haruslah dijadikan sebagai sebuah zon yang
aman dan selamat, mengadakan hubungan baik dengan semua kuasa termasuk kuasa-kuasa
besar tanpa mengira ideologi politik mereka dan ASEAN hendaklah mengamalkan dasar
berkecuali. Idea tersebut muncul daripada kerajaan Malaysia kerana bimbang bahawa negara
Asia Tenggara akan menerima tempias daripada persengketaan antara Amerika Syarikat dan
Soviet Union selepas Amerika Syarikat mengalahkan Soviet Union dalam Perang Dingin.

Bukan sekadar itu sahaja, negara Malaysia turut memberi sumbangan kepada ASEAN
dalam penubuhan Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ). SEANWFZ
merupakan suatu kesepakatan antara negara-negara Asia Tenggara untuk memastikan
kawasan Asia Tenggara adalah bebas dari senjata nuklear. Idea SEANWFZ lahir selepas
pengenalan ZOPFAN. Pada awalnya, 5 negara anggota ASEAN termasuk Malaysia ingin
menandatangani gagasan pembentukan SEANWFZ di Kuala Lumpur pada November 1971
sebagai salah satu progam di bawah ZOPFAN. Namun, disebabkan oleh suasana politik yang
tidak begitu mengizinkan, maka perjanjian penubuhan SEANWFZ telah termeterai di Bangkok
pada tahun 1995 sehingga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok. Malaysia sememangnya
menyokong penuh terhadap penubuhan SEANWFZ sehingga di peringkat antarabangsa
sekalipun apabila wakil tetap Malaysia di PBB iaitu Raja Reza Raja Zaib Shah menyokong
penubuhan seperti ini dan mencadangkan ianya harus dipraktikkan oleh negara kuasa besar
seperti Rusia kerana ianya mampu meningkatkan keamanan dan keselamatan global. (Borneo
Post, 2015)

Selain itu, Malaysia turut berperanan dalam mengadakan mesyuarat Menteri-Menteri


Pertahanan ASEAN (AMM). Mesyuarat tersebut telah diadakan di Kuala Lumpur pada Mei 2006
dan dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri pada ketika itu iaitu Yang Berhormat Dato’
Sri Mohd Najib Tun Razak. AMM mempunyai beberapa objektif iaitu meningkatkan keamanan
dan kestabilan rantau menerusi dialog dan kerjasama dalam pertahanan dan keselamatan.
Selain itu, AMM juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan, ketelusan dan
sikap terbuka antara negara-negara ASEAN melalui persefahaman dalam dasar pertahanan.

12
Dalam mesyuarat tersebut, pelbagai agenda yang berkaitan dengan isu keselamatan ASEAN
telah dibincangkan untuk memastikan bahawa keselamatan negara-negara serantau ASEAN
mampu dikekalkan dan bebas daripada kuasa-kuasa luar. (Abdul Manap Adam, 2014)

Selain daripada ASEAN, Malaysia turut menjadi negara anggota dalam Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). PBB merupakan suatu pertubuhan dunia yang ditubuhkan
secara rasminya pada tahun 1945 untuk menggantikan Liga Bangsa setelah Liga Bangsa gagal
menghalang Perang Dunia Kedua dan terdiri daripada 195 buah negara anggota termasuk
Malaysia. Pada asalnya, ibu pejabat PBB adalah terletak di San Francisco dan akhirnya
dipindahkan ke New York. Malaysia telah menyertai PBB sejak 17 September 1957 dan telah
banyak memberi sumbangan dan juga banyak berperanan dalam pertubuhan tersebut sehingga
ke hari ini. Antara sumbangan Malaysia terhadap PBB ialah Malaysia telah dipilih sebagai Ahli
Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1965, 1989 dan 1999. Selain itu, Tan Sri Razali Ismail iaitu
anak kelahiran Kedah telah memegang jawatan yang tinggi di PBB iaitu sebagai pengerusi
perhimpunan agung PBB. Beliau juga dilantik sebagai wakil khas PBB untuk menyelesaikan
konflik politik negara Myanmar. Seterusnya suatu persidangan antarabangsa tentang isu
Palestin telah diadakan di Kuala Lumpur setelah Malaysia mendesak pihak PBB untuk
mengembalikan kedaulatan Palestin dan menghentikan tindakan Israel yang tidak
berperikemanusiaan.

Di samping itu, umum mengetahui bahawa Dasar Apartheid merupakan suatu isu yang
berkaitan dengan pencabulan hak asasi manusia yang hangat yang diperkatakan pada suatu
ketika dahulu yang melibatkan orang berkulit putih dan kulit hitam. Dalam isu ini, Malaysia
sebagai salah sebuah negara anggota dalam PBB memainkan peranan yang besar dalam
memperjuangkan nasib dan dasar politik orang kulit hitam di Afrika. Dengan adanya usaha
Malaysia yang lantang bersuara dalam menentang dasar tersebut, akhirnya telah membawa
kepada kejayaan menghapuskan isu perbezaan kulit yang berlaku di Afrika Selatan.

Selain itu, Malaysia adalah sangat aktif dalam melibatkan diri dalam misi keamanan
sejagat iaitu membantu menyumbang dalam menyelesaikan beberapa konflik antarabangsa
yang berlaku. Sebagai contoh, pada tahun 1960, Malaysia telah menyertai pasukan pendamai
PBB untuk menamatkan perang saudara di Congo. Perang saudara Congo merupakan konflik
global yang pertama yang menjadi keprihatinan Malaysia untuk terlibat dalam misi pengaman
yang dibawah PBB dengan menghantar Malayan Special Forces ke Congo. Dalam misi
tersebut, Malaysia telah menghabiskan wang sebanyak RM30 juta untuk membantu PBB
menyelesaikan perang tersebut.

13
Bukan sekadar itu sahaja, semasa menjadi negara anggota dalam PBB, Malaysia juga
telah berperanan menjadikan isu Antartika sebagai salah satu isu hangat yang dibincangkan
dalam PBB oleh mantan perdana menteri iaitu Tun Dr Mahathir Bin Mohammad pada tahun
1982 ketika berucap di PBB dan isu tersebut memperolehi sambutan hangat di mana negara-
negara dunia bersetuju bahawa Antartika merupakan warisan bersama. Pada masa tersebut,
Tun Dr Mahathir menggesa supaya Setiausaha Agong PBB untuk membuat satu kajian yang
menyeluruh mengenai isu Antartika termasuk 'Antartika Treaty System' serta bab-bab
pengagihan sumber-sumber asli. Selain itu, Malaysia juga menolak Perjanjian Antartika 1959
berasaskan bahawa kekayaan sumber Antartika adalah milik sejagat dan Antartika haruslah
bebas daripada cengkaman ketenteraan serta mendesak agar Perjanjian Antartika 1959 yang
hanya menguntungkan negara maju digantikan dengan konsep “Antartika sebagai Warisan
Bersama”. (Abdul Manap Adam, 2014)

Kita sedia maklum bahawa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai


pelbagai agensi yang mempunyai portfolio masing-masing untuk membantu negara-negara
dunia. Antaranya ialah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) serta Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNESCO). Dalam ketiga-tiga agensi tersebut, Malaysia telah banyak memberi sumbangan
untuk menjayakan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh agensi-agensi tersebut. Sebagai
contoh, Malaysia telah melibatkan diri dalam kajian terhadap tapak warisan dunia sehingga
menjadikan Georgetown di Pulau Pinang sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO.
(Majlis Bandaraya Pulau Pinang, 2015). Selain itu, Malaysia turut memberi kerjasama kepada
WHO di mana Malaysia mencadangkan untuk menubuhkan pusat kerjasama WHO bagi
menangani Influenza pada mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.

Selain itu, Malaysia turut memberi sumbangan kepada secara tidak langsung kepada
United Nation High Commissioner for Refugees (UNCHR). UNCHR merupakan sebuah badan
khas yang ditubuhkan dibawah PBB bertujuan untuk menyelesaikan masalah pelarian yang
berlaku dalam kalangan negara-negara anggota. Demi menyokong usaha PBB ini telah
memperlihatkan usaha Malaysia dalam membantu UNCHR di mana Malaysia bersetuju untuk
menyediakan kemudahan penginapan tempat tinggal kepada pelarian Vietnam ketika dalam
persidangan di Geneva pada tahun 1978. Namun, kos untuk makanan bagi pelarian tersebut
adalah di bawah tanggungan UNCHR. Selain itu, negara kita juga digemparkan dengan isu
pelarian Rohingya dari Myamar pada tahun ini. Untuk menyelesaikan masalah tersebut,
Malaysia dan Indonesia telah bersepakat untuk membantu UNCHR dan Pertubuhan

14
Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) untuk memberi perlindungan sementara kepada pelarian ini
dengan cadangan tempat di Pulau Pinang ataupun Sabah di Malaysia dengan syarat mereka
akan ditempatkan semula ke tempat lain dalam masa setahun pada 21 Mei yang lalu. (Utusan
Malaysia, 2015)

5.0 KESIMPULAN

Tuntasnya, sesebuah negara sememangnya memerlukan perjalinan hubungan dengan


negara luar melalui dasar luar negara demi untuk mempertahankan kedaulatan dan
kemakmuran sesebuah negara tersebut. Pada hari ini, seseorang pemerintah tidak akan
berupaya untuk membangunkan sesebuah negara tanpa bekerjasama dengan negara yang
lain. Malaysia merupakan sebuah negara yang aman makmur telah menjalinkan pelbagai dasar
luar sama ada secara dua hala ataupun pelbagai hala bertujuan untuk mengembangkan lagi
ekonomi negara, menstabilkan politik negara dan memupuk elemen-elemen sosial negara. Oleh
itu, Malaysia telah menyertai mengambil inisiatif untuk menyertai pertubuhan-pertubuhan dunia
seperti ASEAN, OIC dan PBB supaya dengan harapan dengan adanya penglibatan yang murni
ini mampu menyumbang ke arah pembangunan negara dan mampu mengekalkan kedaulatan
negara di samping melindungi hak-hak asasi negara serantau supaya Malaysia berupaya untuk
menukar dari status negara membangunan kepada status negara maju menjelang tahun 2020.

15

Anda mungkin juga menyukai