Anda di halaman 1dari 4

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya Muhammad Uwais Wajdi bin Mohd Wahidudin dari SK Kampong Jawa akan menyampaikan
pengucapan awam yang bertajuk “ Peranan Keluarga dalam menangani masalah remaja”
Sidang pendengar sekalian,
Institusi kekeluargaan merupakan satu ikatan yang berupaya membentuk akhlak anak-anak atau remaja.
Goyahnya instititusi ini maka kucar-kacirlah kehidupan dan menyumbang kepada kerosakan akhlak
terutamanya anak-anak remaja.
Usia remaja merupakan usia kehidupan manusia yang penuh dengan pancaroba. Di zaman serba moden
ini remaja sering terdedah kepada gejala-gejala negatif antaranya pergaulan bebas, pengedaran dan
penagihan dadah, meragut, mencuri, merompak, minum arak, seks bebas, berjudi dan pelbagai budaya
yang ditegah oleh agama dan norma manusia.
Kebanyakan remaja dan anak-anak yang terjebak dalam gejala negatif ini terdiri daripada mereka yang
kurang perhatian daripada keluarga mereka atau mereka yang sememangnya mempunyai latar belakang
keluarga yang rapuh.
Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum harapan menjadi kabur, semua pihak harus menyedari dan
membuat anjakan paradigma untuk melahirkan remaja paskamerdeka yang berkualiti. Marilah bersama-
sama bergabung tenaga melahirkan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara yang disegani dan
bersahsiah tinggi.
Sekian. Terima kasih.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Saya Arief Wafiy bin Asmuni dari SK Kampong Jawa akan menyampaikan pengucapan awam yang
bertajuk “Cara Menjaga Kesihatan Diri”. Kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai.
Sudah semestinya setiap individu menginginkan tahap kesihatan yang baik buat diri masing-masing.
Namun begitu, pelbagai penyakit kini semakin berleluasa malah ada yang menyebabkan kematian.
Sidang pendengar sekalian,
Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat termasuklah dengan
mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang mestilah berpandukan kepada
piramid makanan. Kita disarankan supaya mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang
berperanan membekalkan pelbagai jenis mineral dan vitamin kepada tubuh badan kita. Di samping itu,
kita mestilah mengurangkan makanan yang berlemak supaya tidak mendapat penyakit seperti tekanan
darah tinggi dan penyakit jantung.
Selain itu, kita mestilah mengamalkan amalan bersukan dan bersenam. Bersenam akan dapat
menyihatkan tubuh badan di samping meningkatkan tahap kecergasan fizikal.
Kita juga mestilah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.
Hal ini bertujuan untuk memastikan tubuh badan berada dalam keadaan yang baik tanpa sebarang
penyakit.
Di samping itu, setiap individu mestilah mendapatkan tidur dan rehat yang cukup. Tanpa rehat
yang secukupnya, tubuh badan akan menjadi letih dan lesu sekaligus menyebabkan semua aktiviti
tergendala.
Akhir sekali, kita mestilah menjaga kesihatan dengan baik sejak peringkat awal lagi.
Sesungguhnya, kesihatan adalah anugerah Tuhan yang perlu dihargai. Jangan nanti terhantuk baru
terngadah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Sekian. Terima kasih.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Saya Damia Khaliesa binti Mohd Nasir dari SK Kampong Jawa akan menyampaikan pengucapan awam
yang bertajuk “Cara Mengatasi Kepupusan Flora dan Fauna”. Hutan-hutan di Malaysia sememangnya
menjadi habitat kepada tumbuhan semula jadi dan hidupan liar. Sebagai negara yang semakin
berkembang pesat dan semakin maju, pembangunan perlu dijalankan di beberapa kawasan yang menjadi
tempat tinggal kepada flora dan fauna. Ini menyebabkan beberapa spesies hidupan liar dan tumbuhan
semula jadi semakin terancam dan semakin pupus.
Sidang pendengar sekalian,
Sebagai langkah mengatasinya, penanaman semula pokok-pokok bagi menggantikan pokok yang telah
ditebangkan haruslah dilakukan dengan segera. Spesies pokok tertentu yang dikenal pasti cepat membesar
sepatutnya ditanam untuk menutupi permukaan bumi yang tandus. Secara tidak langsung, habitat haiwan
liar juga akan terpelihara.
Di samping itu, pengurangan pengeluaran balak dengan mengehadkan kawasan pembalakan juga harus
dilakukan. Pengurangan aktiviti penerokaan alam semula jadi akan memberi sumbangan kepada
pengekalan kehijauan dan keindahan alam semula jadi.
Untuk memelihara hidupan liar, hutan yang menjadi habitat semula jadi kepada hidupan liar perlulah
dikekalkan. Hutan yang kekal dan dibaik pulih dapat memastikan keselamatan hidupan liar dan juga
tumbuhan semula jadi yang terdapat di dalam negara kita.
Selain itu, penerokaan hutan haruslah dikawal ketat agar tumbuhan semula jadi dan hidupan liar
mempunyai ekosistem yang seimbang. Di samping itu, undang-undang pembalakan juga patut diketatkan
dan pembalakan haram perlu dibanteras.
Sekian. Terima kasih.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Saya Nur Amni Syamimi binti Jaafar dari SK Kampong Jawa akan menyampaikan pengucapan awam
yang bertajuk “Faedah Amalan Bergotong-royong”.
Sidang pendengar sekalian,
Masyarakat Melayu dahulukala terkenal dengan amalan gotong-royong. Namun demikian, kini amalan
gotong-royong semakin luntur dan dilupakan. Sebenarnya, banyak faedah dapat diperoleh daripada
amalan gotong – royong.
Antara faedahnya ialah gotong – royong dapat mempercepat dan meringankan sesuatu kerja. Sebagai
contohnya, jiran tetangga dapat membantu sesebuah keluarga dalam persiapan untuk kenduri kahwin.
Jiran tetangga akan datang menyumbangkan tenaga untuk melakukannya secara beramai-ramai.
Selain itu, amalan gotong-royong dapat juga menjimatkan wang. Hal ini kerana amalan gotong-
royong tidak membabitkan pembayaran upah. Orang-orang yang menyertai gotong-royong berbuat
demikian secara sukarela. Mereka bersedia untuk menyumbangkan tenaga dan masa demi kebaikan
bersama.
Di samping itu, amalan gotong-royong juga dapat merapatkan silaturahim sesama anggota masyarakat.
Sifat mesra dan akrab akan terjalin sesama jiran tetangga secara tidak langsung. Oleh itu, seseorang jiran
akan sentiasa bersedia untuk membantu jika jiran yang lain memerlukan bantuan kecemasan, seperti
dalam hal kematian dan kebakaran rumah.
Kesimpulannya, amalan gotong-royong telah diwarisi oleh masyarakat Malaysia sejak zaman-
berzaman. Pepatah melayu ada menyebut ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’. Oleh itu, usaha harus
diambil untuk menyuburkan amalan ini dalam generasi muda.
Sekian. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai