Anda di halaman 1dari 2

Nur Aiman Naim

Media merupakan apa sahaja alat, benda atau perkakas yang dapat berfungsi
sebagai pengantara di antara penghantar mesej dengan penerima mesej dalam edaran
komunikasi. Dalam konteks komunikasi sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran
(PdP) di sekolah, media merupakan satu komponen yang penting dalam pembentukan
pengajaran oleh guru-guru. Bagi melaksanakan proses PdP dengan berkesan, bahan bantu
mengajar dan media pengajaran boleh digunakan. Antara media pengajaran yang boleh
digunakan adalah media visual. Penggunaan media visual dalam proses PdP dapat
meningkatkan tahap pemahaman murid-murid. Di sini, guru perlu memainkan peranan yang
penting dalam membuat pemilihan media visual yang melengkapi kriteria yang diperlukan
untuk melengkapi

Antara kriteria yang perlu dipertimbangkan oleh guru adalah media visual yang ingin
digunakan mestilah tepat dan mengikuti perkembangan semasa. Hal ini bermaksud
maklumat dan info yang ditayangkan betul dan tidak ketinggalan dengan perkembangan
dunia yang semakin moden. Konsep pembelajaran yang terkini perlu diambil kira oleh guru
dalam usaha untuk menggunakan media visual sebagai salah satu medium pengajaran
dalam proses PdP. Sebagai contoh, sekiranya guru sedang menceritakan tentang virus
dalam mata pelajaran Sains, guru boleh menerangkan tentang virus pandemik Covid-19
yang melanda dunia bermula pada penghujung tahun 2019 dengan menayangkan
bagaimana virus boleh menjangkiti manusia dengan sangat mudah. Oleh itu, info-info yang
tepat dan mengikut peredaran masa merupakan satu ciri yang penting dalam pemilihan
media visual.

Seterusnya, penggunaan bahasa yang jelas, ringkas dan padat juga merupakan satu
kriteria yang penting dalam pemilihan media visual. Penggunaan bahasa adalah
bersesuaian dengan tahap umur murid-murid. Pemilihan kosa kata untuk ditayangkan di
dalam media visual juga perlulah mudah difahami dan tidak melibatkan perkataan yang
terlampau kompleks. Guru perlu mengambil cakna tentang perkara ini supaya murid mampu
untuk mengikuti proses PdP tanpa kesulitan yang melibatkan kefahaman berkenaan
bahasa. Hasilnya, murid-murid akan lebih mudah untuk memahami pengetahuan baharu
yang ingin disampaikan oleh guru dengan penggunaan bahasa yang mudah, ringkas namun
padat dengan informasi.

Kriteria pemilihan media visual yang ketiga ialah topik yang ingin dipersembahkan
kepada murid mestilah mampu untuk menarik perhatian dan minat murid untuk lebih
mengambil bahagian dalam bilik darjah sewaktu proses PdP sedang berlangsung. Perkara
ini amat penting kerana murid-murid di sekolah rendah berada dalam lingkungan umur
kanak-kanak di mana tahap tumpuan mereka di dalam bilik darjah sangat bergantung
kepada motivasi dan minat mereka terhadap apa yang sedang ditunjukkan kepada mereka.
Oleh itu, guru perlulah menyediakan media visual yang menarik seperti animasi dan
gambar-gambar karikatur yang boleh menarik perhatian murid dengan lebih mudah.

Selain itu, kriteria lain dalam pemilihan media visual adalah bersifat mudah untuk
diperolehi. Kriteria ini amat penting kerana ia dapat memudahkan tugas guru untuk
menyediakan bahan pengajaran yang telah dirancang. Apabila media visual yang ingin
digunakan dalam PdP mudah didapati, proses pengajaran akan berjalan dengan lancar
tanpa mempunyai sebarang masalah tentang penyediaan bahan pengajaran. Sekiranya
media visual yang ingin digunakan sukar untuk dieprolehi, maka ia akan mengganggu
perancangan guru seterusnya proses PdP di dalam bilik darjah. Murid-murid akan menerima
kesan sampingan yang buruk daripada ketidaksediaan guru dalam melaksanakan PdP. Oleh
itu, amat penting bagi seorang guru untuk memilih media visual yang mudah untuk
diperolehi bagi dijadikan bahan pengajaran dalam bilik darjah.

Penggunaan warna yang sesuai dan menarik juga perlu diaplikasikan dalam media
visual. Pemilihan warna dalam media visual perlu sesuai dengan sifat subjek atau unsur
grafik yang dipaparkan yang mampu untuk meningkatkan potensi belajar murid. Guru perlu
memastikan penggunaan warna dalam media visual dapat memudahkan murid untuk
melihat dan meningkatkan kejelasan bagi visual tersebut. Sekiranya pemilihan warna tidak
dirancang dengan teliti, ia akan menyebabkan kecelaruan dalam kalangan murid dan mesej
yang hendak disampaikan tidak tercapai. Pemilihan warna yang sesuai pada subjek yang
ditonjolkan dalam media visual akan memberikan mesej yang jelas yang ingin disampaikan
sewaktu proses PdP. Sebagai contoh, pemilihan warna panas seperti merah dan kuning,
akan memberikan penekanan kepada isi utama yang ingin disampaikan dalam media visual
tersebut.

Jelaslah bahawa pemilihan media visual mengikut kriteria yang baik akan memberi
impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak sama ada kepada guru mahupun kepada
murid. Oleh itu, guru perlu bijak dalam memilih media visual yang ingin digunakan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Kriteria
ini amat penting dalam memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar seterusnya
mampu menyediakan pelajaran bermakna kepada murid.

Anda mungkin juga menyukai