Anda di halaman 1dari 9

1.

0 Pengenalan

Dalam catatan Kamus Dewan (1998), tamadun merujuk kepada keadaan


masyarakat manusia yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta
perkembangan sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi peradabannya. Hal ini
membawa erti di mana sesebuah negara dan penduduknya telah mencapai taraf kemajuan
kebendaan serta perkembangan pemikiran yang tinggi. Dari segi bahasa, perkataan
tamadun berasal daripada perkataan bahasa arab iaitu ‘Tamaddana’ atau ‘Madana’ yang
bererti sebagai pemilihan satu lokasi sebagai tempat tinggal. [ CITATION Abd94 \l 17417 ].

Terdapat juga beberapa definisi tamadun yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana


Islam dan Barat. Antaranya Ibnu Khaldun (1960) yang menyebutkan bahawa tamadun ini
adalah beberapa keadaan dan perisitiwa biasa yang melebihi dari yang patut, terbit daripada
peristiwa-peristiwa pembangunan dan tamadun mungkin bertambah dengan meningkatnya
kemajuan. Beliau juga sering menggunakan istilah ‘umran’ dalam penulisan beliau untuk
menggambarkan tamadun. ‘Umran’ bermaksud kawasan tanah atau rumah yang didiami,
diduduki orang, segolongan penduduk yang menetap dan seumpamanya.

Darcy Riberio pula menggunakan istilah ‘civilization’ dan mentakrifkan tamadun


sebagai sebagai puncak sesuatu pencapaian masyarakat dalam proses kemajuan
[ CITATION Dar68 \l 17417 ]. Beliau juga menekankan beberapa proses dalam menuju
tamadun atau peradaban. Antara proses yang paling penting adalah revolusi bandar kerana
bandar-bandar membuka peluang kepada manusia untuk meningkatkan kemajuan spiritual
dan material mereka.

Berdasarkan semua definisi di atas, dapat disimpulkan secara umum bahawa


konsep dan definisi utama tamadun adalah kehidupan manusia yang telah mencapai taraf
kemajuan kemanusiaan yang tinggi. Kemajuan yang dimaksudkan di sini meliputi kemajuan
dan kehalusan pemikiran dalam pelbagai bidang seperti agama, sains, kesenian, kemajuan
kebendaan dan tahap pencapaian dalam politik. Seterusnya, tamadun juga merupakan
pengaplikasian cara hidup dan budaya sesebuah bangsa itu setelah mereka mencapai
tahap kemajuan yang tinggi dalam bidang bidang sosial, politik, agama, sains dan
sebagainya.

Interaksi pula bermaksud keadaan saling berhubungan, melakukan aktiviti atau


mempengaruhi antara dua pihak atau lebih. Interaksi dalam konteks tamadun adalah
melibatkan hubungan sosial yang dinamis antara satu kumpulan dengan kumpulan yang
lain. Hubungan ini sama ada dengan menggunakan bahasa atau mengadakan tindakan
yang saling mempengaruhi antara satu sama lain (Razimi dan Shahaidil, 2018). Oleh itu,
kecemerlangan tamadun Malaysia pada hari ini banyak dipengaruhi oleh tamadun Islam,
China dan India oleh kerana interaksi yang berlaku antara tamadun.

2.0 Faktor Interaksi Antara Tamadun

Interaksi tamadun berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang boleh dilihat dari
pelbagai sudut. Secara umumnya, interaksi tamadun ini disebabkan sifat toleransi dan sikap
saling hormat-menghormati di antara tamadun. Manakala, secara khususnya, interaksi di
antara tamadun adalah berpunca daripada aspek seperti kepimpinan, sikap golongan
agama, kedudukan geografi, perkahwinan, perdagangan dan misi politik.

2.1 Kepimpinan

Faktor kepimpinan merupakan satu faktor terpenting dalam interaksi antara tamadun.
Cara dan sikap seseorang pemimpin itu dalam memimpin akan mempengaruhi proses
interaksi antara tamadun. Hal ini bermakna jika seseorang pemimpin itu mempunyai sikap
yang adil dan toleran, maka ia akan memudahkan proses interaksi untuk berlaku dengan
lancar. Salah satu contoh pemimpin yang adil dan toleran dalam melaksanakan
tanggungjawabnya ialah Nabi Muhammad S.A.W. Buktinya, dalam Piagam Madinah iaitu
perlembagaan negara Madinah, Nabi Muhammad memberikan jaminan kebebasan dalam
beragama iaitu orang yahudi dan penganut agama lain tidak disekat dalam pemerintahan
baginda (Ahmad & Dzafir, 1985). Kebebasan ini bukan sahaja diberikan kepada orang
Yahudi tetapi juga kepada pengikut-pengikut dan sekutu mereka. Hasilnya, interaksi yang
ingin dijalankan akan mudah berlaku tanpa ada sebarang konflik.

2.2 Sikap Golongan Agamawan

Seterusnya, faktor yang sangat banyak mempengaruhi proses interaksi di antara


tamadun ialah sikap golongan agama. Sikap golongan agama ini menjadi penentu kepada
hidup beragama secara harmoni di mana kerukunan hidup bersama-sama insan yang
mempunyai agama yang berbeza diterapkan. Dalam Tamadun Islam, golongan agama
merupakan para ulama manakala Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu,
minoriti kasta Brahmin menjadi tunggak kepada agama. Golongan agama dalam
kepercayaan Buddha pula didukung oleh sami sementara paderi menguasai fahaman
Kristian.

2.3 Geografi

Seperti yang diketahui, sejarah sering menyebut tentang pentingnya kedudukan


geografi yang strategik dan menjadi laluan utama dalam aktiviti perdagangan. Hal ini juga
turut memberi kesan yang sama sehingga berlakunya interaksi tamadun. Contohnya,
Tamadun China berinteraksi dengan pelbagai tamadun lain kerana terdapat dua laluan
utama iaitu laluan sutera yang menggunakan jalan darat dan laut. Laluan sutera darat
menghubungkan China dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke Peking.
Manakala, laluan laut pula merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India, Kepulauan Melayu
hingga ke Canton di Tenggara China. Kedua-dua laluan ini membolehkan negara-negara
terlibat berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan. Pelabuhan Melaka juga terkenal
kerana kedudukan geografinya yang strategik dan terlindung dari angin monsun. Pelabuhan
ini menjadi tumpuan dan persinggahan para pedagang. Aktiviti perniagaan berlaku di
Pelabuhan Melaka disebabkan ramai pedagang yang singgah.

2.4 Perkahwinan

Dalam pada itu, perkahwinan juga antara faktor penting dalam proses interaksi
tamadun. Contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dan Puteri Pasai dalam kalangan
golongan bangsawan dan pemerintah. Di rantau Alam Melayu juga, berlakunya interaksi di
antara penduduk tempatan dengan pedagang Arab dalam tempoh mereka bermukim di situ
sementara menunggu angin monsun. Perkahwinan ini juga membawa kepada Islamisasi
kerana gadis tempatan perlu diislamkan terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan
pedagang Arab. Malahan, ahli keluarga gadis tersebut juga turut sama menerima Islam
dalam kehidupan mereka.

2.5 Perdagangan

Hubungan perdagangan di antara Arab dan China memang membuktikan


perdagangan sebagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya interaksi. Hubungan
kedua buah negara tersebut bermula sejak 3 Masihi lagi. Malah, pedagang Arab dan Parsi
membina penempatan di Kwang Cho (Canton), Chang Chow dan Chuan Chow. Masjid turut
didirikan di Guangzhou yang membuktikan berlaku Islamisasi di wilayah tersebut.

Alam Melayu turut berinteraksi dengan Arab secara tidak langsung apabila pedagang
Arab singgah sementara menunggu angin yang sesuai sebelum ke China. Catatan Marco
Polo tentang pengislaman Perak pada tahun 1292 M menunjukkan berlakunya proses
Islamisasi. Selain itu, Tamadun India berinteraksi dengan rantau Melayu sejak kurun
pertama Masihi lagi di mana nama wilayah Asia Tenggara seperti yang tercatat di dalam
kitab Ramayana seperti Suvarnadvipa dan Suvarnabhumi.
2.6 Politik

Faktor misi politik turut menggalakkan berlakunya interaksi dalam suasana harmoni
sebagaimana yang dapat dilihat pada hubungan diplomatik antara Alam Melayu dengan
Cina. Berdasarkan catatan sejarah, hubungan diplomatik Melaka dengan Cina telah terjalin
sejak tahun 1404 M. Pada tahun-tahun berikutnya, Melaka telah menerima beberapa utusan
dari Cina yang kemudiannya telah membalas utusan tersebut. Tujuan Melaka mengadakan
hubungan baik dengan Cina adalah untuk mendapat perlindungan dari ancaman Siam.
Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam telah dihantar ke Melaka yang secara tidak
langsung telah menggalakkan Islamisasi di rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga
memberi kesan yang sama kepada negeri-negeri di Kepulauan Melayu seperti Kedah,
Johor, Kamar dan sebagainya.

3.0 SUMBANGAN TAMADUN ISLAM, CHINA DAN INDIA DALAM MEMBENTUK


KECEMERLANGAN TAMADUN MALAYSIA DALAM KONTEKS

3.1 KEPERCAYAAN

Antara sumbangan tamadun india ialah agama Hindu dan Budha diamalkan di
Malaysia. penganut agama Hindu sememangnya sudah wujud di Tamadun Malaysia sejak
kurun pertama Masihi. Disebabkan majoriti kaum bukan Melayu berbangsa Cina dan India
maka agama Buddha dan Hindu adalah antara agama yang paling banyak diamalkan di
negara ini. Menurut Uthya Sankar (2014) agama Hinduisme memerlukan berhala sebagai
cara menggambarkan kekuatan sifat dan ciri Tuhan supaya mudah untuk mengingati dan
menyembah-Nya. Saban tahun kita boleh melihat penganut agama Buddha dan Hindu
mengamalkan upacara keagamaan yang tersendiri saban tahun seperti Wesak dan
Deepavali. Contohnya, Batu Cave adalah merupakan lokasi wajib bagi penganut agama
Hindu apabila tibanya hari Deepavali.hal ini menunjukan bahawa pengaruh tamadun india
masih kukuh diamalkan bagi penganut agama hindu dan Buddha di Malaysia. Kesannya,
Malaysia bukan sahaja menerima pengunjung beragama Islam, bahkan pengunjung
beragama Hindu kerana mempunyai tempat ibadat Hindu yang sempurna dan menarik
seperti.

Agama Islam telah mula tersebar dengan meluas sejak lebih 1400 tahun yang lalu.
Semua itu adalah hasil perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat serta ‘alim ulama.
Para sejarawan berpendapat agama ini mula datang ke nusantara pada abad ke-7 atau ke-8
Masihi ketika aktiviti perdagangan berlaku di kepulaun ini (Fleycylia & Lyana, 2013). Sazelin
Arif et.al (2006) menyatakan bahawa agama Islam memainkan peranan penting dalam
kelangsungan tamadun Melayu sebagai asas Tamadun di Malaysia. Islam mengatur segala
aspek kehidupan manusia dan memandu manusia ke arah pembentukan individu muslim
melalui aspek-aspek seperti kepercayaan, peribadatan, pembentukan akhlak, muamalat,
muasayarat, munakahat dan jenayah (Hashim Musa, 2004).

Sebagai Agama Persekutuan, Islam menjadi agama yang dominan dan mendapat
banyak keistimewaan di negara ini berbanding agama-agama yang lain. Apa yang penting
dalam hal ini ialah, betapa pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai
kaum dan agama ini menghayati sejarah negara. Agama Islam berjaya menyatupadukan
masyarakat Melayu dan dengan kekuatan yang ada pada masyarakat Melayu, peranan
agama Islam amat penting dalam kelangsungan tamadun Melayu. Hasil daripada
penyebaran agama membuktikan bahawa tamadun islam telah memberikan sumbangan
besar terhdap kepercayaan masyarakat Malaysia sekarang..

Melalui tamadun Cina pula kepercayaan yang dibawa termasuklah Konfusianisme,


Daoisme dan Buddhisme. Secara umumnya, kepercayaan ini menekankan aspek nilai murni
dan kebudayaan tradisional. Berdasarkan kajian Low (1999) mendapati bahawa sebenarnya
ajaran Konfusianisme masih diamalkan dengan begitu kuat di dalam kalangan masyarakat
Cina di Malaysia. Beliau juga menyenaraikan beberapa nilai seperti berbakti kepada ibu
bapa, bertatasusila, berusaha gigih, berjimat cermat dan sebagainya sebagai asas
pemikiran Konfusianisme. Pada asalnya, masyarakat Cina sendiri tidak sedar akan
pemikiran ini sangat mempengaruhi kehidupan harian mereka dari segi adat dan perbuatan.
Dengan adanya kepelbagaian kepercayaan seperi ini sebenarnya telah memberi keunikan
kepada Tamadun Malaysia di mana menyimpan pelbagai khazanah merangkum pelbagai
kepercayaan. Maka keunikan ini akan menjadi nilai tambah kepada negara sebagai suatu
aset yang tidak terhitung harganya. Sebagai contoh, adat perkahwinan orang Cina yang
diamalkan berlainan dengan perkahwinan orang Melayu atau India.

3.2 PENDIDIKAN

Bagi tamadun india, ia menjadi asas kepada penggunaan dan perkembangan ilmu di
Malaysia sebelum kedatangan sinar islam, aktiviti penterjemahan juga giat berkembang
untuk melahirkan sebuah tamadun yang mantap. Tamadun India menekankan kepada
penguasaan bidang sains sebagaimana dalam tamadun India klasik. Perkembangan ilmu
sains dan teknologi di India memberikan pengaruh yang luas dalam penguasaan ilmu dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Masyarakat India memperolehi semua ilmu berkaitan sains
dan teknologi melalui kitab suci mereka iaitu Kitab Veda. Antara penguasaan ilmu dalam
kalangan masyarakat India ialah ilmu astronomi, perkembangan matematik dan banyak lagi.
Perkembangan ini telah membawa banyak perubahan kepada perkembangan ilmu di
Malaysia. Tamadun India begitu mementingkan penguasaan dalam bidang matematik.
Matematik dijadikan pelajaran wajib setiap pelajar di India. Kesannya dapat dilihat dalam
perkembangan sistem pendidikan persekolahan di Malaysia. Sistem persekolahan di
Malaysia juga menerima kesan daripada pengaruh tamadun India.

Antara sumbangan tamadun Islam terhadap sistem Pendidikan Islam di Malaysia


ialah munculnya pelbagai institusi pendidikan dari peringkat pondok hinggalah ke universiti.
Perkembangan sistem sekolah pondok ini kemudiannya diikuti dengan pertumbuhan
sekolah agama sama ada sekolah rakyat mahupun sekolah bantuan kerajaan. lanya
dianggap sebagai satu sumbangan yang besar kepada Malaysia sejak kedatangan para
pendakwah Islam sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu. lanya terus berkembang
sehingga kini apabila beberapa buah universiti dan kolej Islam mula didirikan di Malaysia
dari semasa ke semasa. Perkembangannya terus meluas apabila sistem pendidikan Islam
telah diintegrasikan dengan beberapa bidang lain yang dianggap sekular sebelum ini.

Seterusnya tamadun China juga memberi sumbangan dalam aspek pendidikan.


Buktinya ialah, universiti sudah wujud pada pemerintahan Dinasti Tang. Sistem pendidikan
di China berada di kemuncak semasa pemerintahan Maharaja Husan Tsung yang telah
mempertemukan ahli-ahli akdemik negara pada ketika itu (Morton W. Scoot, 1995).
Tambahan pula tamadun China telah menjadi asbab kepada wujudnya Sistem Peperiksaan
Awam (SPA). Tujuan SPA ini adalah untuk memilih individu yang bijak untuk membantu
dalam pentadbiran negara. Begitu juga dengan negara Malaysia, setiap pemerintah dan ahli
pentadbiran negara mestilah mempunyai daya intelek yang tinggi dan berkemahiran dalam
pelbagai aspek. Selain itu, dengan berkonsepkan Yin dan Yang serta teori Lima Unsur maka
lahirlah ilmu-ilmu sains cina seperti perubatan, matematik, astronomi, fizik dan sebagainya.
Dengan adanya konsep Yin dan Yang sebagai kestabilan alam, Malaysia telah memasukkan
mata pelajaran matematik dan sains ke dalam setiap silibus pendidikan. Malah subjek ini
diwajibkan kepada semua pelajar untuk belajar dan menduduki peperiksaan (Kementerian
Pelajaran Malaysia, 2015-2023). Oleh yang demikian, jelas di sini bahawa konsep yang
dibawa tamadun China telah memberi kesan kepada perkembangan pendidikan di Malaysia
pada harini

3.3 PENTADBIRAN

Institusi beraja yang wujud di negara kita sejak abad ke-15 iaitu semasa
pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka juga adalah antara pengaruh besar tamadun India.
Tamadun India khususnya telah banyak mempengaruhi corak politik negara Malaysia. Raja
dianggap mempunyai kedudukan yang tinggi dan rakyat tertakluk di bawah kekuasaanya.
Mengikut konsep ini, raja dianggap penjelmaan Dewa Shiva, Vishnu dan juga Buddha.
Lantaran itu raja dianggap mempunyai kuasa yang tinggi dan berdaulat. Pengaruh daripada
tamadun India mengenai konsep devaraja ini sememangnya jelas memberi impak kepada
tamadun Malaysia. Sebelum kedatangan agama Islam, kita menggunakan gelaran raja yang
kemudian ditukar kepada sultan. Konsep raja juga berkait rapat dengan konsep daulat dan
derhaka. Namun yang demikian, konsep daulat masih diamalkan di negara kita dan tidak
dilupakan juga, kita masih menggunakan peralatan alat-alat kebesaran dimana turut
diamalkan oleh tamadun India. Antara contohnya ialah ketur, cap mohor, tombak dan
perhiasan berwarna kuning yang masih kita amalkan hingga ke saat ini. Amalan sistem
beraja di Tamadun Malaysia dewasa ini juga menunjukkan bahawa pengaruh Hindu
sememangnya sudah sebati dengan amalan yang diamalkan di tamadun Malaysia

Kedatangan Islam ke Malaysia telah banyak mencorak kehidupan masyarakat


serantau. Selain daripada penetapan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,
terdapat juga peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah menyatakan
bahawa Yang Di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama di Malaysia dan kerajaan
haruslah mengadakan peraturan mengenai hal ehwal agama Islam dan menubuhkan
sebuah Majlis untuk memberi nasihat kepada Yang Di-Pertuan Agong mengenai perkara-
perkara yang berhubung kait dengan agama Islam.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Melaluinya, rakyat boleh


menawarkan diri untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli parlimen
tanpa mengira bangsa untuk memastikan keterlibatan mereka secara langsung dalam
pentadbiran negara. Perkara ini jelas dapat menyeimbangkan keharmonian pelbagai kaum
yang ada di Malaysia. Hasilnya, terdapat menteri-menteri dari kalangan selain Melayu
membantu pentadbiran negara. Selain itu, aspek ketaatan dan kesusilaan juga dimasukkan
ke dalam amalan rakyat Malaysia. Buktinya ada pada Rukun Negara yang kedua dan
kelima. Sebagaimana yang terdapat dalam konsep Li pada ajaran Konfusianisme, begitulah
juga amalan profesional dan beretika yang diterapkan dalam tamadun Malaysia, dan
sebagaimana tamadun Islam menghormati pemimpin, begitu jualah etika kerja yang
diterapkan dalam kakitangan awam Malaysia supaya menurut perintah dan arahan kerajaan
4.0 Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, tamadun Islam dan tamadun Asia memang banyak memberi
sumbangan kepada kecemerlangan tamadun Malaysia hari ini. Tidak kiralah dalam konteks
kepercayaan dan agama, pendidikan mahupun pentadbiran, ia tetap memberi sumbangan
kepada pelbagai aspek yang wujud di tamadun Malaysia. Sebagai seorang rakyat Malaysia,
kita seharusnya bersyukur dan sentiasa memelihara sumbangan-sumbangan yang hadir
daripada tamadun Islam dan tamadun Asia. Secara umumnya, tamadun Islam dan tamadun
Asia mempunyai kekuatan nilai sejagat dan sifat sepunya yang membawa keharmonian
dalam interaksi di antara tamadun walaupun mempunyai agama dan budaya yang berbeza.
RUJUKAN

Abdul Raoh Yaacob . (1994). Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Ibrahim, & Dzafir El-Qasimy. (1985). Piagam Madinah Pandangan dan Ulasan.
Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif.

Ibn Khaldun, Abd. Rahman Ibn Khaldun. (1960). Muqaddimah Ibnu Khaldun. Qaherah: Dar
al-Kutub al-Arabiyah.

Kamus Dewan. (1998). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Razimi Husin , & Md Shahaidil Ab Rahman. (2018). Tamadun Islam dan Tamadun
Asia. Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd. .

Riberio, D. (1968). The Civilizational Process. Washington: Smithsonian Institution Press.

Anda mungkin juga menyukai