Anda di halaman 1dari 8

Faktor Mempengaruhi Interaksi antara Kepelbagaian

Tamadun di Asia
- Januari 21, 2018
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin

Menurut Mohd Mokhtar Shafie (1986), interaksi antara tamadun yang terdapat  di Asia
seperti Tamadun Islam, Tamadun China dan Tamadun India telah lama berlaku atas
beberapa faktor dan tujuan tertentu. Melalui interaksi yang dilakukan, tamadun-tamadun
tersebut mengasimilasikan pelbagai aspek politik, ekonomi dan sosial yang terdapat
sesebuah tamadun ke dalam tamadun tersebut. Perkara tersebut adalah penting bagi
sesebuah tamadun ke arah meningkatkan tahap ketamadunan tamadun tersebut sama ada
dari segi lahiriah mahupun rohaniah. Hal ini dapat dilihat menerusi pencapaian setiap
tamadun tersebut dalam pelbagai bidang seperti bahasa, kesusasteraan, keagamaan, sains
dan teknologi, perubatan dan lain-lain. Sebagai tamsilan, interaksi antara Tamadun India
dengan Tamadun China telah menyebabkan agama Buddha tersebar . Hal ini bermakna,
interaksi antara tamadun mendatangkan implikasi terhadap tamadun tersebut. Interaksi
berlaku melalui proses cara yang berbeza. Interaksi antara tamadun adalah penting kerana
merupakan asas kepada persefahaman dan kerjasama antara tamadun. Terdapat beberapa
faktor yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia.
       Azam Hamzah dan Zuleikha Yusoff (1990) menyatakan bahawa kepimpinan merupakan
faktor utama yang memainkan peranan penting dalam proses interaksi antara kepelbagaian
tamadun di Asia. Hal ini bermakna, sifat seseorang pemimpin sesebuah tamadun akan
mempengaruhi interaksi tamadun yang lain. Pemimpin sesebuah tamadun memainkan
peranan utama dalam memastikan interaksi yang wujud antara tamadun tersebut dengan
tamadun yang lain berada dalam keadaan yang aman. Proses interaksi akan berlaku dalam
keadaan aman dan damai seandainya pemimpin dalam sesebuah tamadun tersebut
mengamalkan ciri-ciri kepimpinan yang baik seperti bersifat adil, bertoleransi dan
menghormati kebudayaan tamadun yang lain dalam melakukan pemerintahan (Nik Hassan
Shuhaimi Nik Abdul Rahman et al., 2009). Perkara ini dapat dilihat menerusi kepimpinan
Nabi Muhammad SAW semasa memerintah Tamadun Madinah. Baginda tidak menyekat
hak dan kebebasan orang Yahudi dan Kristian dalam memilih agama yang hendak dianuti
serta menjalankan kegiatan ekonomi seperti mana yang terkandung dalam Piagam
Madinah. Perkara sebaliknya pula akan berlaku sekiranya pemimpin dalam sesebuah
tamadun tidak mengamalkan ciri-ciri kepimpinan yang baik. Hal ini dapat dibuktikan dalam
Tamadun India yang mana sikap tidak bertoleransi Sultan Shamsuddin Altamish di India
terhadap penganut Hindu sehingga menyebabkan penganut Hindu tersebut memberontak.
Intihanya, kepimpinan dalam sesebuah tamadun merupakan faktor utama yang
mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia.
            Faktor seterusnya yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di
Asia ialah  faktor keagamaan (Munif Zarirruddin Fikri Nordin, 2004). Hal ini demikian kerana,
kebanyakan agama yang wujud di dunia kecuali Yahudi dan Shinto, berusaha untuk
mengembangkan agama yang terdapat dalam tamadun mereka dengan tujuan agar
penganut bagi agama tersebut meningkat. Dalam hal ini, golongan agama merupakan
individu yang memainkan peranan yang penting dalam penyebaran agama. Golongan
agama menjadi penentu kepada kehidupan beragama secara harmoni di mana kerukunan
hidup bersama-sama insan yang mempunyai agama yang berbeza
diterapkan.  Berdasarkan pernyataan tersebut, golongan agama yang terdapat dalam
sesebuah tamadun akan menyebarkan agama tamadun mereka kepada tamadun yang lain
sehingga agama tamadun tersebut berkekalan. Dalam  konteks Tamadun Islam, golongan
agama merupakan para ulama manakala dalam konteks Tamadun India yang berteras
kepada agama Hindu, minoriti kasta Brahmin menjadi tunggak kepada agama. Sebagai
contoh, interaksi antara Tamadun India dan China berlaku disebabkan oleh aktiviti
penyebaran agama Hindu. Keadaan tersebut telah mengakibatkan agama Hindu yang
berasal daripada Tamadun India bertapak kukuh dalam Tamadun China. Deduksinya, faktor
keagamaan merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian
tamadun di Asia seperti mana yang berlaku antara Tamadun India dan Tamadun China.
        Menurut Abdul Rahman Abdullah (2000), perkembangan ilmu pengetahuan juga turut
menyumbang ke arah interaksi antara pelbagai tamadun di Asia. Hal ini demikian kerana,
setiap tamadun melakukan interaksi antara satu dengan lain untuk memperkembang dan
membangunkan tamadun tersebut. Faktor tersebut juga disokong oleh sifat keterbukaan
rakyat dan pemerintah sesebuah tamadun dalam menerima pembaharuan yang dibawa oleh
tamadun lain. Perkara tersebut adalah perlu untuk meningkatkan tahap ketamadunan
sesebuah tamadun. Sebagai tamsilan, menerusi interaksi antara Tamadun Jepun dan
Tamadun China, beberapa ciptaan sains dan teknologi Tamadun China berkembang dalam
Tamadun Jepun. Antara ciptaan tersebut ialah teknologi pembuatan kertas, bahan letupan,
percetakan, kompas dan sebagainya. Menerusi interaksi antara Tamadun China dan Jepun,
tulisan-tulisan kaligrafi China telah memperkembang tradisi sistem tulisan Tamadun Jepun
sehingga menyebabkan tulisan tersebut menjadi medium komunikasi sosial dan penciptaan
kesenian yang mana banyak membantu perkembangan tradisi keintelektualan Tamadun
Jepun. Konklusinya, perkembangan ilmu pengetahuan dalam sesebuah tamadun
mempengaruhi interaksi kepelbagaian tamadun di Asia khususnya Tamadun China dan
Tamadun Jepun.
       Mohd Taib Osman dan A. Aziz Deraman (2000) menyatakan bahawa aktiviti
perdagangan merupakan faktor terawal yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian
tamadun di Asia. Perkara tersebut dapat dilihat menerusi hubungan perdagangan antara
masyarakat Arab dan masyarakat China yang dikatakan telah berlaku sejak abad ketiga
Masihi lagi apabila dilaporkan dalam utusan Arab yang pertama dihantar ke istana kerajaan
Wei. Menurut catatan China, kapal-kapal China telah berlayar sehingga ke Teluk Parsi dan
berdagang di Pelabuhan Siraf pada abad kelima (Mahayudin Haji Yahya, 1987). Tedapat
juga hubungan perdagangan antara Tamadun Islam dengan Tamadun India. Ismail Hussien
et al. (1997) menyatakan bahawa masyarakat Arab telah berlayar di lautan Hindi untuk
menubuhkan wilayah perdagangan di pantai barat India yang dikenali sebagai Malabar pada
masa kini. Dalam konteks Alam Melayu, salah satu faktor yang membawa ke arah
kemasyhuran sesuatu tamadun ialah aktiviti perdagangan. Misalnya, ketika zaman
Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) pedagang-pedagang daripada Arab, India dan
China mengungjungi Melaka untuk menjalankan aktiviti perniagaan. Aktiviti perdagangan
sebagai faktor interaksi tamadun dapat dibuktikan melalui penulisan sejarah pada zaman
dinasti Song seperti buku Zhu Fan Zhi (Perihak Negeri-negeri Asing) yang menyatakan
bahawa Tamadun China dan Tamadun Alam Melayu saling melengkapi antara satu dengan
lain dalam hubungan perniagaan. Oleh itu, aktiviti perdagangan mempengaruhi interaksi
antara kepelbagaian tamadun di Asia.
       Kedudukan geografi sesebuah tamadun yang strategik juga merupakan salah satu
faktor yang mempengaruhi interaksi antara kepelbagaian tamadun di Asia (Ahmad Nazri
Abdullah, 1995). Kedudukan geografi sesebuah tamadun yang strategik kerana memberi
kemudahan perhubungan antara sesebuah tamadun serta menjadi laluan utama dalam
aktiviti perdagangan. Sejarah telah membuktikan bahawa kedudukan geografi memainkan
peranan penting dalam mempengaruhi faktor interaksi tamadun. Perkara ini dapat dilihat
menerusi interaksi Tamadun China dengan tamadun Asia yang lain. Sebagai contoh,
Tamadun China berinteraksi dengan pelbagai tamadun lain kerana terdapat dua laluan
utama iaitu laluan sutera yang menggunakan jalan darat dan laut.  Laluan sutera darat
menghubungkan China dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke
Peking.  Manakala, laluan laut pula merentasi Laut Arab ke benua kecil India, Kepulauan
Melayu hingga ke Canton di Tenggara China.  Dapatlah dilihat bahawa kedua-dua laluan
tersebut membolehkan tamadun-tamadun yang terlibat berinteraksi dan menjalankan aktiviti
perdagangan.  Pelabuhan Melaka juga terkenal kerana kedudukan geografinya yang
strategik dan terlindung dari angin monsun.  Perkara tersebut menyebabkan pelabuhan
Melaka menjadi tumpuan dan persinggahan para pedagang.  Deduksinya, kedudukan
geografi yang strategik turut mempengaruhi interaksi antara tamadun di Asia.
      Menurut Abdullah Alwi Hassan (2000), faktor misi politik juga menpengaruhi interaksi
antara kepelbagaian tamadun di Asia dalam keadaan yang harmoni. Perkara tersebut dapat
dilihat menerusi hubungan diplomatik antara Tamadun Melayu dengan Tamadun China.
Sebagai tamsilan, hubungan diplomatik antara kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan
Tamadun China berlaku sejak tahun 1404 M seperti mana yang tercatat dalam sejarah
Melaka.  Tujuan Melaka mengadakan hubungan diplomatik ini adalah untuk mendapatkan
perlindungan daripada Tamadun China bagi mengelakkan ancaman Siam. Persetujuan Cina
terbukti dengan penghantaran Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam ke Melaka.
Dasar perlindungan Tamadun China terhadap negeri-negeri di rantau Alam Melayu secara
tidak langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga
memberikan impak yang sama kepada negeri-negeri di Kepulauan Melayu yang lain seperti
Kedah, Johor, Kampar dan sebagainya. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa faktor misi
politik juga memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi interaksi Tamadun di
Asia seperti mana yang berlaku dalam kerajaan Melaka dan Tamadun China.
       Perkahwinan juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi  interaksi antara
tamadun-tamadun di Asia. Perkara tersebut secara jelas dapat dilihat menerusi lembaran
sejarah dan salasilah masyarakat di rantau Alam Melayu. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik
Abdul Rahman et al. (2009), masyarakat yang wujud di rantau Alam Melayu telah
menjalinkan interaksi dengan pedagang Arab sehingga terdapat sebahagian pedagang
tersebut berkahwin dengan gadis tempatan kerana telah bermukim di pelabuhan Alam
Melayu dalam beberapa waktu sementara menunggu perubahan angin monsun. Keadaan
tersebut telah menjurus ke arah proses Islamisasi kerana bagi membolehkan wanita
tempatan berkahwin dengan pedagang Arab yang beragama Islam, wanita tersebut mesti
diislamkan terlebih dahulu. Sejarah turut mencatatkan, perkahwinan ini tidak sahaja
mengislamkan gadis tempatan yang dikahwini pedagang Arab, tetapi kaum keluarga gadis
turut menerima Islam. Selain itu, perkahwinan bukan sahaja berlaku di kalangan rakyat
jelata, malah juga berlaku di kalangan golongan bangsawan dan pemerintah. Sebagai
contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dengan Puteri Pasai. Ringkasnya, interaksi
antara tamadun di Asia dipengaruhi oleh faktor perkahwinan.
      Secara keseluruhan, interkasi antara sesebuah tamadun dengan tamadun yang lain
telah lama wujud di Asia. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi interaksi antara
kepelbagaian tamadun di Asia. Interaksi antara tamadun adalah perlu ke arah
memperkembang dan membangunkan sesebuah tamadun. Hal ini demikian kerana,
tamadun-tamadun tersebut saling melengkapi antara satu dengan lain. Interaksi antara
tamadun juga dilihat sebagai medium untuk meningkatkan tahap ketamadunan sesebuah
tamadun melalui pertukaran teknologi. Oleh yang demikian, interaksi antara kepelbagaian
tamadun di Asia tersebut seharusnya diaplikasikan dalam konteks dunia modenisasi kini
kerana interaksi tersebut mendatangkan pelbagai implikasi yang positif terhadap sesebuah
negara.

https://cikguafzan96.blogspot.com/2018/01/faktor-mempengaruhi-interaksi-antara.html
2.4 KESAN INTERAKSI ANTARA TAMADUN DI MALAYSIA

Interaksi antara tamadun di Malaysia wujud kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada tiga bangsa
dominan yang berasal dari kelompok Tamadun Asia. Peribumi Melayu mewakili pembina Tamadun
Melayu, etnik Cina mewarisi Tamadun Cina dari Tanah Besar Cina dan etnik India mewakili Tamadun
India dari Benua Kecil India. Kepelbagaian bangsa yang mendiami Malaysia pasti memberi pelbagai
kesan dalam hidup bermasyarakat. Kesan ini dikategorikan kepada kesan positif mahupun negatif.

2.4.1 Kesan Positif


Kesan positif telah wujud sejak dari awal interaksi bangsa di Malaysia yang berlaku sebelum merdeka
hinggalah pada zaman kemerdekaan, selepas merdeka dan hingga kini. Kesan ini telah
menghasilkan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia. Berdasarkan pengalaman ini kerajaan
Malaysia telah terdorong menggubal beberapa dasar untuk mengukuhkan lagi jalinan ini. Kesan
tersebut adalah seperti berikut:

* Pertambahan bahasa dan kosa kata Melayu dalam pelbagai aspek.


Kosa kata dalam Bahasa Melayu telah bertambah sehari ke sehari sejak berlakunya interaksi antara
bangsa. Di bawah merupakan sebahagian contoh kosa kata bahasa Melayu yang wujud hasil
interaksi.

Makanan dan buahan


Bakmi, me, mesua, cincau, kueh, bepang, taugeh, kanar, kuaci, kucai, angki (pisang kaki), tauhu,
kincam (sayur kering), lai, laici, teh, behon, to’yu, samsu, tamar.
Pakaian dan barang dagangan
Cukin, tocang, lo’ cuan, kekwa (bunga) koyok, cat, gimpai,
gincu, tahil, koyan, d ( 1/10 tahil ), hun ( 1/100 tahil) , 1 inci),
tohar, tokok, angklong, candu, kaci.
Rumah dan peralatan
Loting, pangkin, angloh, loceng, langkan, kangka, bangsal, tongkang, jong, sampan, beca, langca,
pongkis, sempua, sia, tanglong, tangsi, takpi, cawan, tekoh, uncoi, dacing, kok (belenggu tengkok
haiwan ), cacing, kincir.
Manusia dan ehwalnya
Apek, loki, nyonya, cempiang, taukeh, kongsi, kicak, cinggeh, cincau, ampau, taijin, kuntau, gua, lu,
sengse, samsing, lancau, suwe, toa pekong, tokong, tekong, banci, cuak, culai, lancong.
Permainan
Ceki, pakau, capjeki, congkak, cukai, mahjong.

* Kebudayaan
Hasil interaksi antara bangsa turut melahirkan budaya campuran yang diamalkan oleh satu komuniti
masyarakat di Malaysia. Antara komuniti tersebut adalah seperti berikut:
i. Budaya Baba-Nyonya
Pada awal kurun ke 17 sekitar tahun 1613 M, komuniti China telah menetap di Melaka. Oleh kerana
tiada pendatang Cina dari kalangan wanita mereka berkahwin dengan wanita tempatan. Justeru itu
bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam urusan perniagaan tetapi dalam institusi
keluarga.Lahirlah satu budaya kacukan yang dipanggil Baba dan Nyonya. Masyarakat Baba dan
Nyonya dikenali kerana mereka memperkenalkan diri mereka sebagai Baba atau Peranakan. Selain
itu, mereka bertutur dalam bahasa Melayu gaya mereka yang kemudiannya dikenali sebagai bahasa
Melayu Baba. Bahasa yang digunakan mereka adalah bahasa dialek Melayu Baba yang diasaskan
atas ragam bahasa Melayu pasar. Setiap kawasan mempunyai ragam yang dipengaruhi dialek
Melayu tempatan yang berbeza-beza. Bahasa ini berbeza dengan Bahasa Melayu baku. Komuniti ini
telah menyerapkan Bahasa Cina dalam perbualan seharian mereka terutama kata pinjaman dari
dialek Hokkein yang berkaitan adat, kekeluargaan dan agama. Kata-kata serapan ini terus mengalami
penyesuaian dari segi sebutan dan makna. Sebagainya contohnya, lau-teng = loteng, Put-Go = Datuk
Uco (nama satu dewa Buddha ). Selain itu, perkataan Melayu juga mengalami perubahan bunyi dan
makna. Sebagai, contoh, malaikat = malaikat ( roh nenek moyang ), kawan = kawan (suami ).
Komuniti ini tidak banyak menggunakan imbuhan dalam perbualan, sebaliknya hanya menggunakan
kata dasar sahaja seperti “Dia tulis surat.” Perkataan “punya” menggantikan partikel milik “nya” seperti
”bukunya” disebut ”dia punya buku”. Ringkasnya, komuniti ini berusaha meniru pelbagai aspek
budaya Melayu hingga kepada aspek makanan dan masakan. Justeru itu, masakan Baba dipengaruhi
oleh masakan Melayu. Mereka turut meniru gaya makan orang Melayu menggunakan tangan.
Generasi yang lebih tua pula berminat menggunakan kain sarung dan kebaya sebagai pakaian
seharian.

ii. Budaya China Peranakan


Terdapat dua komuniti Cina Peranakan di Malaysia. Pertama, Cina Peranakan Kelantan yang
dikatakan bermula hasil wujudnya hubungan diplomatik negara Cina dengan negeri di Pantai Timur
yang berlaku sejak sebelum zaman Srivijaya lagi. Komuniti ini terdapat di tebing sungai Kelantan dan
Kuala Kerai di hulu sehingga ke muara Tumpat. Antara kesan interaksi yang berlaku antara mereka
dengan penduduk tempatan ialah penyerapan ciri-ciri budaya Melayu di kalangan mereka. Paling
ketara ialah penggunaan dialek Kelantan yang fasih dan fesyen pakaian. Wujud juga sifat saling
menghormati dan lahir cita rasa yang sama antara mereka dengan penduduk tempatan seperti
kegemaran kepada wayang kulit, permainan mahjong, wayang gedek dan menora. Namun ciri
budaya Cina asal masih kekal pada mereka khususnya pada aspek agama. Mereka kekal berpegang
pada agama asal warisan mereka terutamanya agama Buddha.

Komuniti kedua ialah Cina Peranakan Melaka dan Pulang Pinang. Masyarakat Cina Peranakan dua
tempat ini menggunakan bahasa Melayu dan cara hidup Melayu, namun mereka tidak beragama
Islam. Kehidupan mereka begitu dekat dengan orang Melayu. Mereka juga mengamalkan adat resam
yang mirip adat resam orang Melayu, walaupun masih terdapat ciri budaya Cina lama. Mereka turut
percaya kepada makhluk halus atau ghaib dan roh seperti masyarakat Melayu.

* Kesenian
Hasil interaksi antara Tamadun Melayu dan Tamadun Cina di Tanah Melayu pada zaman awal amat
ketara pada aspek seni bina. Unsur seni bina Cina diserap dalam pembinaan masjid. Antara ciri
khusus serapan ialah pada reka bentuk bumbung masjid yang menyerupai seni bina Pagoda. Contoh
yang jelas dapat dilihat pada Masjid Tanjung Kling dan Masjid Tengkera, di Melaka. Demikian juga
masjid Kampong Laut di Kelantan, masjid Demak di Jawa Timur dan beberapa tempat lain di rantau
Alam Melayu. Malah, identiti reka bentuk masjid pada zaman sebelum Malaysia merdeka adalah
bumbung bertingkat yang diilhamkan dari bangunan Pagoda. Reka bentuk bumbung masjid-masjid ini
dihasilkan secara bertingkat-tingkat. Sekurang-kurangnya terdapat 3 tingkat bumbung masjid.

* Dasar Pendidikan Negara


Dasar pendidikan di Malaysia digubal setelah mengambilkira aspek masyarakat majmuk yang telah
berinteraksi sekian lama secara harmoni. Antara dasar pelajaran tersebut ialah Penyata Barnes,
Penyata Fenn-Wu, Undang-undang Pelajaran 1952, Pernyata Razak dan Penyata Rahman Talib.
Semua dasar-dasar ini berperanan memupuk perpaduan dan bagi memastikan pengasingan yang
wujud dalam sistem pendidikan sebelum ini dimansuhkan dan digantikan dengan sistem yang lebih
seragam dan menyeluruh. Keseragaman ini lebih menjamin perpaduan rakyat. Selain itu, dasar ini
juga mengambilkira perkembangan pendidikan di Sabah dan Sarawak.
* Dasar Integrasi Nasional
Malaysia telah berusaha membentuk perpaduan antara masyarakat majmuk dan integrasi yang lebih
mantap antara penduduk Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah. Sehubungan ini, Dasar
Integrasi Nasional digubal untuk melaksanakan proses kewujudan identiti nasional di kalangan kaum
yang berbeza kebudayaan, kepercayaan dan penempatan. Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan
Negara dan Pembangunan Masyarakat ditubuhkan pada 27 Oktober 1990 dengan objektif berikut:
1. Menggalakkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan integrasi nasional.
2. Memberi bantuan khidmat masyarakat.
3. Membangun masyarakat Orang Asli.
4. Memajukan kepentingan dan penglibatan wanita dalam pembangunan negara.
5. Menyelaras program kependudukan dan pembangunan negara.

Untuk menjayakan kementerian baru ini beberapa jabatan ditubuhkan seperti Jabatan Kebajikan
Masyarakat Malaysia, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Hal Ehwal
Wanita dan Yayasan Kebajikan Negara.

* Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan


Interaksi antara bangsa di Malaysia dipadukan melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi seperti yang tercatat pada Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Namun, bahasa-bahasa
lain boleh digunakan. Untuk mengukuhkan lagi peranan bahasa Melayu dalam masyarakat majmuk
kerajaan telah membentuk Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1963.
2.4.2 Kesan Negatif

Di samping kesan positif yang tersemat dalam lembaran sejarah masyarakat majmuk di Malaysia,
interaksi kaum turut terdedah dengan beberapa kesan negatif. Kesan negatif yang paling penting
hingga ke hari ini adalah seperti berikut:
* Jurang ekonomi
Jurang perbezaan ekonomi yang besar antara kaum di Malaysia. Jurang ini berlaku kerana sikap
penjajah yang berat sebelah dan tidak mengambil berat aspek kebajikan dan masalah rakyat
tempatan. Para petani yang sebahagian besar terdiri dari masyarakat Melayu sentiasa dilindungi oleh
kerajaan British melalui dasar utamanya yang bertujuan menempatkan orang Melayu di kawasan luar
bandar dan terus menjadikan mereka pembekal makanan kepada masyarakat bandar. Dalam hal ini,
orang Melayu digalakkan mengusahakan tanaman sara diri sahaja, sedangkan masyarakat imigran di
kawasan bandar terutamanya Cina terus sibuk dan maju dengan kegiatan ekonomi eksport dan
import. Ini bermakna, penjajah hanya membenarkan masyarakat Melayu menjadi pekebun kecil
sahaja. Jika terdapat perkampungan baru, orang Melayu dikenakan syarat tertentu seperti hanya
menanam padi, kelapa dan buah-buahan.

Sehubungan itu, pembangunan kawasan banyak ditumpukan di kawasan yang bersedia menerima
perubahan. Ini menyebabkan kawasan Pantai Barat Semenanjung lebih cepat mendapat kemajuan
dari kawasan Pantai Timur. Perbandaran yang dicirikan penjajah memberi penumpuan kepada
penduduk kaum imigran terutama kaum Cina. Ringkasnya, akibat dasar ‘pecah dan perintah” Inggeris
berlaku perbezaan tumpuan sektor ekonomi. Melayu sebagai petani sara diri dan nelayan, Cina di
sektor perdagangan dan perlombongan, sementara India di ladang. Ini memberi kesan kepada
ketidakseimbangan antara kawasan antara desa dan bandar. Kesan ini berlanjutan hingga zaman
pasca-penjajah.
* Jurang Sosial
Jurang ekonomi memberi kesan kepada jurang sosial. Lantaran itu wujud kelompok masyarakat kaya
yang banyak terbina dari kalangan masyarakat bandar dan masyarakat miskin yang wujud di
kalangan masyarakat luar bandar. Secara tidak langsung, keadaan ini telah mengubah struktur
masyarakat Melayu dan peribumi kepada masyarakat yang kompleks dan berkelas. Kelas atasan
terdiri sari golongan bangsawan Melayu, saudagar, pengurus dan pengusaha yang terdiri daripada
orang asing dan Cina. Kelas pertengahan adalah masyarakat etnik Cina dan sedikit dari golongan
India, sebilangan kecil individu Melayu dan lain-lain kaum bumiputera. Kelas bawahan merupakan
majoriti masyarakat Melayu dan peribumi. Ini memberi kesan seolah-olah wujud susun lapis dan kelas
masyarakat berdasarkan lunas perkauman.

* Pencapaian Tidak Seimbang


Pencapaian yang tidak seimbang juga berlaku dalam aspek penting khususnya pendidikan. Sistem
pendidikan penjajah mewujudkan sekolah mengikut kaum dan logistik etnik di Malaysia. Pengasingan
sistem pendidikan mula berlaku antara etnik. Masyarakat Melayu dengan pendidikan Melayu, etnik
India dengan pendidikan berteras bahasa Tamil dan etnik Cina dengan teras bahasa Mandarin.
Sementara komuniti peribumi yang terdiri dari Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak tidak diberikan
pendidikan.

http://ctu551b.blogspot.com/2008/06/interaksi-antara-tamadun.html

Anda mungkin juga menyukai