Anda di halaman 1dari 23

Rosxy Sandom PISMP Pra Sekolah Ambilan Januari 2009

TUGASAN
Soalan 3: Tamadun-tamadun di dunia ini telah mengalami pelbagai proses
interaksi. Jelaskan proses interaksi yang berlaku

Pengenalan:
Setiap tamadun mempunyai pelbagai kelebihan dan kekurangan yang
menyebabkan berlakunya interaksi di antara tamadun-tamadun. Tamadun-
tamadun ini tentunya mempunyai pencapaian dan keunikan yang berbeza antara
satu sama lain. Interaksi budaya yang berlaku iaitu bermula dengan proses
pembudayaan yang menggabungkan masyarakat berbilang etnik sebelum
membentuk interaksi tamadun. Proses interaksi ini membawa kepada
perkongsian nilai, pemikiran, institusi dan keinsanan.

Terdapat pelbagai cara dan sebab berlakunya interaksi tamadun.


Interaksi ini kemudiannya akan melahirkan kesan positif atau negatif kepada
tamadun-tamadun yang terlibat. Namun, interaksi antara tamadun sebenarnya
dapat memperkayakan tamadun daripada berbagai-bagai aspek dan
mengelakkan tamadun itu menjadi jumud yakni kaku dan kolot.

Faktor berlakunya interaksi tamadun:


Interaksi tamadun berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang boleh
dilihat dari pelbagai sudut. Secara umumnya, interaksi tamadun ini disebabkan
sifat toleransi dan sikap saling hormat-menghormati di antara tamadun.
Manakala, secara khususnya, interaksi di antara tamadun adalah berpunca
daripada aspek seperti kepimpinan, sikap golongan agama, kedudukan geografi,
perkahwinan, perdagangan dan misi politik.

Faktor kepimpinan memainkan peranan yang amat penting di dalam


proses interaksi tamadun. Sifat pemimpin akan mempengaruhi proses interaksi
yang dilakukan. Ini bermakna, sekiranya pemimpin bersikap adil, bertoleransi
dan menghormati kebudayaan lain, proses interaksi akan berjalan dengan lancar
yakni aman dan damai. Contoh interaksi tamadun yang berlaku dengan aman
ialah melalui pemimpin Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak menyekat orang
Yahudi dan Kristian dalam pemerintahan Madinah. Sebaliknya hak golongan ini
dilindungi oleh undang-undang. Tetapi, sekiranya pemimpin bersikap kuku besi,
interaksi tamadun juga akan memberi kesan negatif. Antaranya, sikap tidak
bertoleransi Sultan Shamsuddin Altamish di India terhadap penganut Hindu.

Seterusnya, faktor yang sangat banyak mempengaruhi proses interaksi di


antara tamadun ialah sikap golongan agama. Sikap golongan agama ini menjadi
penentu kepada hidup beragama secara harmoni di mana kerukunan hidup
bersama-sama insan yang mempunyai agama yang berbeza diterapkan. Dalam
Tamadun Islam, golongan agama merupakan para ulama manakala Tamadun
India yang berteras kepada agama Hindu, minoriti kasta Brahmin menjadi
tunggak kepada agama. Golongan agama dalam kepercayaan Buddha pula
didukung oleh sami sementara paderi menguasai fahaman Kristian.
Sikap golongan agama yang berakhlak seperti yang dipamerkan ulama
Islam di Alam Melayu memudahkan proses interaksi dan Islamisasi berlaku.
Mereka berjaya memberikan tasawwur Islam (pandangan Islam) yang sebenar
sehingga terbentuknya pendidikan formal melalui institusi seperti pondok,
pesantren, madrasah dan dayah (Acheh). Kesannya, Hamzah Fansuri, Abdul
Rauf al-Singkeli dan beberapa ulama lain terkenal di rantau Melayu.
Namun demikian, terdapat juga golongan agama yang mencetuskan
konflik seperti tindakan Paus Urban II yang mengadakan perjumpaan besar-
besaran dengan penganut Kristian di Perancis pada tahun 1095 M untuk
memerangi orang Islam yang dikatakan bertindak zalim kepada penganut
Kristian. Konflik ini juga berlaku ketika pemerintahan Dinasti Han apabila
seorang pemerintah memenjarakan segolongan sami dan penganut Buddha.
Namun, konflik yang berlaku tidak menghilangkan kepercayaan dalam kalangan
masyarakat Asia kerana agama dan penguasanya tetap berada pada kedudukan
yang tinggi.
Seperti yang diketahui, sejarah sering menyebut tentang pentingnya
kedudukan geografi yang strategik dan menjadi laluan utama dalam aktiviti
perdagangan. Hal ini juga turut memberi kesan yang sama sehingga berlakunya
interaksi tamadun. Contohnya, Tamadun China berinteraksi dengan pelbagai
tamadun lain kerana terdapat dua laluan utama iaitu laluan sutera yang
menggunakan jalan darat dan laut. Laluan sutera darat menghubungkan China
dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke Peking. Manakala, laluan laut
pula merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India, Kepulauan Melayu hingga ke
Canton di Tenggara China. Kedua-dua laluan ini membolehkan negara-negara
terlibat berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan. Pelabuhan Melaka
juga terkenal kerana kedudukan geografinya yang strategik dan terlindung dari
angin monsun. Pelabuhan ini menjadi tumpuan dan persinggahan para
pedagang. Aktiviti perniagaan berlaku di Pelabuhan Melaka disebabkan ramai
pedagang yang singgah.

Dalam pada itu, perkahwinan juga antara faktor penting dalam proses
interaksi tamadun. Contohnya, perkahwinan Megat Iskandar Shah dan Puteri
Pasai dalam kalangan golongan bangsawan dan pemerintah. Di rantau Alam
Melayu juga, berlakunya interaksi di antara penduduk tempatan dengan
pedagang Arab dalam tempoh mereka bermukim di situ sementara menunggu
angin monsun. Perkahwinan ini juga membawa kepada Islamisasi kerana gadis
tempatan perlu diislamkan terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pedagang
Arab. Malahan, ahli keluarga gadis tersebut juga turut sama menerima Islam
dalam kehidupan mereka.

Hubungan perdagangan di antara Arab dan China memang membuktikan


perdagangan sebagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya interaksi.
Hubungan kedua buah negara tersebut bermula sejak 3 Masihi lagi. Malah,
pedagang Arab dan Parsi membina penempatan di Kwang Cho (Canton), Chang
Chow dan Chuan Chow. Masjid turut didirikan di Guangzhou yang membuktikan
berlaku Islamisasi di wilayah tersebut.
Alam Melayu turut berinteraksi dengan Arab secara tidak langsung apabila
pedagang Arab singgah sementara menunggu angin yang sesuai sebelum ke
China. Catatan Marco Polo tentang pengislaman Perak pada tahun 1292 M
menunjukkan berlakunya proses Islamisasi. Selain itu, Tamadun India
berinteraksi dengan rantau Melayu sejak kurun pertama Masihi lagi di mana
nama wilayah Asia Tenggara seperti yang tercatat di dalam kitab Ramayana
seperti Suvarnadvipa1 dan Suvarnabhumi2.

Misi politik yang dimaksudkan ialah hubungan diplomatik seperti Alam


Melayu dengan China. Hubungan diplomatik dengan China berlaku sejak 1404
M seperti yang tercatat dalam sejarah Melaka. Tujuan Melaka mengadakan
hubungan diplomatik ini adalah untuk mendapatkan perlindungan dari ancaman
Siam. Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam dihantar ke Melaka yang
secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi di rantau Alam Melayu.
Perlindungan ini juga memberi kesan yang sama kepada negeri-negeri di
Kepulauan Melayu seperti Kedah, Johor, Kamar dan sebagainya.

Kesan positif interaksi tamadun


Interaksi Tamadun India dengan China telah membawa kesan positif
seperti penyebaran agama Buddha di negara China. Agama Buddha dibawa
masuk ke China pada kurun pertama Masihi. Ketika itu, maharaja China
menghantar wakil ke India untuk mendalami ajaran agama ini dan
menyesuaikannya dengan budaya masyarakat Cina seperti doktrin (prinsip)
Daoisme dan Konfusianisme. Sami dari China menetap di India untuk
mempelajari kitab Buddha yang menggunakan bahasa Sanskrit dan Pali
sehingga berjaya menyusun doktrin Buddha dalam satu koleksi yang digelar
Tripitaka.
1
Suvarnadvipa bermaksud Semenanjung Emas.
2
Suvarnabhumi bermaksud Bumi Emas.
Selain itu, pelbagai kemahiran juga diperkembangkan dalam sains dan
teknologi seperti teknologi membuat gula daripada tebu dan bidang astronomi
diperkembangkan oleh India kepada China. Karya perubatan India diterjemah ke
dalam bahasa Cina selain daripada 60 koleksi ilmu astronomi India turut melalui
perkara yang sama. Manakala, Tamadun India melalui perkembangan teknologi
membuat kertas, bahan letupan, percetakan dan penggunaan kompas dari
Tamadun China.
Dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kesenian; Tamadun China turut
menerima banyak keuntungan melalui interaksinya dengan India. Bidang fonetik
di China menggunakan teknik daripada ilmu fonetik Sanskrit yang dipelajari
melalui ajaran Buddhisme. Disebabkan itu, perbendaharaan kata bahasa
Sanskrit dan Pali banyak mempengaruhi kesusasteraan China. Malahan, alat
muzik China seperti pipa dan konghou juga berasal dari India. Interaksi di antara
kedua-dua tamadun ini berlangsung secara aman melalui hubungan
perdagangan dan keagamaan.

Tamadun India3 turut melalui interaksi dengan Tamadun Islam apabila


negeri Sind dan selatan Punjab dikuasai oleh orang Muslim pada tahun 712
Masihi. Penyebaran agama Islam4 dilakukan oleh orang Turki. Walaupun
berlakunya asimilasi budaya, wujud satu budaya yang bersifat budaya komposit
iaitu Indo-Muslim yang merupakan hasil campuran budaya Hindu dan Islam.
Identiti kedua-dua budaya tetap dikekalkan.
Hasil daripada budaya komposit ini, berlaku perubahan pada unsur-unsur
budaya seperti bahasa. Satu bahasa yang dikenali sebagai Zaban-e-Hindawi
iaitu Urdu muncul. Bahasa Urdu mempunyai tatabahasa Prakrit dengan
perbendaharaan kata Parsi, Arab dan Turki. Bahasa ini ditulis dengan skrip Arab
tetapi, diubah untuk mewakili bunyi bukan Arab. Urdu di kawasan-kawasan lain
disebut Urdu Dekani dan Urdu Lucknowi, tetapi yang menjadi dominan ialah

3
Nama Tamadun India pada zaman klasik ialah dalam bahasa Sanskrit iaitu Bharata-Varsha atau
Bhrarata-Khanda yang diambil sempena nama pemerintah India, Bharata. Orang Greek
menamakannya sebagai Indu sehingga terbitnya nama India seperti sekarang.
4
Penganut agama Islam merupakan penduduk kedua teramai di India selepas penganut agama
Hindu dengan hampir 150 juta orang daripada hampir 1 billon penduduk India.
Urdu Kerajaan Moghul. Bahasa ucapan disebut Hindustani dan contoh bagi
perbendaharaan kata Urdu ialah wajib dan munsyi. Dalam bahasa Urdu majalah
dan surat khabar sangat banyak diterbitkan oleh umat Islam di India. Antaranya
ialah majalah al-Ma’arif yang diterbitkan oleh Darul Mushannifin di kota
Azamgarh yang diterbitkan sejak tahun 20an sehingga hari ini. Seterusnya ialah
majalah al-Hilal yang diterbitkan di Calcutta oleh Maulana Abu Kalam Azad dan
kawan-kawannya serta majalah Ta’mir Hayat yang diterbitkan oleh Nadwatul
Ulama’ Lucknow. Majalah ini memuatkan rencana ilmiah dan perkembangan
yang terjadi di dalam dunia Islam
Pendidikan juga turut dipengaruhi oleh budaya Indo-Muslim apabila dasar
pendidikan yang baru diperkenalkan oleh Akbar, pemerintah teragung zaman
Mughul. Orang Hindu berpeluang mempelajari bahasa Persia dan cemerlang di
madrasah-madrasah sehingga ada yang menjadi guru. Malahan, buku sains
perubatan turut ditulis dalam bahasa Persia oleh ahli-ahli fizik Hindu. Manakala,
dalam bidang sejarah pula Tarikh-i-Muzaftarim oleh Muhammad Ali Ansari, Ibrat-
Nama oleh Khairuddin, Sair-ul-Mutakherin oleh Ghulam Husain dan Imad-ur-
Saadat oleh Ghulam Ali Naqvi adalah antara karya-karya penting pada zaman
pemerintahan Islam di India.
Ketika zaman pemerintahan Akbar juga, gaya lukisan Hindu telah
mendominasi gaya lukisan Parsi kerana kehadiran pelukis Hindu yang ramai di
istananya. Kemudian, Institut Lukisan Mughul diasaskan yang bertujuan
mengabungkan gaya lukisan Islam dan Hindu. Setelah kematian Akbar, lukisan
Mughul terus dipengaruhi oleh elemen-elemen Hindu dan pemerintah-
pemerintah menggalakkan pelukis menggambarkan kehidupan Akbar dalam seni
lukis mereka. Institut Lukisan Moghul telah mencerminkan aspirasi politik Akbar.
Keadaan ini dapat dilihat melalui lukisan dinding yang berkembang maju di ibu
kota Akbar iaitu Fathpur Sikri (1570-85). Pelukis handalan Hindu yang terlibat
ialah Basavan, Lal dan Dasvanth. Terdapat juga lukisan dalam Razm-Nama iaitu
terjemahan Mahabharata dalam bahasa Parsi.
Seterusnya, persajakan juga merupakan unsur-unsur budaya komposit
Indo-Muslim. Dalam bidang persajakan dan sastera, karyawan terulung ialah
Amir Khusraw (1253-1325) seorang Indo-Muslim. Nuh Siphr (The Nine Skies),
ialah karya beliau yang memberi corak kehidupan masyarakat India, iklim,
bunga-bungaan, binatang, agama serta bahasa-bahasa di India. Khawaja Najm-
ud-din Hasan yang turut dikenali sebagai Mir Hasan Dihlvi merupakan penyajak
Hindi yang terkenal. Ghazal Persia beliau amat menarik dan mudah difahami
yang banyak membuatkannya terkenal. Sementara itu, Ghalib pula seorang
penyair Urdu yang cemerlang. Sehingga kini, ghazal ciptaan beliau masih
popular.
Seni bina merupakan unsur budaya komposit terakhir daripada interaksi
Tamadun India dan Tamadun Islam. Bidang seni bina mengalami perkembangan
yang pesat pada zaman Mughul dengan pembinaan bangunan Kabuli Bagh di
Panipat, Jami Masjid di Sambal dan sebuah masjid di Agra. Salah satu daripada
tujuh keajaiban di dunia iaitu Taj Mahal dibina oleh Shah Jahan5 adalah
berdasarkan konsep dan gaya Islam. Namun demikian, penggunaan bahan,
kerja-kerja ukiran dan motif-motif bunga-bungaan lebih bercirikan seni bina
Hindu.

Interaksi di antara Tamadun India dengan Tamadun Barat bermula


dengan Portugal yang merupakan kuasa Eropah pertama yang datang ke India.
Pada tahun 1498, Vasco da Gama sampai ke Calicut di Kerala yang
menggunakan bahasa Portugis sebagai bahasa perdagangan di situ. Tujuan
Barat ke India ialah untuk memperoleh rempah dan meyebarkan agama Kristian.
Pada tahun 1810-1820-an, sekolah-sekolah Inggeris, mubaligh-mubaligh Kristian
dan buku-buku Inggeris memonopoli sistem pendidikan di India. Menurut
Thomas B. Macauay, tujuan pendidikan di India ialah mewujudkan satu kelas
India dalam darah dan warna; manakala Inggeris melalui rasa, pandangan, moral
dan intelek.
Interaksi kedua-dua tamadun ini mempengaruhi sastera di India apabila
pada akhir abad ke-19, sastera India telah dipengaruhi oleh pendidikan Inggeris.
Dalam pada itu, orang India sendiri mula hilang minat kepada sastera mereka

5
Shah Jahan merupakan salah seorang pemerintah Islam di India pada tahun 1627-1658.
sendiri kerana tidak bersesuaian dengan perubahan zaman. Genre sastera
tradisional India seperti kavya, campu dan drama lebih sesuai untuk kisah-kisah
seperti epik, agama dan dharma. Sudah tentulah ini tidak sesuai dengan
kehendak sosial dan politik yang membawa nafas baru sehingga turut
munculnya sajak-sajak romantik.
Interaksi Tamadun India dan Tamadun Barat mempengaruhi hubungan
sosial dan budaya di antara bandar dan kampung. Perhubungan di antara
penghuni bandar yang kebanyakkan berhijrah dari kampung masih erat dengan
kaum keluarga mereka yang berada di kampung. Selain itu, media elektronik
seperti panggung wayang, radio dan televisyen mula menggantikan alat
komunikasi tradisional seperti wayang kulit dan drama. Bandar menjadi pusat
reformasi dalam aspek agama dan tradisi di kampung. Sekolah-sekolah, buku-
buku, kuil-kuil, upacara umum agama dan media massa memperkenalkan
tafsiran yang baru dalam masyarakat kampung sehingga berlaku desakan agar
pembentukan keseragaman dalam amalan budaya dan agama dilakukan.
Bahasa Inggeris turut diakui oleh Perlembagaan India yang digunakan
untuk tujuan rasmi selama 15 tahun. Malah, dua pertiga daripada rakyat India
tidak menggunakan bahasa Hindi dalam komunikasi mereka. Namun demikian,
terdapat juga negeri di India yang mengenakan syarat supaya menggunakan
bahasa Hindi dalam pentadbiran seperti di Rajasthan, Uttar Pradesh, Bihar dan
Haryana. Manakala, kawasan seperti Punjab, Kerala, Tamil Nadu, Gujarat dan
Bengal Barat menggunakan bahasa Inggeris.

Interaksi tamadun seterusnya ialah di antara Tamadun Islam dengan


Yahudi dan Kristian yang berlaku semasa zaman kemunculan Islam di Tanah
Arab yang telah membawa beberapa kesan positif. Dalam Perlembagaan
Madinah (Sahifah Madinah) yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. di
Madinah, hak-hak orang Kristian dan Yahudi serta penganut-penganut agama
lain telah diberikan perlindungan. Hak ini adalah berkaitan dengan kebebasan
mengamalkan tuntutan agama mereka tanpa gangguan oleh umat Islam yang
lain termasuklah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Hal ini terus diikuti oleh
pemerintah-pemerintah Islam ketika zaman Khulafa al-Rasyidin, Bani Umaiyah,
Abbasiyah, Uthamaniyah dan kerajaan-kerajaan Islam di India. Penganut-
penganut Kristian dan orang Yahudi turut mendapat kedudukan yang tinggi
dalam pentadbiran beberapa buah kerajaan Islam. Misalnya, ketika zaman
pemerintahan Abbasiyah, tokoh-tokoh intelektual Yahudi dan Kristian telah
memberikan sumbangan mereka dalam penterjemahan buku-buku Greek ke
dalam bahasa Arab. Di Andalusia, Sepanyol juga ramai penulis dan ahli
intelektual dari kalangan individu-individu Yahudi dan Kristian.

Tamadun Islam juga turut berinteraksi dengan Tamadun China yang


berlaku secara aman melalui perdagangan, perkahwinan, politik dan sifat
pendakwah agama Islam. Pedagang-pedagang Arab dan Parsi banyak
memainkan peranan dalam proses interaksi ini. Disebabkan terdapat komuniti
Arab –Islam yang menetap di situ, berlakulah perkahwinan campur antara
pedagang dengan wanita tempatan. Hasilnya, penyebaran agama Islam
kemudiannya mewujudkan komuniti Islam tempatan China.
Semasa zaman pemerintahan dinasti-dinasti Tang, Sung, Yuan dan Ming,
muncul beberapa tokoh Islam yang memainkan peranan penting dalam
pentadbiran. Kemudian, muncul pula cendikiawan-cendikiawan Islam tempatan
yang mashyur seperti Liu Zhi dan Mha Zhu. Mereka mencari keselarian ajaran-
ajaran dan nilai Islam dengan Konfusianisme. Agama Islam diperkenalkan
kepada masyarakat China6 melalui konsep hubungan kekeluargaan, ketaatan
kepada ibu bapa dan raja serta nilai-nilai moral yang terdapat dalam ajaran
Konfusianisme. Hal inilah yang meyebabkan ajaran Islam tidak mendapat
tentangan daripada ahli-ahli Konfusianisme seperti yang telah dihadapi oleh
agama Buddha. Melalui interaksi ini juga, berlakunya pertembungan seni bina
Arab-Islam dengan seni bina China yang dapat dilihat menerusi masjid-masjid di
China hari ini.
Dinasti Tang, Dinasti Sung dan terutamanya Dinasti Yuan melahirkan
ramai tokoh Islam terkenal yang mengamalkan budaya China dan kesetiaan

6
Penganut agama Islam berbangsa Cina dikenali sebagai Hui.
terhadap negeri China tanpa berbelah bahagi. Antaranya ialahh Prof.
Muhammad Pai Shao Yi yang menyebabkan Islam di negeri China
memperolehi kekuatan di peringkat akar umbi. Masyarakat Islam berjaya
menubuhkan institusi pengajian agama di masjid-masjid dan akhirnya
pendidikan agama dilakukan di sekolah-sekolah.
Ketika interaksi kedua-dua tamadun ini berlaku, terdapat juga penerbitan
media massa dalam kalangan masyarakat Islam di negeri China. Lebih daripada
70 Review Islam telah diterbitkan dan Review Bulanan Islam di Yunan dalam
tahun 1915 adalah yang terawal diterbitkan. Review yang paling lama bertahan
ialah ‘The Crescent-Bulan Sabit’ dan ‘The Light Of The Crescent-Cahaya Bulan
Sabit’ (Yueh Hwa) di Bei Jing dan juga ‘Islamic Review’ di Shang Hai. Antara
penulis yang terkenal dalam bidang penerbitan ialah Elias Wang Ching Chai dan
Muhammad Yang Chong Ming. Mereka ini juga merupakan penterjemah al-
Quran ke dalam bahasa Mandarin dan kamus Arab-China
Dalam bidang kesusasteraan, terdapat juga masyarakat Cina Islam yang
aktif seperti Lee Yen Shen yang terkenal pada zaman Dinasti Tang. Lee Hsiun
dan Lee Shun Hsuan pula merupakan penyair-penyair besar manakala Mi Fei
seorang penyair dan penulis kaligrafi yang terkenal dalam dunia penulisan Cina .
Kaligrafinya yang berbentuk bulat pada hujung tulisan masih digunakan sebagai
model oleh orang-orang Cina, Korea dan juga Jepun.
Ketika zaman Dinasti Manchu pula, terdapat ahli falsafah Islam yang
terkenal seperti Ma Ming Loong, Sheikh Wang Tai Yu dan dan P’u Sung Ling.
P’u Sung Ling telah menulis cerita ‘Liao Ch’ai’ yang bermaksud ‘rumah yang
tidak dikehendaki’ atau ‘rumah perbualan’. Cerita ‘Liao Ch’ai’ dianggap setaraf
dengan cerita Arab, Seribu Satu Malam. P’u Sung Ling dianggap sebagai salah
seorang penulis besar China. Dari aspek kesenian pula, Syed Omar
Shamsuddin, putera Hsien Yang Dinasti Yuan merupakan orang yang membuat
lukisan Yin dan Yang.
Interaksi tamadun ini juga telah melahirkan ramai negarawan Cina dan
tentera Cina adalah beragama Islam. Antaranya ialah Takutur Khan, iaitu cucu
kepada Jenghis Khan dan Laksamana Cheng Ho yang nama asalnya ialah
Muhammad Ma Ho dilahirkan di Yunan. Jeneral Muhammad Tso Pao Kwei pula
merupakan seorang jeneral yang terlibat dalam peperangan antara tentera
China dan Jepun pada tahun 1894. Jeneral Omar Pai Chung-His merupakan
Marshal tentera empat bintang yang meninggal dunia di Taipei pada 2 Disember
1966 dan Jeneral Muhammad Ma Chi Yuan, orang yang menumpaskan tentera
Komunis di wilayah Kansu pada tahun 1948.

Tamadun Islam turut berinteraksi dengan Tamadun Melayu yang juga


berlaku secara aman menerusi perdagangan. Dikatakan bahawa pengaruh
Islam di Asia Tenggara khususnya Kepulauan Melayu datang dari tiga kawasan
berbeza iaitu dari Arab dan Parsi, dari India serta dari China. Namun kesan
positif iaitu dengan tersebarnya agama Islam di Kepulauan Melayu adalah kesan
yang paling menonjol. Lalu, muncul pula kerajaan Islam tempatan seperti Pasai,
Melaka, Aceh, Johor-Riau, Brunei, Patani, Sulu, Banten, Demak, Tuban,
Mataram dan banyak lagi. Interaksi ini juga turut membawa tulisan jawi yang
banyak mempengaruhi perkembangan ilmu pengetahuan di Kepulauan Melayu.
Kesan positif yang dapat dilihat termasuklah pengaruh dari segi perundangan,
kesusasteraan, kesenian, kebudayaan berupa pakaian dan makanan serta
penggunaan istilah-istilah Arab dalam bahasa Melayu.

Rekod rasmi China yang menyatakan Kedah pernah menjalinkan


hubungan diplomatik dengan China dan kehadiran pedagang Kedah ke China
yang bertarikh 638 M menunjukkan interaksi di antara Tamadun Melayu dan
Tamadun China. Kesan daripada interaksi ini, penyebaran agama Islam di
Tanah Melayu di peringkat awal dikatakan datang dari Tanah Besar China ekoran
daripada hubungan perdagangan kedua-dua belah pihak. Hal ini terbukti dengan
penemuan batu bersurat di Campa bertarikh 1039, di Brunei (1048) dan di Laren,
Jawa (1082) yang mengatakan Islam datang dari Canton dan Hainan pada kurun
ke-9.
Selain itu, Tamadun Melayu juga mewarisi Cina Peranakan yang dikenali
sebagai Baba dan Nyonya. Kebudayaan Baba dan Nyonya mempunyai unsur-
unsur kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu Baba pula banyak dipengaruhi oleh
perkataan Hokkien, salah satu cabang dalam bahasa Cina. Cina Peranakan
juga turut dipengaruhi oleh gaya masakan Melayu dan mereka juga biasa makan
menggunakan tangan. Malahan, golongan ini menggunakan kebaya dan kain
sarong sebagai pakaian mereka seharian.
Dalam interaksi kedua-dua tamadun ini, unsur kebudayaan juga
dipengaruhi oleh kebudayaan masing-masing. Disebabkan oleh pertukaran
barang yang dijadikan sebagai hadiah, Tamadun Melayu telah diperkenalkan
dengan pelbagai jenis tekstil seperti kain sutera dan kain kapas, barangan
porselin, tembikar dan logam serta makanan seperti kicap, taugeh dan tauhu.
Malahan, adat memberi ang pau yang bermaksud sampul merah ketika
perayaan Tahun Baru Cina juga diperkenalkan.
Tamadun Melayu turut memperoleh keuntungan dari aspek perubatan dan
teknologi yang dibawa oleh Tamadun China. Seperti yang kita ketahui, rawatan
akupuntur dan herba adalah sangat mujarab dan bertujuan menyeimbangkan yin
dan yang mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Perubatan herba Cina
menggunakan lebih seribu jenis herba juga dapat mengubati penyakit seperti
asma, anemia dan kanser. Teh Cina iaitu teh hijau juga mempunyai banyak
khasiat kepada tubuh badan. Dalam bidang teknologi, Tamadun China
membawa teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan Melayu seperti di
Jawa selain daripada penghasilan barangan lain seperti kertas, kain, bahan
letupan dan lilin.

Seterusnya ialah interaksi di antara Tamadun Melayu dengan Tamadun


India. Interaksi kedua-dua tamadun ini telah bermula sedari abad ke-3 SM.
Buktinya, bahan bertulis dari India ada menyebut tentang Malayadvipa yang
bermaksud Semenanjung Melayu. Para pedagang dari India ke Tanah Melayu
bagi mendapatkan emas sementelah mereka menggelarkan Tanah Melayu
Suvarnabhumi yang bermaksud tanah emas. Hasil daripada interaksi ini, agama
Hindu dan Buddha telah disebarkan dan menjadi pegangan penduduk tempatan
yang sebelumnya memegang kepercayaan animisme. Antara tinggalan
pengaruh ajaran Hindu ialah Candi Bukit Batu Pahat di Lembah Bujang ketika
kerajaan Chola menguasai Kedah.
Sistem pemerintahan kita pada hari ini juga mempunyai unsur-unsur
konsep ketuhanan agama Hindu. Keadaan ini berdasarkan konsep ”Dewaraja”7.
Warisan yang masih dikekalkan berdasarkan konsep ini ialah membesarkan
keagungan dan kedudukan Raja dalam upacara pertabalan baginda.
Struktur masyarakat dalam masyarakat Melayu juga dipengaruhi oleh
sistem kasta. Sistem ini ialah susun lapis dalam masyarakat di mana terdapat
pemisahan yang jelas di antara golongan atasan atau bangsawan dengan rakyat
biasa. Keadaan ini membawa kepada kemunculan masyarakat feudal dalam
kehidupan masyarakat Melayu.
Adat resam dan budaya masyarakat Melayu juga turut menerima
pengaruh daripada agama Hindu iaitu amalan jampi dan mantera. Ini dapat
dilihat daripada golongan bomoh atau dukun ketika melakukan upacara yang
berkenaan. Amalan seperti melenggang perut, bertindik telinga, bersanding dan
berinai serta mencecah garam dan menjejak kaki ke bumi bagi bayi dalam
masyarakat Melayu juga dipengaruhi oleh amalan masyarakat India.
Bahasa adalah unsur yang ketara dipengaruhi oleh interaksi kedua-dua
tamadun ini. Tamadun Melayu menerima pengaruh bahasa Sanskrit yang
diubah sedikit menjadi kosa kata bahasa Melayu. Penemuan Batu Bersurat
Kedukan Bukit (683 M), Batu Bersurat Talang Tuwo (684 M) dan Batu Bersurat
Karang Berahi (692 M) membuktikan pengaruh bahasa Sanskrit dalam bahasa
Melayu kuno ketika itu. Dalam Batu Bersurat Terengganu, 29 perkataan bahasa
Sanskrit turut ditemui bersama bahasa Arab. Antara contoh bahasa Sanskrit
yang mempengaruhi bahasa Melayu lama ialah bhakti (bakti), prakara (perkara)
dan vela (bila).
Unsur terakhir yang dipengaruhi dalam interaksi ini ialah kesusasteraan.
Contohnya, kesusasteraan Sanskrit seperti Epik Ramayana dan Mahabhrata.
Hikayat Seri Rama diinspirasikan daripada Epik Ramayana manakala versi
tempatan bagi Epik Mahabhrata ialah Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Pandawa,

7
Dewaraja ialah bahasa Sanskrit yang bermaksud God King.
Hikayat Panda Delima dan Hikayat Sang Boma. Karya sastera Melayu
tradisional begitu mementingkan aspek kesenian, keromantisan, keagungan raja-
raja serta penyelitan unsur mitos dan epik. Karya sastera ini turut diadaptasi ke
dalam wayang kulit.

Dalam interaksi di antara Tamadun China dan Tamadun Jepun, banyak


kesan positif yang dapat diperhatikan. Jepun mendapat banyak faedah daripada
hubungan ini kerana beberapa sumbangan penting dari Tamadun China.
Antaranya ialah dari segi agama dan tulisan8. Tamadun China mengembangkan
agama Buddha di Jepun dan diasimilasikan dengan agama asal Jepun iaitu
Shinto. Asimilasi ini langsung tidak mengubah identiti ajaran Buddha. Malah
kuil-kuil Buddha didirikan di Jepun dan mencapai zaman kemuncaknya pada
zaman Nara dan Heian. Melalui aspek tulisan pula, tulisan Cina menjadi asas
kepada pembentukan tulisan Jepun iaitu Hiragana dan Katakana9. Pengaruh
tulisan ini juga memberi kesan kepada perkembangan intelektual dan
kesusasteraan Tamadun Jepun.
Selain itu, Tamadun China turut meninggalkan unsur kebudayaannya10
seperti upacara minum teh11, seni taman dan struktur pembinaan bandar. Begitu
juga ajaran falsafah Konfusianisme yang diasimilasi dalam Tamadun Jepun.
Ajaran Konfusianisme memberi penekanan kepada institusi kekeluargaan dan ini
memberi kesan kepada pemantapan institusi keluarga di Jepun. Manakala,
konsep mandat dan syurga pula memperkukuhkan kedudukan Maharaja Jepun
yang dipercayai berasal dari keturunan Dewi Amaterasu.

Tamadun Jepun juga turut berinteraksi dengan Tamadun Barat. Interaksi


kedua-dua tamadun ini berlaku secara tidak sengaja apabila tiga orang Portugis
yang menumpang sebuah kapal Cina dari Melaka hanyut berdekatan Pulau

8
Negara Jepun dikatakan mempunyai kadar celik huruf tertinggi di dunia iaitu 98 peratus.
9
Selain daripada tulisan Hiragana dan Katakana, dua lagi tulisan Jepun ialah Kanji dan Romanji.
10
Kini, Jepun merupakan antara pengeksport budaya pop yang terbesar seperti anime, manga,
fesyen dan permainan video.
11
Upacara minum teh di Jepun dipengaruhi oleh mazhab Zen Buddhisme. Mutu istimewa teh
Jepun dihasilkan dengan mengeringkan daunnya tanpa penapaian.
Kyushu pada tahun 1542. Hal ini menyebabkan orang Portugis mula berdagang
di Kagoshima apabila mereka bertapak di Macao pada tahun 1557. Mereka turut
menyebarkan agama Kristian di Kagoshima. Kemudian, penyebaran ini lebih
giat dilakukan ketika Revolusi Pertanian dan Perindustrian di Eropah kerana
Jepun menitikberatkan pertanian ketika itu. Bandar Nagasaki seolah-olah
diperintah oleh orang Kristian dan paderi-paderi mempunyai kuasa yang agak
besar. Mereka telah mengambil sebahagian daripada keuntungan jualan
barang-barang muatan kapal Portugis untuk meluaskan gereja-gereja dan
sekolah-sekolah Kristian. Penyebaran ini banyak dipengaruhi oleh kebolehan
mereka berbahasa Jepun dan ketinggian peribadi yang menyebabkan mereka
mudah diterima oleh golongan bangsawan dan maharaja.
Tamadun Barat turut mempengaruhi Tamadun Jepun dari aspek
kebudayaan. Daripada memusuhi dunia luar, Jepun menukarnya kepada ‘dasar
buka pintu’. Orang Jepun mula tertarik dengan kasut-kasut dari Barat yang
menggantikan penggunaan terompah, pemakaian cara Barat menggantikan
kimono, menjadikan daging dan susu sebagai makanan seharian, penggunaan
sudu dan garpu menggantikan penyepit serta penggunaan lampu elektri dan jam
dari Barat. Namun begitu, orang Jepun tetap mengekalkan adat dan sopan
dalam kehidupan seharian terutama golongan atasan. Dalam pada itu, kelas
sosial12 juga telah ditamatkan perbezaannya dengan penguatkuasaan undang-
undang. Masyarakat Jepun menganggap semua masyarakat sama taraf
walaupun pekerjaan mereka berbeza.

Dalam bidang ekonomi pula, interaksi di antara Jepun dan Barat


menyebabkan sistem bank yang moden ditubuhkan yang berperanan
memulihkan nilai mata wang Jepun. Penubuhan bank ini pada tahun 1872
adalah dengan mencontohi bank-bank di Amerika Syarikat. Perdagangan Jepun
dengan dunia luar juga membawa banyak keuntungan kerana pengaliran mata
wang asing ke Jepun.

12
Perbezaan kelas berpunca daripada golongan tuan tanah yang hidup di atas sewa yang
dibayar kepada mereka dan penyewa yang tiada bertanah.
Selain itu, dalam bidang pemilikan tanah, Jepun juga telah mengubah
cara pemilikan tanah mereka dan menurut cara Barat. Dalam sistem tradisi,
tanah adalah milik pembesar-pembesar sahaja, tetapi kini hak milik tanah
diberikan kepada semua termasuklah golongan petani. Sistem bayaran cukai
kepada golongan feudal juga diganti dengan pembayaran cukai tanah kepada
kerajaan.

Kesan negatif interaksi tamadun


Tidak semua interaksi di antara tamadun menghasilkan kesan yang
positif. Terdapat juga yang menyebabkan kesan negatif berlaku sama ada pada
peringkat awal interaksi atau sebahagian daripada kesan interaksi yang telah
berlaku.

Umpamanya, hubungan orang Islam dan Kristian ketika Zaman


Pertengahan di Eropah. Pemerintah-pemerintah Kristian di Eropah telah
melancarkan Perang Salib ke atas orang Islam. Ramai orang Islam dan Yahudi
yang terkorban akibat perang ini disebabkan faktor perbezaan agama, ekonomi
dan politik.

Seterusnya ialah ketika interaksi di antara Tamadun India dan Tamadun


Islam. Hubungan penganut agama Islam dan Hindu di India berada dalam
ketegangan. Orang Islam dibunuh dan masjid-masjid dimusnahkan raja-raja
India yang beragama Hindu. Begitu juga pemerintah-pemerintah Islam telah
memusnahkan kuil-kuil Hindu dan orang Hindu dibunuh. Contohnya, raja-raja
Islam dalam Kesultanan Dehli13 telah mengharamkan pembinaan kuil-kuil dan
upacara keagamaan Hindu.

Konflik turut wujud ketika agama Buddha mula diperkenalkan ke dalam


masyarakat China semasa zaman pemerintahan Dinasti Han Timur semasa

13
Semasa zaman pemerintahan Moghul, raja Moghul, Aurangzeb telah mengharamkan
pembinaan kuil-kuil baru, upacara mandi suci di Sungai Jamuna dan mengharamkan upacara
Sati.
interaksi di antara Tamadun India dan China. Hal ini disebabkan pengaruh
cendikiawan Konfusianisme dalam pentadbiran Dinasti Han. Tentangan mereka
menyebabkan sami-sami Buddha telah dikurung dan kuil-kuil Buddha
dimusnahkan.

Interaksi di antara Tamadun Islam dengan China juga menimbulkan


konflik seperti rasa tidak puas hati terhadap pencapaian ekonomi pihak yang
bertentangan. Penduduk Han di Tenggara China mewujudkan permusuhan
dengan orang Islam kerana tidak puas hati terhadap kemewahan orang Islam
dalam aktivti perdagangan. Pemberontakan kemudian berlaku pada tahun 758
Masihi dan 876 Masihi menyebabkan orang islam dibunuh dan ramai yang
melarikan diri ke Asia Tenggara seperti Palembang dan Kedah. Selain itu, rasa
tidak puas hati orang Islam turut muncul apabila ajaran Konfusianisme
diutamakan pada pemerintahan Dinasti Ching. Rasa tidak puas hati14 orang
Islam disokong oleh gerakan Kaum Muda (Wahabi) dalam kalangan orang Cina
beragama Islam.

Persamaan dan perbezaan antara tamadun


Semua tamadun menekankan perihal kerohanian, mempunyai doktrin dan
amalan-amalan tertentu yang berbentuk ritual dan spiritual. Demikian juga
kepercayaan tentang kehidupan selepas mati, pembalasan terhadap perbuatan
manusia dan pelbagai aspek lainnya. Namun begitu, terdapat juga perbezaan
yang berpunca daripada manifestasi ketuhanan yang ada pada setiap agama.
Contohnya, persamaan dan perbezaan doktrin karma dalam kepercayaan
agama Hindu dan Buddha. Doktrin karma kedua-dua agama ini berkait rapat
dengan konsep reinkarnasi15. Dalam agama Hindu, reinkarnasi membawa
maksud seseorang akan menjelma semula selepas kematiannya dalam bentuk
manusia. Ini berdasarkan konsep penjelmaan semula dewa-dewa Hindu. Bagi
agama Hindu, kehidupan merupakan kesengsaraan dan kelahiran semula
14
Beberapa siri pemberontakan telah berlaku akibat rasa tidak puas hati orang Islam seperti
Pemberontakan Sinkiang 1 (1756 Masihi), Kebangkitan Yussof Syamsuddin (1828-31 Masihi)
dan Pemberontakan Yunan (1850-68 Masihi).
15
Reinkarnasi ialah kelahiran semula atau penjelmaan semula.
dianggap kesengsaraan yang dikenali sebagai Samsara. Penganut agama
Hindu berharap terlepas dari reinkarnasi dengan mencapai tahap mokhsya.
Ajaran agama Buddha pula untuk melenyapkan karma, memutuskan lingkaran
Samsara dan mencapai Nirwana. Cara mencapai pembebasan mutlak ini
disebut Empat Kebenaran Utama16.

Persamaan antara tamadun juga meliputi peraturan hidup bermasyarakat.


Perbezaan dalam peraturan ini hanyalah dari segi sumber, penguatkuasaan dan
aspek-aspek lain. Umpamanya, Tamadun Islam bersumberkan wahyu dalam
bentuk Al-Quran dan Al-Sunnah. Sementara, Tamadun China berasaskan
kepada falsafah Kung Fu Tze dan Taoisme serta ajaran Gautama Buddha.
Dalam Tamadun Melayu pula, orang Melayu memiliki peraturan hidup
bermasyarakat yang disebut hukum adat atau sistem nilai Melayu.

Dalam aspek etika, perbezaan dari sudut sumber dan pandangan


sarwajagat setiap tamadun boleh dilihat dari aspek politik dan pemerintahan.
Kebanyakan tamadun menekankan aspek moral dan akhlak sebagai asas politik
dan kerajaan. Contohnya Islam mengutamakan politik dan kepimpinan dengan
Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai rujukan dalam pemerintahan. Prinsip utama
yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah prinsip syura, ‘adalah, musawah
dan hurriyah. Dalam tradisi Islam, raja atau pemerintah perlulah berlaku adil dan
mengelakkan kezaliman.
Aspek pendidikan juga merupakan aspek penting dalam etika.
Pendidikan dapat membentuk peribadi insan yang diharapkan dapat
menyebarkan ilmu pengetahuan kepada orang lain. Dalam ajaran agama
Buddha dan Hindu, aspek pendidikan yang ditekankan ialah proses mencari diri
sendiri iaitu self-discovery. Dalam pada itu, kedua-dua agama ini juga
menekankan elemen ilmu dan amalan kerohanian dalam melahirkan seorang
insan yang baik.
16
Empat Kebenaran Utama dalam agama Buddha ialah hidup adalah penderitaan, penderitaan
disebabkan keinginan memenuhi keperluan dunia, penderitaan dapat dihapuskan dengan
menindas hasrat atau kehendak dan cara menyingkirkan hasrat adalah melalui Astamarga atau
Jalan Lapan Lapis.
Dalam aspek ekonomi pula, semua tamadun menolak amalan rasuah,
penipuan dan penindasan. Kegiatan ekonomi seperti membuat kebajikan,
bersedekah dan membela golongan miskin amat digalakkan. Ekonomi ketika
Tamadun Barat berasaskan pemikiran sekular dan ideologi manusia yang telah
memperkenalkan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ini lebih mengutamakan
keuntungan material dan kebangkitan individu atau kumpulan tertentu sebagai
kuasa pasaran. Sistem ini berdasarkan teori Adam Smith (1723-1790 Masihi)
yang mengatakan sistem pengeluaran sesebuah negara terdiri daripada unsur
sumber alam, sumber manusia dan stok barang yang ada. Pengalaman sistem
kapitalis telah menyebabkan penubuhan institusi kewangan (bank) di Barat
seawal tahun 1587 Masihi.
Aspek kekeluargaan juga aspek penting di dalam etika yang dianggap
sebagai asas pembentukan sesebuah masyarakat. Ajaran Konfusius dalam
Tamadun China menekankan pentingnya hubungan kasih sayang. Kasih sayang
dapat mewujudkan hubungan harmoni dalam masyarakat. Konfusius telah
memperkenalkan konsep alai yang menekankan hubungan sesama manusia
seperti hubungan maharaja dengan rakyat, hubungan bapa dengan anak,
hubungan abang dengan adik, hubungan suami dengan isteri dan hubungan
kawan dengan kawan.
Seterusnya ialah aspek kesenian dan kebudayaan. Seni menurut agama
Buddha terdiri daripada keindahan perhiasan, keindahan jasmani, keindahan
tingkah laku dan keindahan batin. Manusia dapat memiliki keindahan melalui
dua Darma indah iaitu Khanti dan Soracca. Dalam seni Islam pula, falsafah seni
Islam berteraskan tauhid walaupun terhasil pada pelbagai aneka karya seni.
Dalam Tamadun China pula, karya seni merangkumi seni lukis dan seni kaligrafi
yang menjadikan unsur alam sebagai tema utama.
Aspek alam sekitar juga merupakan aspek penting yang tergolong dalam
etika. Islam menghargai alam sekitar yang merupakan tanda-tanda kewujudan
Allah SWT. Menurut doktrin Hindu pula, alam semesta ini terdiri daripada
Jamudvipa. Lao Tze telah mengemukakan falsafah tao sebagai kekuatan di
mana manusia cuba menjalin dirinya dengan alam. Konsep ini serupa dengan
konsep Wu-Wei dalam aliran Konfusius yang mentafsir kehidupan di alam ini
adalah hasil dari pergerakan alam yang berterusan. Seseorang dianggap dapat
berhubung denganalam apabila berjaya menghubungkan diri dengan tao melalui
pembersihan jiwa atau mengosongkan diri dari dua perkara yang keterlaluan.
Aspek terakhir yang terkandung dalam etika ialah aspek institusi agama.
Masjid17 merupakan institusi agama Islam yang menjadi institusi penting dalam
pendidikan sama ada berkenaan ilmu Islam atau informasi setempat. Kuil dan
candi pula rumah ibadat penganut agama Hindu dan Buddha. Kuil menjadi
pusat pendidikan oleh sami-sami Hindu dan Buddha. Candi pula bangunan yang
berkait dengan aspek keagamaan seperti Candi Borobudur. Gereja pula
berperanan sebagai tempat ibadat penganut Kristian, pusat pendidikan agama
Kristian dan untuk aktiviti masyarakat setempat. Perkembangan ini melahirkan
sekolah-sekolah missionari yang mendapat pembiayaan pihak gereja.

Nilai-nilai Universal Antara Tamadun Asia


Terdapat beberapa nilai-nilai yang menjadi prinsip asas ketika berlakunya
interaksi tamadun. Pertamanya ialah berlandaskan idea keagamaan kerana nilai
ini mambantu memantapkan lagi struktur sosial dan intelektual sesebuah
tamadun. Semua tamadun Asia menjunjung tinggi doktrin keagamaan yang juga
penyumbang kepada wujudnya kebudayaan dan sains. Contohnya dalam
Tamadun China yang percaya kepada Tuhan walaupun mempunyai pelbagai
aliran anutan seperti Konfucius, Daoisme atau Taoisme dan Buddhisme. Mereka
juga mempunyai satu konsep iaitu tian yang bermaksud langit yang merujuk
kepada dewa yang terpenting. Konsep ini berasaskan yang baik dibalas baik,
yang jahat dibalas jahat. Maka, mereka berusaha mengawal tingkah laku untuk
mengelakkan balasan daripada tian.

Nilai kekeluargaan dan kemanusiaan juga menjadi prinsip utama. Dalam


Islam, menjaga akhlak antara sesama manusia termasuklah ibu bapa, guru,
kawan, jiran sesama Islam dan bukan Islam serta musuh Islam adalah
17
Tujuh bentuk seni bina masjid iaitu Maghribi, Andalusia, Mesir, Turki Saljuk, India, Iran Safawi
dan Turki Uthmani.
ditekankan. Dalam aspek pergaulan juga, syariat Islam diturunkan agar
kepentingan lima hak asasi manusia terlaksana yang meliputi hak beragama,
menjaga kewarasan akal, manjaga nyawa, harta benda dan maruah diri.

Seterusnya ialah nilai dari aspek tatacara dan etika dalam kehidupan.
Dalam Tamadun China, terdapat konsep Dao18 dan pemikiran tentang Li19.
Konfusius menekankan peraturan berasaskan kepada perhubungan manusia
dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan perhubungan politik. Selain itu,
konsep zhong yong juga dititikberatkan oleh Konfusius yang mahukan
kesederhanaan dan tidak menggunakan kekerasan sebagai jalan penyelesaian.

Dalam pada itu, interaksi tamadun juga mementingkan kebijaksanaan


pemimpin. Contoh paling ketara ialah kepimpinan dalam Islam yang berteraskan
‘pemimpin adalah khalifah di muka bumi’. Islam menggunskan sistem berpolitik
seperti tauhid, risalah dan khilafah. Dalam politik, prinsip yang ditekankan ialah
keadilan, kesamaan, syura dan akuauntabiliti. Sumber dalam politik Islam ialah
kitabu’Llah dan sunnah rasul-Nya selain daripada ijtihad dan ijma’ ulama.

Nilai menghargai alam sekitar juga terdapat dalam semua tamadun di


Asia. Malahan dalam ajaran Tao, alam dianggap sebagai ibu atau dao. Dalam
Buddhisme dan Shinto pula, hubungan manusia dan alam ditekankan melalui
konsep esho fui yang menegaskan manusia dan alam saling memerlukan.

Nilai yang terakhir yang menjadi pegangan setiap tamadun ialah


pentingnya ilmu dan orang yang berilmu. Konsep ulama dalam Islam berkait
rapat dengan individu yang berilmu yang ilmunya itu sempurna dan tercermin
melalui kewibawaan personaliti diri dalam segala aspek. Ulam menjadi
pembimbing umat, penyelesai masalah, pakar rujuk dan tauladan masyarakat
Islam.

18
Dao bermaksud jalan dalam konsep Konfusius.
19
Aspek li pula berkaitan dengan tatasusila.
Secara umumnya, tamadun Asia mempunyai kekuatan nilai sejagat dan
sifat sepunya yang membawa keharmonian dalam interaksi di antara tamadun
walaupun mempunyai agama dan budaya yang berbeza.

BIBLIOGRAFI

Afifah Abu Yazid, (2004). Pengajian Tamadun Asia. Pahang Darul Makmur:
PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Faizurah Hj. Basri et.al, (2008). Tamadun Islam dan Tamadun Melayu:
Perkembangan dan Isu Kontemporari. Selangor Darul Ehsan: Pusat
Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM.

http://72.14.235.132/search?q=cache:MsFlx1H4GZgJ:www.ppl.upm.edu.my/inde
x.php%3Foption%3Dcom_docman%26task%3Ddoc_download%26gid%3D2550
%26Itemid%3D176+interaksi+tamadun&hl=en&ct=clnk&cd=25&gl=my
http://ipkt.edu.my/naim/?_page=2

http://members.tripod.com/man999/Tamadun_Islam.htm

http://ms.wikipedia.org/wiki/Tamadun_Islam

http://tamadun-islam551.blogspot.com/2008/06/interaksi-antara-tamadun.html

http://titas-haba.blogspot.com/2008_12_02_archive.html
http://www.geocities.com/durontekno/TAMISLAM.htm#TAJUK-TAJUK

http://www.google.com.my/search?hl=en&q=interaksi+tamadun&btnG=Search&
meta=

http://www.ums.edu.my/ppib/sarip_notaringkasTITAS.htm