Anda di halaman 1dari 7

ULAN BATAAR:

CATATAN TREVELOG KE MONGOLIA


Oleh : Mohd Zain bin Kosnon

Ulan Bataar, kota yang tidak pernah tersenarai dalam mimpi hidupku untuk kujejaki.
Maklumlah, lokasinya yang jauh ditengah belahan benua sebelah Timur Laut daratan dunia.
Namun, dinihari musim bunga ini aku sudah dikandungnya. Subhanallah, bagai tidak percaya
aku rasanya. Subuh pada musim bunga di kota ini menjelang seawal pukul 3.23 pagi. Lepas
solat aku tidur-tidur ayam. Pukul 4.30 pagi terangnya ibarat sudah boleh bermain bola di
padang. Silau matahari pun sudah menembusi jendela penginapan, tapi sejuk di luar serendah
dua belas darjah selcius. Aduh, tak sanggup aku nak keluar!
Menurut Kimey yang menjadi master planner kembara kami, hari ini kami akan melawat
tugu Chenggis Khan. Aku sbenarnya sudah biasa dengan nama berkenaan sewaktu belajar
Sejarah Dunia di Tingkatan Enam dahulu. Tapi yang aku belajar namanya Gengis Khan. Tidak
mengapalah, pergi melawat dulu baru tahu. Oleh sebab selepas ke tugu kami akan ke Taman
Negara Gorki-Terelj (Gorki-Terelj National Park) yang mewajibkan penggunaan jurupandu, jadi
kami mengambil pakej lawatan harian (Day Tour Package). Harganya 50.00 Dollar Amerika
seorang termasuk pengangkutan, bayaran masuk ke tempat lawatan, bersiar-siar sekitar Kota
Ulan Bataar dan makan malam. Nilai yang aku rasa amat berbaloi.
Perjalanan menuju ke tugu sekitar satu jam sahaja, tapi perubahan cuaca yang ekstrim
menjejaskan kelancarannya. Sebaik sahaja keluar dari kawasan kota, kenderaan kami disapa
ribut debu. Angin kencang berpusar-pusar kekuningan merempuh kenderaan kami. Demi
keselamatan, pemandu menghentikan kenderaan dan memasang lampu isyarat kecemasan.
Selang beberapa minit keadaan pulih semula tetapi jendela van berkabut diselaputi debu. Ini
menyukarkan kami mengambil gambar. Kalau dibuka memang cari nahaslah jawabnya. Bukan
sahaja sejuk, muka kami pun boleh berbedak dengan debu gurun yang berterbangan dibawa
angin! Menurut pemandu pelancong kami, fenomena berkenaan adalah biasa kerana Mongolia
dikelilingi gurun termasuk gurun Gobi yang sangat terkenal di dunia.
Selepas ribut berlalu, perjalanan kami menempuh satu keajaiban alam lain. Kira-kira
setengah perjalanan, kami menempuh hujan lebat dan seterusnya dikejutkan dengan
dentuman-dentuman kecil dari bumbung dan cermin van. Rupa-rupanya hujan air bertukar
menjadi hujan air batu. Kenderaan terpaksa diperlahankan bagi mengelakkan dentuman kuat
yang boleh menyebabkan cermin retak atau pecah. Aku sempat menjengah keluar, jelas
kelihatan ketulan air batu sebesar ibu jari kaki bertaburan. Aku tak dapat bayangkan, kalaulah
jatuh tepat atas ubun-ubun kepalaku, boleh pitam serta-merta dibuatnya! Memandang semula
ke hadapan, tiba-tiba pandangan kami ibarat ditutupi kabus putih. Putih di mana-mana. Apabila
semakin hampir barulah kami sedar, salji rupanya! Masing-masing sangat teruja tetapi kami
tidak dibenarkan keluar dari kenderaan oleh pemandu atas faktor keselamatan. Subhanallah,
sungguh agung kekuasaanMu. Empat corak fenomena alam berbeza dihidangkan secara
berurutan ibarat hadiah istimewa buat kami.
Sebaik menjejakkan kaki di halaman tugu Chenggis Khan, angin kencang pergunungan
menyambut kedatangan kami dengan dinginnya yang mencengkam hingga ke tulang hitam.
Serta-merta kejung tubuhku dibalut kedinginan. Persekitaran tugu dihampari padang rumput
kering seluas saujana mata memandang, Dari kejauhan, puncak pergunungan kelihatan masih
dilitupi salji. Patutlah sejuknya sampai ke tulang hitam. Lapan darjah Celcius. Itulah bacaan
pada aplikasi telefon pintarku. Tugu Chenggis Khan dikatakan tugu terbesar di dunia. Di
bahagian bawah tugu terdapat galeri sejarah keagungan empayar kerajaan Mongolia zaman
silam dan kedai cenderamata. Untuk sampai di pintu utama bangunan, kami perlu mendaki
anak tangga sejauh hampir 100 meter. Mengah juga aku dibuatnya.
Menjengah masuk ke dalam galeri, sebuah replika kasut but tradisi Mongolia mencuri
tumpuanku. Tingginya menyamai dua tingkat bangunan. Sedikit penerangan ringkas diberikan
oleh gadis petugas galeri. Di aras bawah, terdapat patung lilih Chenggis Khan dan isterinya,
catatan sejarah kegemilangan empayar Chenggis Khan, raja-raja kerajaan Mongolia, senjata
dan sebagainya. Paling aku teruja ialah replika Ger, khemah tradisional Mongolia. Rupa-
rupanya maharaja-maharaja empayar Chenggis Khan dahulu hanya tinggal di Ger sahaja.
Patutlah tiada tinggalan istana atau gedung-gedung kediaman mereka.
Tempat paling mengujakan ialah bahagian atas bumbung galeri. Dari sini, pengunjung
boleh melihat secara lebih dekat tugu Chenggis Khan kerana tugu berkenaan dibina betul-betul
di atas bumbung galeri. Kami mengambil peluang bergambar berlatarakan wajah tugu maharaja
hebat berkenaan. Dari atas bumbung pemandangan gunung bersalji lebih jelas. Kawasan kaki
gunung pula dihiasi hutan pine yang tidak begitu tebal. Fatamorgana yang cukup memukau.
Selepas membeli sedikit cenderamata, aku turun ke halaman galeri. Tidak sabar hendak
melihat rupa bentuk bahagian dalam Ger. Sebaik melangkah masuk, aku kagum. Rupa-rupanya
Ger dibina daripada susunan kayu pada bahagian bumbung dan dinding yang dilapisi bahan
seperti plastik selain bahan sintetik fiber glass untuk mengekalkan kehangatannya. Ada juga
yang menggunakan karpet atau bahan fabrik. Menurut pemandu pelancong kami, pada zaman
dahulu mereka menggunakan kulit binatang dan rumput-rumput kering.
Di halaman galeri sekumpulan kanak-kanak sekolah Mongolia dipandu guru-guru
mereka sedang bersenam dengan iringan muzik. Mata sepet, muka lebar dan tulang pipi tinggi
serta kemerah-merahan akibat cuaca sejuk ekstrim adalah ciri-ciri tipikal orang Mongolia.
Mungkin mereka memanaskan badan sebelum memulakan lawatan ke galeri. Sangat comel!
Sepanjang perjalanan ke taman negara, aku lihat banyak longgokan batu seperti busut
di sana sini. Pada puncaknya terdapat kayu yang diikat dengan beberapa helai kain berwarna-
warni. Menurut pemandu pelancong kami, masyarakat khususnya golongan pengamal agama
percaya di tempat tersebut terdapat kuasa-kuasa ghaib tertentu. Entahlah, aku tidak mahu
komen apa-apa. Aku menghormati pendapat mereka, tapi bukan kuasa ghaib yang
dimaksudkan. Yang pasti pemandangan sebegitu cukup unik.
Di Taman Negara Gorki-Terelj, kami banyak disajikan dengan pemandangan padang
rumput dan gunung-ganang berbanding hutan. Hanya dikawasan lembangan sungai sahaja
kelihatan pokok-pokok, itu pun tidaklah terlalu tebal. Walaupun hanya batu-batan, namun
pemandangannya cukup mempesonakan. Seumur hidup, aku tidak pernah melihat struktur
batuan yang begitu cantik dan unik. Bukan sahaja rupa fizikal, malah saiz yang besar dan
susunan yang pelik juga menjadikannya kelihatan luar biasa.
Semakin jauh ke dalam kawasan taman negara, jalannya tidak lagi bertar. Hanya laluan
batu kerikil atau tanah berpasir yang bergelombang dan berlopak-lopak. Hampir sahaja van
kami terbalik ketika meredah sebuah lopak besar. Kimey beberapa kali mengaduh apabila
kepalanya terhantuk sama ada pada dinding van atau berlaga dengan kepala Fahmy yang
duduk di sebelahnya. Seboleh mungkin masing-masing mengawal hayunan badan demi
menyelamatkan kepala daripada terhantuk.
Destinasi pertama kami di taman negara berkenaan ialah sebuah kuil lama yang terletak
dilereng gunung. Untuk sampai ke bangunan kuil, kami terpaksa mendaki sejauh hampir satu
kilometer. Walaupun nampak dekat, namun muka bumi yang bercerun cukup memenatkan.
Akhirnya aku dan Hamid pasrah, sekadar melepasi pintu masuk utama dan melawat sebuah
pondok kecil. Di situ terdapat sebuah alat yang digunakan untuk menelek masa depan dan
masa lalu seseorang. Aku diminta untuk memutarkan alat berkenaan oleh pemandu pelancong.
Aku menolaknya secara halus dengan menukar topik perbualan. Aku pura-pura bertanya
tentang kepercayaan dan amalan ritual masyarakat Mongolia zaman silam. Ini kulakukan
kerana sedar kalau dituruti akidahku boleh tergelincir. Ketika bergerak turun kembali ke van,
kami terserempak berberapa kumpulan pelajar sekolah menengah sedang mengadakan
lawatan sempena musim bunga. Ada yang ramah dan cuba bertegur sapa. Kami membalasnya
dengan mesra. Mengekek-ngekek mereka ketawa. Seronok agaknya dapat bertegur sapa
dengan orang asing.
Perjalanan seterusnya melawat Turtle Rock. Selonggok batu yang menyerupai struktur
penyu, lengkap dengan kepala, badan dan kaki. Aku mencari sudut yang tepat untuk
mengambil gambar. Meskipun musim bunga telah tiba, namun cuaca sejuk dari pergunungan
seakan-akan belum mengizinkan rumput-rumput liar memekarkan kuntuman bunganya. Ini
berbeza dengan kebanyakan negara empat musim yang pernah aku kunjungi. Hanya sejumlah
kecil bunga-bunga liar yang telah berkembang. Selebihnya baru hendak bertunas pucuk baru.
Bagi membolehkan pergi lebih jauh ke dalam kawasan taman negara, kami bertukar
kenderaan dengan menaiki Jeep pacuan empat roda pula. Kondisi jalan jauh lebih teruk dan
mencabar. Pada kali ini, barulah kami meredah hutan kecil yang agak padat dengan pokok-
pokok. Namun, hampir kesemuanya togel. Sebelum sampai ke kawasan perkhemahan Ger,
Jeep yang kami naiki meredah sebatang anak sungai cetek namun arusnya agak deras. Sejak
dari awal kami telah mencari pegangan yang kukuh bagi mengawal hayunan badan dan
mengelakkan kepala daripada terhantuk seperti sebelumnya. Kimey yang duduk disebelahku
menggenggam penyandar kerusi pemandu dengan cukup kuat sehingga timbul urat-urat
lengannya.
Sebaik tiba di tapak perkhemahan Ger, kelihatan sekawan kuda pelbagai warna bebas
meragut rumput kering. Walaupun agak berbau, aku dekati juga kuda-kuda berkenaan kerana
cukup jinak sehingga boleh disentuh hidungnya. Seterusnya kami dibawa masuk ke dalam
salah sebuah Ger. Saiznya lebih besar berbanding yang terdapat di tugu Chenggis Khan.
Sebaik sahaja melangkah masuk, aku tertarik dengan interiornya. Terdapat lima buah katil
moden yang lengkap dengan bantal dan selimut serta boleh memuatkan sepuluh orang pada
satu-satu masa. Dinding dan bumbungnya dilapisi bahan sintetik fiber glass bagi mengekalkan
kehangatan ruang. Terdapat sebuah dandang yang berfungsi menghangatkan ruang dalam Ger
sekaligus sebagai dapur untuk memasak makanan.
Kami dihidangkan dengan burger vegetarian untuk makan tengahari. Menu yang aku
tidak gemar tapi bukan masa yang sesuai untuk cerewet. Hamid, Kimey dan Fahmy kelihatan
cukup berselera menikmati hidangan disajikan. Aku terkial-kial cuba menggigit roti burger yang
dipenuhi bijan di luarnya. Habis bertaburan sayur-sayuran di celah-celahnya. Selain saiz agak
besar, rotinya yang sedikit liat menambahkan kesukaranku untuk menggigitnya. Terpaksalah
aku tekan sehingga benar-benar penyek agar muat dengan saiz mulutku. Azab sungguh
rasanya menikmati makan tengah hari kali ini.
Aktiviti seterusnya menunggang kuda. Wah, pengalamah baru seumur hidupku!
Sebelum menungang kuda, aku pergi ke tandas untuk menyelesakan diri. Malangnya, sesuatu
yang tidak terduga terpaksa kuhadapi. Tandasnya bukan sahaja tidak berpintu, malah tiada
mangkuk tandas! Jauh sekali ada kemudahan air paip. Yang ada hanyalah tebukan lubang
pada lantai kayu untuk membolehkan bahan buangan jatuh ke dalam lubang. Segala bahan
buangan jelas kelihatan. Subhanallah, kelu lidahku tidak terkata!. Aku undur semula. Berbelah
bagi sama ada mahu terus menunaikan hajat atau tidak. Pundi-pundi kencing pula semakin
sarat. Mahu tidak mahu aku keraskan hati dan bulatkan tekad masuk juga ke dalam tandas
yang disediakan. Janganlah hendaknya telefon bimbit atau barang-barangku terjatuh ke dalam
lubang. Kalau tidak, berpuluh kali aku terpaksa berfikir sama ada mahu ambil atau tidak.
Selesai urusan, cepat-cepat aku berlari keluar sambil menghela nafas panjang.
Sebelum menunggang kuda, kami diberikan sedikit taklimat oleh penjaganya dalam
bahasa Monggolia. Pemandu pelancong membantu menterjemahkan dalam bahasa Inggeris.
Antaranya kami dinasihatkan agar tidak membuat sesuatu yang boleh membuat kuda
terperanjat. Sekiranya hendak mengarahkan kuda berjalan, hentakkan tumit kaki ke rusuk kuda
tetapi jangan terlalu kuat kerana akan menyebabkan kuda memecut dan sukar dikawal. Bagi
memberhentikan atau mengarahkan kuda bertukar haluan pula, kami perlu menarik tali yang
dipasangkan pada mulut kuda. Aku sedaya upaya mematuhi tip diberikan agar tidak kena
terajang kuda. Walaupun bau kuda agak kurang menyenangkan, namun perasaan teruja
mengatasi segalanya.
Kami menunggang kuda secara berasingan dan bebas mengendalikannya tetapi
diawasi penjaganya. Oleh sebab tidak berpengalaman, aku teragak-agak untuk menghentak
rusuk kuda agar berjalan kerana bimbang hilang kawalan. Kami dibawa bersiar-siar ke kawasan
lapang yang sebenarnya padang rumput pada musim panas. Aku ingin cuba-cuba
mengarahkan kuda tungganganku berlari sedikit, jadi aku hentakkan tumit kakiku agak kuat ke
rusuknya. Serta-merta kudaku berlari pantas memotong rakan-rakan lain sehingga melambung-
lambung aku. Cemas juga kalau-kalau kuda hilang kawalan. Nasib baik penjaga kuda segera
memintas menyebabkan kudaku memperlahankan langkahnya. Penjaga kuda turut dibantu
seekor anjing terlatih baka husky. Aku cukup kagum dengan kecerdikannya selain cukup patuh
pada arahan tuannya.
Kami turut dibawa bersiar-siar ke kawasan belukar yang masih togel pohon-pohonnya.
Hanya daun-daun kering bertaburan di atas tanah akibat musim sejuk yang baru berlalu. Di sini
kecekapan kami mengawal kuda teruji. Jika tidak kena caranya, kami boleh tersangkut pada
dahan-dahan pokok yang berceragah seperti dialami Fahmy. Mujur kudanya serta-merta
berhenti kalau tidak calar-balar mukanya. Cabaran paling getir ialah saat kami terpaksa
meredah sungai yang agak cetek namun arusnya agak deras dan dasarnya berbatu-batu. Aku
khuatir kalau-kalau kuda tungganganku tergelincir, pasti aku terhumban ke dalam sungai.
Dengan penuh cermat aku mengendalikan kudaku melangkah ke dalam sungai menerusi tebing
yang landai. Perlahan-lahan kudaku melangkah ke seberang. Walaupun agak terkial-kial kerana
dasar sungai berbatu, namun akhirnya selamat juga aku sampai ke seberang. Alhamdulillah.
Lewat petang lawatan selesai dan kami kembali ke kota Ulan Bataar. Memandangkan
waktu sudah hampir malam, jadi kami terus dibawa ke Restoran Namastee. Sebuah restoran
halal yang menyajikan masakan India Utara. Rasa lapar yang menguasai diri menyebabkan
kami tidak terfikir akan saiz hidangan yang dipesan. Rupa-rupanya saiz hidangannya cukup
besar. Boleh dimakan oleh tiga orang! Barulah kami menyesal kerana tamak. Bagi
mengelakkan pembaziran, bakinya kami bungkus untuk dimakan lewat malam nanti. Selesai
solat jamak Maghrib dan Isyak, kami berempat mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar
penginapan. Suasana malam di sini agak sepi kecuali tempat-tempat tertentu seperti pusat-
pusat hiburan termasuk karaoke. Suasana sejuk yang jatuh sehingga lapan darjah selsius
memaksa kami mengambil keputusan untuk minum kopi di kafe sahaja. Daripada
pemerhatianku, harga makanan dan minuman di kafe-kafe berjenama standard adalah hampir
sama di mana-mana. Tepat jam 11.00 malam, staf kafe dengan cukup sopan meminta kami
beredar kerana waktu urusniaga sudah berakhir. Esok kami akan meneruskan pengembaraan
ke negara seterusnya.

GAMBAR-GAMBAR KENANGAN PENGEMBARAAN

Tugu Maharaja Chenggis Khan Penulis di hadapan Ger


Keindahan Taman Negara Gorki-Terelj Aktiviti berkuda menyeberangi sungai deras

Anda mungkin juga menyukai