Anda di halaman 1dari 3

Peranan komunikasi, bahasa dan pertuturan dalam kehidupan

Soalan : Komunikasi, bahasa dan pertuturan adalah antara


elemen penting dalam kehidupan manusia. Huraikan bagaimana elemen ini
penting dalam kehidupan kanak-kanak.
Pengenalan
Pembelajaran bahasa berlaku secara berperingkat dan memakan masa yang panjang.Ia
merupakan satu proses yang kompleks. Kanak-kanak mula belajar bercakap selepas
dilahirkan dan menjadi mahir apabila berumur 5-6 tahun.
Walaupun begitu terdapat variasi pada tempoh pemerolehan bahasa kanak-kanak. Proses 
penguasaan bahasa sebenarnya banyak bergantung kepada faktor–faktor yang
mempengaruhi pembelajaran bahasa. Ada kanak-kanak yang petah bercakap ketika berumur
3 tahun tetapi ada juga yang baru mula bercakap pada umur tersebut. Hal ini kerap
merunsingkan ibu-bapa mahupun penjaga.
Asas Pembelajaran Bahasa
Kemahiran mendengar, memahami dan bertutur adalah kemahiran asas yang diperlukan
untuk mempelajari bahasa. Semua kemahiran ini saling berkaitan di mana  kemahiran
mendengar dan memahami adalah proses pemerolehan maklumat. Manakala kemahiran
bertutur pula merupakan proses penghasilan maklumat.
Kemahiran mendengar
Kemahiran mendengar merupakan titik permulaan pembelajaran bahasa bagi kanak-kanak.
Kemahiran ini merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum
mereka  mengeluarkan bunyi awal. Di awal kelahiran, bayi  mula mendengar dan memberi
respon pada ritma pertuturan orang disekeliling mereka.  Respon yang diberi biasanya dalam
bentuk senyuman, ketawa dan juga tangisan.  Bayi mula mengenalpasti suara individu yang
kerap berinteraksi dengan mereka. Ketika berumur 6 bulan kemahiran mendengar
meningkat dan ketika ini bayi sudah mula membezakan bunyi pertuturan dan bunyi
persekitaran.  Proses mendengar menjadi semakin kompleks dan ketika berumur satu tahun,
mereka mula mendengar dengan lebih baik dan memahami maklumat yang diperolehi.
Kemahiran memahami maklumat
Kanak-kanak mula mengaitkan objek dan perkataan Ketika berumur satu tahun.. Pada ketika 
ini mereka mula mengenali objek yang selalu dilihat dan arahan mudah.  Kanak-kanak
memahami lebih banyak objek, arahan dan gambar apabila berumur 2 tahun. Ketika kanak-
kanak berumur 2 hingga 3  tahun, Mereka akan mula menggunakan memori dan belajar
memahami arahan 2 langkah.
Kanak-kanak menjadi semakin mahir dalam memahami maklumat ketika berumur 3 hingga 4
tahun di mana mereka dapat memahami lebih banyak perkataan. Mereka mula memahami
soalan mudah dan arahan panjang (3 langkah) dan seperti, apa dan mana. Ketika ini, mereka
telah memahami lebih banyak perkara berkaitan konsep seperti preposisi, warna dan
jantina.
Kemahiran pemahaman ini akan meningkat sehingga kanak-kanak berumur 7 tahun di mana
mereka dapat memahami petikan yang panjang dan lebih sukar. Kefahaman menjadi
semakin kompleks di mana mereka juga mula memahami maklumat abstrak seperti sindiran
dan gurauan.
Kemahiran bertutur
Semasa bertutur seseorang akan  menggerakkan alat pertuturan untuk menghasilkan bunyi
yang bermakna.   Proses bertutur tidak hanya terhad kepada penghasilan bunyi sahaja tetapi
juga melibatkan penggunaan nada dan intonasi yang bersesuaian.
Seawal umur 4 bulan bayi mula menghasilkan bunyi  vokal  atau juga dikenali sebagai
vokalisasi. Kebiasaannya bayi akan menghasilkan bunyi vokal secara berulang seperti bunyi
aaa, iii.
Ketika bayi berumur 6 bulan, mereka mula menghasilkan bunyi ‘bebelan’ (babling) dan
bunyi cooing. Penghasilan bunyi bebelan berkait rapat dengan penghasilan suara (fonasi)
serta  pergerakan pembukaan dan penutupan rahang mulut. Pada tahap awal bebelan, bayi
biasanya menghasilkan kombinasi bunyi konsonan dan vokal secara berulang seperti  (baba
atau mama).
Kombinasi bebelan menjadi semakin sukar apabila bayi berumur 8-9 bulan. Ketika ini mereka
menghasilkan kombinasi bunyi yang melibatkan penghasilan lebih  bunyi konsonan seperti
(babadebo).
Seterusnya apabila berumur 9 -10 bulan, bayi mula meniru  struktur percakapan orang
dewasa. Pada tahap ini mereka mula menghasilkan bunyi ‘jargon’. Bunyi jargon adalah
vokalisasi bunyi yang menghampiri pertuturan orang  dewasa dari segi intonasi  dan
tekanan.  Walaubagaimanapun bunyi yang dihasilkan tidak mempunyai sebarang maksud.
Kanak-kanak mula menghasilkan perkataan pertama apabila mereka berumur lebih kurang
satu tahun. Ketika ini mereka mempelajari bahawa satu perkataan mempunyai makna yang
tersendiri. Mereka akan cuba meniru perkataan yang di sebut oleh orang dewasa.
Perbendaharaan kata kanak-kanak akan meningkat dengan pesat setelah melepasi umur
satu tahun. Kebolehan kanak-kanak membina ayat akan meningkat dari masa ke semasa dan
mereka boleh menggunakan struktur ayat orang dewasa ketika berumur  5-6 tahun.
Faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa
Kognitif: Kebolehan kognitif merujuk kepada kebolehan kanak-kanak untuk berfikir.Jika
kanak-kanak mempunyai kebolehan kognitif yang rendah, proses penerimaan dan
pembelajaran akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.
Perkembangan neurologi:  Perkembangan neurologi berlaku dengan pesat sehingga kanak-
kanak mencapai umur 7 tahun. Perubahan yang berlaku pada saiz, berat dan pertumbuhan
otak meningkatkan kebolehan berfikir kanak-kanak. Oleh kerana itu rangsangan bahasa pada
ketika ini amat penting. Kanak-kanak mudah memahami dan mempelajari stimulasi yang
diterima daripada persekitaran dalam tempoh kritikal ini.
Fizikal: Banyak organ yang membantu dalam menghasilkan bunyi  pertuturan. Organ seperti
telinga, peti suara, lidah, mulut, gigi dan lelangit membantu dalam penghasilan bunyi bahasa
yang normal. Sekiranya kanak-kanak mempunyai ketidaknormalan pada organ pertuturan,
kejelasan bunyi pertuturan akan terjejas. Contoh; Klef pada lelangit mulut boleh
menyebabkan bunyi pertuturan menjadi sengau dan sukar untuk difahami oleh orang yang
mendengarnya.
Persekitaran: Faktor persekitaran merujuk kepada individu yang berada di sekeliling kanak-
kanak termasuklah keluarga, penjaga, guru serta  rakan-rakan.  Kepentingan individu ini
adalah untuk memberikan rangsangan bahasa pada kanak-kanak.  Mereka merupakan
sumber rujukan awal pembelajaran bahasa kanak-kanak. Walaupun begitu, terdapat  juga
faktor-faktor  lain yang mempengaruhi  pembelajaran bahasa kanak-kanak seperti tahap
pendidikan, sosioekonomi penjaga dan budaya  keluarga.
Kesimpulan
Faktor-faktor persekitaran merangkumi keluarga dan sekolah yang mempengaruhi
pemerolehan bahasa. Keluarga merupakan lingkungan pertama dan utama yang
memberikan landasan dasar bagi proses belajar pada lingkungan sekolah dan masyarakat.
Ibu bapa berperanan dan bertanggungjawab untuk membantu anak mereka dalam
pemerolehan bahasa. Ibu bapa perlu sering mengajar dan melatih anak mereka bercakap
dan membaca kerana ini dapat membantu kanak-kanak menguasai kemahiran bahasa
dengan baik
Sekolah juga memegang peranan penting bagi perkembangan belajar kanak- kanak Kanak-
kanak mendapatkan pengetahuan lebih banyak di sekolah berbanding dengan keluarga.
Keadaan belajar di sekolah akan mempengaruhi pemerolehan bahasa kanak-kanak. Untuk
meningkatkan kemahiran bahasa kanak-kanak, pihak sekolah mestilah menyediakan suatu
persekitaran pembelajaran bahasa yang selesa dan baik.
Rumusannya komunikasi, bahasa dan pertuturan adalah antara elemen penting dalam
kehidupan kanak-kanak.Ini kerana seorang manusia telah mempelajari bahasa semenjak di
dalam kandungan ibu lagi.Pembelajaran berlaku setiap masa dan perkembangan
pemerolehan bahasa paling pesat adalah ketika kanak-kanak. Semua elemen ini penting
dalam kehidupan kanak-kanak. kerana proses  penguasaan bahasa sebenarnya banyak
bergantung kepada faktor–faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa.

Rujukan
http://www.myhealth.gov.my/bagaimana-kanak-kanak-mempelajari-bahasa/

Anda mungkin juga menyukai