Anda di halaman 1dari 2

Karangan Ramalam SPM 5 - Industri Desa

Industri desa sememangnya tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai potensi yang begitu besar
dan penghasilannya juga dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi penduduk dan negara ini.

Ulaskan pernyataan tersebut dan jelaskan cara-cara memajukan industri desa.

[ 100 markah ]

Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana
ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri desa yang juga mampu
meningkatkan ekonomi negara semakin dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi
untuk dimajukan dan dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri
desa merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang masih
menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.

Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu industri yang berperanan
penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap
dan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara
keluarga mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka
hanya mengisi perut dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan pedalaman diibaratkan kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika industri desa ini dimajukan, maka peluang
pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan
kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Selain itu, indusri desa yang kaya dengan budaya
Malaysia yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan juga dapat membantu dalam usaha menarik
pelancong asing berkunjung ke negara kita.

Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Industri
desa di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika pihak kerajaan dan pihak yang terlibat
mengambil inisiatif untuk mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi sokongan dan
bantuan kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak perkembangan dan
pertumbuhan ekonomi yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu melalui suntikan
teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti supaya industri ini mampu menembusi pasaran
dunia sekali gus meningkatkan pendapatan negara kita. Masyarakat kita juga harus mengiktiraf
industri desa sebagai satu industri yang mampu memberi sumbangan dalam pembangunan negara.
Industri ini dijangka akan mendatangkan pulangan yang lumayan dalam masa lima tahun jika
kerajaan sanggup peruntukan yang lebih besar kepada industri ini.

Di samping itu, konsep jualan hasil industri desa melalui orang tengah harus digantikan dengan
konsep jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah diibaratkan enau di dalam belukar
melapaskan pucuk masing-masing. Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan menjual hasil
industri desa dengan harga yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar. Oleh itu, industri
desa haruslah bekerjasama dengan badan kerajaan bagai aur dengan tebing bagi menghidupkan
industri desa ini. Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh anak-anak kampung yang
berpendidikan supaya mereka berpeluang berbakti kepada tempat kelahiran mereka tanpa perlunya
berpindah ke bandar untuk mencari nafkah hidup. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan
berperanan penting dalam usaha menggalakkan generasi muda masa ini untuk menceburi industri
desa supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh pelosok dunia dan Malaysia mampu duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu pengetahuan serta
kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand yang banyak menghasilkan
produk tempatan yang berkualiti. Negara kita haruslah bertukar-tukar pendapat dengan negara yang
maju dalam industri desa dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan profesional dalam
bidang ini untuk meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita. Selain itu,kita harus
pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan negara-negara
lain dalam industri desa sebagai rujukan untuk menjayakan industri ini di negara kita sendiri. Industri
desa hendaklah ditransformasi kepada pelbagai perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada
jenis penghasilan produk yang lebih kreatif dan inovatif untuk menarik hati dan mengagumkan para
pembeli. JIka usaha memajukan industri desa dilakukan secara sistematik mengikuti prosedur-
prosedur yang disediakan, maka suatu hari nanti industri desa akan mendahului segala industri yang
bertaraf antarabangsa.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan sektor swasta untuk
memaksimumkan hasil pengeluaran industri desa. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada
pihak kerajaan untuk menghidupkan industri desa kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan
berbunyi. Kedua-dua pihak ini haruslah berganding bahu untuk memperkenalkan produk tradisional
secara komersial kepada dunia luar. Mesin yang lebih canggih harus dibekalkan kepada pengusaha
industri desa supaya produk industri desa seperti kraf tangan yang dihasilkan lebih berkualiti.
Bekalan produk yang bermutu tinggi sememangnya akan mendapat sambutan yang baik daripada
para pembeli di negara kita mahupun pembeli dari negara asing. Penggunaan mesin juga dapat
mempercepat proses pengeluaran produk dan meningkatkan kuantiti barangan industri desa yang
dihasilkan. Dengan ini, hasil-hasil industri desa dapat dibekalkan kepada pembeli ataupun para
pengusaha secara berterusan.

Konklusinya, industri desa sememangnya dapat memberi nafas baharu kepada masyarakat luar
bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, pihak yang terbabit
harus sentiasa memastikan bahawa penduduk di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan
kemudahan yang secukupnya untuk meningkatkan hasil industri desa. Para pengusaha industri ini
juga harus melakukan anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri desa di
negara kita dapat dimajukan ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama Malaysia
di arena antarabangsa. Malaysia Boleh!

Anda mungkin juga menyukai