Anda di halaman 1dari 5

PENGENALAN

Pembelajaran pada masa kini lebih kepada penggunaan teknologi maklumat yang selaras
dengan perkembangan teknologi semasa. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
yang telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pendidikan
yang bertujuan untuk mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran serta melatih
pelajar dalam mencari dan mendapatkan maklumat bagi sesi pembelajaran tersebut.
Menurut Swartz et, al. (2010), beliau menyatakan bahawa kemudahan teknologi maklumat
ini dapat mengukuhkan cara pemikiran sambil merangsang pembelajaran yang bermakna.
Secara tidak langsung, perkara ini dapat meningkatkan kecerdasan yang pelbagai dalam diri
setiap pelajar. Sehubungan dengan itu, guru juga sewajarnya sentiasa melaksanakan kerja
secara berkumpulan dalam kalangan pelajar. Contohnya, pembentangan kumpulan serta
perbincangan ahli kumpulan dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan kepada
mereka. Di samping itu, KPM juga telah memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT) yang bertujuan untuk melatih pelajar berfikir secara kreatif dan kritis dalam
mendapatkan jawapan. Oleh itu, kecerdasan pelbagai ini mampu ditingkatkan dalam diri
setiap pelajar melalui kaedah – kaedah tersebut.

1.0 TEORI KECERDASAN PELBAGAI

Menurut Gardner (1998), kecerdasan pelbagai ini dapat ditakrifkan sebagai prinsip – prinsip
tertentu terhadap kecerdasan manusia. Beliau berpendapat bahawa setiap individu
mempunyai lapan jenis kecerdasan. Setiap kecerdasan tersebut adalah berasingan dan
tidak bergantung terhadap satu sama lain. Setiap kecerdasan mempunyai kadar atau darjah
yang berbeza mengikut kemahiran dan kekuatan masing – masing. Sehubungan dengan itu,
kecerdasan pelbagai ini dapat ditingkatkan dan dikembangkan melalui pendidikan,
pengalaman dan persekitaran. Hal ini demikian kerana, perkara tersebut sememangnya
mempengaruhi kecerdasan yang terdapat dalam diri setiap individu.

Menurut Norliah (2009), kecerdasan pelbagai merupakan perkara yang dapat


dipelajari, dididik, ditingkatkan dan sentiasa berubah sepanjang hayat. Peranan guru adalah
sangat penting sebagai pembimbing kepada pelajar untuk meningkatkan tahap kecerdasan
mereka. Terdapat pelbagai kaedah yang dapat merangsang tahap kecerdasan pelajar,
antaranya ialah mencipta sajak, pantun dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat melalui
pemikiran pelajar dalam mencari idea untuk mencipta sajak tersebut.

2.0 ASPEK – ASPEK KECERDASAN PELBAGAI

Aspek – aspek kecerdasan pelbagai ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu logikal
matematik, visual ruang dan linguistik.

1
2.1 LOGIKAL – MATEMATIK

Kecerdasan ini mempunyai kaitan dengan logik, abstrak, penaakulan, dan nombor.
Kebolehan dominan di bahagian kiri otak membolehkan individu menaakul secara
deduktif dan induktif serta berfikir secara konseptual. Selain itu, pelajar dapat
menangani masalah secara logik serta dapat mengenal dan menyelesaikan masalah
yang memerlukan penaakulan. Hal ini demikian kerana, kecerdasan ini memerlukan
tahap pemikiran yang cekap dan logik agar dapat menyelesaikan masalah tersebut
dengan mudah dan berkesan. Lazimnya, kecerdasan ini terdapat pada individu yang
suka bermain dengan nombor dan menganalisis situasi. Di samping itu, terdapat juga
pada individu yang dapat menunjukkan ketepatan dalam menyelesaikan masalah.
Antara pekerjaan yang memerlukan logikal – matematik ialah ahli matematik,
akauntan, juruwang, peguam dan sebagainya.

2.2 VISUAL – RUANG

Kecerdasan ini menyatakan tentang pengarifan dalam bidang ruang dan keupayaan
untuk menggambarkan sesuatu perkara dengan mata minda. Kerjaya yang sesuai
dengan kecerdasan ini ialah artis, pereka dan arkitek. Individu yang mempunyai ciri-
ciri ruang visual ini juga baik dalam permainan puzzle. Hal ini demikian kerana,
individu seperti ini mempunyai tahap imaginasi yang tinggi dan berkebolehan untuk
mencipta sesuatu perkara luar biasa yang dapat menarik perhatian orang ramai. Oleh
itu, kecerdasan ruang – visual ini juga membolehkan individu untuk mencetuskan
idea-idea visual dan ruang yang lebih cenderung dalam aspek imaginatif dan kreatif.

2.3 LINGUISTIK

Kecerdasan dalam aspek ini lebih kepada kata – kata, lisan atau bertulis. Seseorang
yang mempunyai linguistik yang tinggi mampu untuk bertutur dan menulis dengan
penggunaan bahasa yang baik dan sopan. Ciri – ciri individu yang mempunyai tahap
kecerdasan linguistik yang tinggi ialah individu yang suka membaca, menulis dan
bercerita. Selain itu, individu yang boleh mencipta puisi dan cerita dengan
penggunaan tatabahasa yang baik dan tepat. Di samping itu, terdapat juga pada
individu yang bijak bermain dengan kata – kata, teka teki dan berpuisi.

2
3.0 TEORI KECERDASAN PELBAGAI BAGI MENINGKATKAN KEBERKESANAN
PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KHASNYA DALAM MATA
PELAJARAN BAHASA MELAYU

Teori kecerdasan pelbagai dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan


pembelajaran khasnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sememangnya dapat
diaplikasikan oleh guru dalam pembelajaran. Sebagai seorang bakal guru, teori kecerdasan
pelbagai merupakan satu wadah yang sesuai digunakan bagi meningkatkan mutu
pengajaran dan pencapaian akademik. Hal ini demikian kerana, teori kecerdasan pelbagai ini
mempunyai ciri – ciri pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan kepada pembelajaran
abad ke-21 dengan menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Selain itu,
wujudnya kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) ini juga membantu guru
dalam merancang proses dan strategi pengajaran dan pembelajaran secara berkesan dan
baik.

Di samping itu, teori kecerdasan pelbagai ini juga membolehkan guru untuk
mengenal pasti jenis – jenis kecerdasan yang terdapat pada diri setiap pelajarnya. Hal ini
demikian kerana, setiap kecerdasan yang terdapat pada seseorang pelajar boleh dijadikan
sebagai kayu ukur kepada keberhasilan pengajaran dalam bilik darjah oleh guru. Dalam
pada masa yang sama, teori kecerdasan pelbagai ini juga telah membuka ruang fikiran para
guru agar tidak tertumpu kepada pembelajaran dalam bilik darjah sahaja. Para guru juga
harus menilai setiap pelajar tersebut dari sudut kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan
emosi (EQ). Untuk mencapai gred mata pelajaran yang cemerlang, seorang pelajar haruslah
seimbang dalam kedua-dua kecerdasan ini. Kecerdasan intelektual kebiasaannya akan
didapati berdasarkan kurikulum pelajar manakala kecerdasan emosi bergantung kepada diri
pelajar itu sendiri.

Seterusnya, kecerdasan logikal-matematik mampu membuka jalan kepada murid


untuk meneroka mata pelajaran Bahasa Melayu dari sudut yang berbeza. Jika dilihat dengan
mata kasar, ruang lingkup Bahasa Melayu hanyalah terhad kepada pengguanaan bahasa
sahaja. Namun, dalam pendidikan abad ke-21 ini, Bahasa Melayu juga boleh dihubung
kaitkan dengan mata pelajaran yang lain seperti sains. Contohnya, guru akan memberikan
satu tajuk yang berkaitan dengan sains kepada pelajar untuk dibincangkan seperti proses
kejadian air hujan. Maka, para pelajar akan berfikir sesama mereka untuk menerangkan
mengenai proses tersebut dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami. Dalam pada
masa yang sama, guru boleh memperbetulkan kesalahan kosa kata yang ada sepanjang
proses perkongsian tersebut sekali gus memperbaiki tatabahasa pelajar.

3
KESIMPULAN

Pendidikan hari ini telah mencapai sebuah tahap yang begitu maju dan tidak mempunyai
sempadan antara satu sama lain. Teori kecerdasan pelbagai merupakan sebuah wadah
kepada guru untuk memperbaiki proses pembelajaran dalam bilik darjah. Jika kita
diperhalusi dengan betul, teori kecerdasan pelbagai ini mampu mengubah landskap
pendidikan negara ke arah yang lebih maju terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu. Hal ini demikian kerana, masyarakat sekeliling menganggap subjek Bahasa Melayu
ini hanyalah sekadar kemahiran bahasa yang biasa digunakan dalam komunikasi harian.
Maka peranan guru amat ditagih dalam mengatasi masalah ini agar pembelajaran Bahasa
Melayu lebih menarik sehingga menarik minat pelajar antarabangsa mempelajari Bahasa
Melayu.

4
RUJUKAN

Chua Yan Piaw. (2014). Kecerdasan Pelbagai Pemimpin Pendidikan: Teori Amalan dan
Penyelidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Norazira Tukiran, Juliza Adira Mohd @ Ariffin dan Siti Hazwani Mohamed Rozi. (2013). Teori
Kecerdasan Pelbagai untuk Meningkatkan Penglibatan Aktif di Dalam Kelas. Kuala
Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Salhah Abdullah. (2009). Kecerdasan Pelbagai: Aplikasi dalam Pengajaran dan


Pembelajaran. Kuala Lumpur: Pts Professional Publishing Sdn. Bhd.

Shaiful Mujahidin. (2012). Cara Hidup Cerdas Cara Islam. Kuala Lumpur: S.A Majeed &
Co. Sdn. Bhd.

Zawiyah Mohd Yusof (2009). Kemahiran komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai