Anda di halaman 1dari 3

Tidak pernah berlaku dalam sejarah, semua sekolah di Malaysia dan majoriti negara

di dunia terpaksa ditutup serentak disebabkan penularan penyakit akibat sejenis


virus. Bahaya COVID-19 ini memerlukan tindakan pantas kerajaan untuk
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak jangkitan.

Duduk di rumah, jarak sosial dan penjagaan kebersihan adalah mesej yang sentiasa
diulang sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac 2020. Mengikut maklumat yang
dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jarak fizikal dan sosial untuk
mengekang penyebaran virus ini tidak akan berakhir dalam masa satu dua bulan
tetapi menjangkau beberapa bulan, malah mungkin berlanjutan hingga ke setahun.

Mesej yang mudah – duduk di rumah – tetapi mempunyai impak yang sangat besar
dalam setiap aspek kehidupan dan amalan seharian setiap individu. Wira negara
yang kini bertarung di medan perang dengan musuh halimunan adalah mereka yang
bertugas di barisan hadapan seperti bidang kesihatan, keselamatan, pertahanan dan
pembersihan. Suasana luar biasa ini memerlukan tindakan yang luar daripada
kebiasaan – belum ada pil, belum ada vaksin yang dapat menyembuhkan penyakit ini
kecuali perubahan dalam tingkah laku dan amalan seharian.

Dunia pendidikan tidak terkecuali dalam suasana luar biasa ini. Kalau kebiasaannya
anak-anak ke sekolah dan institusi pendidikan lebih tinggi untuk menuntut ilmu, hari
ini mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah demi memastikan nyawa mereka dan
keluarga tidak terancam. Sekiranya jarak sosial seperti yang dikatakan oleh WHO
perlu berlaku dalam jangka masa lebih panjang, adakah ini bermakna sesi
pembelajaran formal tidak boleh berlaku?

Secara teorinya tentulah tidak kerana dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, kita sudah
beranjak daripada penggunaan tenaga wap dalam Revolusi Industri 1.0 ke
penggunaan tenaga elektrik, pengenalan internet dan kini dalam era kecerdasan
buatan. Maklumat yang terdapat di hujung jari perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi
memastikan bahawa sekiranya mereka tidak dapat hadir ke sekolah, sekolah perlu
hadir kepada mereka dalam mod yang pelbagai, tertumpu dan terbeza.

Kaedah Pendidikan Berbeza

Persoalannya kini adalah mengenai pelaksanaan pendidikan negara semasa pandemik


COVID-19 ini dan pasca COVID-19. Berhadapan dengan penyakit yang masih belum ada
ubatnya, masyarakat pastinya perlu bersedia dengan amalan pendidikan yang berbeza
daripada cara yang telah dilalui sebelum ini.
Apabila murid tidak dibenarkan keluar dari rumah dan pelajar institusi pendidikan tinggi
diarahkan untuk tidak hadir ke kampus, pihak berwajib perlu memikirkan pendekatan lain
bagi memastikan sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dalam tempoh PKP ini. Bukan setakat
amalan pendidikan, tetapi hala tuju pendidikan secara keseluruhannya perlu dilihat semula,
supaya tidak tersasar daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menghasratkan
pembangunan murid secara holistik.
Semasa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk Pendidikan
Prasekolah dan Lepas Menengah dibangunkan, matlamatnya adalah untuk meletakkan
Malaysia dalam kalangan satu pertiga teratas dalam kalangan negara yang mempunyai sistem
pendidikan terbaik dunia. Laporan Tahunan PPPM yang diterbitkan saban tahun sejak 2013
menunjukkan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat ini,
terutamanya dalam aspek latihan guru pra dan dalam perkhidmatan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah meletakkan keperluan teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan sebagai Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi
meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. KPM yang ketika itu diterajui oleh YAB
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya bahawa ICT akan membantu
memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah di negara ini. Murid
sepatutnya mendapat akses kepada kandungan yang lebih luas, menarik, dan interaktif
melalui peralatan yang lengkap. Yang penting kemudahan ICT ini akan menjadi sebahagian
daripada kehidupan murid di sekolah, tanpa jurang pemisah antara bandar dengan luar
bandar.
Satu perkara yang pasti adalah dalam amalan jarak fizikal, interaksi sesama manusia perlu
dieratkan lagi melalui alat telekomunikasi. Secara idealnya, pembelajaran maya perlu
diteruskan menggunakan pelbagai pendekatan, sama ada pembelajaran dalam talian secara
bersemuka (synchronous learning) ataupun secara tidak bersemuka (asynchronous learning).
Learning tools yang digunakan boleh disesuaikan mengikut keperluan pembelajaran; bagi
mereka yang mempunyai akses internet boleh mengikuti kelas menggunakan Microsoft
Teams, Facebook live atau Google Classroom. Interaksi juga boleh dilaksanakan melalui
pelbagai aplikasi chat, yang membolehkan murid dan guru berbincang mengenai
pembelajaran pada bila-bila masa. Amalan ini telah dibuktikan oleh institusi yang
mengamalkan pembelajaran dalam talian sepenuhnya.
Atasi Kekangan

Isu timbul apabila dapatan kaji selidik yang dijalankan oleh KPM semasa PKP
menunjukkan terdapat kekangan dari segi akses kepada internet dan penggunaan
peranti untuk pembelajaran.
Di peringkat sekolah, hampir 80 peratus pelajar sekolah menengah mempunyai
telefon pintar diikuti sekitar 36 peratus murid sekolah rendah. Bagaimanapun, untuk
peranti lain seperti tablet, komputer dan komputer riba, jumlah milikan adalah amat
rendah iaitu sekitar hanya lima hingga 14 peratus. Di peringkat pendidikan tinggi,
Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang tidak menggunakan
pembelajaran atas talian secara sepenuhnya dalam pelaksanaan PdP tidak
dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pembelajaran secara atas talian. Kementerian
Pengajian Tinggi bertegas mengambil kira kepentingan pelajar supaya mereka tidak
ketinggalan sekiranya mereka tidak mendapatkan akses kepada internet. Hakikatnya,
sistem pendidikan negara kita masih lagi belum berupaya untuk menyokong
sepenuhnya pembelajaran secara maya serta mod pembelajaran yang pelbagai.

Mungkin KPM perlu menimbangkan sama ada Anjakan 6 PPPM - mengupayakan


Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk
menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan - boleh menjadi
penyelesaian kepada isu ini. KPM harus memikirkan juga sama ada sekolah boleh
diberi autonomi dan bertanggungjawab membuat keputusan operasi tentang
peruntukan kewangan dan pelaksanaan kurikulum dalam usaha mengekang
penularan virus COVID-19, yang akan berada dalam kehidupan manusia nampaknya
untuk jangka masa lebih panjang.

Lonjakan 6 PPPM Pendidikan Tinggi 2015-2025 seharusnya dapat memacu institusi


Pendidikan Tinggi membuat keputusan dari segi tadbir urus apabila mereka
mempunyai autonomi penuh atau separa autonomi, justeru memungkinkan mereka
menentukan cara terbaik untuk mendidik pelajar mereka dalam suasana luar biasa
ini. Perancangan di bawah PPPM 2013-2025 dan PPPM PT 2015-2025 telah pun
dibuat lebih lima tahun dahulu; sekarang tibalah masanya untuk kita laksanakan apa
yang telah dirancangkan.

Ironinya, siapa sangka sejenis virus akan menjadi pemangkin kepada perubahan
paradigma dan amalan dalam pendidikan.

Anda mungkin juga menyukai