Anda di halaman 1dari 2

Teks Bercerita Tahap 1, 2021

BALASAN SATU KEBAIKAN


Pada zaman dahulu, di sebuah kampung ada sebuah keluarga yang miskin. Hidup mereka
tidak ubah seperti kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Keluarga Pak Malau
sungguh miskin dan mereka sekeluarga cuma tinggal di sebuah pondok kecil di tepi hutan.
Walaupun miskin, mereka tetap bersyukur dengan nikmat Tuhan.

Pada suatu hari, Pak Malau keluar ke hutan untuk mencari madu lebah. Dia pergi
bersama anak , Sulong. Setelah puas mereka mencari, satu sarang lebah pun tidak dijumpai.

“Apalah nasib kita hari ini, nak….satu benda pun tidak jumpa. Marilah berehat dulu,
untung-untung ada pelanduk lalu, bolehlah dijual dagingnya. Kalau tidakpun, ada seekor rusa
pun jadilah. Dapat juga tanduknya,”kata Pak Malau. Mereka berjalan lagi sehingga kedengaran
bunyi deruan air sungai.

“Ayah, ada sungailah… mari kita cari ,” kata Sulong. Mereka menyusuri denai di dalam
hutan itu sehingga mereka ternampak sebatang sungai yang jernih airnya. Mereka berdua
minum dengan sepuas-puasnya dan duduk berehat. Kelihatan dua tiga ekor ikan berenang-
renang di hadapan mereka.

“Ayah, mari kita tangkap ikan. Dah lama kita tak makan ikan, kalau dapat kan sedap.
Asyik makan nasi dengan garam dan ulam saja,” kata Sulong. Ayahnya menganggukkan
kepala tanda setuju. Dia bingkas bangun dan menuju ke pohon buluh. Ditetaknya sebatang
buluh dan ditajamkan hujungnya. Sulong mengekori ayahnya. Mereka turun ke dalam sungai
dengan perlahan tanpa mengocakkan air sungai.

“Hah! Sudah kena! Kata Pak Malau dengan gembira. Diangkatnya buluh itu… seekor
ikan keli. Ikan keli tersebut meronta-ronta di hujung buluh. Sulong mencuba tetapi dia tidak
secekap ayahnya. Ditombaknya ikan tetapi satu pun tidak mengena.

Pak Malau berjaya mendapat 3 ekor ikan keli bersaiz sederhana. Mereka merasa
sungguh gembira dan tidak sabar-sabar untuk pulang. Ibu dan adik-adiknya pasti terkejut! Hati
Sulong berkata.

Sesampainya mereka di rumah, Sulong menunjukkan ikan yang berjaya diperolehi oleh
mereka. Apa lagi, tanpa berlengah, Mak Malau terus mengambilnya untuk disiang. Akan
dibakarnya ikan keli ini! Kalau makan dengan pucuk ubi dan sambal, memang sedap. Sudah
lama mereka tidak menikmati hidangan seperti itu.

“Pak Malau, Sulong, mari makan. Nasi dah siap,” laung Mak Malau.

Tiba-tiba, ada suara seorang lelaki memberi salam. Pak Malau bangun untuk meninjau.

Pak Malau menjawab salam. Di pintu rumahnya ada seorang tua yang berpakaian serba
putih dan berjanggut. Dia memegang sebatang tongkat. Pak Malau kehairanan. Dia tidak
pernah nampak orang tua itu di kampung mereka. “Mungkin orang luar”, bisik hati Pak Malau.

“ Apa hajat tuan?” tanya Pak Malau dengan sopan.

“Hamba sebenarnya sudah dua hari tidak makan apa-apa pun dan hamba merasa
sangat lapar,” kata orang tua itu.

Pak Malau berasa kasihan lalu mempelawa orang tua itu makan. Orang tua itu pun
naik ke atas rumah.

Pak Malau memberikan isyarat kepada isteri dan lima anaknya supaya bangun dan
memberi laluan kepada orang itu.

1
Orang tua itu duduk. Pak Malau menyenduk nasi ke dalam pinggan tetamunya . Orang
tua itu makan dengan berselera sekali. Dia berhenti makan dan bertanya kepada Pak Malau
agar makan bersama-sama dengannya. Pak Malau serba salah. Dia bimbang nasi tidak
mencukupi untuk anak-anaknya yang lain. Tetapi, kerana tidak mahu mengecilkan hati
tetamunya, dia pun menyendukkan sedikit nasi ke pinggannya sendiri.

“Mak, dia pusing lagi ikan tu, mak,” kedengaran suara anak bongsunya mengeluh.

“Shh, tak baik cakap kuat-kuat. Biar dia makan. Kan dia tu tetamu kita. Kita mesti
memuliakan tetamu,” nasihat Mak Malau. Kasihan anak-anaknya. Nampaknya mereka
terpaksa makan ubi kayu rebus sahaja hari tu.

Setelah kenyang, orang tua itu membasuh tangan dan duduk bersandar di dinding
rumah. Pak Malau bertanya asal orang tua itu. Orang tua itu mengatakan dia cuma seorang
pengembara . Dia tersesat dan melalui rumah Pak Malau. Dia amat berharap dapat makan
sesuap nasi.

Pak Malau mengajak pula orang tua itu bermalam di rumahnya. Tetapi orang tua itu
enggan kerana berasa telah banyak menyusahkan Pak Malau sekeluarga. Pak Malau tetap
mengajak orang tua itu tidur di rumahnya. Akhirnya orang tua itu bersetuju.

Malam itu sungguh dingin dan tenang. Mereka sekeluarga tidur dengan nyenyak sekali.
Tidak ada seekor nyamuk pun yang hinggap, tidak seperti selalu.

Pada keesokan paginya, mereka mendapati tetamu mereka tiada. Pak Malau tercari-cari
orang tua itu di luar tetapi tidak berjumpa. Yang ada cuma sebungkus pakaian yang
ditinggalkan oleh orang tua itu.

Pak Malau membuka bungkusan yang telah ditinggalkan. Alangkah terkejutnya Pak
Malau apabila melihat beratus-ratus keping wang emas! Beliau sekeluarga menunggu orang
tua itu kembali, tetapi sayangnya orang itu tidak kembali.

Pada malam itu, Pak Malau bermimpi. Dalam mimpinya, orang tua itu memberitahu
bungkusan itu adalah hadiah daripadanya untuk Pak Malau sekeluarga.

Kehidupan keluarga Pak Malau berubah menjadi kaya raya tetapi mereka masih
merendah diri seperti dahulu. Mereka selalu menolong orang yang berada di dalam
kesusahan tanpa mengira darjat dan pangkat. Seperti kata pepatah, “Buat baik berpada-pada,
buat jahat jangan sekali”.

Anda mungkin juga menyukai