Anda di halaman 1dari 2

Tajuk : Jati Diri Bermula Dari Rumah

Anak yang berjaya adalah idaman bagi setiap yang bergelar ibu bapa. Untuk menjadi anak
yang berjaya, kita mestilah ada ciri-ciri jati diri yang baik dan bertanggungjawab. Jati diri ialah sifat
istimewa yang menunjukkan teras keteguhan hati serta kekuatan jiwa seseorang individu. Sifat ini
sangat penting bagi setiap individu sebagai penghalang dan pelindung diri daripada terjebak dengan
gejala sosial dan kancah negatif. Ia juga boleh mencetuskan semangat kepada seseorang untuk
berusaha mencapai kejayaan dalam hidupnya. Bagi seorang murid, sifat ini dapat mendorong mereka
mendengar kata, menuruti disiplin dan menyiapkan tugasan kerja sekolah yang diberi oleh guru pada
masa yang tepat.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menunjukkan sikap dan tauladan yang baik
dalam membentuk jati diri anak-anak. Didikan yang baik akan menjadi ikutan anak-anak dan tentunya
akan mencerminkan peribadi ibu bapa juga. Sebagai contoh, jika ibu bapa menunjukkan sikap hormat-
menghormati, secara tidak langsung anak-anak juga akan mengikuti sikap tersebut. Sikap
menghormati sedari kecil ini amat penting dalam kehidupan kerana jika anak-anak sudah terbiasa
dengan sikap tersebut, mereka pastinya akan mengamalkannya walaupun dengan orang lain seperti
jiran, guru dan rakan-rakan. Ini secara tidak langsung akan dapat membentuk jati diri anak-anak.

Dalam membentuk jati diri anak-anak juga, ibu bapa mestilah membimbing anak-anak untuk
membuat kerja-kerja di rumah seperti mengemas rumah, menyapu lantai, mengemop dan sebagainya.
Selain itu, ibu bapa juga perlu membimbing anak dalam membuat kerja sekolah. Ini adalah bertujuan
agar anak-anak akan terbiasa dan rasa bertanggungjawab untuk menyiapkan tugasan tanpa disuruh
atau bertangguh. Ia juga secara tidak langsung dapat mengelakkan ibu bapa melahirkan tuan
sebagaimana yang sering kita lihat dalam berita dan drama-drama tempatan. Sesebuah keluarga yang
mempunyai sikap yang terpuji dan bertanggungjawab ini pasti akan membentuk jati diri anak yang
baik.

Selain itu, ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan nilai murni kepada anak-anak
seperti mengajar mereka untuk solat lima waktu, mengaji dan lain-lain. Ini kerana ianya dapat
memantapkan pegangan agama dan dapat menghindarkan diri anak-anak daripada terlibat dengan
perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan diri. Pegangan agama yang kukuh dapat menjadikan
anak-anak lebih berdisiplin, sukar terpengaruh dengan rakan sebaya untuk melakukan perkara yang
terlarang dan membesar sebagai insan yang bijaksana, beretika dan mempunyai moral yang tinggi.

Kesimpulannya, anak-anak yang mempunyai jati diri yang baik akan mudah untuk mengecap
kejayaan dalam pelbagai bidang sekaligus mengharumkan nama ibu bapa. Ia melibatkan peranan
semua pihak untuk melahirkan anak yang baik lagi cerdik seperti yang sering diungkapkan. Namun
begitu, langkah pertama ini pastilah bermula dari rumah bersama ibu bapa sebagaimana ungkapan
Rumahku Syurgaku.

Anda mungkin juga menyukai