Anda di halaman 1dari 3

CONTOH KARANGAN JENIS RENCANA

Kementerian Kesihatan pada 2009 menerusi Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dipetik sebagai
berkata bahawa kerajaan akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengawal aktiviti pemasaran dan
promosi makanan segera bagi mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan sihat.

Beliau berkata, antara langkah yang akan diambil ialah memperkukuhkan pengawalan iklan makanan
segera menerusi televisyen selain menambah slot dan kekerapan penyebaran mesej pemakanan sihat
menerusi radio, televisyen, surat khabar serta majalah tempatan.

“Kecenderungan mengambil makanan segera dengan kerap memang membahayakan kesihatan kerana
makanan yang dihidangkan di restoran makanan segera tinggi kalori, lemak, garam dan gula,” katanya.

Sumber : Harian Metro, 11 Mac 2012

Soalan : Makanan segera menjadi pilihan masyarakat yang sangat popular, lebih-lebih lagi di saat
pandemic Covid-19 melanda di negara kita pada masa kini.

Tulis sebuah rencana tentang kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada masyarakat akibat
pengambilan makanan segera secara berlebihan.

‘’Kesan-kesan buruk Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan’’

Oleh : Siti Amiirah Amirullah

Kebiasaan mengambil makanan segera seperti burger, piza,dan mi segera sudah menjadi
suatu trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Tapi sedarkah kita bahawa negara kita Malaysia
terkenal dengan keunikan pelbagai makanan tradisional yang sangat membuka selera? Namun,
mengapa lebih ramai yang gemar menghabiskan wang ringgit untuk makanan yang hanya nikmat
sesaat tetapi menanggung sengsara berpanjangan? Inilah fenomena yang amat menggusarkan.
Media-media massa dan corong-corong radio juga telah memainkan peranan mereka dengan cukup
baik sekali namun inilah gaya hidup rakyat negara kita sehingga kita masih dibelenggu dan
mengamalkan budaya hidup negara yang pernah menjajah kita. Sikap sambil lewa yang hanya masuk
telinga kanan, keluar telinga kiri menjadi kerisauan kepada pemimpin negara kita yang ingin
melihat rakyatnya hidup dalam keadaan yang sihat dan mengamalkan pemakanan seimbang serta
tidak memudaratkan. Lebih-lebih lagi, jika kita nilai dari sudut ekonomi, restoran-restoran segera ini
mengancam ekonomi para pengusaha restoran tempatan. Tidakkah ekonomi negara akan merudum
dan rakyat negara kita tanpa disedari sedang meningkatkan ekonomi negara luar. Oleh itu,kita
haruslah tahu akan kesan-kesan pengambilan makanan segera secara berlebihan.

Sebagai seorang kanak-kanak, selera makan mereka pastinya tertumpu kepada makanan yang
lazat dan menggiurkan sahaja. Mereka akan makan makanan yang mereka suka tanpa memikirkan
kesan yang akan berlaku kepada mereka nanti. Di sini, ibu bapalah yang harus memainkan peranan
untuk mengawal pengambilan makanan segera bagi kanak-kanak . Jangan menjadikan rasa sayang
kepada anak-anak sebagai satu alasan untuk memberi mereka makanan yang tidak sesuai yang
mana akan mempengaruhi tumbesaran kanak-kanak. Sayang bukanlah bermaksud hanya memberi
kepuasan kepada mereka tetapi sayang adalah apabila kita menjaga seseorang dengan baik dalam
jangka masa yang panjang. Nyawa tidak bisa dijual beli. Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur
baru hendak menyesal tidak berkesudahan. Sedarlah bahawa sesal dahulu pendapatan,sesal
kemudian tiada guna. Justeru, adalah baiknya sebagai seorang yang makan garam terlebih dahulu,
ibu bapa menasihati dan mengawal pengambilan makanan segera kanak-kanak. Sebagai contohnya,
ibu bapa menghidangkan sayuran di dalam sarapan pagi ataupun menyediakan salad untuk anak-
anak mereka. Justeru, diharapkan bahawa pihak ibu bapa sedar akan kesan buruk pengambilan
makanan segera bagi kanak-kanak.

Seperti yang kita semua sedia maklum, peningkatan harga minyak sudah menjadi bualan
ramai pihak khususnya golongan yang berpendapatan rendah. Dengan ini, sudah semestinya
perancangan keluarga akan terjejas. Jika kita sering mengamalkan pengambilan makanan yang
menjadi punca tegar kepada penyakit-penyakit yang bisa membawa kepada peperangan ajal dan
maut ini, bukankah terjadi sedikit pemborosan yang sia-sia di situ? Adalah lebih molek jika kita
memasak sendiri di rumah. Namun, kesibukan bekerja pula dilihat menjadi punca utama seperti
yang menymbang peningkatan permintaan terhadap makanan segera. Malaysia juga terkenal
dengan pelbagai restoran yang menghidangkan makanan berkhasiat di negara kita. Justeru,
mengapa harus membazir wang di restoran makan segera seperti KFC, Pizza Hut, Mc Donald dan
lain-lain sedangkan makanan di restoran tersebut jauh lebih berkhasiat dan seimbang. Tambahan
lagi, kasih sayang juga pastinya akan dapat terjalin antara keluarga jika kita mengamalkan masak
makanan di rumah daripada di luar ataupun mana-mana makanan segera ini khususnya. Maka
cantiklah jika kita sebagai seorang yang berfikiran jauh untuk menyimpan duit tersebut daripada
membelanjakannya untuk perkara yang hanya akan mendatangkan kemudaratan kepada diri kita
kelak. Meskipun nilainya hanya sedikit, namun lama kelamaan pasti menjadi bukit daripada tidak ada
sama sekali. Di sini, dapatlah disimpulkan bahawa sesungguhnya, pengambilan makanan segera
hanyalah akan menyebabkan pembaziran yang sia-sia.

Selanjutnya, makanan berkolestrol, gula yang tidak terkawal serta garam yang berlebihan
banyak terdapat dalam makanan segera. Dengan kandungan kolestrol yang tidak terkawal, penyakit
mudah untuk datang bertandang. Bagaikan hujan yang tidak diundang, dan ribut yang tidak
dijemput. Gula yang berlebihan pula menyebabkan segelintir masyarakat kehilangan kaki kerana
kencing manis. Malah yang lebih merisaukan lagi, hospital kerajaan di kota raya semakin penuh
dengan para pesakit yang menghidap penyakit darah tinggi kerana terlebih garam. Walaupun pada
dasarnya, itu adalah satu kebaikan kepada para doktor yang dapat memantapkan kemahiran
merawat pesakit mereka ke tahap yang lebihbaiki ,namun tidakkah kita sedih melihat banyak nadi
yang harus terhenti dengan sia-sia? Maka, haruslah rakyat Malaysia sedar akan banyaknya
keburukan yang datang dari pengambilan makanan segera yang hanya merugikan ramai pihak
tersebut dan menguntungkan pihak yang tidak sepatutnya .

Selain itu, masalah kenaikan berat badan yang berlebihan, iaitu obesiti juga merupakan salah
satu penyumbang keburukan kepada pengambilan makanan segera. Wanita khusunya menjadi
contoh yang tepat masa kini. Wanita yang sudah mendirikan rumah tangga pastinya akan lebih
tertumpu kepada suami, rumah dan anak-anak. Dengan ini, mereka akan lebih tertarik untuk
mengambil jalan mudah selepas lelah seharian bekerja sebagai suri rumah. Mereka akan lebih gemar
memesan makan di luar daripada memasak sendiri. Tidakkah ini merugikan? Obesiti bukanlah
sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata sahaja. Jantung juga akan mudah sesak dan kita akan
tercungap-cungap. Hal ini dapat mengganggu rutin harian kita. Maka, sudah terang lagi bersuluh
sememangnya obesiti juga adalah kesan buruk pengambilan makanan segera.

Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup sihat, kita wajar
meneruskan pengambilan makanan yang seimbang dan tidak menjadikan makanan segera sebagai
makanan wajib dalam hidup seharian. Sesungguhnya, otak yang cerdas adalah apabila badan kita
cergas. Sebagai pilihan, para suri rumah, ibu-ibu dan wanita yang bekerjaya wajar memasak di
rumah sebagai alternatif mengelakkan pengambilan makanan segera yang berlebihan. Mencegah
lebih baik daripada merawat dan janganlah sudah terhantuk baru hendak terngadah. Sesungguhnya
apa yang ditelan, itulah yang akan dihadam oleh perut. Jika makanan yang mengandungi kolestrol,
gula, garam dan lemak yang berlebihan masuk ke dalam perut, maka badanlah yang akan
menanggung akibatnya. Tepuk dada tanya selera kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

( 896 patah perkataan )

Anda mungkin juga menyukai