Anda di halaman 1dari 3

GAJAH DALAM MITOS KEPERCAYAAN AGAMA LAIN

Segmen Mitologi

Penulis: Arifful Baqi

1. Budak lelaki dengan kepala gajah.

Salah satu gajah yang terkenal dalam unsur keagamaan ialah Dewa Hindu Ghanesh,
yang digambarkan sebagai manusia dengan kepala gajah. Kisah Hindu
menggambarkan, Ganesh dicipta oleh Dei Parvati yang mahukan anak yang setia.
Suami Parvati, iaitu Dewa Shiva yang pulang dari pengembaraan terkejut melihat
seorang budak lelaki berdiri berdekatan rumahnya, lalu dia mencabut pedangnya dan
memenggal kepalanya. Semasa kekecohan itu, Parvati berlari keluar dari bilik
mandinya dan mengamuk kerana kerana Shiva telah membunuh anak mereka. Shiva
kemudian memerintahkan tenteranya supaya membawa pulang kepala makhluk
pertama yang mereka jumpa, dan kebetulan, makhluk pertama yang mereka temui
ialah gajah. Shiva melekatkan kepala gajah itu ke badan Ghanesh dan
menghembuskan nyawa ke dalamnya. Dari itu, Ghanesh mendapat kepala baharu dan
dia dilantik menjadi pemimpin bhutaganas.

2. Gajah putih dengan enam gading.

Buddha dikatakan telah menjelma sebagai gajah putih beberapa kali. Dia pernah
hidup sebagai Chaddanta, seekor gajah putih dengan wajah dan kaki merah dan
memiliki enam gading. Dia tinggal di sebuah gua emas dengan dua isteri,
Mahasubhadda dan Chullasubhadda.
Menurut satu versi cerita Buddha, Chaddanta memberikan perhatian yang lebih
kepada isteri keduanya sehingga Chullasubhadda berasa cemburu dan meninggalkan
Chaddanta. Malah bersumpah untuk menghapuskan Raja Gajah itu di masa akan
datang. Chullasubhadda akhirnya mati dan dibangkitkan semula menjadi perempuan
yang cantik dan berkahwin dengan seorang raja.
Suatu hari, permaisuri memberitahu raja bahawa dia bermimpi tentang gajah putih
dengan enam gading dan sanggup mati sekiranya tidak memiliki gading itu. Raja
mengumpulkan para pemburu di dalam kerajaannya untuk memburu gajah enam
gading untuk memenuhi keinginan permaisuri.
Salah seorang pemburu mengikut arah yang ditunjukkan permaisuri dan menyamar
sebagai seorang sami. Melihat sami itu, Chaddanta memberikan penghormatan
kepadanya sehingga terjatuh ke perangkap musuh. Pemburu itu menceritakan
segalanya kepada Chaddanta dan gajah itu mencabut gadingnya sendiri lalu
diserahkan kepada pemburu dan mati.

3. Gajah dan petir.

Mitos Kenya ini menceritakan tentang bagaimana manusia menghancurkan


keharmonian dalam kehidupan. Gajah, manusia dan petir tinggal di bumi, tetapi tidak
serasi bersama kerana perbezaan besar di antara mereka. Petir menjadi takut kepada
manusia dan meninggalkan bumi untuk tinggal di langit. Manakala gajah pula kekal
berada di bumi kerana beranggapan manusia itu makhluk yang kecil dan tak mungkin
membahayakannya.
Apabila manusia bertembung dengan gajah, dia menembak binatang itu dengan panah
beracun. Ketika gajah hampir mati, ia meratap ke langit dan merayu kepada Petir
supaya menyelamatkannya namun Petir enggan. Apabila gajah mati, manusia terus
mencipta anak panah yang lebih beracun dan membunuh lebih banyak makhluk hidup
dan menjadi tuan kepada alam semulajadi ini.

4. Lelaki miskin dan gajah.

Mitos Kamba di Kenya menceritakan pula tentang asal usul gajah. Seorang lelaki
miskin mendengar kisah tentang Ivonya-Ngia, lelaki yang sangat pemurah terhadap
orang miskin. Dia membuat keputusan untuk mencari Ivonya-Ngia dalam perjalanan
yang sungguh panjang.
Setibanya di rumah agam yang besar di tengah padang rumput hijau yang luas, dia
melihat lembu dan kambing yang tidak terkira banyaknya. Ivonya-Ngia menerima
kedatangan orang miskin itu dengan baik dan memerintahkan anak buahnya supaya
memberikan seratus ekor biri-biri dan seratus ekor lembu kepada lelaki miskin itu,
tetapi lelaki miskin itu menolak, sebaliknya meminta rahsia bagaimana hendak
menjadi kaya.
Ivonya-Ngia memberikan sebotol salap dan memintanya supaya menyapu benda itu
pada bahagian atas gigi isterinya, dan tunggu sehingga tumbuh baharulah dijual.
Lelaki miskin itu mengikut saja arahan Ivonya-Ngia dan menyakinkan isterinya
bahawa mereka akan menjadi kaya.
Akan tetapi, gigi isterinya tumbuh menjadi gading dan tubuhnya bertambah besar dan
dia lari ke dalam hutan. Di situ, dia melahirkan anak-anak gajah dan mereka percaya,
itulah sebabnya mengapa gajah mempunyai kepintaran seperti manusia.

5. Gadis gemuk dan gajah.

Di Afrika Selatan, terdapat seorang gadis yang sangat tinggi dan gemuk sehingga
tiada seorang lelaki yang mahu menjadikannya sebagai isteri kerana dia dituduh
sebagai ahli sihir. Dia diusir dari kampungnya dan mengembara ke gurun seorang diri.
Di sana, dia berjumpa seekor gajah yang bercakap dengan baik kepadanya dalam
bahasa Zulu dan tinggal bersama dengan gajah itu. Gadis itu melahirkan empat orang
anak lelaki yang sangat tinggi dan kuat, yang dikatakan sebagai nenek moyang ketua-
ketua puak Indhlovu.

RUJUKAN:
1. Chung Tai Chan Monastery. (2009) The Tale of The White Elephant.
https://www.ctworld.org.tw/english-96/html/a9stories02.htm

2. Helena Williams. (2013) Independent. Four depictions of elephants as thet appear


in religion and myth.
https://www.independent.co.uk/voices/comment/four-depictions-of-elephants-as-
they-appear-in-religion-and-myth-9015485.html

3. Mark Cartwright. (2012) Ancient History Encyclopedia. Ganesha.


https://www.ancient.eu/Ganesha/

4. Myths, legends, beliefs and tradisional stories from Africa.


http://www.a-gallery.de/docs/mythology.htm

Anda mungkin juga menyukai