Anda di halaman 1dari 11

AMALAN KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL GURU BESAR DAN HUBUNGANNYA

DENGAN KOMITMEN GURU: KEBOLEHLAKSANAAN STANDARD 1 SKPMG2

Jaini Darsan & Mohd Izham Mohd Hamzah


jainibindarsan@gmail.com, izham@ukm.edu.my

Abstrak

Kertas konsep ini bertujuan mengenalpasti tahap amalan kepimpinan instruksional guru besar dan
hubungan komitmen guru-guru dalam kebolehlaksanaan Standard 1 SKPMg2. Kertas ini juga
mengenalpasti isu-isu dalam pendidikan nasional seringkali dikaitkan dengan kepimpinan
instruksional. Antara isu-isu pendidikan yang dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
adalah seperti Kadar tidak menguasai 3M, Dasar 60:40, PPSMI, Exam Oriented, Kemahiran
Berfikir Kreatif & Kritis (KBKK), Memperkasakan Sekolah Kebangsaan, Kelas Rancangan Khas,
Modal Insan dan Penerapan Nilai, Adab belajar, Kecemerlangan Akademik dan Masalah Sosial.
Manakala Isu-isu berkaitan SKPMg2 pula adalah seperti guru besar dan guru kurang memahami
kandungan dan penggunaan SKPMg2, dokumen SKPMg2 tidak digunakan sebagai panduan bagi
meningkatkan kualiti kecemerlangan P&P dan guru tidak menjadi pemangkin kepada guru-guru
lain sama ada di sekolah sendiri atau di daerahnya untuk meningkatkan kualiti pendidikan
menggunakan SKPMg2. Kertas ini merupakan kertas konsep berdasarkan kajian literatur melalui
pembacaan buku-buku dan kajian lampau. Guru Besar yang berperanan sebagai pemimpin
berimpak tinggi seperti yang terkandung dalam aspek dan standard kualiti Standard 1 SKPMg2
semestinya berupaya meneraju, membimbing dan mendorong guru-guru untuk menunjukkan
komitmen secara bersepadu bagi memajukan sekolah, meningkatkan kualiti pembelajaran dan
pengajaran serta menangani isu-isu pendidikan negara dengan menggunakan standard kualiti
yang telah ditetapkan dan seterusnya mewujudkan sekolah yang cemerlang untuk bersaing dengan
cabaran pendidikan abad ke-21. Implikasi yang diperoleh daripada kajian literatur akan
memastikan bahawa semua guru besar mesti mempunyai kemahiran kepimpinan instruksional dan
menguasai standard 1 SKPMg2. Begitu juga implikasinya pada pihak guru. Mereka mesti
memberikan komitmen sepenuhnya kepada kepimpinan organisasi yang mana isu kepercayaan
dan penerimaan terhadap matlamat organisasi, kesanggupan berusaha untuk organisasi dan
keinginan untuk mengekalkan keahlian dalam organisasi merupakan pokok utama bagi
menentukan keterlangsungan pencapaian matlamat organisasi yang ditetapkan. Maka keperluan
latihan yang menjurus kepada kebolehlaksanaan dan penghayatan dasar-dasar kementerian
pendidikan, pembentukan kerjasama antara kepimpinan dengan kakitangan sama ada di peringkat
kementerian, jabatan, pejabat pendidikan daerah atau organisasi sekolah mesti dilaksanakan.
Kesimpulannya, keupayaan kepimpinan sekolah dan guru-gurunya menghayati dasar, program
serta keupayaan menguasai aspek dan standard kualiti standard 1 SKPMg2 akan memastikan
kebolehlaksanaan SKPMg2 seperti mana yang dihasratkan.

Kata kunci: kepimpinan instruksional, kebolehlaksanaan, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia


gelombang 2 (SKPMg2)

1.0 Pengenalan

Tumpuan pelaksanaan kajian ini adalah untuk mengenalpasti tahap amalan kepimpinan
instruksional guru besar dan komitmen guru-guru terhadap kebolehlaksanaan Standarad 1
Standarad Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) di samping menggunakan model
kepimpinan Weber (1996) sebagai garis panduan bagi menentukan amalan kepimpinan
instruksional. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah memasuki

2025
Gelombang 2 pelaksanaannya iaitu pada tahun 2016 dan dalam masa kertas konsep ini ditulis.
Tumpuan pelaksanaan dalam Gelombang 2 adalah untuk memperkenalkan perubahan struktur dan
pada masa yang sama memacu peningkatan yang telah berlaku semasa Gelombang 1 (2013-
2015). Kementerian telah menyemak semula instrumen penilaian kendiri Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia (SKPM) supaya membolehkan penilaian sekolah menjadi lebih holistik.
Maka ia dijenamakan sebagai SKPM Gelombang 2 (SKPMg2). Instrumen SKPMg2 ini telah
ditambah baik dan ini akan membolehkan kepimpinan sekolah menjalankan penambahbaikan
secara berterusan bagi meningkatkan prestasi sekolah. Instrumen yang digunakan
menggabungkan pelbagai instrumen penilaian yang sedia ada bagi mengelakkan pertindanan
dalam penilaian, sekaligus meningkatkan kecekapan. Sehubungan hal demikian kertas konsep ini
ditulis adalah untuk mengenalpasti tahap amalan kepimpinan instruksional guru besar dan
komitmen guru-guru terhadap kebolehlaksanaan SKPM berdasarkan kajian-kajian literatur
lampau.

2.0 Kepimpinan Instruksional

Mengikut Certo (1997), kepimpinan ialah proses pengarahan tingkah laku orang lain ke arah
penyempurnaan sesuatu objektif. Pengarahan bermaksud seseorang individu bertindak mengikut
cara tertentu atau mengikut sesuatu seperti polisi, organisasi, tatacara dan deskripsi kerja.
Manakala istilah instruksional merupakan suatu kata kerja yang membawa erti pengajaran atau
proses mengajar sesuatu yang merujuk kepada proses, bentuk atau cara penyampaian maklumat
kepada orang lain. Ia juga merujuk kepada bentuk arahan, tunjuk cara, penerangan lisan dan
bukan lisan atau bentuk-bentuk lain dengan tujuan membolehkan orang lain memahami,
memulakan atau menjalankan sesuatu aktiviti, tindakan atau tugas. Maka dengan jelas diistilahkan
kepimpinan instruksional ialah sama dengan kepimpinan pengajaran. Guru besar
bertanggungjawab sepenuhnya memastikan kemenjadian sekolah yang ditadbirnya. Amalan
kepimpinan instruksional masih relevan dan dapat menyumbang kepada kecemerlangan sekolah
dalam abad ke-21 ini (Hallinger 2005; Jabatan Perdana Menteri 2010). Alimuddin (2010) turut
menjelaskan bahawa dalam usaha menghasilkan impak yang signifikan dalam kecemerlangan
pelajar, seorang pemimpin instruksional mestilah berupaya menjadi agen perubahan dan
mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah.

2.1 Model Kepimpinan Instruksional

Terdapat beberapa model kepimpinan instruksional yang sering digunakan oleh pengkaji dalam
membicarakan tentang kepimpinan instruksional. Antaranya adalah seperti Model Hallinger dan
Murphy (1985), Model Murphy (1990) dan Model Weber (1996). Manakala aspek guru besar
sebagai peneraju, pembimbing dan pendorong dan standard kualiti bagi menentukan tindakan
untuk mencapai kualiti yang digariskan dalam standard 1 SKPMg2 juga diadaptasi daripada
model-model ini.

2.2 Konsep Kepimpinan Instruksional

Kepimpinan instruksional dikonsepkan sebagai suatu proses tingkah laku dan tindakan-tindakan
guru besar yang meliputi merangka matlamat sekolah, memantau pengajaran guru, menyelaras
kurikulum, mengawas kemajuan murid, mengawal masa pengajaran, menggalakkan
perkembangan profesional guru, sentiasa kelihatan dalam kawasan sekolah, menyediakan
ganjaran untuk guru dan menyediakan insentif untuk murid. Ia adalah hasil penyelidikan
Hallinger dan Murphy (2003) yang juga mentakrifkan dan membina satu kerangka teori
kepemimpinan pengajaran yang juga disebut sebagai Kepimpinan Instruksional. Manakala

2026
pernyataan Standard 1 SKPMg2 ini menyatakan konsep guru besar yang berperanan sebagai
pemimpin berimpak tinggi mesti berupaya menggembleng dan menggerakkan warga sekolah
secara bersepadu untuk memajukan sekolah dan meningkatkan kualiti pembelajaran dan
pengajaran.

2.3 Teori Kepimpinan Instruksional

Seseorang pemimpin instruksional mesti mempunyai pengetahuan asas tentang faktor-faktor


disebalik pengajaran dan pembelajaran bersandarkan teori dan falsafah pendidikan seperti teori
pengajaran dan pembelajaran, teori perkembangan dan keperluan manusia, teknik dan kaedah
pengajaran serta pemahaman tingkah laku murid dan pendekatan pengurusan bilik darjah.
Menguasai bidang tugas yang bersifat mikro yang tertumpu pada usaha mempertingkatkan
kawalan dan pemahaman murid dalam konteks bilik darjah. Menguasai kemahiran bercorak hand-
on yang unggul dalam mengendalikan bilik dajah yang dapat diteladani oleh guru-guru (Glickman
1990). Kepimpinan instruksional merupakan satu entiti yang berbeza daripada urusan rutin
pentadbiran di sekolah tetapi yang berkait rapat dengan perlakuan pentadbir dalam penyeliaan
tugas guru di bilik darjah dan pemantauan kemajuan murid (Sheppard 1996). Kepimpinan
instruksional juga sebagai sebarang usaha ke arah menggalak dan menyokong pihak-pihak yang
terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai matlamat sekolah dan
pembentukan satu sistem sekolah yang kukuh (Drake dan Roe 1986). Kepimpinan instruksional
adalah sebarang aktiviti yang dilaksanakan oleh pentadbir sekolah dengan hasrat untuk
meningkatkan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran dan pembangunan sekolah
(Hallinger dan Murphy 1985).

Daripada pendapat tokoh-tokoh pendidik di atas dapat dirumuskan bahawa istilah


kepimpinan instruksional merujuk kepada segala tindakan dan aktiviti yang dilaksanakan oleh
seseorang pemimpin sekolah yang bertujuan memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran
di sekolah yang mana ia juga terkandung dalam standard 1 SKPMg2.

3.0 Komitmen Guru

Kebolehlaksanaan Standard 1SKPMg2 memerlukan penglibatan dan komitmen guru secara


proaktif. Di bahu para guru diletakkan harapan besar agar mereka bersedia untuk memberikan
komitmen yang tinggi pada setiap perubahan program dan dasar kementerian di sekolah mereka
bertugas. Mereka mesti mengutamakan daya pengeluaran tinggi dalam profesyen, sentiasa
mengikuti peredaran masa, memahami perkembangan teknologi, mempunyai sifat berani, mahu
mencuba, inovatif, tekun, amanah, berkemahiran dan sedia belajar. Dalam erti kata lain, kesediaan
dan komitmen guru adalah aspek penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan dalam
pelaksanaan sesuatu perancangan atau dasar pendidikan. Nicholls (1983) menyatakan bahawa
kayu ukur kejayaan sesuatu perubahan adalah bergantung kepada sejauh mana reaksi guru untuk
menerima dan melaksanakan perubahan dalam bilik darjah masing-masing. Fullan (1993) pula
berpendapat dua asas utama bagi menentukan kejayaan sesuatu perubahan iaitu: (a) sejauh mana
pentadbiran sekolah menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan menggunakan mekanisme
pentadbiran dalam memberikan tekanan kepada guru, dan (b) bagaimana pihak sekolah berjaya
memperoleh sokongan guru-guru bagi melaksanakan perubahan dengan penuh minat dan
bersungguh-sungguh. Amalan kepimpinan guru besar mempengaruhi prestasi kerja guru. Norazah
dan Norbayah menekankan bahawa komitmen pekerja memberi kesan yang besar kepada tahap
prestasi kejayaan organisasi. Ini kerana polisi pentadbir sekolah dan suasana tempat kerja
mempengaruhi komitmen kerja guru. Metcalf and Dick (2000) menekankan terdapat tiga faktor
yang mempengaruhi komitmen terhadap organisasi iaitu faktor pertama kepercayaan terhadap

2027
objektif dan nilai organisasi, faktor kedua kesediaan menerima dan melakukan aktiviti yang
memberi kebaikan kepada organisasi serta fakor ketiga keinginan untuk kekal bersama dengan
organisasi.

3.1 Model Komitmen Guru

Model komitmen kerja terhadap organisasi dibangunkan oleh Meyer dan Allen dikatakan
menguasai penyelidikan komitmen organisasi (Meyer et al. 2002). Menurut Mayer dan Allen
(1997) komitmen guru terbahagi kepada tiga aspek iaitu afektif, berterusan dan normatif. Menurut
Mowday, Porter dan Steers (1982) pula faktor afektif merujuk kepada kepercayaan dan
penerimaan yang tinggi terhadap objektif dan nilai organisasi, kesanggupan untuk berusaha bagi
pihak organisasi dan keinginan yang tinggi untuk mengekalkan keahlian dalam organisasi.

3.2 Konsep Komitmen Guru

Seluruh institusi pendidikan terutamanya sekolah telah mensasarkan untuk mempunyai guru-guru
yang komited dalam sistem mereka. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa pekerja yang
komited lebih cenderung untuk menjadi pekerja berprestasi tinggi yang mendapat manfaat
organisasi mereka dari segi produktiviti dan keuntungan. Pengertian komitmen guru adalah
tentang pentafsiran soal peribadi seorang guru bagaimana mereka menyerap dan memaknai
pengalaman kerja mereka (Solomon, 2007). Secara umumnya komitmen berdasarkan tahap
penerimaan seseorang guru itu dalam organisasi. Komitmen menjelaskan hasil yang dipersetujui
dari sebuah keputusan atau meminta dan membuat suatu usaha yang baik dan melaksanakan
keputusan tersebut secara efektif (Yulk, 2002 dalam Solomon, 2007).

3.3 Teori Komitmen Guru

Pugach (2006) menjelaskan lima aspek dari komitmen guru iaitu sebagai: i.Mempelajari pelbagai
sumber ilmu pengetahuan. ii.Bertanggungjawab melaksanakan kurikulum. iii. Sedia bertugas
dalam lingkungan masyarakat yang pelbagai latar sosioekonomi. iv. Mementingkan keperluan
peribadi murid di dalam bilik darjah,. v. Memberikan sumbangan secara aktif pada tugasnya.
Walau bagaimanapun komitmen guru mempunyai pertalian dangan kepuasan kerja (Chua, 2008;
Kimball & Nink, 2006; Whitecare, 2006). Guru perlu mengalami kepuasan kerja untuk
membolehkan mereka lebih komited supaya mereka mampu melahirkan pelajar yang
berketrampilan dan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi kelak. Ini berdasarkan dua teori
utama iaitu Teori Dua Faktor Herzberg oleh Herzberg (1959) dan Teori Komitmen oleh Meyer
dan Allen (1984). Rosenholtz (dalam Solomon, 2007), menyatakan bahawa komitmen lebih
terarah kepada penyusunan dan penguasaan kualiti tugas dalam organisasi. Komitmen berlaku
apabila seseorang itu suka dan tertarik bekerja dalam organisasi dan membuatkan seseorang
pekerja lebih suka menetap di dalam organisasi (Reichers, 1985 dalam Solomon, 2007).

4.0 Standard 1 SKPMg2

SKPMg2 ataupun Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 adalah merupakan


penggubalan semula SKPM 2010 dengan beberapa penambahbaikan hasil daripada beberapa siri
kajian dan mesyuarat. Penambahbaikan kepada SKPMg2 adalah bertujuan untuk meningkatkan
kualiti dan juga menyesuaikan SKPM dengan perkembangan pendidikan semasa. Namun dalam
kertas konsep ini akan membicarakan hanya pada bahagian standard 1 SKPMg2.

2028
4.1 Model Standard 1 SKPMg2

SKPMg2 adalah lanjutan daripada SKPM 2010, Model Sekolah Berkesan (Effective School
Model) (Sammons, Hillman & Mortimore, 1995) dan Model Penaziran Kemenjadian Murid yang
dikemukakan dalam Hala Tuju JNJK 2010-2015 (JNJK, 2009) dirujuk dan dijadikan sebagai
konsep asas. Model Sekolah Berkesan adalah berteraskan Teori Sistem. Teori ini menyatakan
bahawa sesuatu organisasi seperti sekolah yang wujud dalam suatu persekitaran terdiri daripada
pelbagai elemen yang memiliki ciri-ciri unik dan mempunyai hubungan antara satu sama lain.
Elemen yang berinteraksi antara satu sama lain secara berterusan menghasilkan impak. Dalam
konteks sekolah, impak dilihat dalam kemenjadian murid. Dalam Model Sekolah Berkesan semua
input di sekolah diurus secara optimum untuk menghasilkan output yang cemerlang. Antara input
tersebut ialah sumber manusia, sumber kewangan, sumber pendidikan dan kemudahan fizikal.
Proses adalah berkaitan cara sumber diolah dan dimanfaatkan untuk menghasilkan output, iaitu
kemenjadian murid. Model Penaziran Kemenjadian Murid yang dirangka oleh JNJK mengambil
kira hasrat yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan tugas teras,
tabung ilmu, pengalaman serta amalan penaziran. Berdasarkan konsep model berkenaan, setiap
unsur, gerak kerja serta penggemblengan sumber di institusi pendidikan memberi sumbangan ke
arah kemenjadian murid.

4.2 Konsep Standard 1 SKPMg2

Akta Pendidikan 1996 subseksyen 117(a) memperuntukkan tanggungjawab kepada Ketua Nazir
Sekolah (KNS) untuk memastikan taraf (standard) pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan
dikekalkan di institusi pendidikan. Walaupun subseksyen 117(a) berfokus kepada bidang
pengajaran, namun bidang pengurusan institusi pendidikan juga termaktub dalam skop kewajipan
KNS dan Nazir Sekolah (NS) seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen 117(b), (c), (d) dan
subseksyen 121. Menyedari pentingnya tanggungjawab ini dilaksanakan dengan lebih berkesan,
pada tahun 2001 Jemaah Nazir Sekolah [mulai 2008 dinamakan sebagai Jemaah Nazir dan
Jaminan Kualiti (JNJK)] telah memperkenalkan mekanisme yang lebih sistematik
untukmenetapkan satu standard bagi meningkatkan kualiti pendidikan di institusi pendidikan
secara berterusan kepada tahap tinggi. Mekanisme tersebut dinamakan Sistem Pemastian
Peningkatan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (SPPSTKP) atau disebut juga sebagai Standard
Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP). Kini ia dikenali sebagai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia
Gelombang 2 (SKPMG2)

4.3 Teori Standard 1 SKPMg2

SKPMg2 berasaskan daripada SKPM 2010, yang mana Model Sekolah Berkesan (Effective
School Model) (Sammons, Hillman & Mortimore, 1995) dan Model Penaziran Kemenjadian
Murid yang dikemukakan dalam Hala Tuju JNJK 2010-2015 (JNJK, 2009) dirujuk dan dijadikan
sebagai konsep asas. Model Sekolah Berkesan adalah berteraskan Teori Sistem. Teori ini
menyatakan bahawa sesuatu organisasi seperti sekolah yang wujud dalam suatu persekitaran
terdiri daripada pelbagai elemen yang memiliki ciri-ciri unik dan mempunyai hubungan antara
satu sama lain. Elemen yang berinteraksi antara satu sama lain secara berterusan menghasilkan
impak. Dalam konteks sekolah, impak dilihat dalam kemenjadian murid. Dalam Model Sekolah
Berkesan semua input di sekolah diurus secara optimum untuk menghasilkan output yang
cemerlang. Antara input tersebut ialah sumber manusia, sumber kewangan, sumber pendidikan
dan kemudahan fizikal. Proses adalah berkaitan cara sumber diolah dan dimanfaatkan untuk
menghasilkan output, iaitu kemenjadian murid. Model Penaziran Kemenjadian Murid yang
dirangka oleh JNJK mengambil kira hasrat yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan

2029
Kebangsaan (FPK) dan tugas teras, tabung ilmu, pengalaman serta amalan penaziran. Berdasarkan
konsep model berkenaan, setiap unsur, gerak kerja serta penggemblengan sumber di institusi
pendidikan memberi sumbangan ke arah kemenjadian murid.

5.0 Pernyataan Masalah

Isu-isu dalam pendidikan nasional seringkali dikaitkan dengan kepimpinan instruksiona seseorang
guru besarl. Ia diperkatakan sama ada dalam laporan Kementerian Pendidikan ataupun dalam
persidangan dan seminar pendidikan. Terdapat lapan isu dikaitkan dengan ketidakcekapan
kepimpinan instruksional di peringkat pendidikan nasional seperti mana yang didedahkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia. Isu-isu tersebut adalah seperti kadar tidak menguasai 3M,
Dasar 60:40, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PSMI),
Exam Oriented, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK), mempekasakan sekolah
kebangsaan, kelas rancangan khas, modal insan dan penerapan nilai, adab belajar, kecemerlangan
akademik dan masalah sosial. Manakala laporan nazir berkaitan kelemahan pengurusan
kurikulum antaranya adalah seperti pengajaran tanpa set Induksi, pengajaran tidak berpusatkan
pelajar, perancangan strategik tidak sistematik, kualiti pengajaran guru tahap sederhana,
pengajaran disampaikan tanpa mengira pengetahuan sedia ada, kurang pemantauan dan sistem
pentaksiran yang longgar. Manakala hasil dapatan Bahagian Sekolah Harian berkaitan kelemahan
pengurusan kurikulum adalah seperti kesilapan cara berfikir, kecemerlangan pelajar ditentukan
oleh pelajar, fokus lulus 100% kurang penekan kualiti, penentuan jadual guru tidak diambil dari
perbincangan Jawatankuasa Jadual Waktu ,pProgram pembangunan staf lemah, mesyuarat
kurikulum 1 1/2 muka dan tidak bincang aspek profesional, post mortem tidak menyeluruh, TOV
- Target pelbagai cara.
Isu-isu berkaitan SKPMg2 pula adalah seperti guru besar dan guru kurang memahami kandungan
dan penggunaan SKPMg2, dokumen SKPMg2 tidak digunakan sebagai panduan bagi
meningkatkan kualiti kecemerlangan P&P, Guru tidak menjadi pemangkin kepada guru-guru lain
sama ada di sekolah sendiri atau di daerahnya untuk meningkatkan kualiti pendidikan
menggunakan SKPMg2. Berdasarkan isu-isu yang dinyatakan dalam tiga perenggan di atas
adakah Guru Besar yang berperanan sebagai pemimpin instruksional serta peminpin yang
berimpak tinggi berupaya menggembleng tenaga dan menggerakkan warga sekolah secara
bersepadu untuk memajukan sekolah dan meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran dan
seterusnya mewujudkan sekolah yang cemerlang untuk bersaing dengan cabaran pendidikan abad
ke-21 seperti yang diharapkan?

Oleh hal demikian, terdapat 3 (tiga) Aspek dan 12 (duabelas) Standard Kualiti Standard 1
SKPMg2 yang mesti dihadam dan dikuasai oleh seseorang Guru Besar bagi memastikan mereka
berperanan sebagai pemimpin instruksional serta pemimpin berimpak tinggi.

6.0 Kajian Literatur

6.1 Kepimpinan Instruksional

Guru besar sebagai pemimpin instruksional di sekolah memainkan peranan yang amat penting
dalam menentukan keberkesanan sekolah. Namun demikian peranan guru-guru juga adalah
penting kerana ia adalah sebahagian daripada proses perubahan dan penambaikan sekolah.
Sebagai seorang pemimpin instruksional guru besar perlu cekap mengesan dan mengenalpasti apa
yang perlu dilakukan untuk membuat perubahan dan penambahbaikan segala kekurangan atau
kelemahan yang ada di sekolah. “Saya tidak pernah terjumpa sebuah sekolah yang baik dipimpin

2030
oleh seorang yang tidak baik”. Itu adalah persepsi Fred Hechinger, Ketua Pengarang akhbar New
York Times terhadap pentingnya sebuah sekolah dipimpin oleh seorang pemimpin yang baik.

Selain itu peranan pemimpin instruksional sekolah sangat penting dalam usaha untuk
memperkasa peranan sekolah sebagai institusi ilmu dan pembentukan modal insan cemerlang.
Usaha memperkasa sekolah amat perlu kerana sekolah merupakan institusi atau unsur penting
dalam pembinaan masa depan (Rahimah Hj. Ahmad 2005). Siapakah individu yang paling
berperanan dalam usaha memperkasa keberkesanan institusi sekolah? Pastinya, guru besar
memberikan pengaruh yang kuat terhadap keberkesanan sesebuah sekolah (Benis, 1985).

Apakah bidang tugas guru besar di sekolah sehingga peranan mereka dilihat begitu memberi
kesan terhadap sekolah yang dipimpin? Mereka bertanggungjawab secara langsung dalam
melaksanakan segala program pendidikan di sekolah. Tugas mereka meliputi tugas-tugas sebagai
peneraju, pembimbing, pendorong (Standard 1 SKPMg2; 2016), pentadbir, pengurus, penyelia,
pengarah, pewakil, pemudah cara, penyelaras, pemberangsang dan penilai. Bagi melaksanakan
tanggungjawab itu, mereka perlu menggerakkan segala bentuk sumber dan modal insan di sekolah
terutamanya guru supaya guru-guru dapat berkhidmat dengan komited dan efektif (Mc.Nulty
et.al ;2005 dalam Lokman Tahir , 2008).

Kepimpinan instruksional merupakan satu entiti yang berbeza daripada urusan rutin harian
pentadbiran di sekolah tetapi yang berkait rapat dengan perlakuan pentadbir dalam penyeliaan
tugas guru di bilik darjah dan pemantauan kemajuan murid (Sheppard 1996). Konsep kolaboratif
dalam pengurusan amat penting khususnya dalam era perkongsian kepimpinan dan pengurusan di
tempat kerja (site-based-management) dan keperluan bagi pemimpin tanpa terikat dengan struktur
organisasi sesebuah sekolah (James Weber; 1996).

Seorang pemimpin instruksional yang berkesan perlu mengusai tiga aspek iaitu pengetahuan
asas, memahami bidang tugas dan menguasai kemahiran yang bersesuaian (Glickman; 1990).
Pemimpin instruksional mesti mempunyai pengetahuan asas tentang faktor-faktor di sebalik
pengajaran dan pembelajaran berdasarkan teori dan falsafah pendidikan yang kukuh. Bidang tugas
yang dikuasai oleh pemimpin instruksional mestilah bersifat mikro yang tertumpu pada usaha
mempertingkatkan kawalan dan pemahaman murid dalam konteks bilik darjah seperti berkaitan
iklim bilik darjah, kajian tindakan masalah pengajaran, strategi pengajaran berkesan, memimpin
pembelajaran, menggalakkan inisiatif meningkatkan hasil pengajaran dan pembelajaran dan
bersikap keterbukaan kepada idea yang mampu memaksimumkan kejayaan dalam kalangan
murid. Manakala bidang kemahiran pula seseorang pemimpin instruksional mesti memiliki
kemahiran bercorak ‘hands-on’ yang unggul dalam mengendalikan bilik darjah yang dapat
diteladani oleh guru-guru.

Guru besar merupakan elemen dan individu yang sangat penting dalam menentukan kejayaan
serta pembaharuan positif di sekolah (Edmonds; 1979, Thomas; 1997). Oleh hal demikian,
kemahiran kepimpinan mesti dimiliki oleh seseorang guru besar agar urusan pentadbiran sekolah
dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

6.2 Komitmen Guru

Manakala kajian litaratur berkaitan komitmen guru dapat kita lihat sebahagiannya dalam
perenggan ini. Dalam membincangkan komitmen guru, kajian emperikal menunjukkan bahawa
komitmen guru dalam bekerja banyak dipengaruhi oleh polisi pengurusan atasan sekolah dan
suasana kerja (Baron dan Greenberg, 1990 dalam Yahzanon etl., 2011). Kepimpinan sekolah yang

2031
tidak berkesan boleh memberi impak negatif kepada komitmen guru. Ramai guru merasa tidak
puas hati terhadap kepimpinan sekolah tidak hadir ke sekolah, ponteng kelas, iaitu gejala yang
dapat merosakkan kemurnian profesionalisme keguruan di Malaysia (Zubaidah, 1999 dalam
Lokman, 2007).

Seterusnya, bagi mengukur tahap komitmen guru terhadap organisasi Model Komitmen
Mowday et. al (1979) digunakan dalam kajian oleh Patimah Ibrahim (2007). Mowday
menjelaskan komitmen sebagai elemen psikologi hasil interaksi pekerja dengan pemimpin.
Menurut beliau, apabila wujud hubungan positif antara pekerja dengan gaya kepimpinan guru
besar, kepuasan kerja akan terhasil dan komitmen pekerja terhadap organisasi akan meningkat.
Mowday et. al (1982), telah membahagikan model komitmen ini kepada tiga dimensi utama iaitu
i. kepercayaan dan penerimaan terhadap matlamat organisasi. ii. kesanggupan berusaha untuk
organisasi. iii. keinginan untuk mengekalkan keahlian. Berdasarkan tiga dimensi ini, pengkaji
dapat mengukur tahap komitmen guru terhadap kebolehlaksanaan SKPMg2 dan tahap komitmen
guru terhadap kepimpinan instruksional besar.

Selain itu, sejauh manakah kemerosotan tahap komitmen guru boleh memberi impak negatif
terhadap profesion perguruan? Dapatan Ibrahim Saad daripada Ishak (2001) mendapati bahawa
bahawa guru-guru yang baru tamat latihan kurang berdaya usaha, kurang lasak dan mengada-
ngada. Ini dapat dikaitkan dengan faktor demografi dalam kajian ini. Steers (1977) telah
mengemukakan satu model peramal dan hasil komitmen pekerja terhadap organisasi apabila
pekerja terus berkhidmat dalam organisasi yang sama. Terdapat beberapa faktor peribadi yang
berhubung dengan komitmen pekerja terhadap organisasi namun yang dapat dikaitkan kajian ini
dua faktor iaitu: i. Umur - Peringkat umur yang sudah matang dan sudah sekian lama berkhidmat
kepada organisasi selalunya akan mencatatkan tahap komitmen yang tinggi berbanding dengan
pekerja baru. ii. Tahap Pendidikan - Pekerja yang berkelulusan tinggi lebih cenderung
menunjukkan sifat yang kurang komited terhadap organisasi berbanding dengan pekerja yang
berkelulusan rendah.

Berdasarkan kajian lieratur yang dicatatkan di perenggan di atas dapat kita rumuskan bahawa
kepimpinan instruksional guru besar dan komitmen guru-gurunya saling berkait dalam
nenentukan kebolehlaksanaan standard 1 SKPMg2.

6.1 Kepimpinan Instruksional : Kajian Lampau

Kertas konsep ini memberikan beberapa contoh kajian lampau berkaitan dengan kepimpinan
instruksional antaranya adalah kajian tentang Kepimpinan Instruksional Guru Besar di Sekolah
Kurang Murid oleh Zakaria Othman (2016). Antara tokoh-tokoh yang telah mendahului kajian
tentang kepimpinan instruksional adalah Hallinger (2003) yang menyatakan bahawa kepimpinan
instruksional merupakan tunjang utama dalam proses pendidikan dan pengukuran prestasi
sekolah. Pada tahun yang sama Hopkins juga melakukan kajian berhubung dengan kepimpinan
instruksional. Manakala di negara ini kajian berkaitan kepimpinan hangat dijalankan bermula
tahun 2006 (KPM 2006). Penulis-penulis lain di negara ini yang melakukan kajian behubung
dengan kepimpinan instruksional adalah Abdul Razak (2001), Ahmad Tajuddin (1989), Kam
(1983), Heng (1988), Manoharan (1995), Mohd Suhaimi (2004), Narimah (1997), Nazirah (2000),
Rahman 1995), Zakaria (1997), Zulkafli (2000), Abdul Wahab Mohd Arshad (2011), Ghe Ku
Alam Ku Ali (2011), Norini Wan Awang (2011) dan Jamelaa Bibi Abdullah (2012).

2032
6.2 Komitmen Guru : Kajian Lampau

Banyak kajian lampau telah dijalankan bagi mengenalpasti tahap komitmen guru sehingga
wujudnya pelbagai istilah tentang komitmen dan terbina juga darjah dan tahap untuk ukuran
komitmen. Sebagai contoh, penglibatan dalam memerima kepercayaan, nilai-nilai, matlamat
sekolah dan kesediaan untuk berusaha terhadap kemajuan sekolah serta berkeinginan kuat untuk
terus berkhidmat di sekolah tersebut sudah cukup untuk menunjukkan seseorang itu mempunyai
komitmen yang tinggi (Lina Norhayati, 2010 dan Robbin Judge,2007). Manakala alat pengukuran
komitmen direkacipta oleh Porter and Smith (1970, dlm Mowdayet al. 1982) yang dikenali
sebagai Organizational Commitment Questionaire (OCQ). Kajian oleh Ahmad Zabidi (2005)
mendapati apabila pengetua memberi peluang kepada para guru untuk membuat keputusan maka
komitmen guru untuk menjayakan program lebih terserlah. Dengan itu, sikap guru menjadi lebih
positif dan terbuka dalam proses membuat keputusan (Rahmad Sukor Ab. Samad & Norliza
Shoib, 2006). Kajian oleh Leitwood dan Jantzi (2005) mendapati bahawa komitmen adalah antara
pemboleh ubah yang benar-benar memberi kesan ke atas pencapaian murid. Selain itu, menurut
kajian oleh Chua (2005), komitmen guru adalah sangat penting kerana mereka bukan sahaja
bertanggungjawab dalam memastikan matlamat dan misi pendidikan tercapai tetapi mereka juga
berperanan dalam menyediakan pendidikan kelas dunia yang berkualiti.

6.3 SKPMg2 : Kajian Lampau

Sistem Pemastian Peningkatan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (SPPSTKP) atau juga disebut
sebagai Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dilindungi oleh Akta Pendidikan 1996
subseksyen 117(a) telah memperuntukan tanggungjawab kepada Ketua Nazir Sekolah (KNS)
untuk memastikan taraf (standard) pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di
institusi pendidikan. Maka Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) telah memperkenalkan
mekanisme yang lebih sistematik untuk memetapkan satu standard bagi meningkatkan kualiti
pendidikan yang kini dikenali sebagai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2
(SKPMg2) setelah melalui beberapa perubahan bagi memastikan ia merupakan satu dokumen
standard yang benar-benar menepati keperluan kualiti pendidikan hari ini. Kajian yang
dilaksanakan oleh Budiman Bin Sahali (2008) untuk megenalpasti pengaruh komponen Gaya
Kepimpinan guru besar terhadap penarafan sekolah berdasarkan SKPM ke atas sebelas buah
sekolah rendah kebangsaan mendapati guru besar zon pekan nanas menggunakan kedua-dua gaya
kepimpinan dengan lebih kerap menggunakan gaya kepimpinan pendayautamaan struktur
berbanding gaya kepimpinan bertimbang rasa. Menurut Jemaah Nazir Sekolah 2003 dalam kajian
kepimpinan di sekolah berkesan semenanjung Malaysia, didapati pemimpin sekolah yang
berkesan memberi perhatian yang berat terhadap aspek-aspek kepimpinan seperti gaya
kepimpinan, budaya ilmu dan berfikir, permuafakatan, motivasi dan dorongan, kepimpinan
kurikulum dan pengupayaan kepimpinan di tempat kerja. Berdasarkan kepada dapatan berkenaan,
maka aspek-aspek tersebut telah di tetapkan sebagai indikator prestasi oleh Nazir Sekolah untuk
mengukur keberkesanan kepimpinan di sekolah.

7.0 Implikasi - Berdasarkan Kajian Lampau

Berdasarkan kajian lampau yang diperoleh, peranan kepimpinan instruksional dan komitmen guru
masih perlu dikaji bagi mengenalpasti tahap kebolehlaksanaan SKPMg2 terutama pada elemen
aspek dan standard kualiti kepimpinan instruksional. Ini adalah disebabkan SKPMg2 merupakan
instrumen Penilaian Kendiri Sekolah (PKS) terkini setelah melalui proses penambahbaikan.
Kertas konsep ini akan membantu pihak Kementerian Pendidikan, Jemaah Nazir dan Jaminan

2033
Kualiti (JNJK), guru besar dan guru mengenalpasti tahap kebolehlaksanaan SKPMg2 berdasarkan
konstruk dan instrumen yang telah di tetapkan. Hasil daripada pengisian instrumen diharapkan
akan berlaku lonjakan terhadap kualiti pendidikan negara.

8.0 Kesimpulan

Tahap amalan kepimpinan instruksional guru besar dan hubungan komitmen guru-guru dalam
kebolehlaksanaan Standard 1 SKPMg2 merupakan perkara utama dalam kertas konsep ini bagi
mengenalpasti sama ada ia signifikan untuk digunakan dalam sistem pendidikan negara. Hasil
kajian lampau dalam kertas konsep ini pastinya dapat menjawab isu-isu dalam pendidikan
nasional yang seringkali dikaitkan dengan kepimpinan instruksional terutama sekali dalam
kebolehlaksanaan SKPMg2. SKPMg2 ini dirangka bagi meningkatkan kualiti pengoperasian
sekolah menggunakan kaedah penilaian kendiri sekolah (PKS) yang mana semua aspek penialaian
SKPMg2 adalah berdasarkan perkara dan tanggungjawab sedia ada sekolah.

Rujukan

Azizi Yahya, Noordin Yahya, Lim T.T, 2007. Gaya Kepimpinan Guru Besar dan Hubungannya
dengan Faktor-faktor Kepimpinan di Sekolah Penerima Anugerah Cemerlang di
Negeri Melaka.

Fatimah Affendi. 2014. Tahap Kepuasan Kerja dan Komitmen Organisasi Dalam Kalangan
Guru Kolej Vokasional: Pendekatan Structural Equation Model 2014, Tesis Sarjana
Pendidikan Teknik dan Vokasional, Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional,
Universiti Tun Hussien Onn Malaysia.

Gaya Kepimpinan Guru Besar dan Tahap Efikasi Guru 2016. Journal of Personalize Learning,
2(1)2016, 7-17.

Habib Mat Som, Syed Kamaruzaman Syed Ali, Komitmen Guru Dalam Pelaksanaan
Kurikulum dan Inovasi Berkesan. 2011. Masalah Pendidikan, 34 .2011.

Ilawati Johari @ Ismail 2012. Gaya dan Ciri Kepimpinan Pengurus Pertengahan Sekolah
Menengah di Zon Bandar Daerah Segamat 2012, Tesis Sarjana Pengurusan Pentadbiran
Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

James Ang Jit Eng, Balasandran Ramiah, 2013. Kepimpinan Instruksional Satu Panduan
Praktikal. PTS Akademia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2017. Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang


2.

Mastura Idris. 2013. Amalan Rangka Kepimpinan Pengetua serta Hubungkaitnya dengan
Komitmen Guru di Dua Buah Sekolah Kluster Kecemerlangan di Daerah Muar 2013,
Tesis Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Model Kepimpinan Pengajaran Pengetua dan Kompetensi Pengajaran Guru 2014. Jurnal
Kurikulum dan Pengajaran Asia Pasifik, 2014, Bil. 2 Isu 1.

2034
Norazlinda Saad, Surendran Sankaran, 2016. Galakan Pengetua dalam Membuat Keputusan
dengan Komitmen Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Berpencapaian Rendah 2016.
Pusat Pengajian Pendidikan & Bahasa Moden, Kolej Sastera & Sains, Universiti Utara
Malaysia. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 2016, Bil. 3, Isu 2.

Noorshazrina Faustine, Mohd Izham Mohd Hamzah. 2017. Amalan Kepimpinan Instruksional
Guru Besar dan Hubungannya Terhadap Guru Sekolah Rendah Di Daerah Lawas.
Prosiding Seminar Pendidikan Transactions (STED 2017) Fakuti Pendidikan Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Zalika Adam, Faridah Kassim, Mohamad Johdi Salleh. 2009. Memperkasa Pendidikan Luar
Bandar. Prosiding Persidangan Kebangsaan Pendidikan Luar Bandar 2009, Anjuran
Sekolah Pembanguan dan Pendidikan Sosial, Universiti Malaysia Sabah.

Zakaria Othman, 2016. Kepimpinan Instruksional Guru Besar Di Sekolah Kurang Murid. Tesis
Doktor Falsafah, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya Kuala Lumpur.

2035

Anda mungkin juga menyukai