Anda di halaman 1dari 2

Yaasin & Vaksin

Perlawanan antara Switzerland dan Sepanyol tamat.


Ketangkasan kedua-dua penjaga gol menyelamatkan tendangan penalti mengingatkan saya
ketika beraksi di depan gawang pada usia remaja dahulu.
Banyak juga tendangan penalti yang berjaya saya tangkap dan tepis keluar.
Tidak lama selepas itu layan perlawanan antara Sepanyol dan Belgium pula.
Saya capai telefon bimbit selepas tamat separuh masa pertama. Seperti dijangka pada pukul
3:45 pagi tidak ada mesej baru yang masuk dalam WhatsApp, Telegram dan FB untuk
dibaca.
Bagaimanapun signal merah pada aplikasi MySejahtera pantas menarik perhatian saya.
Tanpa berlengah lagi saya terus buka. Nak tau juga sebab apa ada signal merah.
'Alamak, pagi ini ada appointment suntikan vaksin pulak di Taiping,' kata saya dalam hati.
Ada dua pilihan. Setuju atau tidak setuju dengan tarikh dan masa yang ditetapkan.
Saya fikir sebentar. Boleh ke nak memandu kereta dari Ipoh ke Taiping? Saya belum tidur
lagi.
Kereta dah berapa lama tak basuh. Semua kedai basuh kereta tutup.
Pukul 7:30 pagi ada kelas Tajwid Yaasin dengan Ustaz Khairul Zaki. Saya dah bagi
komitmen nak ikuti kelas tu dari mula hingga akhir.
Ketika saya mengajar Bahasa Melayu di SMKA Slim River dahulu Khairul Zaki jadi murid
saya. Apabila dah pencen ni saya nak berguru ilmu al-Quran dengan beliau pula.
Kalau tidak setuju entah berapa lama lagi kena tunggu. Ini appoinmen kali kedua dah. Kali
pertama dahulu saya minta tangguhkan kerana perlu hadiri rawatan susulan di HRPB pada
tarikh yang sama.
Akhirnya saya buat keputusan dan jawab setuju dalam MySejahtera.
Saya tutup TV walaupun perlawanan bola sepak antara Sepanyol dan Belgium belum habis
lagi.
Kemudian saya set alarm pada telefon bimbit dan tidur. Mata memang dah mengantuk. Letak
kepala di bantal sekejap saja dah lena.
Alarm telefon bimbit yang membingitkan telinga mengejutkan saya daripada tidur. Saya
matikan alarm dan terus bangun. Jam menunjukkan pukul 5:55 pagi.
Selepas solat Subuh saya bergegas keluar. Cepat-cepat saya membasuh kereta. Tak sanggup
saya memandu kereta yang kotor macam tu.
Tepat pukul 7:05 siap basuh kereta. Hanya basuh dan lap cermin depan. Tak sempat nak lap
semua. Ketika memandu nanti dia akan kering sendiri.
Selepas itu terus bersiap dan bersarapan.
Pukul 7:35 pagi saya hidupkan enjin kereta. Sementara nak tunggu enjin panas saya buka FB
Live Ustaz Zaki.
Nasib baik kelas Tajwid Yasin mula lewat sikit disebabkan masalah teknikal. Dapatlah saya
ikuti dari awal.
Saya mula memandu ketika Ustaz Zaki mulakan sesi bimbingan bacaan Yasin bertajwid.
Sampai di plaza tol Jelapang saya angkat SmartTag dan halakan depan cermin. Palang tak
naik.
‘Eh, ini lorong Touch & Go, tak boleh guna SmartTag,’ saya merungut sendiri.
Hanya dua lorong dibuka. Lorong lain ditutup, termasuk lorong SmartTag.
Saya undurkan kereta dan bergerak lebih rapat dengan tempat sentuh kad. Palang terbuka dan
saya teruskan perjalanan.
Apa yang disampaikan oleh Ustaz Zaki ketika tersekat seketika di plaza tol tadi tak dapat
saya tangkap. Hilang fokus.
Saya teruskan perjalanan dan terus mengikuti bimbingan bacaan Yasin oleh Ustaz Zaki.
Perjalanan sangat lancar. Tak banyak kereta di lebuh raya. Lengang saja.
Pukul 8:45 pagi dah keluar tol Kamunting. Kali ini lorong SmartTag buka.
Saya halakan peranti SmartTag ke arah pengimbas. Palang tak buka juga. Pada skrin terpapar
‘Tiada Kad SmartTag’.
Saya tekan butang di sebelah kanan untuk meyemak baki.
‘Oh, bateri dah habis rupanya,’ kata saya apabila melihat skrin peranti itu kosong sahaja.
Saya cuba sentuh kad pada pengimbas Touch & Go.
‘Mesin tu dah rosak. Encik pergi lorong sebelah sana,’ kata pengawal keselamatan yang
bertugas di situ.
Sekali lagi saya kena undurkan kereta dan masuk lorong Touch & Go. Baru boleh keluar.
Nasib baik musim PKP, tak ada kereta lain di belakang.
Tidak jauh dari plaza tol itu ada sekatan jalan raya.
“Encik nak ke mana?” tanya pegawai polis yang bertugas di situ.
“Nak pergi ambil suntikan vaksin,” jawab saya.
“Boleh tunjukkan temu janji dalam MySejahtera?” pintanya.
Saya tutup FB Live. Ustaz Zaki pun dah nak akhiri sesi pengajian pagi itu.
Kemudian saya buka aplikasi MySejahtera lalu tunjukkan kepada pegawai polis tu.
Perjalanan ke PPV ADTEC Taiping diteruskan. Sebaik sahaja sampai di Pusat Latihan
Teknologi Tinggi itu lantas kenangan pada tahun 2015 terbayang di mata.
Di situlah saya hadiri Kursus Haji Perdana sebagai persediaan akhir sebelum berlepas ke
tanah suci untuk menunaikan fardhu haji pada tahun itu.
Proses vaksinasi dijalankan dengan sistematik dan lancar. Dari mula scan kod QR di pintu
masuk, pendaftaran hingga terima suntikan dan pemantauan mengambil masa lebih kurang
satu jam sahaja.
Saya perlu menunggu di ruang pemantauan lebih lama kerana ada sejarah mengalami alahan
yang serius dan masalah jantung.
Orang lain hanya tunggu 15 minit. Saya kena tunggu hingga 30 minit. Sambil menunggu saya
tulis cerita ini.
Belum habis cerita ditulis nama saya dipanggil. Saya pergi berjumpa doktor yang bertugas di
kaunter 5 untuk pemeriksaan.
Alhamdulillah, tidak ada apa-apa gejala alahan terhadap vaksin Sinovac yang disuntik di
bahu kiri. Saya dibenarkan pulang.
Lebih kurang 35 minit selepas itu baru rasa tak selesa. Tempat suntikan dah mula rasa sakit.
Saya teruskan juga memandu hingga sampai ke rumah. Alhamdulillah, sampai dengan
selamat.
Tubuh badan rasa lemah dan sakit di bahu makin kuat. Saya berehat saja. Tak ada mood nak
sambung cerita.
Hari ini pun asyik tidur sahaja. Letak kepala saja terus lena. Mungkin reaksi terhadap vaksin.
Malam ini baru rasa selesa sikit. Dapatlah saya sambung cerita untuk dikongsikan
pengalaman menerima suntikan vaksin bersama teman-teman di facebook ini.
Untuk dos kedua nanti tak boleh pergi seorang diri dah. Kena ditemani isteri atau anak. Kata
orang reaksi badan terhadap dos kedua lebih kuat daripada dos pertama.

Anda mungkin juga menyukai