Anda di halaman 1dari 2

Pengurus projek boleh kena tindakan

Oleh Suzalina Halid, K Mohana Priya - Januari 11, 2022 @ 5:31pm


bhnnews@bh.com.my
13

Ir Zamzurin (tengah) melakukan pemeriksaan di tapak projek pembinaan menerusi Ops Sedar 2022 (Pematuhan
Perintah Khas Ketua Pemeriksa Dan Jentera Tanpa Perakuan Kelayakan Yang Sah) peringkat Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Pengurus projek yang mengendalikan tapak pembinaan boleh berdepan tindakan
kompaun dan pendakwaan di mahkamah jika gagal memastikan keselamatan di tempat kerja mereka,
melalui Ops Sedar yang dilancarkan hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ir
Zamzurin Maarof, berkata ia adalah pendekatan baharu dilaksanakan agensi itu dalam memastikan
tapak projek lebih selamat.

Pelaksanaan peraturan itu adalah mengikut Perintah Khas Ketua Pemeriksa yang memfokuskan
operasi terhadap pengurusan dan pengendalian selamat kren menara, kren bergerak dan perancah,
acuan dan penyangga.

"Melalui Ops Sedar ini kita turut akan mengambil tindakan terhadap pengurus projek berbanding
sebelum ini hanya kepada majikan atau syarikat sahaja.

"Dengan ini, pengurus projek boleh didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda
tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua - duanya sekali jika
didapati bersalah mengabaikan aspek keselamatan di tapak projek," katanya selepas membuat
tinjauan pemeriksaan di tapak pembinaan Seksyen 96A Jalan Maarof, di sini.
Ir Zamzurin (tengah) melakukan pemeriksaan di tapak projek pembinaan menerusi Ops Sedar 2022 (Pematuhan
Perintah Khas Ketua Pemeriksa Dan Jentera Tanpa Perakuan Kelayakan Yang Sah) peringkat Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Melalui pemeriksaan di tapak pembinaan terbabit, satu notis pembaikan dan tiga surat arahan
dikeluarkan terhadap kontraktor pembinaan atas kesalahan yang memerlukan penambahbaikan
segera.

Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tepian terbuka tidak dihadang, kerja korekan tidak
selamat, akses perancah tidak selamat dan penyenggaraan pendawaian elektrik yang tidak
sempurna.

Pada masa sama beliau berkata, walaupun pengurus projek boleh dikenakan tindakan termasuk
pendakwaan undang-undang, majikan juga tidak terlepas daripada aspek itu seperti amalan sebelum
ini mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 dan
perintah Khas Ketua Pemeriksa.

Zamzurin berkata, JKKP akan terus membuat pemantauan yang berterusan dalam usaha
mengurangkan kadar kemalangan dalam industri pembinaan dan memastikan tapak bina dan
kawasan berhampirannya selamat dan kondusif.

"Adalah menjadi tanggungjawab pengurus projek untuk memastikan semua aspek keselamatan
dipatuhi bagi mengelakkan insiden tidak diingini, " katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata (JKKP) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan atau
pengurus projek yang gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Sepanjang tahun lalu, JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 19 kes kemalangan maut
membabitkan pekerja dan sembilan tindakan pendakwaan terhadap majikan dengan jumlah denda
RM159,500 bagi sektor pembinaan.

Anda mungkin juga menyukai