Anda di halaman 1dari 5

Teks Ucapan Ketua Murid

Assalamualaikum dan salam sejahtera’

Yang saya hormati saudara Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Pertang,
Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

Dengan segala hormat dan takzimnya, saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas limpah
kurnia-Nya, mengizini kita bertemu dalam majlis ini. Saya bersyukur juga kerana majlis yang
telah dirancang sejak sekian lama berjaya juga akhirnya dilaksanakan. Sebagai alu-aluan, saya
ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah yang telah berusaha
keras untuk menjayakan majlis yang penting dan bermakna kepada kami pelajar-pelajar di
sekolah ini..

Rakan-rakan sekalian,

Setelah lima tahun kita melakar sejarah di SMK Pertang ini, segala-gala yang dikutip di sini
telah terakam dalam sebuah sejarah peribadi masing-masing. Kita melalui saat-saat suka dan
duka semasa dalam proses pembelajaran. Pelbagai kerenah dan tingkah laku alam remaja
telah kita catatkan. Bermula dengan isu kenakalan remaja, berkenalan dan bercinta, belajar dan
berusaha telah menjadi asam garam bagi setiap pelajar di sekolah. Kita telah menimbulkan
pelbagai masalah dan tidak kurang mengimpakkan pelbagai kejayaan untuk dikongsi
kegembiraannya bersama-sama. Kejayaan yang telah kita lakarkan sama ada dalam aktiviti
kurikulum dan kokurikulum, turut menjadi rencah penyeri yang turut mengakrabkan hubungan
sesama warga sekolah. Namun, apa-apapun, saya yakin kepada para guru, kitalah racun dan
kitalah penawar. Antara guru dan pelajar ibarat lirik dan melodi, pincang salah satu tempanglah
kedua-keduanya. Namun dengan berkat kesabaran dan sikap berlapang dada para guru kita
berjaya sampai ke penghujung. Terima kasih, cikgu!

Hadirin sekalian,

Tinggal beberapa hari lagi kita akan berhadapan dengan tanggungjawab hakiki iaitu menduduki
peperiksaan PMR dan SPM. Sungguhpun demikian, saya penuh yakin dengan hemah dan
bijaksana para guru mendidik serta komitmen kita belajar, tidak mustahil satu lonjakan
berganda dapat kita realisasikan. Saya ingin melahirkan keyakinan ini kepada semua warga
sekolah, bahawa kami anak-anak didik tidak sabar-sabar untuk menduduki peperiksaan dan
menterjemahkan harapan daripada seluruh warga sekolah, ibu bapa, dan negara amnya.
Dalam situasi seperti ini hanya doa dan restu para guru yang kami harapkan. Kami yakin
bahawa percikan liur basah tuan-tuan dan puan-puan itulah yang bakal menjadi bintang
penyinar menyuluh hari depan kami yang gemilang. Sesungguhnya, jasa dan budi anda akan
terus terpahat kukuh di dalam hati nurani kami sampai bila-bila.
Rakan-rakan sekalian,

Ingatlah anda, guru merupakan penyuluh hidup yang sentiasa membawa sinar harapan. Namun
guru sebagai manusia biasa juga, justeru, kerenah para guru dalam pelbagai sikap dan
perwatakan tidak boleh dijadikan sempadan pemisah antara kita. Jadikan sikap bengis, garang,
pemendam rasa, penyayang, pembimbing, dan senyum tawa mereka sebagai bekalan untuk
kita ‘bertempur’ di dalam dewan peperiksaan. Tanamlah perasaan hormat dan sayang yang
tidak berbelah bahagi kepada mereka kerana doa dan restu mereka amat besar ertinya kepada
kejayaan kita.

Setelah kita meninggalkan sekolah secara total nanti, janganlah kita berkerat rotan dan
berpatah arang dengan ‘rumah tangga’ yang telah menghamparkan selingkar kisah hidup
kepada kita di sini. Pulanglah ke tempat asal dengan selamat. Rancanglah aktiviti yang
berfaedah sebelum keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Agar tidak terputus silaturahim,
sentiasalah kita berhubung antara satu sama lain terutama sekali dengan guru-guru. Pemergian
kita merupakan kehilangan kepada para guru. Bagi seseorang guru, pelajar merupakan jantung
dan hati mereka. Oleh itu, janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit atau bak daun
terbang jauh melupakan induk.

Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian,

Menjejaki patah-patah terakhir bicara saya, lidah saya bagaikan kelu untuk melafazkan selamat
tinggal untuk tuan-tuan. Walau apapun demikianlah lumrah alam, berjumpa dan berpisah sudah
menjadi adat manusia biasa. Sebagai kenang-kenangan terimalah bingkisan pantun daripada
saya;

Rumpun halia rumpun pegaga

Tumbuh subur di tepi kali

Kudrat guru menabur jasa

Mendidik pelajar berhati budi

Tenang-tenang air di laut

Sampan kolek mudik ke tanjung

Hati terkenang mulut menyebut

Budimu tuan bertakhta dijunjung.

Sekian terima kasih.


Sekolah anda telah menerima pengetua yang baru. Pihak sekolah telah mengadakan sambutan
khas menyambut ketibaan beliau. Selaku ketua pelajar, anda telah dijemput untuk
menyampakan ucapan bagi pihak pelajar.

Tulis teks ucapan anda itu selengkapnya.*

Assalamualaikum dan salam sejahtera’

Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang
Saujana, Tuan Haji Zamirul bin Ramli, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan
yang dikasihi sekalian.

Atas limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran
kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada kita
warga SMK Ambang Saujana. Kita berasa bertuah dan bersyukur kerana kekosongan tempat
selaku pengemudi sekolah selama enam bulan terisi juga akhirnya. Justeru, mewakili warga
pelajar, saya mengalu-alukan ketibaan Tuan Haji Zamirul ke SMK Ambang Saujana.
Sesungguhnya, kedatangan tuan memang menjadi penantian kami, bak pantun;

Kembang seroja kembang setaman

Harum semerbak menyeri pagi

Selamat datang tuan budiman

Ibarat yang pergi isi berganti

Hadirin sekalian,

Tuan Haji Zamirul merupakan putera sulung kepada pasangan Haji Ramli Mursyid dan Puan
Hajah Umi Sarah. Diputerakan sejak 48 tahun yang lalu. Kini telah berkeluarga dan mempunyai
empat orang cahaya mata. Beliau menerima pendidikan awal di Tanjung Karang. Di peringkat
menengah beliau belajar di SMK Ambang Saujana dan seterusnya melanjutkan pelajaran di
Fakulti Sains dengan pengkhususan dalam subjek Kimia dan Matematik di Universiti
Kebangsaan Malaysia. Atas minat yang mendalam dalam bidang pendidikan, beliau telah
memilih untuk menjadi guru sebaik tamat pengajian di universiti. Walaupun pada waktu itu,
sebagai pelajar sains beliau mempunyai banyak pilihan untuk menjawat jawatan lain yang lebih
baik, namun beliau tetap memilih bidang perguruan. Sebelum dilantik ke jawatan pengetua di
sekolah ini, beliau telah menjawat jawatan yang sama di beberapa buah sekolah di negeri
Selangor. Oleh hal yang demikian, kedatangan beliau ke sini sebagai kesinambungan tugas
beliau memandangkan beliau sudah mempunyai cukup pengalaman mentadbir.

Atas kelayakan akademik yang beliau perolehi dan pengalaman mentadbir di beberapa buah
sekolah, diyakini kehadiran beliau ke sini bak sirih pulang ke gagang kerana kembali kepada ibu
kandung. Kehadirannya menggantikan tempat pengetua yang lalu ibarat patah tumbuh hilang
berganti kerana stail dan rentak mereka tidak jauh berbeza. Oleh itu, kami warga sekolah
khususnya dalam kalangan pelajar amat berbangga dengan kehadiran tuan pengetua. Selamat
datang, Tuan Pengetua! Kedatangan tuan ke sini amatlah kami alu-alukan, bak kecil tapak
tangan nyiru kami tadahkan.

Rakan-rakan sekelian,

Sebagai pengetua yang telah mencipta beberapa kejayaan ketika di sekolah dahulu, tidak syak
lagi tuan pengetua akan melakukan beberapa pengubahsuaian dan program bersepadu untuk
mempertingkatkan lagi lonjakan akademik di sekolah ini. Sebagai pelajar yang pernah
mendapat pendidikan di sini, pasti tuan pengetua mempunyai sentuhan sentimental untuk
dilaksanakan bagi faedah pelajar. Daripada peribadi beliau yang berhemah tinggi dan terkenal
sebagai pengetua yang berbudi bahasa, warak dan tegas, kami yakin segala program
pembangunan insan di sekolah ini akan dijuruskan kepada pembentukan akhlak mulia dalam
kalangan pelajar. Keteramplan diri dalam aspek kurikulum, kokurikulum, sahsiah, dan jati diri
pelajar akan menjadi agenda utama tuan pengetua laksanakan nanti.

Dengan kesempatan yang ada ini, saya menyeru rakan-rakan pelajar supaya menggandakan
usaha untuk menempatkan diri kita sebagai antara pelajar yang cemerlang dalam daerah ini
dan sekali gus mengungguli sekolah terbaik bagi negeri Selangor seperti yang telah dicapai
beberapa tahun yang lalu. Marilah bersama-sama kita menanamkan azam untuk membentuk
peribadi yang mulia, menjadi insan yang patuh akan Tuhannya, matang berfikir, dan aktif dalam
setiap aktiviti yang bermanfaat. Semua pihak sedar, walau sebaik manapun seseorang
pentadbir, tanpa komitmen yang tinggi daripada pelajar-pelajar, hasrat untuk mengulangi
kecemerlangan tidak mungkin menjadi kenyataan. Usaha yang selanjutnya, marilah kita
menyimpan azam yang kuat di samping tidak putus-putus berdoa ke hadrat Illahi supaya usaha
kita diberkati.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Sampai di sini ucapan saya sebagai meraikan ketibaan kali pertama tuan pengetua. Kepada
tuan pengetua saya menaruh harapan yang cukup tinggi supaya didiklah kami, bentuklah kami
agar segala laluan yang dirintih menjadi landasan untuk kami menjadi insan yang berguna
terhadap nusa, bangsa, dan agama.

Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai