Anda di halaman 1dari 4

Selamat sejahtera dan Salam Malaysia Madani saya ucapkan

kepada Yang dihormati Tuan Peneraju Majlis, Barisan hakim


yang sentiasa menegakkan tembok keadilan, penjaga masa
yang setia dengan jam digitalnya, guru-guru, rakan-rakan
serta hadirin yang dikasihi sekalian. “E-sukan trend generasi
muda”, begitulah tajuk pidato yang akan saya paparkan pada
hari yang mulia ini.

Warga dewan Budiman,

Sukan elektronik atau e-sukan telah menerima sambutan


yang hangat saban hari terutamanya dalam kalangan generasi
muda. Sukan elektronik merupakan satu bentuk permainan
video untuk bersaing dengan individu lain secara dalam
talian. Namun begitu, masyarakat menganggap sukan
elektronik ini tidak mendatangkan faedah dan boleh
mengalpakan golongan remaja. Pandangan negatif ini harus
diubah kerana e-sukan telah diiktiraf di peringkat global.
Sebenarnya, terdapat banyak bukti e-sukan memberikan
manfaat kepada pemainnya terutama golongan remaja.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Bukti pertama e-sukan mendatangkan manfaat kepada


remaja ialah pemain e-sukan mempunyai kemahiran
menyelesaikan masalah dan berfikiran kreatif. Hal ini
dikatakan demikian kerana individu yang terlibat secara
langsung dengan arena e-sukan mempunyai kemahiran
kognitif yang tinggi dan mereka mampu melakukan 400
pergerakan dalam seminit pada papan kekunci. Sebagai
contoh, dalam permainan Mobile Legends, pemain perlu
berhadapan dengan pelbagai pilihan untuk melepasi halangan
bagi kemenangan. Kesannya, pemain mempunyai ketajaman
minda untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan
sebelum membuat keputusan. Jelaslah bahawa remaja dapat
menyelesaikan masalah dan berfikiran kreatif sekiranya
terlibat dalam e-sukan.

Warga saksi penuh visi,

Seterusnya, bukti kedua ialah e-sukan dapat memperluas


jaringan sosial dalam kalangan remaja. Hal ini dikatakan
demikian kerana remaja yang terlibat dalam e-sukan
mempunyai kenalan yang berada di luar negara kerana setiap
pemain perlu berinteraksi dengan pemain lain yang tidak
diketahui latar belakang dan asal usul. Misalnya, dalam
permainan Fifa Online, mereka perlu bermain bersama-sama
untuk mendapat keserasian. Oleh itu, tidak hairanlah para
pemain e-sukan ini mempunyai komuniti kenalan yang besar.
Impaknya, remaja dapat menambah kenalan baharu tanpa
sempadan geografi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di samping itu, satu lagi bukti e-sukan memanfaatkan remaja


ialah e-sukan meningkatkan kecerdasan visual. Hal ini
dikatakan demikian kerana kecerdasan visual merupakan
kemahiran memvisualisasi ruang dan kebolehan untuk
mengesan dan menggambarkan bentuk, ruang, warna dan
garisan. Sebagai contoh, Minecraft melatih minda pemain
untuk bergerak tanpa peta dan memahami jarak serta ruang
dengan lebih mendalam. Kesannya, kemahiran ini membantu
pemain dalam koordinasi pergerakan seperti menari,
membaca dan mengira. Maka, jelaslah bahawa e-sukan dapat
meningkatkan kecerdasan visual remaja.

Hadirin sekalian,

Bukti terakhir yang ingin saya sampaikan ialah e-sukan


membantu menjana pendapatan pada usia yang muda. Hal ini
dikatakan demikian kerana banyak remaja yang berbakat
dalam e-sukan telah memperoleh pendapatan yang lumayan
melalui pertandingan e-sukan. Sebagai contoh, dalam usia
yang masih muda, Muhammad Luqman dan Ahmad Shahrin
telah mencipta sejarah dalam permainan video FIFA 21 di
peringkat global dan kejayaan ini memberi mereka pulangan
yang lumayan. Kesannya, e-sukan ini bukan sahaja dapat
memberikan pendapatan yang lumayan malah mengharumkan
nama Malaysia di persada dunia. Jelaslah bahawa manfaat e-
sukan kepada remaja ialah e-sukan menjanakan pendapatan
yang lumayan.

Tuntasnya, e-sukan mempunyai ruang untuk terus gemilang


pada masa hadapan, kerana e-sukan membantu remaja
meningkatkan kemahiran sebagai atlet ruang maya. Usaha
memperkasakan e-sukan wajar dilaksanakan untuk terus
mengembangkan sukan digital ini dalam kalangan remaja
kerana peribahasa Melayu ada mengatakan, “tak kenal maka
tak cinta”. Kita berharap semoga pihak kementerian
Pendidikan memberikan perhatian kepada pembangunan
sukan ini serta mempromosikan kelebihan e-sukan ini kepada
masyarakat pada masa hadapan.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai