Anda di halaman 1dari 8

MASJID SEBAGAI “ONE STOP CENTER”

Pengimarahan masjid merupakan satu tanggungjawab yang sangat ditekankan dalam


Islam yang mesti diberi keutamaan. Pemilihan terhadap individu yang benar-benar
layak dalam memimpin institusi masjid sangat memainkan peranan bagi menggerakkan
fungsi masjid yang mesra masyarakat. Al-quran dan sunah telah menggariskan
panduan dalam mengimarahkan masjid. Peranan pengimarahan institusi masjid terletak
kepada kesungguhan dan usaha dalam kalangan pihak pengurusan masjid yang
memahami prinsip-prinsip pengimarahan masjid. Dalam penulisan ini menerangkan
bagaimana pengimarahan sesebuah masjid itu terlaksana bagi menerajui kepimpinan
institusi masjid sebagai “One Stop Center”.

1. Pengenalan
Masjid adalah tempat yang paling dicintai oleh Allah swt. Masjid merupakan syiar yang
melambangkan keagungan agama Islam bermula pada zaman kemunculan Islam
sehingga pada hari ini. Institusi masjid berperanan besar dalam mewujudkan
masyarakat yang beriman, bertakwa dan cemerlang dalam menjalani kehidupan dunia
dan akhirat. Rumah Allah adalah umum dikenali sebagai tempat suci bagi umat Islam
untuk melaksanakan ibadah khusus, namun fungsinya merangkumi pelbagai perkara
penting melibatkan aktiviti kemasyarakatan umat Islam dalam menjalani kehidupan
seharian.
Sirah Rasulullah s.a.w memberi pengajaran yang amat mendalam kepada umat
Islam dalam membentuk masyarakat cemerlang. Kajian dan penelitian para ulama dan
sarjana yang menghayati sirah Rasullullah s.a.w menyimpulkan bahawa terdapat tujuh
langkah strategik yang dilakukan oleh Rasullullah dalam membangunkan masyarakat
Madani di Madinah. Langkah-langkah strategik tersebut adalah seperti berikut:
1. Mendirikan masjid.
2. Mengikat persaudaraan antara muslim.
3. Mengikat perjanjian dengan masyarakat bukan muslim.
4. Membangun sistem politik (syura).
5. Meletakkan sistem dasar ekonomi.
6. Mengeratkan teladan baik terhadap golongan masyarakat elit.
7. Menjadikan ajaran Islam sebagai sistem nilai dalam masyarakat.
Usaha memakmurkan masjid merupakan usaha yang sangat penting. Sebuah
masyarakat yang mempunyai komuniti berakhlak mulia, beramal soleh, rukun tetangga
yang harmoni dengan nilai-niai Islam yang diamalkan, maka masjid adalah menjadi
teras utama kepada kedamaian dan keharmonian hasil daripada memakmuran masjid.
Firman Allah yang bermaksud “hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan)
masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kiamat
serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah,
maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk” (At-Taubah:
18).

2. Definisi One Stop Center


One Stop Centre (OSC) atau Pusat Setempat diwujudkan bagi memastikan
perlaksanaan penambahbaikan sistem penyampaian dapat dilaksanakan dengan lebih
efisien dan komprehensif demi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta
meransang pertumbuhan ekonomi Negara.
Bagaimana pula jika ia diaplikasikan ke atas pengurusan masjid. Adakah masjid akan
menjana ekonomi kepada negara atau rakyat setempat?
Jika dirujuk pada perkataan al-I’marah yang berasal dari bahasa Arab dan diguna pakai
dalam bahasa Melayu yang memberi maksud iaitu hal-hal yang membawa kepada
pembangunan, kemajuan, peningkatan dan sebagainya. Ianya diambil dari firman Allah
yang bermaksud “Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah” (at-Tawbah
9:18). Menurut kamus dewan, i’marah bermaksud mengimarah, menggerak dan
menghidupkan suasana masjid dengan pelbagai aktiviti berfaedah yang berbentuk
keagamaan. Kamus Dewan, Edisi Keempat (2007).
Menurut Prof. Dr. Hamka (Hamka 1984) yang menyatakan ta’mirul masajid ialah
yanag sentiasa menghidupkan jemaah di dalamnya, beribadat, berkhidmat,
memelihara, membersih, memperbaiki yang rosak, mencukupkan mana yang kurang
dan berhijrah kepadanya untuk beribadah. Manakala ulamak tersohor Prof. Dr. Yusuf al-
Qaradawi, pula menyatakan bahawa memakmurkan masjid bermaksud mendirikan
solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar syiarnya. (Yusuf al-
Qaradawi:1990;3-4). Perkataan al-I’marah tidak boleh dipisahkan daripada pengertian
al-Umran. Ini kerana tanpa salah satu dari keduanya, perkataan-perkataan ini tidak
mempunyai erti. Tujuan al-I’marah ialah untuk membina, membangun sesuatu
bangunan, kawasan, alam sekitar, negara dan ummah (Ibn Khaldun: terjemahan dari
bahasa Arab ke Bahasa Inggeris oleh Franz Rosentual London, 1958:808).

3. Matlamat Masjid Sebagai Pusat Tumpuan Setempat (One Stop Center)


Masjid merupakan lambang syiar Islam serta berperanan sebagai pusat yang
menghubungkan manusia sesama manusia dan hubungan dengan Allah. Rasulullah
s.a.w mengambil langkah bijaksana bagi meluaskan fungsi dan peranan masjid untuk
mewujudkan perpaduan di kalangan umat Islam semasa penghijrahan ke Madinah.
Menjadikan masjid sebagai Pusat Tumpuan Setempat (OSC) merupakan perkara
penting di dalam masyarakat bagi melahirkan sifat ukhwah dan mengeratkan hubungan
ummah. Untuk mengembalikan fungsi dan peranan masjid yang sebenar, kita
memerlukan kesepakatan dan semangat juang yang tinggi bagi mendukung
kemakmuran masjid. Di antara perkara-perkara yang perlu dilakukan ialah usaha
memberikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada Masyarakat dengan
menganjurkan majlis-majlis ilmu yang memberi kesedaran dan kefahaman untuk
mengembalikan kekuatan umat tentang kepentingan menuntut ilmu.
Sebagai contoh Nabi s.a.w melaksanakan usaha dakwah melalui pelbagai aktiviti
di masjid dan di antara aktiviti yang popular ialah, beliau mengadakan ceramah umum
di di pinggir-pinggir masjid termasuk di kawasan lapangan. (al- ‘Adawi. 1997;87). Selain
itu, rumah al-Arqam ibn Arqam turut dipilih sebagai tempat mengajar agama atau
dikenali sebagai kelas fardu a’in. Nabi s.a.w sangat mementingkan para sahabatnya
untuk mendalami ilmu supaya mereka dapat beramal dengan menghayati ilmu-ilmu
yang disampaikan.
Selain daripada konsep ilmu, konsep perancangan yang bijak turut berperanan
dalam mengatur strategi pengimarahan institusi masjid. Konsep ini menggunakan
pelbagai strategi dan pendekatan yang mesra serta berbeza dalam usaha
mempengaruhi masyarakat agar jinak menghadirkan diri ke masjid. Antara pendekatan
yang menyumbang kepada faktor utama adalah pengurusan masjid yang mesra dan
bijak memainkan peranan dalam menganjur pelbagai aktiviti sihat, ilmiah, Pendidikan di
kalangan ahli kariah bagi menarik minat untuk meghadirkan diri ke masjid. Melalui
pelbagai aktiviti-aktiviti tersebut, secara hakikatnya dapat menjalinkan hubungan baik
antara ahli kariah dan institusi masjid. Asas dalam keperluan pegimarahan masjid
mestilah didasari oleh keagamaan iaitu konsep memakmurkan masjid, konsep amar
makruf nahi munkar, konsep keilmuan dan secara tidak langsung mampu untuk
mengikis kejahilan.
Aktiviti-aktiviti yang membawa kepada keberkatan, keharmonian dan berfaedah
boleh meningkatkan pembangunan masyarakat Islam. Dengan kata lain, untuk
membentuk perabadan yang tinggi dan maju, ia memerlukan gabungan yang solid
antara manusia dan syariat bagi memartabatkan agama dan akhlak serta kemajuan
ilmu duniawi dan ukhrawi.

4. Peranan Institusi Masjid Ke Arah Masjid Sebagai Pusat Tumpuan


Institusi masjid pada umumnya adalah sebagai nadi kehidupan dalam beragama dan
kemasyarakatan umat Islam. Kekuatan Islam terletak pada sistem sosial yang dibina di
kalangan masyarakat yang harmoni dan bersatu hati. Antara isu yang selalu ditimbulkan
dalam kalangan masyarakat yang cakna agama adalah berkenaan kedudukan institusi
masjid yang suram atau tidak lagi diimarahkan dalam kehidupan masyarakat seharian.
Mahazan Abdul Mutalib (2013).
Hal ini terjadi disebabkan tiada kesungguhan dalam memahami konsep
pengimarahan masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. Masalah
ini bukan sahaja berlaku di kalangan masyarakat awam semata-mata malah, ianya turut
berlaku ke atas pihak pengurusan masjid. Perkara seperti ini jika berterusan maka,
kesan buruk akan terus berlaku kepada institusi masjid malah kemungkinan akan lebih
parah. Ini kerana memahami konsep sebenar institusi masjid merupakan tunjang utama
ke arah membina dan merancang aktiviti pengimarahan yang tersusun. Abdul Munir
Yakob. (1986). Realiti yang berlaku pada hari ini adalah institusi masjid adalah hak
eksklusif AJK masjid sahaja. Ini mengakibatkan masyarakat menjauhkan diri dengan
masjid. Seharusnya pihak pengurusan masjid bekerjasama dengan ahli kariah dan
masyarakat umum dalam menjayakan pengimarahan masjid.
Dalam merealisasikan masjid sebagai pusat tumpuan, barisan pimpinan institusi
masjid memerlukan kepada penambahbaikan dalam menstrukturkan semula organisasi
dan hala tuju institusi masjid. Kepimpinan institusi masjid perlu memiliki daya pemikiran
ke hadapan dalam usaha menghidupkan suasana masjid yang kondusif dan praktikal.

5. Merialisasikan Peranan Masjid Sebagai Pusat Tumpuan Setempat


Institusi masjid tidak terhad sekadar tempat tumpuan ibadah dan menuntut ilmu sahaja
malah, ia memainkan peranan yang lebih daripada itu. Dalam penulisan ini saya tertarik
dengan sebuah institusi masjid yang terletak di negeri jelapang padi yang mampu dan
berjaya merialisasikan peranan institusi masjid iaitu Masjid Al-Busyra di Merbok, Kedah.
Menurut pengerusi dan juga imam di masjid tersebut, Mohd Firdaus Mat Akhir jelasnya,
transformasi dilakukan ke atas masjid lama yang dibina pada tahun 1972 dengan
rekaan moden serta diberi nafas baharu yang sesuai dengan peredaran semasa. Sejak
beliau memikul jawatan pentadbiran pada 2018, beberapa inisiatif telah berjaya
dilaksanakan termasuk menaik taraf ruang solat, menambah hiasan seni reka masjid,
membina tandas dan medan selera yang berkonsepkan ala hentian rehat dan rawat
(R&R), perpustakaan mini serta kemudahan tempat letak kereta yang selesa.
Idea untuk merialisasikan Masjid Al-Busyra sebagai masjid pertama mesra
musafir di Kedah hampir terlaksana apabila ia dibina berkonsepkan secara terbuka atau
tanpa pagar dengan tujuan mengalu-alukan kedatangan jemaah dan pengunjung.
“Sesiapa sahaja boleh datang dan singgah pada bila-bila masa dan memanfaatkan
segala kemudahan yang ada,” katanya. Bagi memastikan aspek keselamatan
terpelihara, pihaknya menyediakan khidmat pengawal keselamatan dan turut dilengkapi
kamera litar tertutup (CCTV). Selain itu, air telaga wakaf turut disediakan bagi anak
kariah jika berdepan dengan kesulitan mendapatkan bekalan asas itu. Pengunjung juga
boleh mendapatkan barangan keperluan harian yang dijual di Al-Busyra Mart dan jika
ada pengunjung yang tidak dapat menunaikan solat tetapi menunggu ahli keluarga
yang menunaikan solat atau yang mengikuti program kerohanian dan keagamaan,
mereka boleh mendapatkan khidmat cuci kereta yang turut disediakan. Kehadiran
pengunjung tidak kurang hebatnya dan lebih meriah pada waktu malam kerana terdapat
perkhidmatan menyewa skuter dan kereta untuk kanak-kanak yang disediakan di
perkarangan masjid.
Dari semasa ke semasa beberapa inisiatif lain termasuk penyediaan inap desa
yang dilengkapi kemudahan kolam renang masih dalam proses pembinaan sebagai
salah satu tarikan serta memberi penjanaan ekonomi masjid. Sejak Masjid Al-Buysra
dinaik taraf, ia tidak pernah sunyi, malah sentiasa dikunjungi oleh pengunjung setempat
mahupun dari luar daerah walaupun kedudukan masjid ini jauh di pendalaman.

5. Menghidupkan Roh Masjid


Seluruh ruang muka di muka bumi ini tidak harus dikotorkan dengan kejahatan dan
dosa kerana Allah s.w.t telah menetapkan ianya bersih untuk beribadat. Ini bermakna
semangat dan roh masjid mestilah disebar luas kepada apa jua institusi kerajaan atau
institusi masyarakat supaya tidak wujud percanggahan antara masjid dengan pusat-
pusat aktiviti yang lain.
Dalam sejarah Islam didapati ramai dalam kalangan pemimpin dan ulama Islam
yang menghayati rahsia ini dengan mendirikan masjid sebagai pusat utama kepada
pembangunan bandar dan negeri. Utbah bin Ghazwan ketika membuka Bandar Basrah
pada tahun 16 Hijrah, semasa pemerintahan Umar Ibn al-Khattab, telah menempatkan
masjid sebagai pusat kepada kegiatan Kerajaan. Ianya dikelilingi oleh bangunan
pentadbiran dan kawasan perumahan. Perkara yang sama telah dilakukan oleh Saad
bin Abi Waqas ketika membuka Bandar Kufah pada tahun 17 Hijrah di mana
kemudahan jalan yang menghubungkan terus antara masjid dengan bangunan
pentadbitan dan perumahan serta lokasi masjid berada di kedudukan tengah bandar.
Begitu juga tindakan yang dibuat oleh Amru Ibn al-As di Fustat, Uqbah bin Nafi` di
Qairawan dan Abu Ubaidah al-Jarrah di Damsyik. Langkah tersebut membolehkan
semangat dan roh masjid terus mempengaruhi kehidupan harian di dalam institusi
masyarakat dan kerajaan secara langsung dan berterusan.
6. Kesimpulan
Prinsip menjadikan masjid sebagai One Stop Center perlu diperluaskan dalam
pembangunan masyarakat umat Islam. Ini kerana fungsi institusi masjid bukan sahaja
tertumpu kepada ibadah solat semata-mata, malah fungsi dan peranan masjid perlu
diimarahkan melalui pembangunan ummah keseluruhanya. Ini kerana institusi masjid
merupakan pusat yang menghubungkan manusia sesama manusia dan hubungan
dengan penciptanya. Memakmurkan masjid merupakan perkara penting di dalam
masyarakat bagi melahirkan kelompok manusia yang bersifat takwa. Bagi mewujudkan
institusi masjid sebagai pusat tumpuan masyarakat kita memerlukan kepada
kesepakatan dalam menjiwai peranan dan fungsi sebenar masjid. Pihak pengurusan
masjid adalah peranan utama untuk menjaya dan merialisasikan gerakan ini. Walau
bagaimanapun, sokongan dan sambutan masyarakat juga diperlukan sebagai pihak
yang mendokong seruan institusi masjid yang dituntut untuk diimarahkan.
Lampiran

Masjid Al-Busyra Medan Selera

Rujukan

Pusat Cuci Kereta Air Telaga Wakaf


Bahagian Luar Masjid Tandas

Anda mungkin juga menyukai