Anda di halaman 1dari 1

DISEDIAKAN OLEH: CHAN SHANG XUAN, KELLY LOO KAI LI

TAJUK KARANGAN:
PERANAN IBU BAPA UNTUK MEMBANTU ANAK-ANAK MENCAPAI KEJAYAAN

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Mereka memiliki segala ramuan untuk
membantu kejayaan anak-anak. Sejarah membuktikan tokoh-tokoh hebat yang muncul dalam sejarah dunia datangnya
daripada ibu bapa yang begitu prihatin terhadap kejayaan anak-anak mereka. Ibu bapa itu mungkin miskin harta benda
tetapi kaya dari segi semangat, disiplin, motivasi, dan dorongan sehingga mampu memacu tenaga dalaman anak untuk
mencapai kejayaan yang cemerlang. Oleh yang demikian, terdapat pelbagai peranan yang dapat dilakukan oleh ibu
bapa untuk membantu kejayaan anak-anak.

Peranan utama yang mesti dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran adalah dengan membina sebuah rumah tangga yang bahagia dan harmoni. Hal ini
dikatakan demikian kerana kehidupan yang bahagia dan harmoni akan membina perasaan bahagia dan selamat dalam
kalangan anak. Mereka berasa gembira berada di rumah dan bersyukur kerana memiliki ibu bapa yang menyayangi
mereka. Hal ini akan membentuk semangat dalam kalangan anak. Hal ini sangat berbeza daripada anak-anak yang
lahir dan membesar dalam keluarga yang berantakan. Mereka berasa tertekan semasa berada di rumah. Mereka
bimbang pertengkaran ibu bapa akan berlaku sehingga mengganggu tumpuan mereka untuk belajar. Jelaslah bahawa
rumah tangga yang harmoni menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah bertanggungjawab untuk memantau pergaulan anak-anak dengan rakan
sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan
masa depan mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuan. Dalam kebanyakan keadaan, anak-anak lebih mempercayai dan meyakini rakan daripada ibu
bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak
bergaul dengan rakan yang bermasalah, biasanya mereka juga akan bermasalah. Bagi menangani masalah ini, ibu
bapa mestilah mengambil tahu akan personaliti rakan-rakan baik anak-anak dan segera mengambil tindakan jika anak
mereka mula berubah kepada perlakuan yang negatif.

Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah selalu bertukar-tukar pendapat dengan anak-anak tentang sesuatu
perkara. Aktiviti ini bukan sahaja dapat membuahkan sesuatu keputusan yang lebih baik, malahan dapat mengeratkan
hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Pendapat anak-anak haruslah didengar dan diberikan perhatian oleh ibu bapa
terutama yang melibatkan diri anak-anak itu. Jangan sesekali ibu bapa bersikap kuku besi terhadap anak-anak. Hal ini
akan menjadikan anak-anak berasa tertekan, tiada kebebasan dalam menentukan hala tuju mereka, dan hilang
keyakinan diri. Jadi, ibu bapa mestilah bersedia untuk menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak. Kesedihan
anak-anak mestilah dikongsi bersama supaya segala masalah yang ditanggung mereka tidak terperap dan
membengkak dalam hati mereka.

Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan yang amat signifikan untuk membantu kejayaan anak-anak.
Dengan itu, ibu bapa hendaklah gigih dan tekun untuk memainkan peranan itu. Peribahasa kita ada mengatakan,
bagaimana acuan, begitulah kuihnya yang menggambarkan sikap ibu bapa akan mempengaruhi kejayaan anak-anak.

Anda mungkin juga menyukai