Anda di halaman 1dari 4

Bahasa Rojak PENUBUHAN Panel Penasihat Penyiaran telah dilancarkan pada 17 Ogos 1997 oleh Menteri Penerangan, Datuk

Mohamed Rahmat. Panel yang berperanan sebagai penasihat kepada Menteri Penerangan itu bertanggungjawab menetapkan standard yang perlu dipatuhi oleh stesen penyiaran tempatan ke arah mewujudkan masyarakat bermaklumat di samping mengekalkan nilai murni. Pelantikan tokoh politik veteran, Datuk Dr. Rais Yatim - yang suatu ketika dahulu pernah menyandang tugas Menteri Penerangan - sebagai pengerusi panel yang dianggotai oleh kira-kira 25 ahli itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri pada 7 Ogos 1997. Masalah bahasa banyak, kata Dr. Rais, dan cabaran kepada lebih kurang 25 orang anggota Panel Penasihat Penyiaran itu ialah untuk melihat bagaimana siaran awam dan swasta dapat menjalankan tugas masing-masing di samping mendapat keuntungan tanpa membelakangkan budaya, tatasusila dan kehidupan masyarakat di Malaysia. ''Kita ingin melihat penggunaan bahasa Melayu yang seragam, berhemah dan bermartabat. Bukan bahasa rojak,'' tegasnya. Di samping itu, panel tersebut juga mencadangkan kepada Menteri Penerangan supaya siaran swasta ada unsur-unsur membina, jangan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kepentingan bahasa. ''Dalam bidang tugas Panel Penasihat Penyiaran, kita juga berhadapan dengan permasalahan bahasa yang disalahgunakan, yang kita dapati jika tidak diawasi dan diperbetulkan, mungkin membawa kepada satu budaya yang sangat merendahkan martabat bahasa kita,'' katanya. Tiga aspek permasalahan itu ialah bahasa siaran yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, penenggelaman bahasa Melayu dalam sistem pendidikan swasta dan ketidakseragaman bahasa penyiaran. Gejala mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris merupakan gejala paling baru dalam penyiaran, katanya. ''Dalam setiap ayat seorang eksekutif sekarang, kita dapati mesti ada mengandungi - kalau tidak separuh, suku - kata-kata Inggeris yang dicampurkan dengan bahasa kita. Ini sudah begitu automatis sehinggakan ia merupakan budaya baru bangsa Melayu bercakap separuh Melayu, separuh Inggeris. ''Sungguhpun perkara itu pada pandangan asasnya tidak ada apa-apa (salah), tetapi anak akan mengikut, murid akan mengikut, akhirnya bahasa Melayu sudah tidak ada - yang ada ialah bahasa rojak, bahasa campuran,'' jelasnya. Keadaan ini kata beliau, akan menggagalkan usaha mewujudkan bahasa baku dan menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Beliau juga menyatakan bahasa Melayu tenggelam dalam arus pendidikan swasta kerana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak menjadikan ia sebagai bahasa pengantar. ''Daripada 400 buah IPTS sekarang misalnya, kita dapati hanya lebih kurang lima peratus pelajarnya adalah pelajar Melayu. Mungkin sebab inilah mereka (IPTS) menyatakan tidak payah belajar Bahasa Melayu dan bahasa Melayu tidak perlu menjadi bahasa pengantar.'' Sedangkan, kata beliau, kedudukan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi, waima IPTS, sebagai bahasa pengajaran atau penggunaannya sebagai bahasa pengantar, adalah jelas. Panel itu juga mahu supaya satu bahasa seragam digunakan oleh para penyiar. Pada masa sekarang, penyiaran awam yang dipegang oleh RTM menggunakan bahasa Melayu biasa iaitu bahasa Melayu Riau; sebaliknya penyiaran swasta seperti TV3 ''bercakap seolah-olah kita berada di Indonesia.''

Mahu tidak mahu, katanya, ini sudah menjadi kenyataan. Dengan itu kita mendapati ada dua jenis saluran bahasa Melayu digunakan dalam media elektronik. ''Ini tidak seharusnya berlaku sebab dalam membina bangsa dan negara, bahasa kita hanya perlu satu dari segi guna, tatabahasa dan nahu yang kita pakai. Tidak boleh satu, tidak boleh ada tiga,'' tegasnya. ''Oleh itu, kita (panel) menyarankan sekali gus kerajaan mesti mewujudkan keseragaman bahasa - sama ada Melayu Riau atau baku - tidak penting, tetapi hendaklah satu.'' Namun dalam penggunaan bahasa baku, pihak berkuasa katanya, harus menentukan supaya penggunaan bahasa baku itu ''janganlah nampak sangat kita meniru Indonesia kerana kita mempunyai identiti kita sendiri''. ''Penyeragaman bahasa siaran ini adalah untuk mengelakkan orang ramai keliru yang mana satu lidah rasmi. Itu sebenarnya yang kita hendak pertahankan.'' Bagaimanapun, ujar Dr. Rais, penyeragaman ini tidak melibatkan penggunaan loghat. ''Loghat tidak apa, tetapi apabila sampai kepada penggunaan bahasa rasmi, yakni menggunakan hebahan berita, rencana, ulasan waima celoteh deejay sekalipun - kalau saluran itu saluran kebangsaan - kalau saluran Melayu, mesti gunakan bahasa Melayu yang betul, jangan guna 'bahasa Melayu act'.'' Istilah 'bahasa Melayu act' digunakan oleh anak-anak muda untuk percakapan yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris, tanpa mengira nahu bahasa tersebut. ''Istilah ini saya fikir tidak betul,'' kata Dr. Rais, ''tetapi telah pun digunakan, jadi saya pinjam.'' Begitu juga penggunaan 'I' dan 'you' dalam bahasa harian yang sudah begitu lumrah. Perkara ini sukar diungkit, kata beliau, memandangkan ''menteri pun sudah bercakap demikian, inikan pulak orang di bawah...'' Tegas beliau, tugas panel tersebut bukan mudah; tambahan pula mereka mempunyai ramai pengkritik. ''Ada orang yang berkata bahasa adalah perantaraan komunikasi, jadi kalau ia berubah-ubah, tak apalah. Sebut sedap... tetapi kalau awak Melayu, hendaklah cakap Melayu. ''Orang Tionghua terus bercakap Mandarin, tanpa mencampuradukkannya dengan bahasa lain. Begitu juga bahasa Tamil, bahkan perkataan asing 'ditamilkan' sebelum digunakan dalam bahasa mereka. Kita orang Melayu terlampau mudah menerima perkataan asing, digunakan seolah-olah perkataan kita. ''Menggunakan perkataan asing pada pandangan panel tidak begitu berat, memang kita guna kerana bahasa kita berkembang, tetapi perkataan itu mesti 'dimelayukan'. Setelah dimelayukan baru kita guna mengikut tatabahasa Melayu.'' Menurut Dr. Rais, dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu itu, pihak panel telah memutuskan supaya setiap pemimpin bercakap bahasa Melayu dengan betul dan tugas membuat alur aturnya telah diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). ''Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ini sudah jelas dimaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tetapi kalaulah bahasa rasmi tersebut 'sekerat ular, sekerat belut' itu amat mendukacitakan,'' katanya. Sebab musabab berlakunya perkara ini barang kali banyak, kata beliau. Antaranya, mungkin disebabkan selama ini penumpuan penggunaan bahasa pada iklan, perniagaan atau drama tidak menjadi satu kepentingan berat kepada pihak berkuasa, maka tidak ada seorang pun yang menegur perkara itu selama ini. ''Setelah kita berjalan begitu jauh baru kita tengok, iaitu bangsa Melayu tidak lagi bercakap bahasanya dengan betul. Kita mesti perbetulkan keadaan ini,'' tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini yang menyatakan kabinet sudah mengeluarkan arahan supaya menteri-menterinya menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan dasar kerajaan. Ini merupakan lanjutan kepada apa yang disyorkan oleh panel berkenaan. ''Arahan ini baik. Kecenderungan sekarang, menteri atau pemimpin bukan Melayu tidak mahu bercakap Melayu, terus bercakap bahasa Inggeris dalam ruang berita. Kita harus haramkan ini. ''Kalau dia nak menyampaikan sesuatu berita, dan dia bercakap sebagai menteri kerajaan Malaysia, dia mesti bercakap Melayu. Betul tak betul, itu soal kemudian. Bercakap dahulu,'' tegas beliau. Berbeza dalam dunia pengiklanan, katanya. Panel menerima hakikat bahawa kumpulan itu mempunyai 'lesen' menggunakan bahasa iklan. Malah penggunaan yang tidak ada dalam kamus juga dibenarkan. ''Ini kerana disedari kalau hendak menggunakan bahasa yang betul, iklan itu mungkin tidak dibaca orang kerana terlalu panjang. Perkara ini tidak menjadi kontroversi. ''Kontroversi yang sangat-sangat kita tekankan supaya diatasi ialah penggunaan bahasa rojak, yang boleh menjadi sangat mudarat,'' tambahnya. Sehubungan itu, pihak panel telah menyuarakan agar pihak sekolah menyemarakkan program di mana anak-anak diajar bertutur lancar dan baik menggunakan bahasa Melayu menerusi syarahan atau proklameran sajak atau drama dan memasukkan aspek-aspek penilaian bahasa yang baik. ''Selain itu, didapati sekolah-sekolah sekarang ini yang mempunyai pengajaran bahasa Melayu, tidak lagi mengajarkan penggunaan bahasa yang indah, pepatah petitih sudah luntur,'' katanya. Ini tegas Dr. Rais, menunjukkan kita sudah lupa akan tunjang kita. ''Perkara-perkara itu harus diimbau kembali bagi dijadikan panduan untuk kita memartabatkan kembali bahasa Melayu.'' Menurut beliau, kelekaan orang Melayu mengejar perkara lain juga menyebabkan perkembangan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi berjalan terlalu perlahan. ''Puncanya dari hemah kita menilai diri sebagai orang Melayu. Kita dah lupa akan sifat diri peribadi kita sebagai orang Melayu. ''Oleh sebab itu, Melayu kini ialah 'Melayu hamburger'. Kita tidak balik-balik ke pangkal. ''Orang Jepun, walau macam mana maju pun, terus hormat dan membahasakan dirinya sebagai orang Jepun. Kalau orang Jepun, yang mempunyai skriptur yang sebegitu teruk, boleh melakukannya, mengapa kita tidak boleh,'' soal beliau. Namun Dr. Rais menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu ini sebenarnya mesti muncul daripada pemikiran pihak berkuasa (yakni kabinet). Sekadar contoh, beliau memberitahu, walaupun dasar sudah dibuat pada 1990 supaya penghakiman dibuat dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa Melayu di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masih agak perlahan, malah boleh dikatakan hampir 75 peratus dijalankan dalam bahasa Inggeris. ''Kebanyakan peguam dan hakim di mahkamah-mahkamah itu tidak bercakap bahasa Melayu, kecuali pada pembukaan sahaja. Ini realiti. ''Barangkali, para hakim generasi baru lebih sesuai dan tepat untuk menggunakan bahasa Melayu kerana hakim sekarang, sebilangannya mewakili generasi lama, masih telor bercakap Melayu,'' tegasnya.

Dalam masyarakat berbilang bangsa, keupayaan masyarakat hidup harmoni dalam sebuah negara merupakan satu aset penting kepada pembangunan negara berkenaan. Malaysia seringkali dijadikan oleh masyarakat dunia sebagai negara yang mampu hidup dengan aman dan harmoni sekalipun mempunyai pelbagai bangsa. Kita juga sering bercakap tentang mewujudkan satu 'bangsa Malaysia'. Namun bagaimanakah bentuk bahasa Malaysia nanti - apakah bahasa Melayu rojak yang digunakan sekarang ini adalah 'bahasa bangsa Malaysia' kurun ke-21? Ingatlah, bahasa itu bangsa. Oleh: NOOR HAZANI MUSA