Anda di halaman 1dari 7

4.

0 LOMPAT TINGGI

4.1 Pengenalan

Acara lompat tinggi merupakan sukan yang menggunakan ketinggian. Sukan ini telah lama bertapak di arena sukan olahraga acara padang. Cara dan teknik lompat tinggi sendiri mengalami beberapa perubahan daripada gaya lompatan, pusingan mahupun flop. Lompat tinggi telah dipertandingkan dalam Sukan Olimpik sebagai acara individu dan termasuk sekali dalam acara Lelaki Decathlon dan Perempuan Heptathlon.

Sukan ini mula diperkenalkan semasa Sukan Olimpik pada zaman Greece. Rekod pertama acara lompat tinggi adalah pada abad ke-19 di Scotland dengan pencapaian lebih daripada 1.68 meter (m). Atlit pada zaman dahulu menggunakan Gaya Gunting. Sekitar abad ke-20, gaya ini telah dimodenkan oleh warga Irish-American, M.F Sweeneys Eastern cut-off seperti gaya Gunting, tetapi bahagian belakang mendatar semasa melompat melepasi palang. Sweeney telah berjaya mencipta teknik yang berkesan dan mencipta rekod 1.97 m pada

tahun 1895. Gaya tersebut dikenali sebagai Gaya Timur.

Pada tahun 1912, Gaya Guling Barat telah diperkenalkan oleh warga Amerika iaitu M.F Horine dengan lompatan setinggi 2.00 m. Kemudian, gaya ini ditiru oleh semua peserta Amerika Barat. Dalam pertandingan Olimpik di Rome pada tahun 1960, 17 orang peserta memasuki pertandingan akhir dan daripada 17 orang peserta itu, 14 orang menggunakan Gaya Pelana. Gaya Pelana dan Gaya Guling Barat merupakan gaya saintifik dan lebih berkesan kepada peserta.

4.2 Fasa Lompatan

Bagi lompat tinggi, fasa lompatan terdiri daripada empat fasa utama:

Fasa Penujuan iaitu membuat larian ke arah palang

Fasa Lonjakan yang menentukan pergerakan kaki untuk menaikkan badan

Fasa Layangan ialah gaya dan kedudukan badan ketika berada di udara dan di atas palang

Fasa Pendaratan adalah fasa akhir iaitu badan akan menyentuh tempat mendarat

Rajah 22: Fasa Lompatan Lompat Tinggi

4.3 Gaya Lompatan

a) Gaya Gunting Pelompat perlu berlari menuju ke palang secara bersudut dan mencuba untuk melonjak menggunakan kaki yang sedang berada di luar kawasan palang. Ketika sedang melepasi palang, pelompat perlu berada dalam posisi duduk belunjur.

Rajah 23: Gaya Gunting

b) Gaya Timur Ketika penujuan dibuat ke arah palang, pelompat perlu berada lurus dari hadapan (90). Ketika fasa lonjakan dibuat, hayunkan kaki bebas secara tegak ke bahagian hadapan badan dan ketika sedang melepasi palang posisi pelompat berada dalam keadaan mengiring.

Rajah 24: Gaya Timur

c) Gaya Guling Barat Penujuan ke palang adalah bersudut seperti gaya gunting. Pelompat melonjak dengan kaki yang lebih dekat dengan palang. Kaki lonjakan berada dalam keadaan bengkok semasa pelompat berguling selari dengan palang untuk membuat pelepasan.

Rajah 25: Gaya Guling Barat

d) Gaya Pelana Gaya ini hampir sama dengan gaya guling barat. Pelompat menuju ke palang secara bersudut. Ketika melepasi palang, muka pelompat memandang ke bawah dan keadaan badannya seolah-olah meniarap di atas palang.

Rajah 26: Gaya Pelana

e) Gaya Fosbury Flop Gaya ini mulai diperkenalkan oleh Dick Fosbury pada tahun 1968. Gaya yang diperkenalkan ini memerlukan pelompat melepasi palang menggunakan bahagian belakang bahu terlebih dahulu dan diikuti dengan fasa pendaratan yang menggunakan belakang badan serta hampir dengan bahagian tengkuk.

Rajah 27: Gaya Fosbury Flop

4.3 Fasa Penuh Gaya Pelana dan Fosbury Flop

a) Gaya Pelana

i. Fasa Penujuan Pelompat akan berlari sebanyak 7 hingga 9 langkah menuju ke palang dari sudut 30-45. Tiga langkah terakhir dibuat secara pantas dan terkawal. Badan pelompat dicondongkan sedikit ke belakang dan kaki lonjak dibengkokkan sebagai persediaan untuk melompat pada langkah yang terakhir.

Rajah 28: Sudut Penujuan Gaya Pelana

ii. Fasa Lonjakan Sebaik sahaja kaki lonjak mencecah tanda melonjak, pelompat hendaklah menolak dengan kuat. Tindakan melonjak ini bermula dengan bahagian tumit dan disusuli dengan bahagian hujung kaki. Serentak dengan tolakan ini, kaki bebas dihayun dengan kencang ke atas aras palang. Fasa lonjakan ini juga dibantu dengan menghayunkan kedua-dua belah tangan ke atas.

iii. Fasa Layangan Setelah membuat lonjakan, badan dan kaki bebas pelompat berada dalam keadaan hampir selari dengan palang di bawahnya. Ketika ini, badan dan kaki bebas pelompat berpusing seolah-olah hendak membalut palang. Bahu dan kepala pelompat direndahkan sebaik sahaja pelompat melepasi palang. Ini adalah untuk membantu pelompat membuat persediaan untuk mendarat. Kaki lonjak mestilah menyusuli pergerakan badan tanpa diluruskan.

iv. Fasa Pendaratan Ketika di fasa pendaratan, pelompat memusingkan badannya dan mendarat di atas bahagian belikat atau bahagian belakang badan.

Rajah 29: Teknik dan Fasa Gaya Pelana

b) Gaya Fosbury Flop

i. Fasa Penujuan Biasanya pelompat mengambil tujuh hingga sembilan langkah larian di mana tiga langkah terakhir itu adalah dalam bentuk melengkung. Larian melengkung inilah yang menyediakan pelompat melepasi palang dengan bahagian belakangnya dahulu. Cara menentukan penujuan bagi gaya Fosbury Flop ditunjukkan dalam rajah berikut.

Rajah 30: Sudut Penujuan Gaya Fosbury Flop

ii. Fasa Lonjakan Lonjakan yang dibuat perlu pantas dan cepat setelah mengakhiri larian melengkung. Kaki luar melonjak dengan kuat apabila memijak tanda lonjakan yang hampir selari dengan palang. Kedua-dua belah tangan dibengkok dan dihayun ke atas dan kaki bebas diangkat tinggi dengan bahagian lutut juga dibengkokkan. Lutut ini digerakkan secara melintang badan untuk membantu pusingan badan di udara supaya bahu menjadi selari dengan palang.

iii. Fasa Layangan Semasa di udara, pelompat menoleh ke belakang (memandang palang) sambil melentikkan badannya. Tangan diletakkan di sisi badan dan kedua-dua belah kaki dibengkokkan di bahagian lutut. Lentikan badan akan membantu bahagian punggung pelompat melepasi palang. Setelah badan pelompat melepasi

palang, kedua-dua belah kaki diluruskan dan diangkat tegak ke atas. Tindakan ini dibuat supaya kaki tidak tersangkut pada palang dan sebagai persediaan untuk pendaratan.

iv. Fasa Pendaratan Serentak dengan mengangkat kaki ke atas, pelompat menarik kepala dan dadanya ke arah kaki. Kedua-dua belah tangan diangkat ke atas dan pelompat mendarat di atas bahagian belakang badannya.

Rajah 31: Teknik dan Fasa Gaya Fosbury Flop

Anda mungkin juga menyukai