Anda di halaman 1dari 3

Lubang gergasi bumi

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID (20 April 2009 http://www.kosmo.com.my)

Kewujudan lubang-lubang berdiameter besar dengan kedalaman hingga beratus-ratus


meter sering dianggap fenomena luar biasa.

RONGGA bumi yang digelar Devil's Sinkhole di Texas, Amerika Syarikat kini
diwartakan sebagai taman negara.

PASTI ramai di kalangan pengguna Internet pernah dikejutkan dengan e-mel rantaian
yang menunjukkan gambar-gambar pelik dan ngeri tentang kejadian lubang gergasi di
atas muka bumi.

Bagi yang curiga, kesahihan gambar seperti itu segera disangkal dengan tanggapan ia
dimanipulasi perisian suntingan imej.

Dalam mencerna kesimpulan, manusia perlu mengambil kira banyak penjelasan terutama
dari sudut ilmu geologi.

Antaranya adalah seperti kejadian hakisan batu kapur, pergerakan air bawah tanah
ataupun impak meteor yang terjadi ratusan atau ribuan tahun sebelumnya.

LOKASI lombong berlian di bandar Mirna, Siberia ini membentuk lubang yang dilihat
jelas dari angkasa.

China, misalnya, mempunyai lubang gergasi atau rongga bumi terbanyak di dunia, iaitu
kira-kira 50 kesemuanya. Rekod penemuan fenomena landskap alam itu dalam istilah
tempatan dipanggil tiankeng.

Senarai rongga bumi di China didahului tiankeng Xiaozhai. Ia mempunyai kedalaman


660 meter dan berkapasiti 119 juta meter kubik dan dikatakan mengumpul sumber air
hingga berkemungkinan menjadi punca aliran Sungai Yangtze.

"Anda boleh menyembunyikan beberapa Bangunan Empire State di dalamnya. Rakyat


China sendiri tidak mengetahui tentangnya hinggalah ia didedahkan media 15 tahun lalu.

"Laluan belantara dan ketiadaan infrastruktur menyukarkan sesiapa untuk sampai ke


lokasi ini," ulas pakar geologi dari Pennsylvania State University, Prof. William White.

PENENGGELAMAN tanah di Guatemala City ini berpunca daripada kebocoran sistem


paip bawah tanah.
White membentangkan penemuan tiankeng Xiaozhai selepas mengikuti pelawaan
ekspedisi ke lokasi terpencil itu pada tahun 2005 oleh pakar dari Institut Geologi Guilin,
Zhu Xuewen.

"Ciri rongga bumi sangat unik. Faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah
kemungkinan wujudnya aliran sungai bawah tanah. Ia kelihatan seperti lembah, namun
jika diteliti, 'lembah' itu tidak mempunyai jalan keluar," ujar White.

Di Texas, Amerika Syarikat, rongga bumi yang digelar Devil's Sinkhole sudah dijadikan
destinasi pelancongan ekstrem yang amat popular.

Penerokaannya dari sudut komersial telah menjadikan tempat itu boleh dikunjungi
mereka yang mahu mencuba aktiviti seperti menuruni cenuram batu dan merentas lereng.

Paling menggemparkan adalah tentang kejadian lubang gergasi yang mengorbankan tiga
mangsa di Guatemala City pada 23 Februari 2007.

Diameter lubang ini mencapai ukuran 20 meter sementara berkedalaman 204 meter.
Kerosakan sistem pengaliran air banjir bawah tanah dikatakan menjadi punca bagi tragedi
yang meninggalkan landskap kekal itu.

Selain lubang yang terbentuk secara alami atau tanpa diduga, terdapat juga lubang besar
yang dibuat oleh manusia atas agenda perlombongan.

TIANKENG Xiaozhai tidak diketahui rakyat China sendiri sehingga ia didedahkan media
15 tahun lalu.

Sebagai contoh, lombong berlian di di Mirna, Siberia meninggalkan lubang bersaiz 525
meter dalam dan berdiameter 1.25 kilometer. Saiz berbentuk kawah itu sangat jelas
dikesan daripada rakaman satelit.

Impak meteor juga dipercayai menyebabkan rongga besar di dasar Laut Caribbean.

Digelar sebagai Great Blue Hole, ia merupakan sebahagian daripada Rizab Terumbu
Karang Belize iaitu sebuah tapak warisan dunia seperti yang diisytiharkan Pertubuhan
Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Air membentuk kaviti

Menurut pensyarah geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Che
Abdul Aziz Ali, fenomena itu juga pernah berlaku di Malaysia tetapi tidak ketara saiznya.

"Seperti lubang berbentuk kawah bulat yang ditemui di Pulau Langkawi, ia dipercayai
adalah tinggalan impak meteor suatu masa dahulu. Tenaga dan sudut hentaman itu
menentukan jenis dan bentuk lubang yang terhasil pada muka bumi," terangnya.
Selain meteor, kemungkinan kes penenggelaman mengejut pada kawasan tertentu juga
disumbangkan punca-punca seperti penurunan mendadak paras air bawah tanah akibat
kemarau, aktiviti perlombongan, kebocoran sistem pengairan, dan tekanan beban di
permukaan.

IMPAK meteor yang 'melubangkan' dasar samudera di Laut Caribbean ini diiktiraf tapak
warisan UNESCO.

Air, menurut Abdul Aziz, menjadi penyebab utama jika mengulas tentang proses kaviti
yang membentuk rongga dalam batu kapur.

Pembentukan Gua Mulu, Sarawak dan Batu Caves, Selangor adalah contoh terbaik
tentang penyusutan atau perubahan formasi batu kapur yang disebabkan oleh aliran air di
bukit batu kapur.

Kalau bukan kerana kaviti yang membentuk gua, permukaan atas batu kapur boleh
mengalami penenggelaman lalu membentuk lubang yang besar. Itulah misteri alam yang
manusia sendiri tidak tahu bila akan terjadi.

"Air hujan adakalanya mengandungi asid yang memiliki keupayaan menghakis batu dari
semasa ke semasa. Untuk jangka masa panjang, perubahan struktur akan berlaku,"
ujarnya yang turut memberitahu bahawa 40 peratus daripada muka bumi Kuala Lumpur
terbentuk di atas batu kapur.

Anda mungkin juga menyukai