Anda di halaman 1dari 4

ARKIB : 08/03/1999

Sempena Hari Landskap Negara -- Menghijaukan Malaysia


MENJELANG tahun 2005, Malaysia berhasrat menjadi 'Negara Taman' terindah, sebuah negara yang mempunyai persekitaran hijau, indah dan selesa. Kesungguhan kerajaan untuk mencapai matlamat ini dapat dilihat dengan penubuhan Jabatan Landskap Negara pada tahun 1996 yang diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pada 3 Mac 1997 pula, kerajaan melancarkan Kempen Menanam Pokok Seluruh Negara dan bersempena ulang tahun pertama kempen itu, setiap 3 Mac diisytiharkan sebagai Hari Landskap Negara. Perisytiharan itu juga sebagai memenuhi saranan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada pelancaran kempen itu supaya satu hari khusus diadakan untuk setiap orang menanam pokok. Tahun ini, Hari Landskap Negara akan dilancarkan pada hari ini (8 Mac) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Teng Chew Peh di Bandar Utama, Central Park, Petaling Jaya. ''Tema kali ini adalah Pemeliharaan Warisan Landskap yang menekankan kepada pembangunan bersama alam semula jadi,'' kata Ketua Pengarah Landskap Negara, Datuk Ismail Ngah. Katanya, Hari Landskap Negara bertujuan mempertingkatkan kualiti pembangunan landskap dengan mewujudkan kesedaran, minat dan pengetahuan di kalangan semua pihak terhadap landskap. Landskap boleh didefinisikan sebagai pandangan luaran yang wujud sama ada secara semula jadi (natural) atau buatan (cultural) yang dapat dilihat di atas muka bumi seperti tumbuh-tumbuhan, topografi, bangunan, sungai, tasik dan lain-lain. Selain kewujudan secara semula jadi, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mewujudkan landskap yang menarik bagi menghiasi muka bumi ini. Kita dapat melihat alam semula jadi yang mempunyai persekitaran yang mengandungi satu atau lebih elemen landskap yang terbentuk secara spontan atau tanpa dirancang. Ia mempunyai ciri-ciri tersendiri sesuai dengan habitatnya dan memberi kelainan antara satu sama lain. ''Secara makronya, alam semula jadi boleh dinyatakan sebagai sekumpulan habitat yang luas terdiri daripada kumpulan elemen landskap seperti banjaran gunung, dataran gurun, laut pantai, sungai, hutan rimba dan lain-lain. ''Secara mikro ia sebagai elemen landskap secara individu yang menganggotai sesuatu habitat,'' katanya. Mengulas tema kali ini, Ismail berkata, 'Pemeliharaan Warisan Landskap' dipilih bagi membolehkan rakyat Malaysia berinteraksi dan hidup dalam satu persekitaran yang sihat dan terancang tanpa pencemaran.

''Pemeliharaan warisan landskap termasuk aset-aset landskap seperti badan air, punca air, flora dan fauna taman-taman awam, bangunan dan juga infrastruktur. ''Konsep ini amat penting bagi mengimbangkan pembangunan fizikal dengan alam semula jadi di dalam semua aspek pembangunan,'' kata Ismail. Sempena sambutan itu juga, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang bulan Mac ini. Di peringkat kebangsaan, aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan termasuklah menanam pokok, Seminar Landskap Kebangsaan, pameran landskap, penyampaian bahan-bahan berkaitan landskap menerusi media massa dan pertandingan-pertandingan seperti pertandingan fotografi, melukis, mewarna dan sebagainya. Jabatan juga menggalakkan aktiviti yang sama dilaksanakan di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di samping aktiviti lain yang sesuai. Sambutan juga meliputi semua peringkat jabatan, sekolah, institusi pengajian tinggi, syarikat swasta, persatuan atau orang perseorangan dengan melaksanakan aktiviti tanam pokok secara gotong-royong. Kejayaan Hari Landskap Negara ini sebenarnya banyak bergantung kepada sokongan rakyat yang bersedia untuk mengambil bahagian menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan khususnya menanam pokok. ''Kita mengharapkan Hari Landskap Negara akan menghasilkan peningkatan mutu persekitaran penduduk. Persekitaran yang sihat dan selesa akan memberi masyarakat sihat dan produktif. ''Pada masa yang sama kerjasama yang padu untuk menjayakan hari tersebut dapat melahirkan semangat perpaduan,'' katanya. Kerjasama rakyat sama ada di peringkat bandar, kampung, sekolah dan sebagainya amat diperlukan untuk mencapai sasaran menanam tiga juta pokok menjelang tahun 2000 dan 20 juta pada tahun 2020. Jumlah ini mengambil kira 15 peratus jumlah keseluruhan penduduk menanam pokok di kawasan masing-masing dan sasaran setiap tahun ialah 750,000 batang pokok ditanam di seluruh negara. Sasaran ini boleh menjadi kenyataan sekiranya semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Datuk Bandar yang menjadi penaung kepada kempen dapat memastikan sasaran bilangan pokok mengikut negeri dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Kerajaan-kerajaan negeri dan PBT akan bertindak sebagai penyelaras kepada semua aktiviti menanam pokok di peringkat masing-masing. Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Landskap Negara. Di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kepada jabatan itu untuk melaksanakan program pembangunan landskap yang komprehensif. Daripada jumlah itu, RM121.5 juta untuk pembangunan landskap, RM74 juta untuk taman awam dan selebihnya bagi penyelidikan dan pembangunan.

Melihat penubuhan dan peruntukan kepada jabatan itu, jelaslah betapa pentingnya landskap kepada masyarakat dan negara. Selain mempunyai peranan meningkatkan keindahan alam semula jadi, ia juga penting bagi menyokong pembangunan dan kegiatan ekonomi terutama sektor pelancongan negara. Oleh itu, landskap perlu diberi keutamaan dari peringkat perancangan hinggalah ke peringkat penyenggaraan sesuatu entiti alam semula jadi berkenaan. Kepentingan landskap juga dapat dilihat melalui sejarah tamadun yang lalu. Ketika itu kehidupan yang harmoni dengan alam sekitar telah memberikan mereka peluang untuk membangunkan tamadun yang berjaya. Dengan mengambil kira bahawa kita adalah sebahagian daripada elemen di dalam taman sebuah kehidupan yang bertamadun, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bertindak sebagai penjaga kepada landskap alam semula jadi yang masih kita warisi. Kita sedar pembangunan sama ada membina bangunan, jalan raya, lebuh raya, kemudahan pengangkutan seperti LRT dan landasan kereta api akan menyebabkan banyak pokok yang dimusnahkan. Dalam hubungan ini, setiap pokok yang ditebang perlu diganti dengan yang baru. Di samping itu, pelbagai pihak perlu mengambil langkah untuk meningkatkan keindahan landskap alam semula jadi dengan menggunakan beberapa teknik yang boleh membentuk, meningkat atau memperkukuhkan kualiti keindahan landskap alam semula jadi. Antara teknik itu termasuklah Planting Native yang menggunakan nilai-nilai estetik dan kualiti alam rimba ke dalam environment perbandaran. Kaedah ''Naturalistic Planting'' pula dibangunkan dengan memanipulasi keadaan tapak yang ada supaya sesuai dengan keperluan spesis tertentu dan memulakan asosiasi tumbuhan secara spontan di pelbagai peringkat penggantian. Mencipta habitat atau pembangunan semula habitat juga boleh dilaksanakan sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Tujuannya untuk mengekalkan komuniti kehidupan alam semula jadi dengan menyediakan habitat yang sesuai walaupun hasil landskap ini tidak semestinya mempunyai visual yang menarik. Dalam teknik Nature-like Planting pula akan mengim-bangkan nilai-nilai artistik dan alam semula jadi di dalam satu entiti. Kaedah ini dapat disesuaikan dalam banyak kawasan daripada penanaman di kawasan ''taman kejiranan'' kepada ''tanaman struktur''. Kesemua pendekatan ini dicadangkan dengan hasrat untuk mewujudkan pertalian informal di antara manusia dan alam semula jadi di sekelilingnya. Pereka bentuk yang sedar dengan kehendak simbolik ini sudah tentu mampu menyampai atau merealisasikan hasrat berkenaan tanpa mengorbankan elemen-elemen keperluan dan fungsi lain dalam alam semula jadi. Landskap hendaklah mampu memperkukuhkan persepsi dan pemahaman sedia ada berhubung keindahan landskap alam semula jadi dengan menterjemahkan fenomena keindahan itu supaya dapat diterima di dalam status quo masyarakat setempat. Dalam hubungan ini, kerja-kerja landskap mempunyai peranan amat penting dalam keindahan alam semula jadi melalui pengurusan landskap, pengekalan landskap, pemeliharaan landskap, restorasi landskap, pembangunan landskap dan penyelenggaraan landskap.

Ini bagi memastikan landskap benar-benar memberi erti yang positif di dalam kehidupan seharian manusia khasnya dan penghuni-penghuni yang lain amnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg= ot_01.htm#ixzz2QrnhSvIq Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai