Anda di halaman 1dari 6

Kasut Kelopak Jantung

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh dan Salam Sejahtera. Terima kasih Pengerusi Majlis,Yang saya hormati para hakim yang arif lagi bijak sana, guru-guru yang dikasihi dan rakan-rakan sekalian. Saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk Kasut Kelopak Jantung

Tanggal 16 Mei saban tahun, Cikgu Harun pasti menerima sebuah bungkusan yang berisi sepasang kasut yang mahal. Hadiah tersebut telah membangkitkan ingatan Cikgu Harun ketika beliau mengajar murid tahun tiga di sebuah sekolah luar bandar, tiga dekad yang lalu

Setelah menerima ucapan selamat pagi daripada murid-murid, Cikgu Harun tercegat di depan kelas. Matanya tertumpu kepada Ahmad di penjuru kelas. Cikgu Harun memandang Ahmad lama-lama, dari atas ke bawah. Matanya yang besar

dijegilkan ke arah Ahmad. Memang menakutkan bagi seorang murid tahun tiga seperti Ahmad. Tambahan pula, imej bengis Cikgu Harun sememangnya menjadi igauan anakanak kecil rata-rata anak pesawah dan penoreh getah di kampung itu.

"Ahmad, mana kasut kamu?" tanya Cikgu Harun dengan suara yang keras. Soalan itu bukan kali pertama, malah sudah berkali-kali semenjak sekolah dibuka beberapa minggu yang lalu. "Belum beli, cikgu," jawab Ahmad dengan suara yang amat perlahan.

"Bila nak beli?" tanya Cikgu Harun. Pertanyaan itu tidak berjawab. Ahmad membatukan diri seperti selalu. Begitulah setiap pagi semenjak tiga minggu yang lalu. Sebelum itu Ahmad memakai selipar Jepun lusuh ke sekolah. Selepas selipar itu putus, Ahmad hanya berkaki ayam. Tidak pernah ada kasut berwarna putih di kakinya. Sehinggalah pada suatu hari

Kawan kawan nak tahu apa yang berlaku selepas itu..

"Lepas ini kita akan ke padang untuk bersenam," ujar Cikgu Harun selepas bersungutsungut tentang Ahmad yang tidak berkasut. Murid-murid segera menukar pakaian. Cuma Ahmad sahaja yang tidak berbuat demikian. Di padang, murid-murid tahun tiga itu bermain riang. Semuanya memakai pakaian sukan yang lengkap. Mata Cikgu Harun sekali lagi tertumpu kepada Ahmad. Dia masih memakai kemeja putih lusuh dan seluar biru pudar. Kemarahan Cikgu Harun tiba-tiba datang semula.

"Ahmad, mari sini!" panggil Cikgu Harun segera. Ahmad pun datang terkebil-kebil, tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung.

"Kenapa tak tukar pakaian?" Cikgu Harun terus bertanya. Ahmad tidak menjawab. Dia ketakutan.

"Kasut sekolah tak pakai, baju sukan tak bawa! Apa nak jadi dengan kamu ini?" leter Cikgu Harun setelah melihat Ahmad hanya diam membatu. Mahu sahaja dipukul budak itu sekuat hati. Namun, kesabaran masih tersisa dalam jiwanya.

"Saya dah tak tahan dengan kamu. Hari ini saya nak denda kamu!" kata Cikgu Harun. Dia segera bangun dan mencari sesuatu. Dia ke tepi pagar sekolah

Kawan-kawan nak tahu apa berlaku kepada Ahmad selepas itu

Tiba-tiba, Cikgu Harun terpandang rumpun pisang merimbun di tepi pagar sekolah. Beberapa tandan pisang terjuntai di celah-celah rumpun pisang itu dan di bawahnya bertaburan kelopak jantung yang gugur. Besar-besar dan berwarna merah hati. Cikgu Harun memungut kelopak jantung itu lalu kembali ke tempat Ahmad sedang berdiri. Seperti menanti hukuman gurunya.

"Pergi cari tali!" arah Cikgu Harun kepada Ahmad. Murid itu tidak berkata apa-apa. Dia terus beredar ke arah kantin sekolah. Sebentar kemudian dia kembali dengan seutas tali rafia berwarna merah.

"Kamu pakai benda ni. Ikat elok-elok!" Jangan buka- buka kasut ini selagi kamu tak beli kasut baru!! Cikgu Harun memberikan perintah.

"Cepat!" jerkah Cikgu Harun apabila melihat Ahmad masih tercegat. Kali ini Ahmad tidak membantah. Dia mencangkung dengan sebelah kaki dihulurkan ke depan. Kelopak jantung diacukan ke tapak kakinya yang comot. Kemudian, tali rafia diikat kemas-kemas seperti memakai kasut sekolah.

Ahmad berlalu. Air matanya mula meleleh, membasahi pipi cengkungnya. Kawankawannya mula tertawa melihat kasut baharunya itu. Hendak angkat muka, dia berasa malu. Semua yang ternampak kakinya, pasti akan tersengih-sengih jika tidak ketawa. Hendak tunduk, ternampak pula kasut baharu yang menyakitkan hati.

Terasa ketika itu kakinya macam kaki gajah untut dan tidak cantik. Seperti kaki ayam yang mencakar najis. Malah, Ahmad terasa dirinya seperti tidak berkaki langsung, kudung kedua-dua belah, kiri dan kanan. Waktu rehat Ahmad tidak keluar. Dia hanya menanti deringan loceng waktu pulang dengan gelisah.

Apabila loceng akhir berbunyi, Ahmad terus berlari pulang. Sekejap pun dia tidak berhenti kerana malu kakinya dilihat orang. Matanya masih berair, bukan kerana sakit kaki, akan tetapi hatinya yang terhiris.

Keesokan harinya..Ahmad tidak datang ke sekolah..sehinggalah seminggu lamanya..Cikgu Harun berasa ada sesuatu yang tidak kena..dia bertanya kepada pelajarnya yang lain..

"Dia kata hendak berhenti sekolah cikgu!!"

Tersentak hati Cikgu Harun mendengar jawapan daripada anak muridnya itu..tiba-tiba timbul rasa bersalah di dalam hatinya kerana bertindak keterlaluan kepada Ahmad.

Petang itu, Cikgu Harun mengambil keputusan untuk ke rumah Ahmad. Dia melalui denai-denai sempit dengan motosikalnya ke hujung kampung. Akhirnya dia sampai ke rumah Ahmad..barulah Cikgu Harun sedar betapa sukarnya Ahmad ke sekolah berkaki ayam menempuh semak, batu-batu kerikil di tepi jalan

Sebaik sampai di sebuah rumah,Cikgu Harun memanggil-manggil nama Ahmad..tapi tiada yang menyahut..Tiba-tiba muncul seorang wanita separuh umur dari belakang rumah, terhincut-hincut dalam keadaan uzur.Mukanya iras-iras Ahmad..Cikgu Harun dapat mengagak itu adalah ibu Ahmad.

"Ahmad tak ada. Dia pergi ke kebun mengambil upah petik cili. Sebentar lagi dia balik," kata orang tua itu. "Encik ni siapa?" tambahnya kemudian.

"Saya Cikgu Harun." Riak wajah wanita itu terus berubah mendengar jawapan itu..

"Tak apalah! Saya nak jumpa Ahmad," balas Cikgu Harun.

Tidak lama kemudian, Cikgu Harun terpandang kelibat seorang budak lelaki berjalan di celah-celah semak belakang rumah. Pandangannya terlekat pada kaki Ahmad yang masih bersarungkan kelopak jantung pisang yang sudah berjurai-jurai

"Kenapa kamu tak buka kelopak jantung ini?" tanya Cikgu Harun pantas. Perasaanya mula tersentuh. Dia tidak menyangka arahan supaya tidak menanggalkan kelopak jantung itu benar-benar dipatuhi oleh anak muridnya itu.

"Saya belum cukup duit untuk membeli kasut baru, cikgu," jawab Ahmad terkebil-kebil. Air mata Cikgu Harun gugur tanpa disedari. Dia terus sahaja menghidupkan enjin motosikalnya menuju ke arah pekan berdekatan. Di pekan itu, dia membeli sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut kepada Ahmad.

"Ahmad, esok pergi sekolah. Pakai uniform baru ni," kata Cikgu Harun. Ahmad menyambut pemberian Cikgu Harun dengan tangannya terketar-ketar.

"Terima kasih, cikgu," kata Ahmad ketika Cikgu Harun membuka ikatan kasut kelopak jantung yang berjurai-jurai hancur di kakinya.

Kini, Cikgu Harun telah bersara daripada tugas mendidik yang dilaluinya lebih daripada tiga puluh tahun. Ahmad pula menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar. Dialah yang mengirimkan bungkusan yang berisi kasut itu kepada Cikgu Harun. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Cikgu Harun sering menerima hadiah kasutkasut mahal dan berjenama daripada bekas muridnya yang pernah dipakaikan kasut kelopak jantung. Setiap kali sempena Hari Guru dia pasti mendapat sepasang kasut baharu.

Ingatlah kawan-kawan,kita hendaklah berbuat baik dan bermurah hati kepada orang yang memerlukan terutamanya kepada orang-orang yang susah. Buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali. Kenanglah jasa guru yang telah banyak mendidik dan membimbing kita menjadi insan yang berjaya.

Pakai baju kainnya jarang, Dipakai oleh anak Melati, Budi nan baik sentiasa dikenang; Lebih-lebih lagi cikgu yang dikasihi.

Sekian , terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai