Anda di halaman 1dari 3

Islam: Prinsip Atau Alat?

Sunday, 15 March 2009

Beberapa email saya terima meminta saya menyatakan pendirian kepada media berhubung
dengan isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ada juga yang meminta
supaya saya membantu dengan memberikan dalil-dalil dari al-Quran dan sunnah yang
membuktikan bahawa perjuangan menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam
pengajaran dua mata pelajaran adalah perjuangan agama.

Saya berterima kasih atas kepercayaan dan harapan, namun saya menarik nafas panjang
dan merasa amat gusar dengan permintaan itu. Amat menakutkan apabila agama ini sering
dijadikan alat untuk melariskan atau menghalalkan atau memenangkan sesuatu isu atau
cita-cita. Padahal agama sepatutnya menjadi prinsip, bukannya alat untuk mencapai
matlamat tertentu.

Saya secara peribadi mungkin boleh menyokong samada bahasa melayu atau bahasa
Inggeris menjadi bahasa pengajaran kedua mata pelajaran tersebut. Itu adalah urusan
kebijaksanaan dalam kehidupan yang terserah kepada manusia untuk menilainya.
Pemerintah ada hak dalam ijtihadnya. Rakyat juga ada hak mencadangkannya. Zaman dan
tempat mungkin berperanan dalam menentukan tindakan atau pilihan yang terbaik.

Islam tidak pernah menyatakan kita mesti belajar sains dan matematik dalam bahasa
Inggeris, atau Melayu, atau Arab atau sebagainya. Hanya yang Islam perintah adalah agar
muslim bertindak dengan bijak. Menentukan perkara yang seperti ini amat subjektif. Setiap
pihak boleh berbeza disebabkan perbezaan latar fikir. Islam tidak menghukum secara putus
siapa yang betul atau siapa yang salah dalam hal yang seperti ini. Di sini saya rasa, sekali lagi
kena dijelaskan beza antara Islam sebagai prinsip dengan Islam sebagai alat.

Islam sebagai prinsip bererti kita meletakkan Islam sebagai pegangan dan panduan. Kita
akan melihat salah atau benar sesuatu berdasarkan kepada prinsip Islam. Kita akan menilai
dengan adil setiap perkara dengan timbangan Islam sekalipun jika keputusannya itu tidak
berpihak kepada kita, kita tetap akan akur.

Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam Surah al-Nisa 135: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa
menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah,
sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu..”.

Dalam Surah al-Maidah ayat 8 pula Allah menegaskan: (maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang
yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-
kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Sementara menjadikan Islam sebagai alat atau umpan adalah mempergunakan Islam
sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, padahal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau
peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki. Nas-nas agama akan ditafsirkan atau
disalahgunakan supaya sesuatu pandangan sekalipun tidak tepat, dapat dibela atau
dijustifikasikan. Atau agama digunakan agar orangramai tertarik dan percaya kepadanya
sekalipun hakikat agama bukan sedemikian rupa.

Inilah yang ditempelak oleh Allah dalam Surah al-Nahl, ayat 116-117: (maksudnya)

Dan janganlah kamu berkata dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini
haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-
orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Mereka hanya mendapat) sedikit
kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya”.

Malang sekali dalam sejarah umat Islam, kecenderungan menggunakan agama sebagai
modal begitu banyak dan berterusan. Kesannya amat bahaya dan mendalam. Bukan sedikit
darah dan nyawa yang ditumpahkan kerananya. Umpamanya, Mazhab Syiah dan Khawarij
tidak wujud pada zaman Abu Bakr, Umar dan ‘Uthman. Apabila berlaku krisis politik pada
zaman ‘Ali disebabkan isu yang berlarutan dari penghujung pemerintahan Saidina ‘Uthman
maka lahirlah kedua aliran ini.

Bermula daripada isu-isu politik yang dibangkitkan dari zaman ‘Uthman, merebak menjadi
sentimen agama. Sehingga Syiah terbentuk dengan segala doktrin yang tersendiri; daripada
isu ‘Uthman berkembang membentuk prinsip-prinsip kepercayaan mengenai Ahlul Bait yang
tersendiri. Penindasan yang dialami oleh aliran Syi’ah di bawah kuasa-kuasa politik Bani
Umayyah, juga ‘Abbasiyyah menyebabkan berbagai akidah dan dalil baru muncul dalam
aliran berkenaan.

Maka disebabkan sejarah politik yang panjang, menjelmalah Syiah dalam wajahnya yang kita
lihat pada hari ini. Padahal ia bermula daripada isu yang boleh diselesaikan. Demikian
Khawarij, bermula isu tidak puas hati dengan pendirian ‘Ali dalam menghadapi Mu’awiyah,
maka terbentuklah Khawarij dari ‘parti politik’, menjadi aliran agama yang mengkafirkan
‘Ali, ‘Uthman, Mu’awiyah dan sesiapa sahaja yang tidak menyertai mereka.

Bagi menjustifikasikan pengkafiran itu, maka satu kaedah yang amat bahaya telah dijadikan
pegangan iaitu setiap pelaku maksiat menjadi kafir. ‘Ali dan Mu’awiyyah, bahkan ‘Uthman
dianggap tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka semua kafir. Slogan mereka:
“Tiada hukum melainkan hukum Allah”. Kata Saidina ‘Ali mengenai slogan mereka: “Satu
slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad,
304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).Tumpah darah yang banyak telah berlaku antara
tentera ‘Ali dan Khawarij.
Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja. Ia boleh
berlarutan terutama di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan
antara isu politik semata dan isu agama yang sebenar. Jika ia isu politik semata, Islam
menyerahkan kepada kebijaksanaan manusia akan menentu keputusan yang memberikan
kemaslahatan untuk umat. Jika ia benar-benar isu akidah dan hukum, hendaklah penentu
benar dan salahnya adalah al-Quran dan Sunnah bukan pandangan politik kepuakan.

Sebab itu kita wajib membezakan antara berpolitik berdasarkan prinsip Islam, dengan
mempolitikkan Islam. Berpolitik berdasarkan Islam akan membebaskan seseorang dari
daerah taksub, hukuman membabi-buta, kepuakan dan permusuhan yang melampaui batas
dan segala akhlak yang jelek. Hanya yang menjadi teras adalah prinsip Islam. Rela
membelakang parti atau puak, asalkan prinsip terbela.

Sementara mempolitikkan Islam bererti menggunakan nas-nas Islam untuk


menjustifikasikan tindakan-tindakan politik. Kita akan lihat dalam ‘wayang politik’ sikap
mempolitikkan agama akan menyebabkan mereka terbabit hilang pendirian, berubah-ubah
prinsip dan etika. Namun yang pasti nas-nas agama akan terus digunakan walaupun akan
menyebabkan berlaku kontradiksi yang jelas dalam pegangan mereka.

Dalam sepanjang sejarah, menjadikan agama sebagai modal politik telah dilakukan oleh
pihak pemerintah dan pihak yang menentang pemerintah. Dalil-dalil agama pada bukan
tempatnya akan digunakan oleh kedua belah pihak bagi mengekalkan pengikut yang
mempunyai sentimen agama. Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis
palsu adalah politik.

Maka muncul hadis palsu yang menyokong Syiah, menyokong Muawiyah, menyokong
‘Abbasiyyah dan seumpamanya. golongan yang menggunakan agama yang ‘lahapkan
habuan dan pangkat’ ada di mana-mana. Mereka ini bersedia untuk mendendangkan dalil
bagi menghiburkan slogan atau tindakan pemerintah.

Sebagai tindakbalas, golongan agama yang menentang pemerintah juga akan melagukan
nas-nas agama bagi menghalalkan tindakan mereka menentang sesuatu pemerintahan.
Hilanglah fungsi agama; daripada ia agama hidayah yang membimbing manusia bertukar
menjadi alat yang memboleh manusia pijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.

Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati,
jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama. Seperti berniaga
berdasarkan prinsip Islam memang diperintahkan. Namun berhati-hati, jangan sampai
memperniagakan Islam. Justeru itu, bezakanlah antara menjadikan Islam sebagai prinsip,
dengan menjadikan Islam sebagai alat. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam
dengan mempolitikkan Islam.

Anda mungkin juga menyukai