Anda di halaman 1dari 2

Tazkirah Mac 2014 Alhamdulillah.

Bersyukur kita ke hadrat Illahi, dengan rahmatnya dapat sama-sama kita berkumpul pada pagi ini bagi menyambut hari ulang tahun kelahiran warga BPM bulan Mac 2014. Apabila kita menyambut ulang tahun kelahiran ini, Sedar atau tidak umur kita semakin meningkat . Betul tidak ? Takda lagi orang sambut birthday umur semakin muda. Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat? Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah menerangkan mengenai 4 perkara yang perlu dititikberat oleh kita bagi meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Apa dia 4 perkara ini ? Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Dari Amr bin Auf, ia berkata : Rasulullah SAW bersabda Sesungguhnya sedekah seorang Muslim itu akan memanjang umurnya; dan mencegah dirinya dari kematian yang buruk; serta Allah jadikan dia sebagai penghapus dosa, kesombongan dan keangkuhan . ( HR Thabrani ) Melalui budaya bersedekah akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah. Perkara kedua ialah menyuruh manusia ke arah kebaikan (Amar Makruh). Menyuruh ke arah tidak hanya terhad kepada daie atau pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Rasulullah saw bersabda : Sampaikanlah pesanku walau hanya sepotong ayat.

Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini. Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar. Perkara ketiga, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Sesiapa yang derhaka kepada kedua ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak. Allah mengingatkan kita yang bermaksud: Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa. (Surah An-Nisa; ayat 36). Perkara keempat ialah sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah ia dengan sebaikbaiknya kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita?

Sekian, Assalam

Anda mungkin juga menyukai