Anda di halaman 1dari 4

Paspot dan sempadan

Hishamuddin Rais
7:50PM Mac 11 2005

Sometimes I wonder whether the world is being run by smart people who are putting us on or by
imbeciles who really mean it. - Mark Twain 1835 -1910

"Aku nak kongsi pengalaman. Satu hari aku dan bapakku pergi ke Pekan Nenas (bp) pusat tahanan
pendatang asing coz kawan ayah aku orang Indon. Tapi dia dah tinggal kat Malaysia lebih 8 tahun.
Adik dan abangnya semua dah dapat pasport Malaysia kecuali dia...masa aku sampai kat pagar pusat
tahanan pendatang asing, pengawal itu tak kasi masuk. Tapi ayah aku berkeras dan kami dibiarkan
masuk dengan alasan-alasan tertentu. Semasa berbual-bual, member ayah aku cerita masa dalam
tahanan, semua tahan disuruh berbogel dan hanya memakai seluar kecik dan semua disuruh tidur
mencangkung (ganaz siot-ed).

Aku kesian kat dalam lokap tu ader pepijat. Setiap empat jam polis yang mengawal akan berganti.
Setiap kali berganti polis akan mengira tahanan dan disuruh berdiri, sesiapa lambat akan dilempang.
Member ayah aku cerita lagi, dia dah merasa pelempang polis k*p*r*t tu. Aku tambah geram dan
berjam-jam mencangkong lepas tu suruh diri, kaki mesti kejang macam mana nak diri (ntah!ed) cuba
suruh polis b**st**d tu cangkong berjam-jam lepas tu diri boleh ke??? tambah geram aku bila dia
cerita polis jual berus gigi, sabun dengan mahal sekali. Nak guna telepon pon sekali dail RM15 coz
polis b*st**d semua tu nak cari duit lebih. Ada saudara mara tahanan yang kirim makan dan minuman
seperti biskut, air kotak etc.. polis ambil dan bagi member dia yang lain dan duit yang dikirim jangan
citelah. Paham sendiri la... dia cite pompuan yang muda-muda di jadikan alat permainan bila malam
mereka akan dibawa ke bilik polis polis. aku terlalu geram!"

(Dipungut dari tulisan asal - Harta kemewahan adalah punca oleh Faqih fanzine Melankolik issue
Experimental - malankolikzine@yahoo.com)

Pertama kali saya mendengar berita bahawa Jalan Chow Kit telah diambil alih oleh orang Indonesia
pada awal tahun 80'an. Ketika itu saya telah hampir sepuluh tahun meninggalkan Malaysia. Berita ini
disurahkan oleh seorang anak mahasiswa Melayu yang saya temui di London. Anak mahasiswa ini
berkesah dengan bagitu bangga sekali. Menurut anak mahasiswa ini apa yang sedang berlaku ada satu
Agenda Melayu - strateji kerajaan - untuk memperbanyakkan Melayu. Kemudian saya terdengar pula
bagaimana strateji yang sama telah dilakukan di Sabah. Kali ini rakyat Filipina pula dibawa masuk ke
Sabah untuk meramaikan 'Orang Islam ' dan mengurangkan 'Orang Kristian'.

Si perawai tahun 80'an ini terbukti telah membawa 'hadith' saheh. Bila saya sampai ke Chow Kit pada
tahun 1995 dahulu, memang saya dapati jalan ini telah bertukar rupa. Gerai-gerai buah-buahan tidak
lagi dikendalikan oleh orang Cina. Demograpi penduduk di kota Kuala Lumpur telah berubah. Pekara
yang sama juga telah berlaku di Sabah.

Agenda apa?

Apakah sebenarnya di belakang Agenda Melayu dan Agenda Islam ini. Apakah betul ini satu agenda
atau satu cara kerajaan untuk mengabui mata orang ramai dan mengolah persetujuan untuk terus
menyokong kerajaan 'melayu' yang sedia ada. Saya tidak dapat menerima kedua-dua agenda ini. Dari
analisa dan apa yang saya lihat kedua-dua agenda tidak memiliki apa-apa asas yang tepat. Ianya hanya
mitos dan dongeng yang selalu didendangkan untuk mendodoikan orang ramai.

Mari kita sama-sama perhatikan apa yang terjadi kepada kaum buruh yang sedang diburu untuk
dihantar pulang ke negara masing-masing. Dalam pemburuan "pendatang haram" ini agenda Melayu
dan agenda Islam tidak muncul. Yang jelas kelihatan ialah kekuatan modal dan keuntungan. Kerana itu
saya tidak pernah tertarik hati atau terperangkap dengan umpan kulitan hujah agenda Melayu dan Islam
ini.

Modal dan keuntungan sebenarnya tidak memiliki agama atau bangsa. Modal terikat rapat dengan
untung. Dimana ada untung disitu modal akan sampai. Hakikat ini tidak diterangkan sejelas mungkin
kepada umum; malah ianya terus uba disurukkan, dikaburkan dan disalahfahamkan. Manusia telah
bergerak dan berpindah pindah dari satu kawasan ke wilayah yang lain bukan satu fenomena yang
baru. Manusia beralih, berpindah dan membina wilayah baru kerana keperluan ekonomi.

Saya tidak mahu menjadikan satu tarikh sebagai patukan untuk membuktikan bahawa kumpulan ini
lebih berhak dari kumpulan yang itu. Bangsa ini lebih berhak dari bangsa yang baru datang. Atau yang
datang lebih awal maka mereka memiliki hak yang lebih. Yang datang kemudian mereka menjadi
'pendatang'.

Secara jujur tanyalah pada diri kita sendiri, tahun mana, tarikh mana yang seharusnya kita jadikan
patukkan. Perjanjian Anglo-Thai 1902 /1906 memisahkan 4 wilayah di Selatan Siam. Perjanjian
Anglo-Dutch 1824 memisahkan semenanjung dari keseluruhan kepulauan Melayu. Malaysia membawa
masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia. Pada tahun 1965 terpisahnya pula Singapura dari
Semenanjung Tanah Melayu. Sebenarnya semua ini adalah konstruk politik yang dilakukan untuk
kepentingan modal.

Kaum pemodal melakukan konstruk politik dan sosial ini untuk mengaut keuntungan yang maksima.
Apa yang kita kenali hari ini sebagai Indonesia, Malaysia, Brunai, Singapura, Filipina sebenarnya
dalah konstruk politik dan sosial oleh kaum pemodal British, Belanda dan Sepanyol. Bagitu juga
sampainya orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu ini. Mereka dibawa masuk kerana
kepentingan kaum pemodal ini. Agama dan bangsa tidak pernah timbul didalam perhitungan semua
perjanjian-perjanjian ini.

Kita tidak perlu berijazah dari Sorbonne untuk menjadi marxist agar dapat memahami bahawa sistem
ekonomi kapitalis berasaskan dua pekara - pertama modal dan kedua buruh. Modal dan buruh adalah
asas keuntungan untuk kaum kapitalis. Lebih murah bayaran untuk kaum buruh bermakna lebih besar
keuntungan yang akan diraih oleh tuan empunya modal. Keuntungan itu adalah hasil dari lebihan
tenaga buruh yang bekerja membuat sesuatu. Ini adalah hukum asas ekonomi kapitalis. Hukum ini
tidak ada sangkutan dengan bangsa dan agama. Islam ke, Majusi ke, Hindu ke, Kristian ke atau Yahudi
ke - kalau mereka kaum pemodal maka yang mereka hitungkan hanyalah keuntungan maksima.

Manakala kaum buruh akan terus bergerak dan berpindah ke mana sahaja apabila modal wujud. Dalam
masa yang sama modal juga akan datang jika buruh senang dapat ditemui. Dalam sistem ekonomi
kapitalis modal dan buruh ini tidak dapat dipisahkan. Semasa ekonomi Eropah mengembang selepas
perang dunia kedua, buruh-buruh dan tenaga murah dari kawasan-kawasan miskin di Asia, Afrika dan
Latin Amerika telah menerbus masuk ke kota-kota besar di Eropah. Apabila melonjaknya harga
minyak di kawasan Timur Tengah selepas Perang Ramadzan Arab/Isreal 1973, buruh-buruh yang sama
telah berduyun-duyun mara ke Timur Tengah.

Semasa kaum buruh Turki dijemput datang ke German tidak ada ditimbulkan tuhan mana yang
disembah oleh buruh-buruh ini. Ketika buruh Filipina memasuki Kuwait mereka tidak ditanya sama
boleh menucap dua kalimah shahadat atau tidak. Apa yang diperlukan ialah tenaga dari tulang empat
kerat untuk memburuh dengan setia dansedia menerima pembayaran yang paling minima.

Buruh bermasaalah?

Hukum yang sama juga terjadi di Malaysia di dua dekad kebelakangn ini. Apabila modal antarabangsa
beralih ke Asia Tenggara satelah tamatnya Perang Vietnam maka kaum buruh pun mula beralih ke
kawasan ini. Modal yang mencurah masuk untuk pembangunan infrastruktur dan pertanian amat
memerlukan buruh murah sebanyak mungkin. Modal yang wujud ini telah menjadi pelita yang menarik
datang pelbagai bentuk 'kelkatu' ekonomi yang ingin datang menjual tenaga batang tubuh mereka.

Lima atau enam tahun dahulu, walau pun ada berita-berita jenayah yang dilakukan oleh 'pendatang' ini,
sikap kita terhadap mereka tidak sejelik yang berlaku hari ini. Hari ini mereka diburu, diperlakukan
dengan kasar, ditahan, ditangkap dan jika boleh rotan. Kini pendatang baru ini dilihat sebagai "orang
lain" yang dikaitkan dengan "masaalah". Betulkah kaum buruh ini masaalah.

Saya menolak hujah yang mengasosiasikan mereka dengan masalaah. Kaum buruh yang hari ini kita
anggap masaalah inilah yang telah bertanggungjawab membangunkan Malaysia yang sedia wujud hari
ini. Keselesaan yang kita nikmati hari ini berasaskan kepada tenaga murah mereka. Harga upah murah
telah memastikan kaum pemodal kita dapat meraih keuntungan yang maksima.

Melalui pusingan modal ini jugalah maka
ekonomi kita dapat terus bergerak dan
berkembang. Hanya mereka yang munafik dan
buta hati sahaja yang akan menuduh bahawa
''pendatang haram'' telah tidak membawa apa-
apa nikmat kepada kita kecuali masaalah.
Harus kita sama-sama akui bahawa selama ini
''pendatang haram" ini sebenarnya telah
menjadi satu industri yang amat lumayan.
Ramai individu menjadi kaya raya kerana
mencampuri dan mengambil bahagian dalam
industri ''pendatang haram" ini.

Umum mengetahui bahawa ahli-ahli politik dan menteri yang berkuasa telah memiliki lesen untuk
membawa masuk bakal 'pendatang haram' ini. Tanpa kerja sama dan 'payong keselamatan' dari para
politikus tidak mungkin industri 'pendatang haram' berkembang biak. Cukong-cukong binaan mendapat
keuntungan lumayan dari tenaga 'pendatang haram' ini. Semua projek dan gedung-gedung besar yang
wujud ditahun-tahun kebelakangan ini adalah hasil pemburuhan 'pendatang haram'. Sebut sahaja -
KLIA, Litar Formula 1, KL Sentral, Bangunan Berkembar Petronas, Putrajaya - adalah sumbangan
tenaga kerja buruh haram ini.

Pernahkah terlintas dihati kecil kita , semasa menghirup kopi di Starbuck di KLCC, untuk bertanya
berapa ramai agaknya orang Indon yang mati semasa membuat KLCC ini. Berapa ramai agaknya
Bangla yang terjatuh nahas ketika membuat Stadium Bukit Jalil. Berapa ramai pula buruh Myamar
yang tewas, cedera semasa membina taman-taman perumahan dinegara kita ini. Soalan-soalan ini
bukan agenda Melayu atau agenda Islam ianya agenda manusia.

Cukung-cukung pembinaan amat gembira dengan wujudnya sistem ''pendatang haram" ini. Jika para
buruh ini berkerja dengan halal maka mungkin mereka akan memiliki hak-hak buruh dan boleh
menuntut untuk menubuhkan kesatuan sekerja. Jika ini berlaku maka besar kemungkinan keuntungan
para pemodal akan merundum.

Pernahkah kita mendengar tuan-tuan punya projek binaan diburu oleh Rela kerana gagal membayar
wang KWSP. Tuan syarikat kilang dicari kerana tidak memberi cuti tahunan kepada pekerjanya. Dan
berapa jam sehari 'pendatang haram' ini bekerja. Sesudah sebulan memburuh berapa hari pula mereka
dibenarkan bercuti. Bagaimana dengan cuti tahunan mereka - wujud atau tidak. Hak ubatan mereka.
Dan apakah kita tahu berapa upah seorang pelayan perempuan Indon yang bekerja di restaurant Cina
itu. Dimana mereka menginap. Berapa pula sewa bilik mereka. Berapa ramai mereka tinggal dalam
sebuah rumah. Berapa pula agaknya bayaran untuk seorang Bangla yang bekerja diladang-ladang
kelapa sawit itu. Adakah tempat tinggal mereka sesuai untuk kehidupan manusia. Dalam soal seperti
ini sering keMelayuan kita dan keIslaman kita terbang keluar tingkap.

Industri membuat duit

Untuk saya langkah yang diambil oleh kerajaan sekarang adalah satu langkah yang salah. Kenapa harus
''pendatang haram'' ini di tangkap, dipenjara dan dihantar pulang. Kenapa tidak di resmikan sahaja
status mereka. Berapa bayak masa dan wang rinngit yang telah digunakan untuk membuat pekara
bodoh dan tidak masuk akal ini. Saya katakan bodoh kerana sesudah mereka dihantar pulang, mereka
dijemput pula datang sekali lagi. Tujuan dihantar pulang hanyalah untuk mereka boleg datang sekali
lagi ' secara resmi'.

Nah, sebenarnya, proses 'merasmikan' pendatang haram ini juga sedang dijadikan satu industri baru
dimana para politikus dari Indonesia dan politikus dari Malaysia dan kuncu-kuncu mereka akan dapat
membuat duit.

Tidak ada apa bezanya dalam perasmian ini selain dari membeli kertas. Penjualan kertas 'resmi' inilah
yang sedang diusahakan oleh kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Indonesia.

Saya beranggapan sademikian kerana apakah sesudah diresmikan, kaum buruh ini akan mendapat gaji
manima. Apakah mereka akan dapat mencarum dalam KWSP. Apakah mereka berhak untuk
mendirikan syarikat dan kesatuan buruh. Saya yakin semua ini tidak wujud dan tidak pernah dirancang.
Apa yang dirancangkan hanyalah 'meresmi' penjulan kertas.

Saya sedar, setiap kali diwujudkan akta baru atau undang-undang baru ini bererti satu industri baru
pula yang akan muncul. Kroni-kroni baru akan mencadangkan sistem baru, pegawai-peawai yang baru
pula akan mula menjalankan aktiviti-aktiviti gelap untuk menangguk duit. Pegawai-pegawai polis yang
baru pula yang wajib disogok. Setiap undang-undang atau akta yang diwartakan akan menjadi lukah
kepada politikus-politikus dan pegawai-pegawai yang korup.

Kerana itu jika ada Bangla atau Indon yang datang menyuruk di kampong saya, saya tidak akan
melaporkan mereka kepada sesiapa pun. Ini bukan bermakna saya tidak mahu mengikut undang-
undang. Tetapi undang-undang yang zalim dan tidak masuk akal tidak perlu di sokong atau dihormati
Jangan menganggap saya ini tidak patriotik dan tidak cintakan tanah air. Itu tidak benar. Yang saheh
ialah saya tidak ingin untuk hanya menjadi orang Melayu dan orang Islam. Nilai ini terlalu terlalu
sempit untuk saya.

Saya juga tidak berminat untuk berbangga menjadi rakyat Malaysia. Ini tidak mempunyai apa-apa nilai
tambahan. Saya bercita-cita untuk menjadi insan manusia dan warga dunia.

Untuk saya dunia ini adalah milik anak semua bangsa. Kita sebagai manusia hanya 'transit/singgah'
untuk beberapa ketika sahaja diatas dunia ini. Kenapa kita mesti bagitu anggkuh untuk mengatakan
yang aku sampai dulu maka aku mempunyai hak yang lebih dari kamu. Atau kerana aku menggunakan
bahasa ini atau beragama itu maka yang ini hak aku dan yang itu bukan hak kamu. Sempadan dan
pasport hanyalah konstruk sosial yang cuba memisahkan kita sesama kita dari menemui kemanusiaan
kita.

Anda mungkin juga menyukai