Anda di halaman 1dari 4

ISU PENYELEWENGAN MASA DALAM KALANGAN GURU DISEKOLAH.

Antara isu sahsiah yang kurang diberi perhatian oleh pihak tertentu iaitu penyelewengan
masa dalam kalangan guru disekolah. Isu ini menjadi isu sahsiah pilihan dalam kumpulan.
Antara pandangan guru dan pelajar terhadap isu penyelewengan masa yang dilakukan oleh
guru secara langsung mahupun secara tidak langsung iaitu:

Guru masuk lewat ke kelas.
Dewasa ini sering menjadi bualan tentang masalah yang melibatkan sahsiah guru
yang kian hari semakin menggugat kredibiliti profesion perguruan Malaysia. Melihat
kepada masalah penyelewengan masa dalam kalangan guru di sekolah ini ianya
melibatkan pelbagai bentuk kesalahan yang dilakukan oleh guru yang tidak
bertanggungjawab ini. Sebagai contoh yang paling hampir masalah guru yang lewat
hadir ke kelas.
Masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana perkara ini terkandung
dalam etika pengurusan masa yang terangkum dalam Pekeliling berkaitan Etika
Profesion Perguruan (Pembangunan Sahsiah, 2011:209). Kod etika ini
merangkumkan perkara yang perlu dipatuhi oleh guru seperti waktu hadir ke
sekolah, waktu hadir ke kelas serta mengajar ikut jadual waktu yang ditetapkan.
Semua ini termasuk dalam pengurusan masa dan ketetapan masa yang telah
termaktub dalam Etika Profesion Perguruan. Masalah penyelewengan waktu dalam
kalangan guru sering dapat dilihat melalui kelewatan guru masuk ke kelas,
kelewatan guru datang ke sekolah dan sebagainya.
Berdasarkan kajian sebelum ini, masalah berkaitan penggunaan masa guru ini sering
dikaitkan dengan penggunaan masa guru ke arah aktiviti yang tidak berfaedah
terutamanya semasa berada dalam kawasan sekolah. Sebagai contoh dapat dilihat guru-guru
yang bermasalah ini menggunakan masa pengajaran dan pembelajaran yang sepatutnya
mereka berada di dalam kelas tetapi digunakan untuk bersembang serta bergosip tentang
perkara yang tidak sepatutnya menjadi bualan di sekolah. Sedangkan sesi pengajaran dan
pembelajaran dibiarkan habis begitu sahaja. Dapat dilihat bahawa sahsiah yang dimiliki guru
ini mencemarkan profesion perguruan yang sentiasa dipandang tinggi di mata masyarakat.
Dalam Pembangunan Sahsiah ada menyatakan bahawa seorang guru yang
profesional harus mempunyai tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan
dan pembentukan sahsiah (Robiah,1998). Kenyataan ini jelas menegaskan bahawa guru
sebagai role model kepada muridnya perlu membetulkan sahsiah terlebih dahulu. Sebagai
contoh seorang guru haruslah menunjukkan sikap menepati masa kepada muridnya bukan
sebagai seorang yang tidak menepati masa. Kerana perkembangan pelajar adalah melalui
pemerhatian keadaan sekeliling yang dijadikan ikutan oleh pelajar itu dan diaplikasikan
dalam kehidupan seharian.
Menurut Yahya dan Zainuddin(2003) melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1996
ada menjelaskan :
Para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja
dari segi penyebaran ilmu, bahkan juga dalam pembangunan sahsiah anak didiknya. Justeru itu
guru perlu terlebih dahulu memiliki sahsiah atau personaliti yang unggul sebelum berusaha untuk
membentuk sahsiah para muridnya melalui proses pendidikan.

Guru berniaga dalam kawasan sekolah.
Guru berniaga dalam kawasan sekolah semasa waktu persekolahan juga merupakan masalah
yang berkaitan dengan penyelewengan masa dalam kalangan guru di sekolah. Sememangnya
manusia tidak pernah puas dengan pencapaian yang di kecapi telah membuatkan para guru ini
melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan tetapi dalam konteks ini perkara ini dilihat sangat
menyimpang kerana perbuatan ini akan mengabaikan tanggungjawab serta matlamat sebenar
guru itu datang ke sekolah iaitu untuk mengajar.
Melihat kepada perkara ini, guru perlulah bertanggungjawab dengan tugas yang telah
diamanahkan kepadanya untuk mendidik pelajar bukannya menjadi juru jual di sekolah.
Dalam buku Peperiksaan Penilaian tahap Kecekapan Skim Perkhidmatan Gurutulisan Mok
Soon Sang ada menekankan guru bertanggungjawab terhadap pekerjaannya, iaitu
akauntabiliti terhadap kurikulum yang telah ditugaskan untuk dilaksanakan olehnya malahan
juga guru juga perlu mendalami tugas yang ditetapkan oleh pihak sekolah terhadapnya. Jelas
dapat dilihat guru perlu bertugas sebagai pendidik bukannya sebagai juru jual di sekolah.
Bukan itu sahaja perkara ini juga ada terkandung dalam Etika Profesion Perguruan iaitu guru
tidak boleh melakukan kesalahan tata kelakuan seperti menguruskan perniagaan dalam waktu
pejabat ataupun waktu pengajaran dan pembelajaran. Kerana dapat ditafsirkan seorang
peniaga ini akan menjadikan keuntungan sebagai matlamat utamanya. Perkara ini sama sekali
telah memesongkan niat sebenar seorang guru hadir ke sekolah. Justeru itu guru ini tidak lagi
memberikan komitmen terhadap waktu yang sepatutnya digunakan untuk mengajar tetapi
telah disalah gunakan untuk berniaga.
Waktu yang diperuntukkan oleh pihak atasan kepada guru perlu dimanfaatkan kepada
perlakuan yang boleh meningkatkan prestasi kurikulum mahupun kokurikulum pelajar sekali
gus meningkatkan prestasi sekolah. Justeru itu guru memberikan sepenuh masa dan
kudratnya dengan menggunakan masa yang ada dengan perkara yang membantu pelajar
untuk maju dalam hidup bukannya menjalankan perniagaan yang hanya menguntungkan diri
sendiri tanpa menghiraukan matlamat guru datang ke sekolah iaitu untuk mendidik.
Malahan guru juga boleh menggunakan masa yang ada untuk bertindak sebagai ejen
kepada hubungan sekolah dengan ibu bapa. Perkara ini penting kerana penglibatan guru
sebagai orang tengah kepada pelajar dengan ibu bapa dapat memberikan tanggapan yang
positif terhadap profesion perguruan di sesebuah sekolah itu. Perkara ini berlaku kerana guru
akan lebih hampir dengan ibu bapa dan sekali gus mudah bagi guru untuk mendalami
masalah yang dihadapi oleh pelajar yang saling berhubung kait dengan prestasi pelajar
tersebut.

Guru berbual di kantin dan keluar sekolah sewaktu P&P.
Bukan itu sahaja guru yang bermasalah ini juga sering duduk di kantin sekolah untuk
bersembang perihal yang tidak penting sedangkan sesi pengajaran dan pembelajaran
dibiarkan habis begitu sahaja. Tidak kurang juga terdapat segelintir guru yang keluar masuk
dari kawasan sekolah sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung.
Menurut Etika Profesion Perguruan yang telah ditetapkan, seorang guru itu tidak
boleh bertingkah laku dengan tingkah laku yang mencemarkan profesion perguruan. Hal ini
demikian kerana guru yang menghabiskan banyak masa berbual di kantin menyebabkan
kegagalan pihak guru ini untuk mengawal pelajarnya kerana guru ini tidak berada hampir
dengan pelajarnya kerana sibuk berbual perkara yang tidak menyumbangkan peningkatan
prestasi pelajar serta sekolahnya. Malahan akan timbul masalah yang lebih besar lagi jika
guru yang sepatutnya berada di dalam kelas didapati keluar dari kawasan sekolah untuk
melepak dan sebagainya. Masyarakat sekeliling akan mula menimbulkan persoalan tentang
kredibiliti seorang guru yang membuang masa sedangkan waktu itu sepatutnya guru itu
berada di sekolah. Perkara ini sudah semestinya akan menjatuhkan martabat serta pandangan
masyarakat yang menyaksikan perlakuan guru yang tidak bertanggungjawab ini. Seperti sedia
maklum Kod Etika Profesion Perguruan ini dibentuk adalah bertujuan untuk menjunjung
tinggi martabat profesion perguruan. Menurut tulisan R. Hermawan (1979) dalam
buku Profesi Perguruan ada menekankan bahawa:
...kod etika ini dicipta supaya dapat menjaga pandangan dan kesan daripada pihak luar atau
masyarakat, supaya masyarakat ini tidak memandang rendah atau remeh terhadap profesion
perguruan ini.

Jelas dapat dilihat melalui petikan ini profesion perguruan ini adalah satu bidang yang
sangat disanjung tinggi martabatnya. Tetapi apakah pandangan serta tanggapan orang ramai
serta masyarakat jika melihat guru tidak berada di sekolah pada waktu yang sepatutnya.
Perkara seperti ini sudah pastinya akan mengakibatkan tanggapan orang ramai serta
masyarakat terhadap tingginya martabat bidang perguruan ini akan tercemar dan menurun.
Malahan perlakuan guru ini juga akan mengundang masalah lain yang lebih berat
seperti murid ponteng dan sebagainya. Dapat dilihat pelajar yang ingin belajar akan mula
bosan dengan sikap guru yang sering tidak masuk ke kelas dan akhirnya menyebabkan
pelajar bergiat dengan gejala ponteng. Menurut Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam keratan
akhbar Utusan Malaysia (2001, Mac 23) bertajuk Guru antara punca murid ponteng berkata,
pihak sekolah tidak boleh menyalahkan murid semata-mata, kerana tidak mustahil kegagalan
guru mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik turut menjadi punca pelajar ponteng
sekolah. Melihat daripada ucapan ini dapat disimpulkan guru menjadi punca kepada pelajar
ponteng kerana tidak berjaya menarik minat pelajar untuk belajar sedangkan guru itu sendiri
tidak masuk ke kelas kerana sibuk melepak di kantin dan berada di luar sekolah semasa
waktu P&P sepatutnya berlangsung. Malahan kemerosotan prestasi pelajar juga boleh
dikaitkan dengan perkara ini kerana menurut Muller et. Al. (2001) dalam buku Pembangunan
Sahsiah ada menyelitkan guru-guru yang mempamerkan ciri-ciri keperibadian yang merosot
menunjukkan perkaitan dengan kemerosotan pencapaian pelajar.
Sungguh malang rasanya jika terdapat guru yang sering melakukan penyelewengan
masa dalam menjalankan tugas sebagai pendidik kerana kesediaan guru itu untuk berkhidmat
tidak melambangkan ketinggian martabat profesion perguruan. Bukan itu sahaja, guru
tersebut juga susah untuk memberikan komitmen dalam menjalankan tugas sebagai seorang
pendidik anak bangsa yang seharusnya mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai yang tinggi
di dalam diri agar profesionalisme dan kredibiliti mereka sebagai warga pendidik dapat
dikekalkan dan dimantapkan.

Anda mungkin juga menyukai