Anda di halaman 1dari 8

http://www.cookie.com/kids/worksheets/science/personal-hygiene/1stgrade/personalhygiene13.

html

0 Pengenalan
Komunikasi adalah proses di mana seseorang itu bertukar maklumat dan idea. Menurut
Owen (1990), maklumat diterima dan saling memahami. Komunikasi menggunakan
petuturan dan bahasa, aspek lain perlu diambil kira seperti bentuk, intonasi, penekanan
suara dan gaya pertuturan yang boleh menggambarkan emosi dan sikap penutur yang
memberikan pelbagai makna. Komunikasi bukan sahaja menggunakan bahasa tetapi boleh
juga terjadi melalui gesture (tanda isyarat), gerak badan, eye contact dan ekspresi atau
mimik muka. Komunikasi begini digunakan dalam kalangan orang-orang yang mempunyai
masalah pendengaran. Julia Jantan dan Siti Suhaila Samian (2007), menyatakan masalah
pendengaran merupakan kehilangan seluruh atau sebahagian kemampuan mendengar
daripada satu atau kedua-dua belah telinga. Tahap kehilangan pendengaran adalah ringan
20dB hingga 40dB, sederhana 40dB hingga 60db, teruk. 60dB hingga 90dB dan sangat
teruk 90dB keatas. Masalah utama kanak-kanak bermasalah pendengaran ialah kesukaran
dalam pertuturan, bahasa dan berkomunikasi secara lisan. Kanak-kanak bermasalah
pendengaran kurang dan tidak diberi peluang untuk bertutur dan berkomunikasi dengan
individu normal. Faktor ini menyebabkan proses perkembangan bahasa, pencapaian
akademik dan psikososial mereka terjejas.
1.1 Masalah komunikasi bermasalah pendengaran
Kebanyakan ibubapa berpendengaran biasa yang mempunyai anak pekak (di Malaysia)
tidak berpendidikan tinggi, tinggal di luar bandar dan tidak mengambil berat tentang
kepentingan komunikasi menyebabkan mereka tidak pasti apakah bentuk bahasa (lisan,
isyarat, tulisan) yang patut digunakan bagi tujuan komunikasi. Kanak-kanak ini dibesarkan
dalam persekitaran berbahasa lisan yang digunakan oleh orang-orang di persekitaran
mereka.

Masalah komunikasi dengan masayarakat normal menyebabkan orang pekak kehilangan


hak untuk sama-sama merasai kenikmatan hidup di bumi yang merdeka, maju dan
membangun ini. Banyak perkara yang tidak dapat dinikmati atau terpaksa dilupakan kerana
tiada komunikasi antara mereka dengan dunia luar. Seterusnya, Dasar Integrasi Nasional ke
arah interaksi dan komunikasi menyeluruh tidak kesampaian.
Seperti manusia biasa, orang pekak harus menjalani kehidupan sehari-hari. Dari aspek
pendidikan, kerajaan telah menyediakan kemudahan seperti sekolah pendidikan khas,
sekolah integrasi dan juga guru-guru yang mengajar bahasa isyarat kepada mereka.
Kemudahan ini bertambah dari semasa ke semasa selaras dengan pertambahan golongan
pekak di Malaysia.
Namun, masih terdapat masalah yang wujud. Pertama, sistem bahasa isyarat yang sangat
rencam, yang digunakan sejak zaman dahulu tidak efektif untuk membawa golongan pekak
sebaris dengan masyarakat yang normal. Ada kepincangan pada sistem itu yang perlu
diperbaiki agar sistem komunikasi dua hala antara orang pekak dan mereka yang normal
berjalan dengan telus.
Masalah yang kedua pula ialah hubungan kemasyarakatan dan hak bersama golongan
pekak amat jauh dari masyarakat normal. Ini kerana, mereka hanya dapat berkomunikasi
dengan orang yang tahu berbahasa isyarat. Masalah bertambah rumit apabila jumlah
jurubahasa isyarat amat kurang, iaitu hanya 15 jurubahasa isyarat profesional yang

berkhidmat sepenuh masa. Kedua-dua masalah ini seterusnya menyumbang kepada


keampuhan jatidiri dan seterusnya menyebabkan golongan pekak mula membina dunia
mereka sendiri yang terpisah daripada masyarakat normal.
Kesan daripada kedua-dua masalah itu, golongan pekak keciciran dalam aspek pendidikan.
Selain itu, mereka gagal dalam mendapatkan hak seperti berurusan dengan sektor-sektor
awam, mengakses maklumat terkini tentang dunia semasa, hak untuk
menyuarakan pendapat, hak untuk membuat pilihan dan juga hak untuk mendapatkan
keperluan asas. http://psittacula.wordpress.com/2007/11/22/mereka-tidak-pekak/
1.2 Lima kaedah komunikasi yang boleh digunakan dalam kalangan orang
bermasalah pendengaran iaitu pekak.
1.2.1 Bacaan bibir
1.2.1.1 Konsep
Bacaan bibir merupakan kaedah komunikasi melalui memahami pertuturan dengan
mengikut atau memerhatikan bibir penutur termasuk memahami atau mentafsir hingga ke
otot muka dan gerak badan penutur. Antara organ pertuturan yang terlibat dalam bacaan
bibir ialah paru-paru, tenggorok, larkins, peti suara, tekak, hidung, rahang dan mulut.
Bacaan bibir adalah pertuturan tulin (pure oral) yang memberi tekanan kepada pengajaran
dan pembelajaran bahasa melalui pertuturan secara sengaja. Pendekatan bacaan bibir
memerlukan murid-murid pekak bertutur sepertimana murid-murid biasa. Raja Mariam Raja
Mohd Iskandar (1999).
1.2.1.2 Kelebihan
a) Rasional penggunaan pendekatan bacaan bibir berasaskan kepada anggapan bahawa
murid-murid pekak yang ada sisa pendengaran seharusnya digembeleng kebolehan
pendengaran mereka semaksimum mungkin untuk menguasai bahasa pertuturan. Saadiah
Ahmad (2009).
b) Anggapan kedua ialah murid-murid pekak merupakan kumpulan minoriti dalam
masyarakat yang berkomunikasi melalui pertuturan, oleh itu penguasaan bahasa
lisan melalui bacaan bibir amatlah perlu untuk membolehkan mereka selesa dalam
masyarakat. Saadiah Ahmad (2009).
1.2.1.3 Kekurangan
a) Kelemahan bacaan bibir ialah apabila penumpuan tidak dapat diberikan pada kualiti bunyi
petuturan itu sendiri seperti tinggi atau rendahnya bunyi petuturan. Bacaan bibir amat
bergantung kepada deria pengelihatan di mana pencahayaan yang terang adalah amat
diperlukan bagi memudahkan penumpuan ke arah wajah penutur. Menurut Tan Chin Guan
(1999),
b) Dalam mempelajari mana-mana bahasa pertuturan, faktor kebolehan mendengar adalah
penting (Paul & Quigley, 1994). Ketidakmampuan kita mendengar tidak membolehkan kita
mengajuk atau meniru bunyi-bunyi sesuatu bahasa yang kita pelajari. Ramai di kalangan
kita tidak dapat bertutur dalam bahasa yang tidak pernah kita dengar kerana tidak pernah
mendengar bunyi-bunyi bahasa berkenaan. Inilah keadaan yang berlaku kepada muridmurid pekak dalam mempelajari bahasa lisan. Dapat dibayangkan betapa susah dan
sukarnya murid-murid pekak diajar dan mempelajari bahasa lisan. Lagipun, mengajar
bertutur bukan tugas utama persekolahan kanak-kanak pekak. Tugas mengajar bertutur
terletak di atas bahu professional lain (contoh, audiologist dan jurupulih pertuturan).
1.2.1.4 Refleksi
Kaedah ini boleh berjaya sekiranya mereka yang mempunyai hubungan dengan pelajar

meneruskan usaha-usaha mengajar kanak-kanak bertutur. Alat-alat bantu pendengaran


dapat membantu kanak-kanak separa pekak menguasai bahasa yang baik. Sistem ini
sesuai untuk kanak-kanak yang mengalami kemampuan pendengaran antara 40 hingga 65
desibel. Lazimnya, latihan melalui pendekatan bacaan bibir diberikan kepada murid-murid
yang mempunyai sisa-sisa pendengaran. Bacaan Bibir menjadikan kanak-kanak
pekak mempunyai pencapaian akademik yang lemah, pertuturan yang tidak dapat difahami
dan kemahiran-kemahiran komunikasi am yang lemah. Kanak-kanak pekak memerlukan
sesuatu bentuk tambahan pandang untuk mengiringi pertuturan seperti yang disokong oleh
mereka yang mengamalkan Komunikasi Seluruh.
1.2.2 Pertuturan Kiu
1.2.2.1 Konsep
Merupakan satu kaedah sistem pergerakan tangan yang boleh membezakan bunyi-bunyi
apabila melihat pergerakan bibir contohnya bunyi /p/, /b/ dan /m/ iaitu bunyi fitur disingtif
seperti bunyi vokal dan bunyi nasalisasi (sengau). Tangan digerak hampir dengan muka
penutur yang bukan merupakan isyarat tetapi adalah cara untuk menidentifikasikan bunyibunyi fitur distingtif. Ianya mengandungi lapan konfigurasi dan empat kedudukan tangan
digunakan sebagai tambahan informasi bibir untuk membuat suku kata nampak berbeza dari
yang lain sama ada dibibir atau di tangan. Penutur menggunakan salah satu tangan mereka
untuk membolehkan pembaca bibir mengecam dengan jelas setiap suku kata yang
dituturkan. Ini bermakna petuturan kiu memungkinkan pembaca bibir membaca setiap
perkataan dengan tepat. Abdullah Yusoff et. All (2006).
1.2.2.2 Kelebihan
a) Pada masa ini, Petuturan Kiu merupakan satu-satunya kaedah yang mana bahasa
petuturan boleh dibaca pertuturannya oleh orang yang pekak dengan tahap ketepatan yang
hampir sama dengan sebagaimana ia didengar oleh seorang yang berpendengaran normal.
Menurut Tan Chin Guan (1999), kelebihan Pertuturan Kiu yang utama ialah perbendaharaan
kata yang tidak terhad yang tidak memerlukan daya ingatan atas pihak penutur. Ini adalah
kerana setiap perkataan
yang ditutur boleh sentiasa dikiu atas asas suku kata dilakukan tepat seperti ia disebutkan.
b) Kelebihan Pertuturan Kiu adalah kebolehgunaannya oleh kanak-kanak pekak untuk
memperolehi bahasa lisan secara semulajadi dan pada kadar yang agak biasa dan
membenarkan pertuturan pada kadar yang sesuai. Pertuturan Kiu memudahkan
pemerolehan bahasa lisan oleh kanak-kanak pekak terutamanya perkembangan kemahirankemahiran khas yang berkaitan dengan bahasa lisan seperti penerimaan dan penghasilan
pertuturan, membaca dan menulis. Melalui pemerolehan bahasa yang agak normal oleh
kanak-kanak pekak akan membawa kepada kualiti kehidupan yang jauh lebih baik untuk
mereka disebabkan oleh perkembangan emosi, sosial dan kognitif yang normal,
perkembangan kemahiran-kemahiran pengenalan huruf yang lebih awal dan mudah,
peluang-peluang yang bertambah dalam kemajuan pendidikan dan sebagai impak yang
tidak terbatas dalam pilihan profesion atau tempat pekerjaan. Raja Mariam Raja Mohd
Iskandar (1999).
1.2.2.3 Kekurangan

a) Namun penguasaan Pertuturan Kiu akan lebih dikuasai oleh mereka yang
mempunyai saki baki pendengaran yang baik. Kanak-kanak yang mempunyai
tahap kepekakan yang berat sukar menguasai Pertuturan Kiu. Kanak-kanak yang
bertutur mengunakan kiu biasanya tidak mempelajari bahasa isyarat. Keadaan ini
menyebabkan mereka bermasalah untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak
pekak yang lain. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003).
b) Kanak-kanak pekak yang menggunakan pertuturan kiu hanya dapat berkomunikasi
dengan orang-orang yang mempelajari dan memahami petuturan
kiu sahaja. Petuturan kiu memerlukan pergerakan tangan untuk lapan kombinasi konsonan.
Apabila Gerakan bibir tidak dapat dilakukan dengan jelas maka perkataan yang dilafazkan
sukar difahami oleh orang lain. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003).
1.2.2.4 Refleksi
Melalui pertuturan kiu kanak-kanak dapat mempelajari bahasa dengan baik. Murid-murid
bermasalah pendengaran boleh menguasai Bahasa Melayu. Ejaan menggunakan suku kata
dan enam kedudukan vokal membantu bunyi suku kata dengan jelas. Namun pertuturan kiu
perlu mendapat kesinambungan mempelajari di sekolah dan mempraktikkanya di rumah
bersama keluarga.
1.2.3 Komunikasi Seluruh
1.2.3 Konsep
Kaedah ini dikenali dengan total comunication. Digunakan dalam pendidikan kanak-kanak
pekak, menggunakan keseluruhan bahasa iaitu gerakan isyarat, bahasa isyarat, mimik
muka, petuturan, bacaan bibir, ejaan jari, membaca dan menulis. Komunikasi Seluruh hanya
dapat di lakukan secara berhadapan. Komunikasi seluruh merujuk kepada situasi yang
mana guru menggunakan apa-apa sahaja untuk membolehkan murid-murid memahami
bahasa. Mimik muka, lakonan, pertuturan dan sebagainya digunakan Abdullah (1997).
Kaedah ini perlu digunakan seawal mungkin supaya kanak-kanak berupaya menguasai
bahasa dan dapat berkomunikasi dalam masyarakat serta mampu mengelakkan perasaan
terasing.
1.2.3.2 Kelebihan

a) Menurut Raja Mariam Raja Iskandar (1999). Kaedah komunikasi seluruh menggunakan
kaedah isyarat, gerak isyarat mewakili sama ada perkataan yang
lengkap atau lebih tepat lagi, morfem yang merupakan bahagian-bahagian perkataan
individu yang bermakna. Sebagai contoh perkataan dimakan mempunyai dua morfem,
makan (kata kerja) dan di (penanda kata lampau). Oleh itu perkataan dimakan
diisyaratkan dngan mengguna isyarat untuk
makan diikuti dengan isyarat yang melambangkan di- untuk menunjukkan kata lampau.
b) Isyarat-isyarat dalam komunikasi seluruh adalah sebagai permulaan dan eksperimen ke
arah menambah kegunaan tangan dalam sistem oralisme setelah. Berbeza dengan kod,
bahasa isyarat lebih kepada memberi makna yang perlu difahami semasa berinteraksi di
antara satu sama lain. Ianya tidak menunjukkan keperluan kegunaan imbuhan yang
dicantumkan dengan kata dasar. Kementerian Pelajaran Malaysia. (1997)

1.2.3.3 Kekurangan
a) Menurut Saadiah Ahmad (2009). Bahasa Isyarat Komunikasi seluruh telah digunakan
oleh kanak-kanak pekak di Sekolah Kanak-kanak Pekak Persekutuan Pulau Pinang sejak
1954. Komunikasi Seluruh menghadapi masalah apabila terdapat perkataan yang tidak
mempunyai isyarat. Justeru daripada itu buku, American Sign Language digunakan.
Namun, terdapat beberapa isyarat yang bertentangan dari segi agama dan budaya Malaysia
tidak sesuai diguna pakai maka isyarat lain yang digunakan oleh kanak-kanak pekak pada
ketika itu digunapakai.
b) Penggunaan Komunikasi Seluruh merupakan satu elemen penting dalam
pengajaran Bahasa Melayu iaitu penggunaan serentak pertuturan dan isyarat. Guru-guru
dan kanak-kanak bermasalah pendengaran perlu menguasai kod yang ditetapkan untuk
mewakili kata Bahasa Melayu. Guru-guru perlu menguasai
setiap kod bagi mewakili kosa kata Bahasa Melayu semasa pengajaran mengikut topik dan
subjek yang diajar. Di samping itu guru juga perlu memahami prinsip-prinsip penggunaan
kod bagi mengambarkan proses morforlogi yang berlaku dalam Bahasa Melayu.
Umpamanya kod bagi kata dasar, kata majmuk, kata ganda dan kata berimbuhan ada
tatacaranya tersendiri. Selain itu, kod-kod bagi setiap
jenis imbuhan iaitu depan, apitan dan belakang mesti dikuasai guru dan murid supaya tidak
menimbulkan kekeliruan pada kanak-kanak bermasalah pendengaran. Abdullah Yusoff dan
Che Rabiaah Mohamed (2004).
1.2.3.4 Refleksi
Melalui Komunikasi Seluruh setiap kali petuturan digunakan dengan kanak-kanak pekak ia
mesti diiringi dengan suatu bentuk kaedah tambahan pandang (malah sentuhan juga)
dengan serentak untuk membantu kanak-kanak iatu mengecam dan memahami setiap
perkataan pertuturan dengan jelas untuk difahami semasa berinteraksi di antara satu sama
lain. Komunikasi Seluruh juga menggambarkan kaedah penggunaan pelbagai deria.
1.2.4 Bahasa Isyarat Kod Tangan bahasa Melayu (KTBM)
1.2.4.1 Konsep
Menurut Abdullah Yusoff (1996) KTBM adalah bahasa isyarat yang menggunakan seluruh
anggota termasuk mimik muka semasa berkomunikasi. Bahasa Isyarat dicipta untuk orang
pekak. KTBM adalah menurut asas-asas dan tatabahasa serta prinsip-prinsip Bahasa
melayu sebagaimana yang didengar, diperbualkan, ditulis, dibaca dan difahami . Penurunan
KTBM ini ke dalam
bahasa tulisan sedikitpun tidak mengalami sebarang perbezaan dalam struktur dan
semantik Bahasa Melayu. Kementerian Pendidikan Malaysia (1985).
1.2.4.2 Kelebihan
a) Menurut Saadiah Ahmad (2009), KTBM adalah satu bahagian daripada prinsip
Komunikasi Seluruh (KS). Kombinasi bahasa isyarat, kod ejaan jari dan pertuturan
digunakan. KTBM memberi penekanan kepada pembelajaran Bahasa Melayu, melalui kod
dan bukan menukar kod kepada bahasa. KTBM adalah cara mempelajari Bahasa Malaysia
dengan menggunakan kod-kod tertentu. KTBM membantu dalam tulisan dan pertuturan bagi
membantu dalam menentukan orang pekak dapat menggunakan Bahasa Melayu dengan

betul. KTBM sangat penting untuk memperkukuhkan pencapaian dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu.
b) Saadiah Ahmad (2009) juga menyatakan mempelajari KTBM lebih menarik dan
pergerakan tangan lebih senang. Kegunaan kod lebih mudah daripada melatih murid-murid
bertutur. Petuturan memerlukan pengetahuan yang mendalam tentang bunyi dan
bagaimana sesuatu perkataan disebut untuk mengeluarkan suara, sedangkan orang pekak
sendiri tidak berupaya mendengar suara mereka.
1.2.4.3 Kekurangan
a) KTBM ini bukan sesuatu bahasa umum tetapi merupakan salah satu cara komunikasi
dalam tatabahasa Bahasa Melayu yang baku. Dengan kata lain, KTBM digunakan apabila
berlakunya terjemah daripada lisan (suara) kepada visual (tangan) dalam tatabahasa
Bahasa Melayu. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003).
b) KTBM melambatkan lagi komunikasi antara dua Orang Pekak. KTBM tidak dapat
memberi gambaran dan maksud kepada Orang Pekak, Apabila KTBM
digunakan, kebanyakan Orang Pekak mengalami kekeliruan apabila berkomunikasi dalam
KTBM. KTBM terlampau lambat digunakan untuk terjemahan. Persekutuan Orang Pekak
Malaysia (2003).
1.2.4.4 Refleksi
KTBM dapat membantu kanak-kanak pekak membentuk ayat yang betul, menggunakan
kod-kod yang sama bagi perkataan yang sama. Melalui KTBM akan dapat menggalakkan
kanak-kanak menulis perkataan-perkataan setelah kod untuk semua jenis kata dipelajari,
Melalui KTBM matapelajaran Bahasa Melayu kanak-kanak pekak lebih mudah untuk
dipelajari dan difahami.
1.2.4 Bahasa Isyarat Malaysia (BIM)
1.2.5.1 Konsep
BIM ialah bahasa yang tulen bagi Orang Pekak Malaysia. BIM juga merupakan bahasa
ibunda dan bahasa istimewa bagi Orang Pekak Malaysia. BIM digunakan dan diterima pakai
oleh Orang Pekak Malaysia secara meluas. Bahasa yang dibukukan oleh Persekutuan
Orang Pekak Malaysia (MFD) pada tahun 2000 mengandungi 1000 isyarat-isyarat yang
digunakan oleh orang pekak untuk tujuan komunikasi dan penterjemahan. Persekutuan
Orang Pekak Malaysia (2003).
1.2.5.2 Kelebihan
a) Pada tahun 2003 isyarat-isyarat untuk kegunaan informasi teknologi maklumat telah
dibukukan oleh MFD untuk membolehkan kanak-kanak pekak berinteraksi dengan ahli-ahli
lain dalam keluarga. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003) menyatakan BIM
merangkumi komunikasi, pendidikan, sosial, sukan, budaya, agama, ekonomi dan politik.
b) Dengan menggunakan BIM, orang Pekak mampu berbincang pelbagai isu-isu yang
timbul, bergurau-senda, memudahkan komunikasi antara dua orang pekak serta memberi
kesan pemahaman yang baik kepada antara satu yang lain. Selain itu, BIM ini juga
mempunyai peraturan untuk digunakan tidak menyerupai Bahasa Inggeris dan terdapat
tatabahasa tersendiri. BIM ini diwujudkan secara tidak langsung dan bukan dicipta oleh
seorang sahaja.http://www.geocities.com/bimalaysia/
1.2.5.3 Kekurangan
a) Selain daripada isyarat yang memberi makna terus, BIM ini terpaksa menggunakan
pergerakan badan, kepala, mata selain daripada ejaan jari. Contohnya Munira rajin adalah
dua perkataan yang boleh bermakna, Munira tidak rajin.Jika perkataan Munira dieja
menggunakan ejaan jari kemudian geleng kepala atau menggerakan tangan untuk
menunjukkan makna, tidak dan dikuti dengan isyarat rajin. Jika perkataan Munira dieja

kemudian rajin diisyaratkan untuk bermakna rajin, ianya bererti Munira rajin. Keadaan
tersebut menunjukkan struktur ayat dan makna yang tidak lengkap. Saadiah Ahmad (2009)
b) BIM tidak mempunyai tatabahasa yang lengkap seperti KTBM iaitu imbuhan awalan dan
imbuhan akhiran. Tatabahasa antara BIM dengan KTBM adalah berbeza. Perbezaan
tatabahasa ini merupakan gejala utama yang memperlihatakan bahawa bahasa tulisan
murid-murid pekak sukar difahami, yang berakibat daripada terdapatnya pengaruh BIM ke
dalam penulisan Bahasa Melayu yang dihasilkan oleh murid-murid pekak. Saadiah Ahmad
(2009
1.2.5.4 Refleksi
BIM memberi makna terus sama ada secara ekspresif atau reseptif. BIM adalah bahasa
orang pekak. BIM digunakan sebagai bahasa pengantara Persekutuan Orang Pekak. Ia
mempunyai struktur ayat tersendiri dan tidak menyerupai mana-mana bahasa. Bahasa
isyarat yang berbentuk visual mengutamakan perkara-perkara yang dilihat dahulu sebagai
permulaan kepada sesuatu ayat seperti bahasa isyarat Amerika (ASL). BIM menggunakan
konsep abjad sebelah tangan. BIM memudahkan komunikasi sesama orang pekak namun
BIM tidak sesuai untuk bahasa penulisan orang pekak berbanding komunikasi seluruh dan
KTBM.
2. Rumusan
Kanak-kanak bermasalah pendengaran mempunyai masa hadapan yang cerah sekiranya
mereka diberi pendedahan yang awal. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang
mengalami masalah pendengaran perlu segera membawa anak mereka kepada pakar
audiologist untuk mengesahkanya dan memberi rawatan yang sepatutnya. Kanak-kanak
perlu dimasukkan ke program pendidikan khas bermasalah pendengaran untuk intervensi
awal. Di sekolah adalah masa yang sesuai bagi menyampaikan ilmu kepada orang Pekak
sebab minda kanak-kanak tersebut adalah masih lembut dan menerima input yang
berharga. Kunci untuk menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak Pekak ialah kemahiran
komunikasi, kerana ilmu di sampaikan kepada kanak-kanak melalui komunikasi. Di antara
guru dan murid, murid dan rakan-rakan. Mereka tidak boleh dibiarkan keseorangan tanpa
sesiapa di sekeliling memahaminya. Walaupun terdapat pelbagai cara berkomunikasi di
kalangan orang pekak yang pastinya mereka saling memahami interaksi sesama mereka.
Kelebihan kepada mereka yang mempunyai inisiatif mempelajari pelbagai komunikasi orang
pekak. Namun kerjasama, sokongan, bimbingan dan galakan di antara ibu bapa, keluarga,
guru-guru dan masyarakat sekeliling anak-anak pekak amat penting untuk membentuk
komunikasi yang baik dan bermakna.
BIBLIOGRAFI
Abdullah Yusoff. (1996) Pemaparan Idea Dalam Karangan: Kajian Kes Terhadap Karangan
Pelajar Pekak (An Expression Of Idea In A Composition : A Case Study On A Deaf Student).
Jurnal Dewan Bahasa, 40: 4, 321-336.
Abdullay Yusoff. (1997) Pembentukan Bahasa Isyarat Di Kalangan Pelajar Pekak (The
Formation Of Sign Language Among Deaf Pupils). Kuala Lumpur : Fakulty Of Linguistic
University Malaya. (Unpblished M.A Tesis)
Abdullah Yusof, Safni Bari & Mohd Mokhtar Tahar (2007). Pengenalan Pendidikan Khas :
Open University Malaysia Kuala Lumpur.
Julia Jantan & Siti Suhaila Samian (2007). Perkembangan Dan Ciri-ciri Kanak-kanak
Berkeperluan Khas : Open University Malaysia Kuala Lumpur.
Kementerian Pendidikan Malaysia (1985). Komunikasi Seluruh Bahasa Melayu Kod
Tangan. Jilid 1, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1997). Bultein Pendidikan Khas: Jabatan Pendidikan


Khas.
Owen (1990). Language Disorders : A Functional Approach to Assessment and
Intervention. Boston :Allyn &Bacon
Paul, P. & Quigley, S (1994) Language And Deafness San Diego: Singular Publishing
Group.
Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003). Bahasa Isyarat Malaysia : Persekutuan
Orang Pekak Malaysia Kuala Lumpur.
Raja Mariam Raja Mohd Iskandar (1999). Bertutur Dengan Kanank-kanak Pekak :
Persatuan Kebangsaan Pekak Malaysia Kuala Lumpur.
Saadiah Ahmad (2009). Pengenalan Kepada Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM): Open
Universiti Malaysia Kuala Lumpur.
Tan Chin Guan (1999). Bertutur Dengan Kanank-kanak Pekak : Persatuan Kebangsaan
Pekak Malaysia Kuala Lumpur.

SUMBER INTERNET
Abdullah Yusoff dan Che Rabiaah Mohamed (2004). (t.t) Penguasaan Bahasa Melayu
dalam Kalangan Murid Pekak: Suatu Sorotan dari Perspektif Linguistik Jurnal
Dewan Bahasa Dicapai pada 28 Jun 2009 dari
http://www.angelfire.com/journal2/abdullahyusoff/penguasaan_bhs.html
Bicara Rasa Sang Bayan (2007). (t.t)Mereka Tidak Pekak. Dicapai pada 28 Jun 2009 dari
http://psittacula.wordpress.com/2007/11/22/mereka-tidak-pekak/
Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2007). (t.t) Bahasa isyarat . Dicapai pada 28 Jun 2009
dari http://www.geocities.com/bimalaysia/.

Anda mungkin juga menyukai