Anda di halaman 1dari 11

Kisah Cik Siti, Puteri & Seekor Kijang..

'SITI adalah gelaran yang diberikan oleh seorang ahli bisnes Arab, yang
bahasakan Cik Siti Wan Kembang dengan Siti sahaja. Hal ini berlaku
dalam perbualan didengari oleh beberapa orang yang berada di balai
mengadap waktu itu.
"Apakah erti Siti itu?" Salah seorang dari mereka bertanya.

"Siti adalah gelaran bagi seorang perempuan yang menjadi tuan atau
ketua orang ramai." Jawab ahli bisnes itu. seperti yang dinukilkan
berdasarkan buku ringkasan cerita Kelantan karangan Datuk Perdana
Menteri Paduka Raja.
Demikian sahabat saya Ustaz Tuan Junuh bercerita mengenai Cik Siti Wan
Kembang atau negeri Kelantan. Kami sedang menuju dengan sebuah
kereta ke negeri tersebut melalui rentasan lebuhraya timur-barat. Dia
ingin balik kampong, dan kawan saya sorang lagi itu, isterinya adalah
orang negeri Cik Siti.
Sambungnya lagi, "Ada juga sumber sejarah menyatakan beliau turut juga
digelarpanggil dengan Paduka Cik Siti. Dalam buku sejarah Kelantan
karangan Arifin Abdul Rashid (terbitan Pustaka Al-Ahliah -1962),
menyebutkan Siti bererti tuan (perempuan) yang layak digelarkan
kepada perempuan yang mula-mula menjadi pemerintah sesebuah
negeri."
Bila sebut sahaja Cik Siti Wan Kembang, orang pasti kaitkan dengan
Kelantan, hingga menjadi nama timangan negeri berkenaan selain dari
Serambi Makkah. Cik Siti adalah raja ke 6 yang diwariskan oleh ayahnya,
adalah dari keturunan Iskandar Shah. Ayahnya ialah Sultan Ahmad (15481580) dan bondanya ialah Cik Banun.
Dalam usia empat tahun, Cik Siti Wan Kembang kehilangan kasih sayang
ayahnya yang mangkat, menyebabkan pucuk pemerintahan Kelantan
diserahkan kepada Raja Husain, sepupu Cik Banun (berasal dari Johor)
dengan gelaran Sultan Husain Pemangku Raja (1580-1610). Cik Siti Wan
Kembang memerintah Kelantan mulai 1610-1677. selama 67 tahun.
(Sumber :Detik-Detik Sejarah Kelantan, Sa'ad Shukri bin Haji Muda,
Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1971)
Beliau yang tidak pernah berkahwin, dalam usia 30 tahun telah dilantik
sebagai pemerintah Kelantan menggantikan Sultan Hussin. Beliau
bersemayam di Gunung Dang Besar, Hulu Kelantan yang kemudiannya

ditukar nama sebagai Gunung Chinta Wangsa, terletak kira-kira 40


kilometer di tenggara Kuala Krai. Nama gunung itu kekal hingga kini.
"Beliau adalah seorang Muslimah pertama perintah Kelantan, yang hebat
lagi bijaksana." Sambung Ustaz Tuan Junuh lagi.
"Kenapa Ustaz kata begitu?"
"Saya beri 2 sebab." Terang Ustaz Tuan Junuh lagi. "Pertama, sepanjang
pemerintahannya, ramai pedagang dari luar negara, terutama Arab dan
China datang berdagang di negerinya membuatkan nama Cik Siti Wan
Kembang jadi terkenal dan harum semerbak keluar negara waktu itu.
Maknanya beliau terkenal kerana pandai membangunkan ekonomi
negara. Kedua, walaupun muslimah yang memerintah, namun tidak
nampakpun kelemahan-kelemahan yang menjolok, dan beliau berjaya
mengatasi beberapa masalah"
"Apa masalah yang diatasinya?" Tanya sahabat saya yang seorang lagi.
"Bukti masalahnya .. bila bimbangkan pemerintahan di Gunung Chinta
Wangsa mungkin diserang, beliau merancang pembinaan sebuah kota
pentadbiran baru supaya tidak hanya bergantung kepada satu pusat
pemerintahan saja.. Dua pusat pemerintahan, itulah strategi politiknya.."
Menurut Ustaz Tuan Junuh lagi, dalam mencari kawasan baru itu, beliau
sampai ke hutan yang dipenuhi pokok tegayong. "Di situ, beliau membuka
Kota Tegayong, bagaikan kebijaksanaan Parameswara memilih tempat
membuka kota Melaka dulu."
Di kota pentadbiran baru itu, beliau membina sebuah taman rekriasi
dinamakan Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong. Kini
terletak di Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, Ketereh. Semasa
pemerintahannya, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di
bawah pemerintahan Raja Sakti (1638M /1046H). Setelah Raja Sakti
mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja
(1649M).
Baginda dianugerahkan 2 cahaya mata iaitu seorang putera, (dinamakan
Raja Sakti juga) yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri
bernama Puteri Saadung. "Satu lagi kehebatan pentadbiran Cik Siti, di
mana beliau berjaya menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Loyor di
Jembal, melalui pengambilan Puteri Saadung sebagai anak angkatnya
yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti."
"Tetapi kenapa pula Cik Siti tak kahwin-kahwin??" Sahabat saya tadi
bertanya lagi. "Nak ikut macam Rabiah Adawiyah seorang sufiah di tanah
Arab dulu ke?"

Rabiah binti Ismail Al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam
sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran
kota Basrah di Iraq. Rabiah menolak lamaran untuk berkahwin dengan
alasan: "Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai
pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah
milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa
pun." Itu kisah seorang Muslimah sufiah.

"Sebenarnya memang ramai raja atau putera-putera raja yang nak kahwin
dengan Cik Siti kerana beliau amat cantik. Tetapi peminangan mereka itu
tetap ditolak .. alasannya tidak terlintas dihatinya untuk bersuami.
Akhirnya, lama kelamaan keadaan ini menyebabkan beliau merasa sunyi,
seolah-olah hidup bersendirian." Kata Ustaz itu lagi.
Menurut versi yang satu lagi, pada suatu hari apabila Cik Siti melihat ratu
kecil Puteri Saadung ketika mengadap Raja Loyor di Jembal, timbul hasrat
beliau untuk mengambil puteri anak raja tersebut sebagai anak
angkatnya. Setelah berunding, akhirnya dengan kerelaan, Raja Loyor dan
permaisurinya sanggup menyerahkan Puteri Saadung untuk dijaga atau
dididik oleh Cik Siti Wan Kembang.
"Khabarnya, cerita Puteri Saadung pun menarik juga!?" Sampuk kawan
saya itu lagi.
"Panjang ceritanya" Kata Ustaz Tuan Junuh. Puteri Saadung adalah
seorang gadis ayu serta cantik dan digelar penduduk Gunung Chinta
Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Kecantikan Puteri Saadung itu
menyebabkan Maharaja Siam menghantar utusan meminangnya, tetapi
ditolak Cik Siti Wan Kembang. Bimbang timbul masalah, Cik Siti kahwinkan
Puteri Saadung dengan Raja Abdullah (sepupunya) dari Jembal sebelum
dimahkotakan di Kota Tegayong dan kemudian berpindah ke Kota Jelasin
di Kota Mahligai.
Sejarah Cik Siti Wan Kembang berakhir apabila beliau melantik Raja
Abdullah dan Puteri Saadung sebagai muslimah kedua pemerintah
Kelantan. Selepas pelantikan itu, Cik Siti Wan Kembang kembali semula ke
Gunong Chinta Wangsa, kota pemerintahan awalnya.. Akhirnya, kisahnya
tidak diketahui lagi.
Ustaz Tuan Junoh menyambung. "Seterusnya, penglima tentera Siam
bernama Phraya Decho telah menculik Puteri Saadung dan dibawa kepada
Narai Maharaja Siam (1656-1688). Namun kerana kesetiaannya pada
suaminya, dirinya diusahakan supaya tidak boleh disentuh oleh Maharaja
Siam. Akhirnya, Puteri Saadung berjaya kembali ke Kelantan. Tetapi
malangnya bila bertemu suaminya Raja Abdullah itu, berlaku pula

pergaduhan dan tuduh menuduh. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah


terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadung."
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadung telah melantik Raja
Abdul Rahim (saudara raja Abdullah) menjadi Sultan di Kota Mahligai
(1671M) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah (anak Penghulu
Ngah Jembal). Selepas itu Puteri Saadung menjadi Raja di Bukit Marak dan
sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.
"Khabarnya lambang seekor kijang kerajaan Negeri Kelantan ada kaitan
dengan Cik Siti?"
"Ya! Bila nama Cik Siti Wan Kembang mula terkenal, rakyatnya yang
mendiami Gunung Ayam (berhampiran Sungai Nenggiri, kini Hulu
Kelantan), membawa pelbagai persembahan untuk beliau. Antara
persembahan itu ialah seekor anak kijang cantik yang amat dikasihinya.
Kerana terlalu sayangkan kijang itu, Cik Siti Wan Kembang menerapkan
lambang kijang pada wang emas negeri selain diabadikan pada
sebahagian lambang kebesaran Kelantan yang kekal hingga kini."

PUTERI GUNUNG LEDANG


Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka yang kelapan pada ketika itu
baru sahaja kemangkatan permaisurinya, Tun Kecil dan meninggalkan
bakal pewaris takhta, Raja Ahmad yang masih kecil. Hibanya tidak terkata
mengenangkan isteri yang telah tiada meskipun baginda mempunyai
isteri-isteri yang lain, Tun Teja puteri dari Pahang serta Puteri Onang
Kening, anakanda Sultan Mansur Syah dari Kelantan. Tetapi hatinya masih
sunyi terasa seakan Istana Mahligai yang didiaminya itu terlalu kosong
dan tidak berpenghuni. Keadaan ini membuatkan baginda sudah
berberapa hari tidak menjengah Balai Rong Seri untuk bertemu para
pembesar negeri. Ini amat menggusarkan hati para pembesar
terutamanya Bendahara Tun Perpatih Sedang dan Laksamana Hang Tuah,
dua pembesar yang amat dihormati dan berpengaruh di istana Melaka.
Namun apa yang berlaku pada suatu malam merubah segalanya
apabila baginda bermimpikan seorang perempuan yang terlalu cantik
paras rupanya muncul dan berasyik masyuk dengan baginda. Terlalu luar
biasa akan rupa perempuan itu, membelai dan menggoda baginda
sehinggakan baginda seakan tidak mahu langsung terjaga dari mimpinya.
Menjelang matahari memancar di ufuk timur, segera baginda menitahkan
agar dipanggil nujum istana dan lalu ditanyakan, siapakan perempuan
tersebut yang muncul didalam mimpinya itu. Lalu dari telus tilikan sang
nujum, lalu dikhabarkan, perempuan itu adalah Puteri Gunung Ledang,
penjaga Gunung Ledang yang telah mendiami gunung tersebut sejak
ratusan tahun yang lalu. Selama ini baginda hanya mendengar akan cerita
orang mengenai puteri itu tetapi melalui mimpinya itu, baharulah baginda
tahu yang puteri itu terlalu cantik orangnya.
Titah
baginda
menggemparkan
istana,
Sultan
Mahmud
berkehendakkan puteri itu dan dijadikan Permaisuri. Titah itu seakan
mustahil tetapi titah tetaplah titah, yang juga mustahil untuk dibantah.
Puteri Gunung Ledang akan dilamar dan akan menjadi Permaisuri Melaka.
Jika benar puteri itu menerima pinangan baginda, bertambah gahlah
Kerajaan Melaka, yang sultannya beristerikan seorang puteri dari
kayangan. Maka, sebuah rombongan peminangan diadakan, diketuai oleh
Laksamana Hang Tuah sendiri yang pada ketika itu telah pun tua, diiringi
oleh Sang Setia serta ketua orang Inderagiri bernama Tun Mamat, yang
dikatakan mahir dengan selok-belok didalam hutan. Segala hantaran
peminangan disiapkan untuk dipersembahkan kepada Puteri Gunung
Ledang, dengan harapan puteri itu bakal menerima pinangan baginda.

Maka menjelang subuh sesudah rombongan tersebut mengerjakan


solat di Masjid Istana, mereka berangkat menuju ke arah selatan, dimana
Gunung Ledang dikatakan terletak. Setelah berberapa hari berjalan kaki
meredah hutan, rombongan itu yang dianggotai oleh Laksamana Hang
Tuah, Sang Setia, Tun Mamat dan berberapa orang pengiring kini dapat
merasakan perubahan cuaca disekeliling mereka. Udara dirasakan
semakin sejuk dan dingin dan tahulah oleh mereka yang kini mereka
sedang menaiki gunung tersebut.
Mungkin para pengiring yang lain masih gagah untuk meneruskan
perjalanan ini untuk bernerapa hari lagi, tetapi ini menjadi tugas yang
agak sukar bagi Hang Tuah. Hang Tuah ini bukanlah lagi Hang Tuah yang
dulu terkenal dengan kegagahannya, menumpaskan Hang Jebat yan
derhaka. Membinasakan pahlawan Jawa, Taming Sari dan membolot
kerisnya yang kini tersisip di pinggangnya. Hang Tuah ini telah pun
dimakan masa, yang kini berada diambang senja. Terlalu penat dan lemah
untuk terus mendaki gunung yang gagah dan angkuh ini.
Dan keadaannya ini disedari oleh Tun Mamat. Risau benar dia
melihat keadaan Laksamana tua itu yang kelihatan teramat lelah dan
tercungap-cungap. Akhirnya, pada suatu tempat perhentian di
pertengahan jalan ke puncak gunung, Tun Mamat mengusulkan biarlah dia
sahaja dan pengiring yang lain meneruskan perjalanan. Sementara Sang
Setia akan menemani Laksamana di pertengahan jalan. Tapi, ini terlalu
sukar bagi Laksamana ini untuk menerima usul dari Tun Mamat itu. Diakan
Laksamana, selama ini mana pernah titah dan tugas dari Baginda Sultan
gagal disempurnakan? Dia adalah Hang Tuah, pahlawan teragung
Kerajaan Melaka. Tapi...kini, keadaan dirinya benar-benar menyedarkan
dia sebenarnya hanyalah manusia biasa yang punya kudrat dan fitrah
yang terhad.
Dengan berat Laksamana Hang tuah terpaksa mengiakan akan
cadangan Tun Mamat itu. Laksamana Hang Tuah yang terkulai lemah di
banir sebatang pokok besar , sambil ditemani Sang Setia, memerhatikan
dengan rasa kecewa sebaik Tun Mamat dan pengikut-pengikut yang
lainnya mula mengorak langkah menuju ke puncak gunung hingga hilang
dari pandangan mata. Senja mula menjengah hari. Sudah terasa agak
lama berjalan mendaki semenjak meninggalkan Laksamana Hang Tuah
dan Sang Setia. Dan udara bertambah menggigit sejuknya. Namun, Tun
Mamat mula menyedari kelainan akan keadaan hutan disekeliling mereka.
Mereka tidak lagi dikelilingi oleh pepohon hutan yang besar mahupun akar
rotan yang berselirat disana sini, sebaliknya, muncul rimbunan pokok
bunga yang pelbagai warna dan rupa. Malah udara yang mereka hirup
bukan setakat dingin dan sejuk malah berbau harum pula.
Tun Mamat merasai keanehan itu. Mereka tidak lagi berada
disebuah hutan belantara sebaliknya disebuah taman yang terlalu indah.

Lagi anehnya, suara merdu nyanyian bersyair dan gurindam mendayudayu disana sini. Namun apa yang benar-benar menarik perhatian Tun
mamat dan engiringnya adalah apa yang berada nun dihujung taman,
berada diatas puncak sebuah bukit kecil. Terdapat sebuah balai kecil yang
menjadi pusat kepada taman tersebut dan apa yang menariknya tentang
balai itu, ia dibina dari tulang manusia dan berbumbungkan rambut!
Dan kedengaran suara-suara perempuan sedang bergurau senda
dari arah itu, lantas membawa langkah Tun Mamat menghampirinya.
Apabila telah benar-benar berada diperkarangannya, dapat dilihat seorang
perempuan tua bersama berberapa orang perempuan lain sedang duduk
bergurau senda. Tapi, sebaik menyedari akan seorang lelaki asing
menghampiri balai itu, gurau senda dan bualan mereka terhenti serta
merta. Pandangan mata mereka terpaku kepada kehadiran Tun Mamat
yang sedang menanti di muka tangga balai tersebut.
Tun Mamat memperkenalkan dirinya sebagai utusan dari Sultan Mahmud
Syah, Sultan Melaka yang membawa titah peminangan dari Baginda untuk
Puteri Gunung Ledang. Sebaik mendengar akan kata-kata Tun Mamat itu,
lantas perempuan tua itu memperkenalkan diri bahawa, beliau adalah
Dang Raya Rani, ketua dayang-dayang istana Puteri Gunung Ledang, dan
gadis-gadis lain yang bersamanya adalah dayang-dayang baginda.
Setelah akan mendengar hajat Tun Mamat itu, Dang Raya Rani meminta
untuk berlalu supaya kehadiran Tun Mamat dapat dipersembahkan kepada
Puteri Gunung Ledang.
Hinggalah menjelang tengah malam, masih belum muncul Dang
Raya Rani itu. Entahkan ya entahkan tidak, mereka itu dayang-dayang
Puteri Gunung Ledang, perasaan curiga mula bercambah dihati Tun
Mamat dan pengiring-pengiringnya. Tetapi, tiba-tiba, dari celah-celah
rimbunan pohon yang membanjiri taman tersebut, muncul seorang nenek
tua. Tapi nyata, yang ini, bukanlah Dang Raya Rani yang dilihatnya petang
tadi. Sebaliknya nenek tua ini sudah pun bongkok tiga hingga seakan
terlipat belakangnya. Dia berjalan menghampiri Tun Mamat yang mula
berdiri di tangga balai sebaik menyedari kemunculan nenek tua itu.
Tanpa memberi peluang untuk Tun Mamat memperkenalkan diri,
nenek tua itu seraya berkata yang beliau membawa titah dari Puteri
Gunung Ledang, yang baginda menerima akan lamaran baginda tapi
Baginda Sultan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu sebagai hantaran
perkahwinan iaitu
"Sebuah jambatan emas yang dibina dari istana Melaka hinga ke puncak
Gunung Ledang, sebuah jambatan perak yang dibina dari puncak Gunung
Ledang hingga ke istana Melaka, tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang
hati kuman, tujuh tempayan air mata anak dara, tujuh tempayan air
pinang muda dan semangkuk darah Raja Muda"
Terbeliak mata Tun Mamat mendengar akan syarat-syarat tersebut tetapi
dia sebaik mungkin cuba menyembunyikan perasaan itu. Kalau difikir dan
diamati, semua syarat itu semuanya mustahil untuk dipenuhi, dan kalau

benar pun, ia
disempurnakan...

tentu

mengambil

masa

bertahun-tahun

untuk

Sepanjang malam selepas nenek tua itu menghilangkan diri,


sepatutnya setelah penat seharian mendaki gunung, pastinya mudah
untuk melelapkan mata, mencari kembali tenaga sebelum mendaki turun
menjelang subuh esok. Tapi tidak bagi Tun Mamat. Pelbagai perkara
bermain difikirannya, tentang taman bunga dipuncak gunung, tentang
balai tulang itu, tentang Puteri Gunung Ledang dan tentunya tentang
syarat-syarat aneh tersebut....
Entahkan bila matanya terlelap, Tun Mamat sendiri tidak sedar.
Menjelang matahari mula memancar, Tun Mamat bersama pengiringpengiring dan barang hantaran yang sepatutnya dipersembahkan kepada
Puteri Gunung Ledang, mula mengorak langkah mendaki turun dari
puncak gunung. Mereka akan bertemu kembali Laksamana Hang Tuah dan
Sang Setia di tempat dimana mereka ditinggalkan semalam.
Laksamana Hang Tuah menunduk apabila mengenangkan syaratsyarat yang dinyatakan oleh Tun Mamat. Dalam diam, Laksamana tahu
akan maksud yang tersirat disebalik syarat yang dinyatakan oleh Puteri
Gunung Ledang. Dan demi itu juga, Laksamana tua itu juga sedar, dia
telah gagal. Gagal menjalankan titah Baginda Sultan dan ini tidak
bermakna lagi bagi dirinya untuk pulang ke Melaka, menyembah Baginda
Sultan. Maka sebaik sahaja rombongan peminangan itu tiba di kaki
Gunung Ledang dimana terletaknya sebatang anak sungai, Hang Tuah
berpesan kepada Tun Mamat
"Seandainya sungai ini bermuarakan Sungai Melaka, nescaya hamba akan
muncul di Melaka, tapi seandainya tidak, nescaya hamba telah pun tiada.
Sesungguhnnya khabarkan kepada Baginda Sultan hamba telah gagal
menjalankan titah dan berasa amat aib untuk mengadap Baginda"
Setelah menyerahkan Keris Taming Sari kepada Tun Mamat untuk
diserahkan kembali kepada Sultan Mahmud, Hang Tuah mencecahkan
kakinya ke air sungai tersebut dan meranduk airnya hingga hilang dari
pandangan sekelian ahli rombongan tersebut...Semenjak itu tidak lagi
didengari sebarang khabar berita dari Laksamana yang banyak jasanya
itu.

PUTERI GUNUNG LEDANG

Di puncak Gunung Ledang, tinggal seorang puteri yang terkenal dengan


kebijaksaan dan kecantikannya. Tiada siapa yang pernah sampai ke
puncak gunung itu kerana ianya sangat jauh. Terdapat pelbagai binatang
buas di dalam hutan Gunung Ledang.
Berita tentang Puteri Gunung Ledang tersebar hingga ke istana Melaka.
Sultan Melaka hendak menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai
permaisurinya. Baginda memerintahkan pembesar istana untuk
menghantar utusan peminangan itu.
Rombongan ppeminangan yang diketuai oleh Tun Mamat berangkat
dengan membawa banyak hadiah untuk tuan puteri. Mereka melalui
pelbagai rintangan untuk sampai ke puncak gunung.
Dipertengahan jalan, mereka bertemu dengan nenek kebayan. Setelah
bertanyakan arah istana tuan puteri, Tun Mamat dan ahli rombongannya
meneruskan perjalanan mereka. Mereka tidak tahu bahawa Puteri Gunung
Ledang telah menyamar menjadi nenek kebayan.
Mereka akhirnya tiba ke istana tuan puteri yang cantik dan besar. Tun
Mamat pun memberitahu hajat Sultan Melaka. Tuaan puteri bersetuju
menerima pinangan itu jika Sultan Melaka dapat memenuhi syarat yang
ditetapkan. Antaranya ialah semangkuk darah putera sultan.
Setibanya rombongan ke Melaka, Tun Mamat segera memberitahu sultan
segala syarat yang diminta oleh tuan puteri. Akhirnya, Sultan Melaka
membatalkan niatnya untuk memperisterikan tuan puteri kerana tidak
sanggup membunuh anaknya.
MORAL :
Jangan kita berhajat terlalu tinggi sehingga mengabaikan tanggungjawab
yang sebenar.

SAJAK DI GUNUNG LEDANG

Kabut
Kau menyalahkan kabut
saat kita tidak dapat melihat matahari
di puncak gunung purba
yang menyimpan mitos sang puteri
langit adalah sayap suci
yang menebar di kanan dan kiri
kita; ruang putih syurga
apakah kau mampu melihat
wajahmu saat putih mengelilingi
hingga seluruh tubuh kita menjadi putih
seperti malaikat yang datang dari cahaya
kau masih menyalahkan kabut
saat kita tidak dapat lagi melihat rumput
di bawah kaki kita yang hanya memijak putih
dan kita mencari-cari misteri sang puteri
yang menginginkan cintanya
dalam semangkuk darah
dan titisan airmata
masih lagi kita tertanya
apakah cinta itu seperti kabut putih
atau hijau rerumputan
sedang kita tahu
bahawa cinta juga pernah
datang sebagai darah dan airmata
Kau masih ingin menyalahkan kabut
saat kita tidak lagi melihat cinta
di putih langit mahupun di hijau rumput
kerana darah dan airmata
telah menukarkan tubuh kita
menjadi cinta yang terpasak di batu

Ujar Puteri Gunung Ledang


Ledang gunung lagenda
Adalah saksi sunyi

Kebijaksanaan seorang puteri


Yang mampu menukar wajah
Daripada cantik kepada buruk
Daripada jelita menjadi tua bongkok
Satu-satunya wanita yang berjaya
Membuat Tuah yang gagah
Kehilangan arah
Sultan yang mengingininya
Terkesima mengigit jari
Kerana pinangan diberikan harga
Semangkuk darah putera raja
wanita
Jangan akur apabila dikata lemah
Lembut kita lembut bijaksana
Diam kita diam-diam ubi
Kegagahan ditentang dengan akal
Kerakusan dibenteng dengan budi
Kekuasaan dipatahkan dengan helah
Biarpun kekuatan bukan milik kita
Namun akal yang ada
Lebih bermakna daripada
kehebatan lahiriah
Demikian wasiat Puteri Gunung Ledang
Kepada seluruh wanita
~

Anda mungkin juga menyukai