Anda di halaman 1dari 2

Agama

Islam galak inovasi untuk perkasakan


ummah
2010/08/24 - 05:32:23 AM Oleh Profesor Madya Dr Ismail Abdullah Cetak Emel Kawan
KERAJAAN mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi dengan menyediakan
lebih 60 acara . Tujuan diadakan program itu untuk memberi penekanan mengenai kepentingan
inovasi yang mampu menyediakan peluang pekerjaan baru dan menggalakkan daya saing negara.
Kemunculan produk inovatif seperti iPhone, Blackberry, Twitter, Facebook dan YouTube adalah
sebahagian contoh kejayaan penerokaan inovasi yang berjaya menukar landskap media
komunikasi di peringkat global.
Tahun ini juga, kerajaan bercadang melancarkan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) yang akan
disokong satu rangkaian pusat kecemerlangan. Usaha ini selaras semangat 1Malaysia untuk
mewujudkan perpaduan antara kaum melalui kerjasama strategik dalam perkongsian kepintaran
membentuk inovasi dalam kalangan warga Malaysia.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jarir Ibn Abdullah, Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa membuat inovasi yang baik dalam Islam akan mendapat pahala dan juga pahala mereka
yang mengamalkan dengannya sehingga hari pembalasan tanpa mengurangi sedikit pun pahala
yang mengamalkannya. Sesiapa membuat inovasi yang menyesatkan, akan mendapat dosa dan
juga dosa mereka yang mengamalkannya sehingga hari pembalasan tanpa mengurangi sedikit
pun dosa yang mengamalkannya.
Sabda Rasulullah itu merujuk kepada semua inovasi baik yang tidak bertentangan dengan alQuran dan hadis adalah digalakkan malah inovasi baik ini akan meningkatkan lagi kekuatan serta
perpaduan umat Islam.
Pernah terjadi pada zaman Rasulullah, sekumpulan penduduk miskin berjumpa Baginda.
Kemiskinan menyebabkan mereka hanya mempunyai sehelai pakaian untuk menutup badan
daripada satu bahan yang dibuat satu lubang bagi mengeluarkan kepala.
Mereka bukan penduduk Madinah dan apabila Rasulullah melihat keadaan mereka yang sangat
daif, Baginda menjadi sedih. Rasulullah menggesa masyarakat Islam yang hadir untuk
menyumbang dan bersedekah bagi memenuhi keperluan serta menghilangkan kesedihan mereka.
Sahabat seorang demi seorang tampil menyumbang di depan Rasulullah. Ada yang menyumbang
makanan, pakaian dan sebagainya sehingga terdapat jumlah sumbangan yang besar kepada
kumpulan orang miskin itu.

Pada waktu itu, wajah Rasulullah bertukar menjadi gembira dan baginda bersabda: Sesiapa yang
membuat inovasi yang baik dalam Islam akan mendapat pahala dan juga pahala mereka yang
mengamalkan dengannya sehingga hari pembalasan tanpa mengurangi sedikit pun pahala yang
mengamalkannya itu.
Walaupun hadis ini berkaitan dengan peristiwa khusus tadi, namun maksudnya umum dan
meliputi semua kes kerana kenyataan Nabi menyebut: Sesiapa yang membuat inovasi baik dalam
Islam.
Menjadi satu hukum dalam kalangan cerdik pandai Islam, ayat atau hadis yang diturunkan
mengenai sesuatu peristiwa khusus, jika istilah yang digunakan dalam ayat atau hadis itu bersifat
umum, maka ia boleh dipakai secara umum.
Satu contoh inovasi baik dilakukan Yahya Ibn Yamar yang menambah titik di atas dan di bawah
huruf tertentu dalam al-Quran bagi memudahkan pembacaan ayat al-Quran. Perkara ini pada
masa Rasulullah tidak dilakukan, namun dengan adanya usaha Yahya, pembacaan al-Quran
menjadi lebih jelas dan seragam.
Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab, beliau mendapati masyarakat Islam
mengamalkan solat Tarawih secara bersendirian dalam masjid lalu mengarahkan supaya solat
sunat Tarawih dilakukan secara berjemaah dan diimamkan seorang yang bagus serta sedap
bacaannya.
Ini satu contoh inovasi baik yang dapat menyatukan umat Islam. Seharusnya kita terus berinovasi
supaya umat Islam akan bertambah maju dan dapat menandingi bangsa lain.
Sebenarnya pada zaman kegemilangan Islam dulu sudah banyak inovasi dilakukan ulama silam,
namun warisan itu tidak dapat diturunkan kepada generasi seterusnya akibat pelbagai faktor
dalaman dan luaran umat Islam.
Kita masih yakin kebangkitan umat Islam akan berlaku selagi kita berpegang teguh dengan
panduan Allah dan hadis Rasulullah. Usaha menganjurkan ekspo berbentuk pameran dan
pertandingan perlu dijalankan di peringkat kebangsaan menumpukan kepada Inovasi
Penyelidikan Dalam Produk Islam yang merangkumi kandungan, sistem, polisi, prosedur serta
banyak lagi bidang.

Anda mungkin juga menyukai