Anda di halaman 1dari 2

PAPARAN berita yang bertajuk Saya bosan dengan cara cikgu mengajar yang

disiarkan dalam akhbar ini pada 9 Mac 2014 begitu menyentuh hati nurani para
pendidik yang begitu banyak menabur bakti dalam dunia keguruan. Pembaca
setia akhbar itu yang semestinya ibu bapa murid terbabit mungkin turut sama
berasa terkilan. Yang jelasnya, fokus utama ialah pengajaran guru yang tidak
menarik menyebabkan murid tersebut tekad ponteng sekolah.
Kalau itulah yang menjadi penyebabnya maka guru Bahasa Melayu dan guruguru mata pelajaran lain perlu mencari pendekatan, kaedah, strategi, dan teknik
pengajaran baharu agar murid pascamerdeka kini suka akan guru sekali gus
pengajaran guru.
Sehubungan itu, baru-baru ini, penulis berkesempatan hadiri Seminar Pendidikan
Kelas Abad ke-21 anjuran salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu
kota. Antara peserta termasuklah guru-guru yang mengajar mata pelajaran
Bahasa Melayu, selain pensyarah daripada pelbagai institusi pendidikan
tempatan. Apa yang mengagumkan penulis juga ialah beberapa pensyarah asing
yang fasih berbahasa Melayu dari institusi pengajian tinggi awam turut
menjayakan seminar ini.
Menurut salah seorang pembentang kertas kerja dalam seminar mantik itu,
pendidikan yang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah
diamalkan di dalam bilik darjah di luar negara seperti Amerika Syarikat dan
England sejak tahun 1970-an lagi. Hal ini menggambarkan pendidikan Barat
begitu mengambil berat tentang kurikulum ke arah pemikiran global dan
kemenjadian murid mereka pada abad ke-21 kelak.
Di Malaysia, pengajaran guru yang bertunjangkan Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan
penanda aras keberkesanan pendidikan kelas abad ke-21 yang diuar-uarkan oleh
Kementerian Pendidikan pada tahun 2014, iaitu selaras dengan transformasi
pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
Sebagai guru Bahasa Melayu yang berwibawa, pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu pada abad ke-21 ini memerlukan pengorbanan dan keprihatinan
guru yang tidak sedikit. Pelajar pada alaf baharu ini tidak gemar dikongkong
pergerakan mereka di dalam kelas.
Dalam hal ini, amalan pengajaran konvensional melalui cara 'chalk and talk'
tidak relevan lagi. Murid-murid mudah berasa bosan apabila pengajaran sehala
oleh guru yang tidak memberikan peluang kepada murid untuk menyuarakan
pendapat mereka. Pengajaran yang pasif tanpa berbantukan teknologi maklumat
tentulah membosankan murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana ada
murid yang terlebih celik komputer hingga dapat pula mereka membantu guru
dalam dunia pengkomputeran.
Selain itu, penggunaan komputer dan 'smart board' seharusnya dimanfaatkan

sepenuhnya oleh para guru untuk menarik minat murid-murid selain susun atur
kerusi meja murid yang bercirikan kelas abad ke-21 yang boleh diubah suai
setiap minggu.
Penggunaan pelbagai jenis bahan bantu mengajar yang bersumberkan internet
amat disukai oleh murid. Guru yang kreatif dan inovatif pula akan berperanan
sebagai pemudah cara ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
Pengajaran guru yang berbantukan laman sosial seperti Facebook, WhatsApp
atau Instagram perlu diperluas selain penggunaan mel elektronik atau Google
Chrome secara komprehensif. Murid-murid perlu digalakkan melayari internet
untuk mencari maklumat terbaharu tentang sesuatu topik pengajaran semasa.
Seterusnya, aktiviti kumpulan sewajarnya diamalkan setiap masa meskipun guru
Bahasa Melayu atau guru Geografi telah diamanahkan mengajar murid yang
akan menduduki peperiksaan awam baik UPSR, PT3, SPM atau STPM. Dengan
kata lain, pengajaran guru yang memberi muridnya peluang untuk kolaboratif
antara satu sama lain sememangnya dinanti-nantikan oleh murid pascamerdeka
ini.
Kesimpulannya, pendidikan kelas abad ke-21 memfokuskan tiga komponen
utama, iaitu pengetahuan teknologi, pengetahuan pedagogi dan pengetahuan
kandungan atau kurikulum. Penyampaian guru Bahasa Melayu secara aktif,
komunikatif dan kolaboratif sememangnya menjadi impian setiap pelajar pada
arus perdana ini kerana rangkuman tiga komponen inilah yang merupakan faktor
penentu peningkatan peratusan kehadiran pelajar di sekolah setiap hari. Bahasa
Sendi Tamadun Bangsa.

Anda mungkin juga menyukai