Anda di halaman 1dari 21

NASIB BAHASA MELAYU

Malangnya Nasib Bahasa Melayu


sebagai Bahasa Sains dan Matematik
: Bala yang Perlu Dikendala
Shaharir Mohamad Zain
Malang yang menimpa sesuatu kaum memang nasib ketentuan Allah jua. Namun
Allah menegaskan, kaum itulah yang menempahnya seperti (mengikut sebuah
hadith) sering memilih ketua pada sesuatu tahap kerja atau pengurusan daripada
kalangan orang yang tidak selayaknya. Pada abad ini kita menyaksikan banyak
sekali nasib malang kaum Melayu yang seperti ini dan satu daripadanya ialah nasib
malang bahasanya sendiri. Malang demi malangnya nasib Melayu abad ini
menyebabkan sudah pun ada orang yang begitu kecewa sehingga menyatakan
Hang Tuah (atau penulisnya) itu salah sama sekali kerana Melayu memang sedang
menuju kepupusannya. Apa salahnya bangsa yang sejak abad ke-7 dikenali sebagai
Moloyu atau Maliyul (oleh penulis Tiongkok ketika itu) atau sebelumnya sebagai
Kunlun, Pnom atau Funan (yang setiap satunya bermakna gunung) itu? Kaum ini
juga pernah dikenali dengan ejaan dalam bahasa-bahasa Eropah (selain Inggeris)
dalam abad ke-13M sebagai Malayo, Malayu, Malayur, Malaiyur, Malaiur, Malaio,
bahkan Malai; dan mengikut ejaan Jawi abad ke-19, dikatakan patut diRumikan
sebagai Milayu. Kini pun Melayu dalam bahasa bekas penjajahnya ialah Malayo
(Sepanyol), Malaio (Ferenggi/Portugis), Malaeis (Belanda), Malais (Perancis),
saam-laa-yoo (Siam), dan malai (Vietnam).
Punca malangnya nasib bangsa inilah yang dibicarakan di sini dengan memaparkan
7 perkara yang diharap dapat sama-sama difahami, disedari dan diinsafi situasinya
agar Hang Tuah masih benar juga akhirnya, jika beberapa tindakan sewajarnya
dapat diambil bersama kelak.

1. Orang Melayu bukannya mudah lupa tetapi mudah ikut ketua


Nasib orang Melayu dalam segala hal khasnya dalam hal bahasanya banyak
terletak pada sifat orang Melayu yang tidak berubah sejak zaman Tamadunnya
yang terawal, Kerajaaan Funan (berpusat di Kemboja sekarang) dan Kerajaan
Campa yang berpusat (di Vietnam sekarang) yang wujud mulai abad ke-2M
dahulu, dan diwarisinya pada Zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melaka,
Kesultanan Petani, Johor-Riau dan lain-lain lagi di Alam Melayu ini hinggalah
sekarang. Sifat yang dimaksudkan itu ialah bukannya mudah lupa yang dicanang
oleh Dr. Mahathir Muhammad itu tetapi sifat mudah ikut ketua, iaitu suatu ciri
feudalisme yang amat sedikit terhakisnya, walaupun agama orang Melayu sejak
abad ke-14M, iaitu Islam melarangnya bersifat demikian. Beberapa contoh berikut
cukup menjelaskan sifat Melayu itu:
B1) Batu bersurat Melayu Campa bertarikh sekitar abad ke-4 M (bahasa Melayu
bertulis yang tertua) mencatatkan (6 baris) bagaimana hukuman penderhaka
(bahasa asalnya, urang paribhu) kepada raja, orang itu akan hidup sengsara tujuh
keturunannya (asalnya tjuh kulo ko) yang diibaratkannya sebagai berada di neraka
selama seribu tahun (sarivu thun davam di naraka), sedang orang yang hormat setia
kpd raja akan beroleh anugerah dari syurga (labuh nasi svarggah). [Malaysia Kita,
INTAN 1993]
B2) Pada batu bersurat bertarikh abad ke-11M yang dijumpai di Kemboja tercatat
adanya aku janji para pentadbir dan pembesarnya Melayu Funan yang
diwajibkan bersumpah atas nama rajanya dan dihadapan api yang suci, Brahmana
dan Archarya untuk berbakti kepada rajanya dengan apa cara sekalipun dan rela
menerima apa jua hukuman ke atasnya dan keluarga dan keturunannya daripada
rajanya jika aku janji itu ditafsirkan sudah tidak dipatuhi lagi.
hidup kami semata-mata didedikasikan kepada perhambaan kepada raja
walaupun membawa kami kepada kematian.kami akan cuba menjalankan titah
perintah itu dengan penuh setianya hinggalah kepada perkara-perkara yang sekecilkecilnya. Jika kami tidak mengotakan janji kami, maka bersedialah kami menerima
apa jua hukum raja ke atas jasad kami relalah kami dilahirkan semula dalam tiga
puluh dua naraka selagi adanya Matahari dan Bulan ini.
Jika kami dengan setianya melaksanakan semua yang telah kami janji, maka mogamoga Yang Mahamulia mempertahankan landasan agama negara kami dan
menyediakan makan-minum kepada keluarga kami --- dan moga-moga kami
beroleh anugerah yang setimpalnya daripada kebaktian kami kepada tuan kami,

bukan sahaja di alam maya ini tetapi juga di alam selepas ini.
[Petikan drp buku Shaharir b.M.Z. 2008. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan
dan Kepengurusan Rumpun Melayu. K.Terengganu: UMT]
Kisah yang menghayati nilai feudal ini dinukilkan dan digubah dalam banyak
cerita dan mitos Melayu tentang bahana atau bala yang menimpa seseorang yang
ingin menegakkan kebenaran tetapi terlanjur sehingga dianggap menderhaka
kepada rajanya seperti yang berlaku pada Hang Jebat dengan Sultan Mahmud yang
zalim; dan Laksamana Bentan (Laksamana Megat Seri Rama) dengan Sultan
Mahmud Mangkat Dijulang itu. Kedua-dua-duanya dipastikan mati dengan
keadaan yang tidak patut dipuji walaupun perjuangannya suci! Tidak hairanlah
orang Melayu tidak pernah lupa tetapi menerimanya sahaja siri titah perintah
rajanya atau kerenah rajanya yang berhubung dengan bahasa Melayu yang kini
berada dalam keadaan tragedi dan menyayatkan tetapi tetap tiada yang berani
berdiri menyanggah bahkan yang ada hanya tunduk gundah sahaja:
1960: Pengisytiharan huruf Rumi sebagai aksara rasmi bahasa Melayu sehingga
perlahan-lahanlah Melayu Jawi (yang kaya denga khazanah ilmu sejak abad ke13M ) tersingkir dan terfosil. Orang Melayu akur kerana ketuanya berkata demi
memudahkan bangsa asing mempelajari bahasa Melayu, dan memudahkan orang
Melayu mempelajari ilmu moden yang memang dalam Rumi.
Walaupun demikian, bahasa Melayu Rumi berkembang pesat (mungkin jika Jawi
dahulu dipertahankan kepesatannya sama juga dan bernilai tambah pula kerana
sekaligus terus mewarisi ilmu yang sedia ada dan mengembangkannya lagi),
khususnya sains dan matematik dalam bahasa Melayu Rumi (berasaskan sumber
Inggeris) melalui liku-liku kemajuannya yang menakjubkan antara 1960-1990-an
sehingga ke peringkat Sarjana dan D.Fal sains dan teknologi (lebih tepat lagi sains,
sains kesihatan, kejuruteraan dan teknologi, atau ringkasnya SAKTI). SAKTI
dalam bahasa Melayu Malaysia mulai mengatasi SAKTI dalam bahasa Melayu
Indonesia (yang bermula kira-kira 20 tahun lebih awal) sehingga ratusan pelajar
Indonesia datang belajar di Malaysia di peringkat Sarjana dan D. Fal. dan ratusan
juga pelajar dari negara Timur tengah dan Benua Hindia berbuat demikian. Dalam
tahun 1990-an itu bahasa Melayu terbayang akan menjadi satu daripada bahasa
SAKTI antarabangs mulai alaf ke-21. Malangnya, beberapa peristiwa berikut yang
dicetuskan oleh pemimpin Melayu berkuasa membantutnya dan kini tinggal umbisi
yang berada di bawah tanah yang tidak digemburkan lagi sehingga menunggu
reput dan pupus sahaja jika tidak digali pada masa yang sesuainya untuk dijadikan
bibit baru lagi!

1995: Kerajaan yang berketuakan Mahathir membenarkan universiti Awam (IPTA)


menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam SAKTI. Dasar baru
ini sudah membayangkan bahawa bahasa Melayu perlu digantikan dengan bahasa
Inggeris kerana pada masa itu semua kursus SAKTI di IPTA menggunakan bahasa
Melayu kecuali kursus-kursus yang dikendalikan oleh pensyarah asing (yang
sentiasa ada dan diadakan demi pertukaran ilmu antarabangsa). Sejak 1995 itu,
kecuali UKM, universiti awam yang lain telah mula menyisih dengan gahnya
penggunaan bahasa Melayu dalam kursus-kursus SAKTI-nya.
1996: Akta IPTS yang memberi laluan mudah untuk mengadakan kolej dan
universiti swasta dalam bahasa Inggeris dan disambut geger-riuh oleh orang
Melayu (mendendangkan retorik ketuanya) sebagai satu lagi kemajuan besar dalam
pendemokrasian pendidikan di Malaysia dan persediaan yang wajar bagi
menyahut globalisme, dan mereka ini bak Pak Kadok tanpa kesedaran terhadap
nasib bangsanya yang mula terlondeh meratanya.
2003: PPSMI dilaksanakan dengan penuh sokongan juak-juak ketua Melayu itu
dan para pendekar sekutunya atas nama pemimpin Badan Bukan Kerajaan (BBK).
Mereka ini membuka langkah gelombang dua belas dan dengan tongkat enam
sembilan masing-masing mengikut rentak ketuanya yang melaungkan langkah itu
sebagai sebuah anjakan paradigma yang tepat bagi memperkasakan diri dalam
persaingan arus globalisasi tanpa kesedaran diri terhadap implikasi retorik itu
sebenarnya lagi.
200X: Entah apa lagi dasar drp ketua Melayu yang akan dipatuhi lagi.
Benarlah, malang biasanya tidak berbau tetapi malang yang berbau sekalipun
nampaknya orang Melayu tetap mahu menghidunya!
2. Malangnya pemimpin Melayu mendokong Konsep Pensejagatan yang
Salah
Konsep pensejagatan atau lebih dikenali dengan globalisasi tajaan para sarjana
Barat alam tahun 1990-an itu sebenarnya berkembang di kalangan sarjana Barat
sehingga menjadi dua aliran besarnya. Pertama yang didokongi oleh para
pemimpin Helangan seperti Thatcher-Reagon dan Bush-Blair dengan gandingan
falsafah liberalisme baru, yang menganggap kesuperioran kebudayaan bangsa
Anglo-Saxon dan tidak memerlukan kebudayaan lain lagi bagi kelangsungan
kemajuan dunia ini, malah wajar dihapuskan sahaja menerusi kekerasan yang

disesuaikan dengan teori buatan sarjana upahannya, Teori Pertelagahan


Peradaban, atau melalui kelembutan liberalisme baru seluruh dunia (dasar
peniadaan peranan kerajaan dalam perjalanan sosioekonomi negara). Bagi
golongan ini dunia tanpa sempadan akibat kemajuan TM (teknologi maklumat)
itu ditakrifkan sebagai peniadaan sempadan kebudayaan dan pentakhtaan nilai
Anglo-Saxon itu serata dunia dengan agresifnya sehingga sarjana golongan ini
(setengahnya sarjana upahan, pengampu atau penyempat itu) mengeluarkan
pelbagai teori berakhirnya x seperti berakhirnya ideologi, berakhirnya
negara-bangsa, berakhirnya sejarah, berakhirnya kebajikan, dsbnya. Inilah
yang didokongi oleh para pemimpin Melayu (yang dipertuankan) sejak Mahathir
hingga kini. Pemimpin Melayu tidak mahu mendokong pensejagatan kedua yang
lebih menjanjikan kebahagian sejagat lagi sebagaimana yang terbukti dengan
kegagalan dasar liberalisme baru tajaan para sejagatis/globalis jenis pertama itu di
seluruh dunia sekarang. Konsep pensejagatan yang kedua bermaksud pengongsian
dan simbiosis kebudayaan bangsa-bangsa bagi menjana idea baru bagi
kelangsungan kemajuan manusia sejagat. Golongan ini akan menangis tidak
berlagu lagi terhadap kematian sesebuah bahasa atau kebudayaan akibat amalan
sejagatisme jenis pertama itu lebih daripada kematian sesuatu spesies biologi yang
ditangisi oleh para pejuang alam sekitar itu. Mereka melihat setiap bahasa dan
kebudayaan bangsa itu suatu aset dunia yang besar, selain daripada aset bangsa
berkenaan itu sendiri kerana setiap bahasa ada menyimpan khazanah ilmu yang
tersendiri yang belum tergali dan perlu digali, atau mampu menjadi mangkin
penjanaan idea berilmu yang tersendiri. Isu bahasa dengan ilmu ini menjadi
perkara besar dalam wacana perjuangan menegakkan sesuatu bahasa dan oleh itu
dibicarakan berasingan lagi. Yang hendak dibangkitkan di sini ialah betapa
bebalnya pemimpin kita yang memilih untuk mendokong sejagatisme atau
globalisme jenis pertama itu sehingga sanggup memusnahkan kebudayaannya
sendiri.
3. Malangnya pembuat dasar PPSMI hanya mengikut nafsu dan keras kepala
sahaja
Tujuan PPSMI diwujudkan sering berubah terutamanya apabila terbuntu atau
terperangkap dalam perbahasannya. Dalam ulasan terbarunya tentang PPSMI,
arkitek dan juruteranya, Dr. Mahathir (dalam blognya bertarikh 5 Januari 2009)
menyatakan tujuannya bukan untuk mempelajari dan meningkatkan kefasihan
berbahasa Inggeris (Ini tentu mengejutkan juak-juaknya!). Tujuan PPSMI
ditegaskannya sebagai untuk menguasai bahasa sains dan matematik yang
berlainan daripada bahasa Inggeris biasa. (Dari mana pula dia dapat ajaran sesat
beliau yang baru ini, Allah saja yang tahu). Namun dalam ulasan pertamanya

tentang PPSMI (dalam blognya 23 Ogos 2008) beliau menegaskan penguasaan


sains dan matematik hanya boleh dilakukan menerusi bahasa Inggeris biasa yang
sering diucapkannya juga berupa bahasa asal sains dan matematik (satu lagi fakta
yang salah dan impian yang menyasar). Jelas Dr. Mahathir bercelaru fikirannya di
sini, bukan sekadar perkara-perkara yang ditegaskannya itu adalah kesilapan (yang
telah dicatatkan di atas itu) tetapi pernyataan beliau itu penuh swa-percanggahan
(percanggahan diri sendiri). Sangkalan penuh terhadap pandangan beliau yang
pertama itu telah dilakukan oleh penulis ini pada Nov 2008 (yang diposkan kpd
blognya dan disiarkan dalam blog komshaha, laman asasi atau kesturi, laman pts,
laman perihatin dan beberapa yang lain lagi, atau taip sahaja di google jawaban
mahathir) dan pembaca diundang melawatinya. Sementara itu, oleh sebab beliau
tidak pernah mempersoalkan kemampuan pelajar dalam bahasa Inggeris biasa ke
tahap untuk memahami sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sedangkan
hakikatnya itulah yang menjadi isu besarnya (iaitu mengajar dalam bahasa yang
pelajar tidak tahu atau tidak semahir bahasa ibundanya, kecuali segelintir pelajar
daripada keluarga yang elitis yang menggunakan bahasa Inggeris lebih banyak
daripada bahasa datuk-neneknya) maka juak-juaknya sentiasa menegaskan PPSMI
itu bertujuan mengukuhkan atau meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris di
kalangan pelajar di samping mempelajari sains dan matematik dengan lebih mudah
dalam bahasa asal kedua-dua ilmu itu. Apa pun kita boleh buat dua kesimpulan
berikut:
PPSMI bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar dalam sains dan matematik;
dan sekaligus meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa Inggeris.
Bolehkah tujuan ini tercapai? Adakah kementerian pendidikan/pelajaran telah
membuat kajian terlebih dahulu tentang perkara ini? Tentunya tidak pernah kerana
PPSMI dilaksanakan tanpa projek perintis sedikit pun, walaupun itulah yang
sepatutnya dilakukan terlebih dahulu untuk mendapat petunjuk bagi sebarang
perubahan kaedah pengajaran! Tidaklah juga diketahui bahawa pihak kementerian
mengetahui hasil-hasil penyelidikan di luar negara tentang isu yang serupa ini yang
menunjukkan tidak mungkin tercapainya hasrat itu sebagaimana yang dibuktikan
oleh contoh-contoh kajian yang berikut:
P1) Penyelidikan yang dilakukan di Amerika Syarikat sejak tahun 1980-an di
kalangan pelajar Hispanik (pelajar yang berbahasa ibundanya bahasa Sepanyol)
dan peribuminya (Hindia Merah) yang selama ini belajar sains dan matematik
dalam bahasa rasmi negaranya, bahasa Inggeris dan berprestasi amat buruk!.
Timbullah projek LEP (Least English Proficiency) yang mempersaksikan dunia

keperluan pengajaran sains dan matematik dalam dwibahasa (kepada suku-suku


kaum ini).
P2) Penyelidikan yang dilakukan di Kanada sejak 1990-an di kalangan pelajar dari
keluarga Perancis yang selama ini banyak yang belajar sains dan matematik dalam
bahasa Perancis tetapi oleh sebab bahasa rasmi kedua Kanada, bahasa Inggeris
yang lebih dominan, maka ada kecenderungan pihak tertentu mahu melihat anakanak Perancis ini belajar dalam bahasa Inggeris sahaja. Timbullah projek
French/English Bilingual Program yang agak berbeza daripada projek LEP di AS
itu.
P3) Penyelidikan di Hongkong pada tahun 2000 yang mahu melihat kemungkinan
anak-anak berbahasa Tionghua diajar sains dan matematik di dalam bahasa
Inggeris sahaja dengan tujuan yang sama seperti yang dikehendaki Mahathir itu
(Meningkatkan kefahaman sains dan matematik dan meningkatkan pencapaian
bahasa Inggeris). Hasilnya hasrat itu tidak tercapai.
P4) Penyelidikan di Eropah sejak 1990-an. Contohnya projek mengajar matematik
dalam bahasa Arab di Sweden untuk pelajar-pelajar berbahasa ibundanya bahasa
Arab, sedangkan bahasa sains dan matematik sekolah di negara itu ialah bahasa
kebangsaannya, bahasa Sweden.
P5) Penyelidikan di Afrika khususnya di Nigeria dan di Afrika Selatan pada tahun
1980-an lagi yang menginsafi kepentingan bahasa ibunda dalam pengajaran sains
dan matematik sedangkan bahasa rasmi negara ialah bahasa Inggeris. Penyelidikan
ini mencetuskan pelaksanaan beberapa projek printis yang masih berterusan hingga
kini tentang kemultibahasaan dalam pengajaran sains dan matematik dalam kelaskelas yang berpelbagai kumpulan etnik yang wujud di kedua-dua negara itu (dan
tentunya di negara-negara lain lagi di Afrika dan bukan Afrika sekali pun).
Pendeknya kajian-kajian ini menunjukkan tidak akan tercapainya matlamat PPSMI
itu. Malah kebenaran kesimpulan daripada hasil penyelidikan di atas itu terhadap
PPSMI itu telah dibuktikan pula menerusi penyelidikan sarjana-sarjana kita sendiri
seperti kumpulan di UPSI yang diketuai oleh Prof. Ishak Haron (pakar pendidikan
matematik), di UKM yang diketuai oleh Dr. Nurhashimah (pakar bahasa),
kumpulan Dr. Juriah UKM (pakar pendidikan), dan Prof. Ratnawati & Prof Ismail
(pakar pendidikan UIA), dan kumpulan penyelidik PEMBINA (yang melibatkan
bebrapa buah univ. tempatan kita). Namun para pemimpin Melayu yang berkuasa
itu tetap bungkam sahaja terhadap hasil-hasil penyelidikan yang berwibawa ini,
malah mengeluarkan kononnya indeks-indeks kejayaan PPSMI menerusi analisis

pihaknya terhadap hasil peperiksaaan UPSR yang menunjukkan kontra daripada


hasil-hasil penyelidikan di atas seperti pelajar semakin bagus keputusannya, pelajar
semakin berminat dengan sains dan matematik dsbnya itu. Apakah tahap
kebolehpercayaannya retorik kementerian ini?
Peperiksaan awam yang menggunakan taburan untuk penentuan gred tidak
mewakili prestasi sebenar pelajar. Hasil peperiksaan itu hanya menunjukkan
prestasi relatif di kalangan pelajar itu sahaja. Peperiksaan yang soalannya sesuai
dengan pelajar akan menghasilkan graf pencapaian relatif pelajar itu dalam bentuk
loceng yang simetri sepenuhnya [Graf berapa orang pelajar yang memperoleh
sesuatu markah atau selang markah]. Graf simetri inilah yang boleh menghasilkan
keputusan yang cantik seperti 5% gagal dan 5% bergred A, 90% bergred antara C
dengan B dan sebagainya.
Bagi peperiksaan yang soalannya tidak sesuai dengan kebanyakan pelajar seperti
kes peperiksaan PPSMI ini (soalan tak mungkin sesuai dengan kebanyakan pelajar
kerana pengajaran dalam bahasa Inggeris yang mereka tidak faham) besar
kemungkinannya grafnya tidak simetri tetapi pencong ke arah ke bawah daripada
40 markah umpamanya, iaitu ramai pelajar yang mendapat markah antara 0-40
sahaja. Dalam hal seperti ini, penilai prestasi peperiksaan itu terpaksa menetapkan
markah lulusnya yang sesuai supaya tidak ramai yang gagal. Inilah yang dikatakan
PPSMI ini berkemungkinan besar dimanipulasikan markah lulus dan seterusnya
gred-gered itu mengikut kehendak ketua pemeriksa atau lebih atas lagi sahaja.
Bagaimana dengan gembar-gembur pelajar semakin berminat dan semakin
mendapat kefahaman yang lebih dalam PPSMI seperti yang pernah disiarkan
dalam akhbar beberapa tahun yang lepas lagi dan ulasan pertama Dr. Mahathir
terhadap perkara ini ialah kononnya keputusan itu tidak sepatutnya mengejutkan
sesiapa pun kerana pengajaran dilakukan dalam bahasa asal sains dan matematik
(bahasa Inggeris) akan lebih menarik dan memudahkan pelajar!
Ini memang politik semata-mata. Bukankah anak-anak orang Inggeris sendiri di
UK, AS, Kanada, Australia dan New Zealand juga menghadapi masalah belajar
sains dan matematik? Lagi pun, jika benar-benar jujur mahu membuktikan PPSMI
lebih baik daripada PPSMM (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik
dalam bahasa Melayu) dahulu, kita perlu mewujudkan dua sistem ini serentak
dengan segala kemudahan yang serupa dan kumpulan pelajar yang berkebolehan
yang serupa. Hasil peperiksaan daripada dua sistem ini diambil dan dilakukan
dalam beberapa tahun berturut-turut (inilah yang dikatakan projek printis itu).
Lepas itu barulah pihak kementerian boleh bercakap dengan lebih wibawa lagi!

Hal sebegini memang tidak pernah dibuat dan sudah tidak boleh dibuat dalam
masa 6 tahun kebelakangan ini kerana kawalan-nya (istilah dalamkaedah
statistik), PPSMM, sudah dimansuhkan sama sekali dengan megahnya pula. Yang
boleh dilakukan ialah di sekolah-sekolah Tionghua kerana sepanjang 6 tahun
kebelakangan ini kedua-dua sistem nampaknya masih berjalan, hasil perjuangan
para pendidik dan ahli politik mereka yang tidak bebal serta sifat orang Tionghua
yang kurang feudal (ketua tidak semestinya betul). Ini memang dilakukan, dan
keputusan yang mereka peroleh memang menunjukkan PPSMI tidak sebaik
PPSMT (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa
Tionghua) dan hanya sekitar 10% pelajar Tionghua yang menjawab dalam bahasa
Inggeris dan keputusan pelajar yang menjawab dalam bahasa Inggeris tidak sebaik
yang menjawab dalam bahasa Tionghua. Ini jelas menunjukkan orang Melayu
memang Pak Kadok sahaja.
Malang Melayu kerana pemimpinnya tidak tahu atau tidak pernah mahu
mengambil iktibar daripada kejayaan PPSMBI (pengajaran dan pembelajaran sains
dan matematik dalam bahasa ibunda) berbanding dengan PPSMA (pengajaran dan
pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa asing) bukan sahaja dari sekolah
Tionghua seluruh Malaysia itu bahkan juga dari segenap pelusuk dunia. Mereka
sering melawat Eropah tetapi tidak pernah mengambil iktibar sistem pendidikan di
sana dan sifat kesayangan setiap bangsa di Eropah itu terhadap bahasanya,
walaupun bilangannya amat kecil berbanding dengan Melayu Malaysia apatah lagi
Melayu Nusantara. Kesatuan Eropah (KE) kini berjumlah 26 anggota dan setiap
anggotanya mahu bahasa mereka tidak diabaikan lalu terjadilah 23 tiga bahasa
rasmi Kesatuan Eropah (ada puluhan jurubahasa semasa KE bersidang), walaupun
bahasa persuratan KE ialah Inggeris, Jerman, Perancis dan Sepanyol atau Italia
sahaja. Sesiapa sahaja yang berpengalaman melawat sesebuah negara di Eropah
akan menyaksikan betapanya bahasa bukan bahasa rasminya, khususnya bahasa
Inggeris, tidak digunakan dengan berleluasa seperti yang berlaku di negara kita.
Baru-baru ini seorang rakan penulis menceritakan yang beliau terserempak dengan
Menteri Pelajaran kita semasa penerbangan balik dari Eropah dan semasa bertegur
sapa itu rakan penulis itu menceritakan kepadanya bagaimana rakyat Finland
(negara yang baru dilawatinya kerana persidangan ilmunya, Statistik) begitu kental
menghayati bahasanya sendiri sehingga sukar baginya untuk berinteraksi, maka
reaksi pak menteri kita itu ialah itulah yang kita tidak mahu berlaku di negara
kita. Tidakkah dia tahu dan sedar bahawa di Finland itu sekitar 60% rakyatnya
celik bahasa Inggeris tetapi tidak mahu menggunakannya sewenangan di tempat
yang tidak sepatutnya terutama di dalam negaranya sendiri? Tidak hendak belajar
apa-apakah dia tentang dasar pendidikan negara itu yang menghasilkan rakyat
sedemikian rupa?

Sehubungan dengan ini juga, para pemimpin kita juga tidak mahu mengambil
iktibar dasar pengajaran dan pembelajaran sains Negara-Negara Maju yang kini
mengikut penilaian PBB berjumlah 40 buah (27 buah di Eropah) termasuk yang
terbarunya Hongkong, Israel, Korea Selatan, Malta, Singapura, Siprus, Slovenia,
dan Taiwan. Hanya dua buah sahaja Negara Maju ini, iaitu Andorra (sebuah negara
yang kecil bersempadan dengan Sepanyol dan Perancis) dan Singapura, yang
pendidikan sains dan matematiknya bukan dalam bahasa ibunda rakyat
terbanyaknya, masing-masingnya menggunakan Sepanyol dan Inggeris. Ini
bermakna kita mahu meniru Singapura sahaja! Apa hebatnya Singapura segi sains
dan matematik? Sains dan matematik Singapura tidaklah semaju di Negara Maju
yang lain itu. Singapura sebenarnya lebih menjadi satelit Negara Maju sahaja:
tempat pengurusan perniagaan yang menguntungkan. Ramai ahli sains dan
matematik Singapura datangnya dari Malaysia, selain daripada negara-negara lain;
dan yang lebih relevan dengan Melayu, ahli sains dan matematik Melayu
Singapura tidaklah lebih hebat daripada yang di Malaysia. Sudahlah begitu, yang
dahsyatnya, kini dianggarkan 40% daripada rakyat Singapura sudah hilang bahasa
ibunda asalnya (terutamanya Tionghua, Tamil, dan Melayu) dan menghayati
sebuah bahasa baru campuran Inggeris dengan bahasa-bahasa ibunda asalnya itu
yang dikenali sebagai Singlish (bahasa Inggeris seperti dalam siri TV Singapura,
Phua Choo Kang itu). Mereka ini dikatakan ramai yang rasa kecewa kerana tidak
dapat menjadi betul-betul Inggeris. Bangsa yang berbahasa seperti ini memang
tidak mungkin melahirkan pemikir (khususnya ahli sains, ahli matematik) besar
yang lebih besar daripada pemikir daripada bangsa idamannya, Inggeris (lebih am
lagi, Anglo-Saxon) dan tidak juga akan menerbitkan idea-idea berasaskan sumber
kebudayaan tempatan yang berkemungkinan amat berbeza daripada pemikiran
Anglo-Saxon itu (oleh itu berkemungkinan mengalahkannya) kerana mereka sudah
tercabut daripada akar kebudayaan bangsa asalnya. Ini tabii sains dan matematik
yang dibicarakan lagi kemudian ini. Yang ingin ditegaskan di sini, jika PPSMI
diteruskan, maka Malaysia juga mampu menjadi kaya dengan per kapita yang
tinggi sepertinya dan melahirkan manusia seperti 40% rakyat Singapura itu, iaitu
yang boleh dinamai rakyat Malaysia yang berbahasa Malinglish pula. Ini agak
munasabah berlakunya kerana dengan PPSMI itu sekurang-kurangnya 60% rakyat
Malaysia akan melalui pendidikan aliran sains (satu daripada hasrat kerajaan) yang
berada dalam kebudayaan Inggeris sepanjang persekolahannya kerana sekitar 65%
subjeknya dalam bahasa Inggeris; dan 40% daripada rakyat Malaysia (satu lagi
hasrat kerajaan juga) akan berada di pusat-pusat pengajian tinggi yang 90% berada
dalam kehidupan berilmu menerusi kebudayaan Inggeris kerana sebanyak itu
subjek sains dan matematik di peringkat tersebut. Ini pun boleh dianggap ramalan
positifnya yang jauh kemungkinan berlakunya kerana Singapura itu contoh

terpencil Negara Maju yang tidak mungkin berlaku pada negara lain. Hukum
pembangunan sains dan matematik yang menjanjikan kejayaan ialah yang berlaku
pada 38 buah Negara Maju itu. Bebalnya jika kita menganggap Malaysia boleh!
lain daripada Negara-Negara Maju itu dan mahu juga cara Singapura! Ramalan
yang lebih besar kebarangkaliannya berlaku lagi, ialah seperti yang berlaku di
India dan Filipina (Contoh terdekat), iaitu kerana dasar pendidikan sains dan
matematik dalam bahasa asing bangsanya, maka hanya sekitar 20% sahaja
rakyatnya yang mampu menggapai ilmu itu di sekolah. Impian mahu melahirkan
bangsa yang mampu bersaing peringkat sejagat yang selalu dilaung-laungkan oleh
para pengasas dan penyokong PPSMI itu akan tinggal sedap cakap sahaja: riuhrendah, kampung tergadai!
Satu lagi malangnya nasib Melayu dengan bahasanya ialah kerana pemimpinnya
tidak mahu mengambil iktibarnya ialah hasil peperiksaan penilaian sains dan
matematik yang terkenal tanpa penggunaan taburan normal (oleh itu tanpa
kemungkinan manipulasinya). Peperiksaan yang dimaksudkan itu ialah Olimpiad
Antarabangsa dalam setiap subjek sains (biologi, fizik, kimia, teknologi maklumat)
dan matematik (setiap tahun) dan TIMSS= Trends in International Mathematics
and Science Study (katurtahunan/caturtahunan). Berkenaan TIMSS, yang terbaru
diadakan tahun 2007 yang prestasi Malaysia begitu merosot sehingga kementerian
pelajaran kita tidak mahu mendedahkannya kpd masyarakat. tetapi didedahkan
oleh Lim Kit Siang dlm blognya baru-baru ini. Yang patut pemimpin Melayu
ambil iktibarnya daripada siri peperiksaan ini ialah betapanya negara-negara yang
mengajar sains dan matematik dalam bahasa ibundanya sahaja (menjawab soalan
peperiksaan/penilaian ini dalam bahasa ibunda masing-masing) yang menjanjikan
kejayaan yang besar, kerana negara-negara inilah yang sentiasa berada di
kedudukan 10 atas setiap tahun/kali penilaiannya. Sekali sekala memang ada
pengecualiannya yang dikejutkankan oleh Singapura dan India tetapi lagi sekali,
bebal-lah kita mengikut hukum pengecualian sahaja dengan semata-mata
berpegang kepada Malaysia Boleh!. Bukannya negara yang jauh-jauh yang patut
dicontohi kerana Vietnam dan Thailand umpamanya sering mengatasi prestasi
Singapura dan India ini, sedangkan kedua-dua negara ini amat kental dengan dasar
pendidikan dalam bahasa kebangsaannya masing-masing, sementara Filipina yang
terkenal lamanya mengabaikan bahasanya sendiri itu sentiasa tercorot.
Jika kita melihat bangsa-bangsa yang menyumbang sains dan matematik pula
sehingga bangsa ini beroleh Hadiah Nobel dan anugerah keilmuwan besar yang
lain lagi, maka lebih jelas lagi betapanya bangsa yang mendokong dan menghayati
bahasa sendiri itulah yang lebih berdaya karya dan oleh itu banyak berjayanya
menggondol hadiah-hadiah besar itu. Bahkan bangsa bukan Anglo-Saxon

(terutamanya Jerman, Perancis dan Rusia) lebih ramai berjayanya sehingga sudah
ada pakar daya pengaryaan seperti de Bono meembuat hipotesis bahawa bahasa
bukannya bahasa yang berdaya banyak mencetuskan idea baru. Yang terbarunya
pemenang Hadiah Nobel Fizik 2008 terdiri daripada 3 orang ahli fizik Jepun (dua
daripadanya rakyat Jepun dan mengajar fizik dalam bahasa Jepun). Anehnya, ada
orang yang sombong-bebal di Malaysia yang menulis di akhbar mengatakan
sayangnya ahli fizik Jepun itu tidak fasih berbahasa Inggeris! sedangkan
sepatutnya mereka ini memberi kekuatan kepada kita untuk memansukhkan
PPSMI itu. Sikap ini seakan-akan sama dengan pendirian Dr. Mahathir sendiri,
arkitek PPSMI itu, yang pernah menyuarakan yang dia tidak mahu Malaysia maju
seperti Jepun yang tak tahu Inggeris! Sebenarnya ahli sains dan ahli matematik
Jepun bukannya tidak celik bahasa Inggeris kerana mereka boleh memahami
karya-karya dalam bahasa Inggeris dan boleh juga menulis karyanya dalam bahasa
tersebut, cuma mereka tidak petah bercakap dan sepertilah dengan bangsa-bangsa
di Eropah, sarjana Jepun itu tidak mahu bergaya dengan bahasa Inggeris terutama
di dalam negaranya.
4. Malangnya orang Melayu tidak sedar warisan sains dan matematik
daripada tamadunnya sendiri.
Orang Melayu, sebahagiannya menerusi dasar pendidikan negara yang pincang,
tidak mengetahui kewujudan tamadunnya yang kaya dengan sains dan matematik
yang pernah mendahulu Inggeris sejak abad ke-2M hingga ke-15M. Kurikulum
sekolah dan pemimpin Melayu yang berpengaruh sering menegaskan bahawa
orang Melayu telah wujud dan menjadi tuan di Malaysia ini sejak abad ke-14M
(Kesultanan Melaka) atau paling jauhnya (tetapi amat kurang ditekankan kerana
pusatnya bukan di Malaysia dan bukan Islam) ialah sejak abad ke-7M (zaman
Sriwijaya). Namun tiadalah ditonjolkan pencapaian sains dan matematik bagi
tamadun Melayu ini sehingga sains dan matematik dianggap hanya warisan
Inggeris sahaja. Malah bapa pengkhinat moden bahasa Melayu, Dr. Mahathir,
berulang kali menegaskan bahasa Inggeris adalah bahasa asal sains dan
matematik.dan disambungnya lagi oleh itu wajar dan lebih mudahlah ilmu-ilmu
ini diajar dalam bahasa asalnya. Sejarawan Tiongkok, dan Orientalis sudah lama
mengiktiraf kehebatan tamadun Melayu dalam seni bina (menerusi candi-candi dan
kuil-kuil) seperti Borobudur, di Jawa Tengah, yang dibina pada abad ke-8M,
Candi-Candi Mison di Vietnam yang dibina pada zaman kerajaan Melayu Campa
abad ke-5M lagi (semua ini diakui dunia sebagai teknologi atau bayangan
pencapaian sains dan matematik Melayu yang menakjubkan). Satu lagi kehebatan
teknologi Melayu yang diiktiraf dunia ialah teknologi perkapalan dan pelayaran
(yang dipercayai dipupuskan oleh Feringgi/Portugis dengan mengambil para ahli

teknologi perkapalan di Alam Melayu ini ke negaranya dan membina teknologi


perkapalan mereka pula. Selain daripada itu yang lebih baru disedari dalam abad
ini ialah betapanya sistem angka dan nombor seperti sekarang ini (cuma simbolnya
sahaja yang berbeza) sudah ada dalam tamadun Melayu sejak abad ke-6M lagi
(mendahului semua tamadun di dunia). Ini terbukti apabila ahli bahasa mendapati
perkataan kosong hingga sepuluh itu hampir semuanya (pengecualiannya
perkataan satu dan dua sahaja) adalah asli Melayu, sedangkan zero, one , two
hingga ten (bahasa Inggeris) itu semuanya pinjaman daripada Arab, Yunani,
Sanskrit atau Latin. Bahasa Melayu pada zaman dahulu (abad ke-2M hingga abad
ke-12M) yang dirujuk oleh Tiongkok sebagai bahasa Kunlun (dipercayai dari
istilah Pnom/Gunung) dan oleh Yunani (di Eropah) sebagai Kolan/Coelan; tetapi
oleh Orientalis (dan diikuti oleh sarjana kita) sebagai bahasa Melayu
Kuno/Kuna/Purba (yang tulisannya beraksara huruf Palawi). Bahasa Kunlun ini
sudah menjadi bahasa ilmu sejak abad ke-5M sehingga ribuan buku/manuskrip
dalam bahasa tersebut disalin, diterjemah atau dibawa seasalnya ke negara
Tiongkok, Jepun dan ke Hindia, malah sesetengah karya terjemahan ini ada
tersimpan di negara-negara tersebut yang masih belum dikaji oleh sarjana kita
kerana pengabaian terhadap warisan ilmu kita selama ini. [Sepatutnnya bahasa
Kunlun itu wajarlah dinamai bahasa Melayu pra-klasik kerana semua bersetuju
bahasa Melayu abad ke-14 hingga abad ke-19M sebagai bahasa Melayu klasik
yang tulisannya beraksara Arab, huruf Jawi. Ilmu sains pengurusan (menjadi satu
bidang sains dan metematik besar sekarang) juga telah wujud dalam tamadun
Melayu pra-Islam lagi apabila Orientalis Perancis mendedahkan adanya sebuah
batu bersurat di Vietnam bertarikh abad ke-11M (zaman kerajaan Melayu Campa)
yang menyatakan 32 sifat pemimpin dunia (istilah asalnya dalam bahasa Melayu
pra-klasik: cakravantin) yang sebahagian besar masih relevan dengan teori
sekarang; dan yang lebih penting lagi ilmu Melayu ini jauh lebih awal daripada
unsur-unsur ilmu ini yang ditulis dalam bahasa Inggeris (terawalnya dalam abad
ke-17M) bahkan dengan tamadun Eropah seluruhnya yang bermula dengan karya
Machiavelle abad ke-16M.
Pencapaian sains dan matematik Melayu Zaman Islamnya (mulai abad ke-13M)
tidak juga kurang tinggi tahapnya berbanding dengan pencapaian di Eropah.
Mengikut catatan bangsa-bangsa Eropah sendiri juga, kekalahan kerajaan Melayu
Campa kepada Vietnam 1471, Melaka kepada Feringgi/Portugis 1511, dan Petani
(kini di-Thai-kan menjadi Pattani) kepada Siam 1785 bukannya kekalahan dalam
teknologi peperangan tetapi kerana perpecahan dan pengkhianatan sesama sendiri.
Sarjana Melayu-Islam juga nampaknya mampu berkarya dalam psikologi dengan
mengembangkan karya sarjana Tamadun Islam tentang tahap-tahap kemahuan
manusia yang mendahulu teori Barat, dan jika diolah lagi ilmu ini mampu

menyaingi teori Barat kini sekalipun. Yang lainnya lagi mengutarakan teori
kosmologi-kosmogeni yang agak komprehensif yang terkenal dengan nama
Martabat Tujuh yang yang antara lainnya menegaskan mula asal alam semesta
ini dari kosong sekosong-kosong dan tidak mengalami evolusi, walaupun
mekanismenya masih belum diformulasikan dengan kemasnya dan oleh itu
menunggu sarjana kini melakukannya. Teori ini pun berpotensi menyaingi teori
kejadian alam semesta Barat kini yang bersifat evolusi dan masih bertikai tentang
permulaannya daripada ada atau daripada tiada benda, walaupun persetujuan
tiadanya atau tidak pentingnya pencipta alam ini sudah dipersetujuinya. Banyak
lagi contoh unsur-unsur sains dan matematik Melayu (dalam bahasa Melayu) yang
mendahulu bahasa-bahasa Eropah yang boleh dipaparkan. Siapakah yang akan
berminat dengan ilmu-ilmu warisan bangsa ini kelak jika pendidikan ilmu-ilmu ini
dilakukan dalam bahasa Inggeris? Bukankah dasar PPSMI ialah sebuah dasar yang
pastinya akan mengabaikan atau menidakpedulikan ilmu-ilmu warisan bangsa
sendiri ini dan seterusnya menghapus sebuah tamadun yang terbukti besar ini?
Alangkah bebal dan khianatnya pembuat dasar PPSMI!
5. Malangnya Pemimpin Melayu yang berkuasa tidak tahu pencapaian ilmu
sains dan matematik dalam bahasa lain khususnya dalam bahasanya sendiri
Bahasa sains dan matematik kini bukan sahaja bahasa Inggeris sahaja, walaupun
benarlah yang dominannya memang bahasa Inggeris kerana kekuatan tentera dan
ekonomi. Berasaskan penulisan sains dan matematik dalam jurnal (majalah yang
memuatkan perkara-perkara baru dalam sesuatu bidang ilmu) bahasa-bahasa sains
dan matematik sekarang selain daripada Inggeris ialah Perancis, Jerman, Sepanyol,
Italia,
Feringgi/Portugis,
Rusia,
Jepun,
Tionghua
(bahasa
Tiongkok/Sin/China/Cathay), malah yang amat kurang diketahui di dunia sebelah
sini, bahasa Ceska/Czech dan Finland. Jumlah jurnal dalam sekurang-kurangn
dwibahasa (yang disenaraikan oleh penilai Barat, Scopus) ialah sekitar 10% yang
diakui kecil tetapi tidak semestinya dampaknya juga kecil. Jurnal keluaran
Amerika Syarikat sendiri pun ada yang berupa jurnal dwibahasa (Inggeris dan
Sepanyol) dan tribahasa (Inggeris, Perancis, dan Jerman) dan jurnal-jurnal ini
memang berada di senarai atas. Jurnal terbitan Malaysia dalam dwibahasa (Melayu
dan Inggeris) juga sudah mula diiktiraf dunia dan sekaligus karya sains dan
matematik dalam bahasa Melayu ternyata sudah dirujuk oleh sarjana-sarjana
pelbagai bangsa di dunia. Sekaligus juga menyangkal tidak benarnya tulisan sains
dan matematik dalam bahasa Melayu tidak bermutu atau tidak tersebar luas dan
ahli sains Malayasia tidak dikenali dunia semata-mata kerana berkarya dalam
bahasa Melayu. Sarjana Melayu sebenarnya, sepertilah dengan sarjana-sarjana
bangsa yang maju (dan bukan daripada kaum Anglo-Saxon) itu, berkarya dalam

bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (bahasa sendiri) dengan karya dalam bahasa
Inggeris itu tidak semestinya lebih bermutu atau lebih banyak dirujuki orang
brbanding dengan yang dalam bahasa Melayu (bahasa sendiri). Malah mengikut
MyAis (Malaysian Abstract in Science), makalah terbitan dalam negara yang
paling banyak dirujuk/dibaca ialah makalah dalam bahasa Melayu. Namun
benarlah juga karya sains dan matematik dalam bahasa Melayu Malaysia atau
Indonesia (Brunei atau Singapura) masih tidak sebanyak dalam bahasa-bahasa
yang disebut di atas, sehingga belumlah lagi dapat dilihat merata, sebahagiannya
kerana ahli sains dan matematik kita sebenarnya belum biak berkarya dalam
bahasa apa pun! Ini ialah kerana tradisi berkarya dalam bidang ini baru bermula
sekitar 30 tahun (bermula dengan penubuhan UKM 1970) atau 50 tahun bermula
dengan penubuhan universitas di Indonesia dalam tahun 1950-an, sedangkan
bangsa-bangsa berbahasa yang lain yang tersebut di atas sudah lebih daripada
ratusan tahun. Persoalannya, kenapalah jahatnya pemimpin Melayu yang berkuasa
selama ini tiba-tiba (dalam tahun 2002) hendak mematikan perkembangan sains
dan matematik dalam bahasa Melayu yang sudah pun menunjukkan kejayaannya
berada di serambi pura kencana ilmu ini di serata dunia? Hanya pengkhianat
bangsa sahaja yang sanggup menyekat perkembangan ini seperti menerusi PPSMI
itu?
6. Malangnya Pemimpin Melayu yang berkuasa tidak kenal intan-permata
bahasanya sendiri
Tujuan kita mengajar dan memberi sumbangan sendiri kepada sains dan
matematik, antara lainnya, ialah supaya bangsa kita boleh memahami kejadian dan
fenomenon alam tabii ini dan bersyukur serta memungkinkan kita mentadbir,
mengurus alam dan makhluknya dengan penuh keadilannya atau tanpa
kezalimannya. Ini kefahaman ahli sains Melayu-Islam tentang sains dan matematik
yang jika ditukar kepada atau diungkapkan semula ke dalam bahasa Inggeris akan
berubahlah terus atau beransur-ansur berubah mengikut semantik bahasa Inggeris
itu pula. Perhatikan bagaimana perkataan-perkataan biasa yang penting (telah
menjadi istilah dalam sains dan matematik) dalam ungkapan di atas, yang condong
dan ditebalkan itu, cukup berbeza maknanya dengan perkataan-perkataan yang
biasa dipadankan dalam bahasa Inggeris sebagai teaching, science, mathematics,
understanding the natural events and fenomena, gratitude, possible, administer,
manage, world, nature, creature/being, justice, cruelty . Ini sifat yang ada pada
setiap bahasa, iaitu zahirnya sama tetapi batinnya berbeza yang cukup dalam
implikasinya kepada pemahaman (oleh itu pengajaran dan pembelajaran) dan
pembinaan (menerusi penyelidikan) ilmu khususnya sains dan matematik.

Setiap bahasa ada keistimewaannya dalam mencorak ilmu, malangnya pemimpin


Melayu yang berkuasa itu bebal kerana mengiktiraf hanya bahasa Inggeris sahaja
yang boleh, mampu dan patut mencorakkan ilmu. Mereka mungkin bersetuju saya
tidak sama dengan I, awak tidak sama dengan you dan akur menghayati perbezaan
itu, tetapi mereka tidak sedar dan insaf akan perbezaan perkataan-perkataan yang
lebih tinggi yang disenaraikan di atas yang sarat dengan ilmu (sains dan
matematik) itu. Senarai itu boleh ditambah lagi dengan yang lebih sarat nilai lagi
seperti harus tidak sama dengan permissible (atau must atau should), haram tidak
sama dengan forbidden, atau not permissible/permitted, wujud tidak sama dengan
exist, Tuhan tidak sama dengan God tidaklah sut senarai begini. Bertentangan
dengan pandangan sesetengah pihak yang kurang arif dengan tabii sains dan
matematik, seperti yang tergambar dalam pendapat Dr.Mahathir dalam blognya
(5/01/09) kononnya istilah sains Inggeris itu berbeza daripada perkataan biasa
Inggeris, kebanyakan istilah dalam kedua-dua ilmu ini memang berasal daripada
perkatan biasa ini (selain daripada yang sengaja diambil daripada Arab, Latin dan
Yunani). Pendeknya, kebanyakan perkataan Melayu (yang sarat nilai Melayu
asli/pra-Islam dan Islam) berbeza maknanya dengan perkataan yang peringkat
biasa-biasanya dianggap sama maknanya dengan padananya yang sesuai dengan
perkatan Inggeris (yang sarat dengan nilai apeduli agama, sekular, bahkan
mulhid/ateis terutamanya istilah-istilah sains kerana sekurang-kurangnya 90% ahli
sains fizik teori Berbahasa Inggeris umpamanya adalah ateis). Perbezaan bahasa
yang halus (peringkat tinggi inilah) yang menjadikan istimewanya sesuatu bahasa
(khususnya bahasa Melayu) dalam pemahaman ilmu yang diimport (kebanyakan
ilmu sains dan matematik sekarang) dan yang lebih penting lagi, pengaryaan ilmu
tersebut (yang sedang dilakukan oleh ahli-ahli sains dan matematik Melayu-Islam
yang beroleh pendidikan dalam kebudayaan Melayu-Islam atau yang sedar dan
insaf akan kebudayaan Melayu-Islam sejak sistem pendidikan sains dan matematik
berada dalam acuan berbahasa Melayu dalam tempoh 1959-2003. Bolehkah
keadaan sebegini dilestarikan menerusi pendidikan sains dan matematik dalam
bahasa Inggeris dengan harapan orang Melayu (khususnya sarjana sains dan
matematik Melayu kelak) menjiwai nilai-nilai Melayu-Islam ini? Agak mustahil!
Walaupun akan ada individu-individu yang terkecuali (terkeluar daripada norma)
yang berlaku sebaliknya.
Jika Singapura boleh menjadi contoh terdekat, berkenaan dasar pendidikan dalam
bahasa Inggeris ini; jika berjaya seperti Singapura (mungkin inilah yang
diimpikan demikian oleh penaja dan pengikut PPSMI itu), akan ada sekitar 40%
rakyat Malaysia yang bahasa ibundanya tidak lagi bahasa Melayu, Tamil atau
Tionghua dan sebagainya tetapi bahasa Malinglish (sungguh sesuai pula sebab
maling dalam bahasa Jawa bermakna pencuri) yang sepadan dengan Singlish di

singapura yang telah dibicarakan sebelum ini. Bagi orang-orang ini mereka tidak
tahu lagi semua perkataan yang disenaraikan di atas di atas tadi, bagi yang lain
lagi, 60% lagi itu, sebahagian besarnya perkataan-perkataan Melayu yang sarat
nilai Islam akan terhakis kerana diboboti oleh nilai-nilai yang tersirat dalam
simantik setiap perkataan daripada bahasa Inggeris itu. Kedua-dua kelompok
bangsa Malaysia baru ini entah apa identitinya dan pandangan hidupnya nanti
tidaklah diketahui. Yang jelasnya, bagi yang berketurunan Melayu itu bukan lagi
Melayu sekarang dan bukan juga Inggeris! Segi sains dan matematik, tiadalah lagi
orang yang berilmu itu yang mahu membina ilmu itu dalam acuan Melayu-Islam
sekarang dan tidak juga akan mampu menyaingi Inggeris, sebuah bahasa dan
kebudayaan yang dianggapnya mengatasi segala bahasa dan kebudayaan lain. Dr.
Mahathir sering memberi contoh dirinya sendiri tentang tiadanya hubungan apaapa antara bahasa dengan sahsiah, perangai, pandangan hidup seseorang (diulangai
dalam blognya yang terbaru bertarikh 05/01/09). Pandangan beliau itu amat
bertentangan dengan segala kajian ahli bahasa, psikologi, falsafah, dan ahli
sosiologi ilmu pengetahuan seluruh dunia yang dihuraikan mengikut acuan bahasa
Melayu di atas. Namun yang lebih menjengkelkan lagi ialah kecetekan (atau
kesengajaannya menyesatkan pembacanya) Dr. Mahathir memahami hukum sains
tentang pembangunan sahsiah menerusi pendidikan, iaitu pada amnya bahasa
berperanan mencorak pengajaran, pembelajaran, pembentukan peribadi dan
pembinaan ilmu. Contoh pengecualian daripada berlakunya sesuatu hukum sains
lebih-lebih lagi dengan contoh diri sendiri cukup rendah taraf sainsnya. Hukum
fizik sekalipun, umpamanya yang mengatakan daya sama dengan jisim kali
pecutan ada pengecualiannya; iaitu ada ketikanya mungkin sekali apabila Dr.
Mahathir melakukan ujikajinya, hukum itu tidak berlaku. Namun hasil itu tidak
sekali-kali memansukhkan hukum itu kerana kekerapan menyimpangnya daripada
hukum itu tidak cukup tinggi. Hukum sains semuanya tertakluk kepada hukum
statistik atau yang disebut sebagai hukum yang tidak maksum. Berhubung
dengan hal ini, lebih menjengkelkan lagi, apabila Dr. Mahathir sering bertanyakan
masyarakat Melayu siapakah orang yang mengatakan dia tidak Melayu? apabila
orang membangkit soal hubungan bahasa dengan identiti bangsa dalam wacana
PPSMI. Jawabannya jelas, KeMelayuannya, jika pun ada, pada amnya amat
berbeza daripada ke-Melayuan kebanyakan orang Melayu lain yang tidak
mendapat pendidikan yang serupa dengannya. Itu dia hasil daripada pendidikan
Inggerisnya sejak bangku sekolah hingga kini (menerusi pembacaan sumbersumber pilihannya yang tentu berbeza daripada pilihan sumber orang lain)
sehingga menjadikannya cukup berbeza keMelayuannya dengan keMelayuan
orang lain itu. Apa pun keMelayuan Dr. Mahathir itu tidak harus menjadi norma
identity Melayu kini dan selamanya.

7. Malangnya pemimpin Melayu berkuasa tidak kenal makna sains dan


matematik?
Istilah sains dan matematik hampir mengelirukan tabii sebenar sains dan
matematik kerana sains dan matematik itu dua perkara yang terpisah, sedangkan
sains itu kumpulan ilmu pengetahuan daripada akal manusia sejak zaman Nabi
Adam dahulu yang berkembang hingga kini dan kumpulan ilmu itu yang dianggap
tertingginya, terutama sejak abad ke-20 Masehi ini, ialah matematik (yang lainnya
yang terkenalnya ialah biologi, fizik da kimia). Jadi matematik jelaslah sebuah
sains juga! Namun, kerana Kementerian Pendidikan/Pelajaran kita telah lama
memisahkan pentadbiran dua mata pelajaran sekolah (Sains dan Matematik) ini,
maka sukarlah diperbaiki lagi. Oleh itu dalam makalah ini pun istilah sains dan
matematik tetap dipakai. Perkataan sains dalam bahasa Melayu (Malaysia dan
Indonesia) adalah baru diterima sebagai satu perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Dahulunya orang-orang rumpun Melayu di Alam Melayu ini (sebelum ada
Indonesia dan Malaysia) menggunakan huruf Jawi dalam tulisannya mengunakan
istilah ilmu pengetahuan bagi istilah science dalam bahasa Inggeris, atau
wetenshap dalam bahasa Belanda. Semasa Feringgi/Portugis dan Sepanyol
menjajah di Alam Melayu mereka mungkin juga memperkenalkan istilah yang
setara dengan science atau wetenshap itu, iaitu ciencia. Kalau Belanda
menterjemah ciencia kepada wetenshap, tetapi Melayu menterjemah ciencia,
science dan wetenshap itu sebagai ilmu pengetahuan bagi membezakannya
dengan ilmu daripada ajaran Islam (ilm dalam bahasa Arab itu). Ilmu MelayuIslam mestilah ada hubungan dengan agama dan Tuhan; manakala ilmu
pengetahuan
tidak
semestinya
demikian
kerana
kemungkinannya
pembina/pembawa ilmu pengetahuan itu hanya menggunakan akal sepenuhnya
sahaja. Akhirnya dengan pengaruh Inggeris yang kuat (yang termanifestasi
daripada bahasa Melayu menjadi Rumi sepenuhnya) pada tahun 1960-an perkataan
science diterima menjadi perkataan Melayu dengan ejaan sains. Indonesia lama
berdegil tidak mahu istilah sains dan mengekalkan istilah ilmu pengetahuan
hingga tahun 1970a-an. Semua istilah sains dalam bahasa-bahasa Eropah,
khususnya Ingggeris, Feringgi dan Sepanyol itu diambil daripada bahasa Latin,
scientia. Bahasa Inggeris menerima perkataan scientia sebagai perbendaharaan
katanya dengan perubahan ejaannya sehingga menjadi science itu bermula pada
abad ke-14M sahaja yang bermaksud pengetahuan yang diperoleh menerusi
kajian (Kamus etimologi di Internet) yang tentunya amat luas maknanya termasuk
bidang sastera sekalipun. Makna science yang tidak termasuk bidang sastera
seperti sekarang ini bermula pada abad ke-17M sahaja, dan sejak itulah scientia itu
dianggap modern science oleh Inggeris kerana penyisihan sastera bermakna

penyisihan unsur-unsur agama di dalamnya. Ini puncanya sains moden itu


dianggap sains sekular terutamanya jika kita setia dengan makna asalnya dalam
bahasa Inggeris itu. Dengan sejarah evolusi science ini, maka jika berjayanya
PPSMI maka tiadalah lagi versi makna sains dalam kebudayaan Melayu-Islam itu,
dan yang dihayatinya hanyalah makna sains atau science mengikut acuan Inggeris
itu sahaja; dan itupun tidak sepenuhnya kecuali orang-orang Melayu meninggalkan
agamanya sekarang sepenuhnya seperti yang berlaku pada kebanyakan ahli sains
dan matematik Inggeris meninggalkan agamanya, Kristian, sepenuhnya. Senario
ini tentulah menggerunkan sekali!.
Berkenaan dengan matematik pula, istilah ini pun baru diterima sejak 1970-an
bersama-sama dengan matematika di Indonesia. Sebelum itu bidang ini lebih
dikenali atas nama satu daripada kaedahnya atau kegiatannya, iaitu hisab (ilmu
hisab), hitung (ilmu hitung), atau keinginan sifatnya yang ketara, pasti (ilmu pasti).
Di peringkat tingginya, ilmu ini dikenali atas nama pemikirannya, al-Riyadhiyaht
(al-Ulum al-Riyadhiyaht) yang bermaksud latihan otak (ilmu latihan pemikiran).
Nama ilmu hisab, ilmu hitung atau ilmu pasti itu pun sudah nampak kaitannya
dengan sains kerana yang dihisab atau yang cuba dipastikan itu ialah perkaraperkara sains seperti pemastian keadilan dalam pembahagian harta pusaka,
pengagihan kekayaan kepada masyarakat menerusi zakat dan penentuan beribadat
(sembahyang, puasa, qiblaht, dsbnya) dan penjadualan kehidupan (taqwim)
menerusi ilmu falak. Perhatikan bagaimana sarat nilainya ilmu hisab itu kerana
makna pemastian keadilan, pengagihan kekayaan, penentuan beribadat, dan
penjadualan kehidupan itu amat berbeza daripada satu bangsa dan bahasa kepada
yang lain. Ungkapan-ungkapan ini akan berubah simantiknya apabila diungkap di
dalam bahasa Inggeris umpamanya. Keadaan ini lebih ketara lagi jika berdasarkan
nama pemikiran al-Riyadhiyaht itu kerana pemikiran dan bahasa itu cukup intim
sifatnya yang sebahagiannya sudah dibicarakan sebelum ini. Penukaran istilah ini
kepada matematik atau matematika (menerusi Inggeris, mathematics dan Belanda
dan Latin, mathematica) yang berasal daripada Yunani, mathematikos, ialah atas
keperluan merangkumi semua kegiatan sarjana dalam bidang ini, iaitu kegiatan
memahami, menerangkan/menjelaskan, mentelaah, mengkaji, mempelajari,
menangani, dan mengurus persekitaran tabii, sosial dan politik. Dengan kegiatan
matematik yang sebegini, tidaklah perlu rasanya dijelaskan dengan panjang lebar
lagi di sini bagaimana rapatnya matematik dengan kebudayaan sesuatu bangsa.
Seseorang yang mengabaikan kebudayaan sendiri (seperti bahasa yang menjadi
komponen utamanya) bermakna dia cuba memahami atau memberi faham,
menerangkan/menjelaskan, mengurus dirinya, persekitarannya dan sosiobudaya
dan politiknya, pendeknya seluruh aspek kehidupan ini, dalam acuan bangsa lain

dengan panduan ilmu (matematik) dari acuan bangsa lain itu . Inilah yang harus
ditentang!
Kesimpulan
Hujah-hujah keperluan pemansukhan PPSMI yang tersirat di dalam perbincangan
tragedi nasib malang bahasa (dan bangsa) Melayu dalam 7 perkara di atas
bukanlah baru semuanya bahkan sebahagian besarnya sudah dipaparkan oleh
pelbagai pihak sejak tercetusnya PPSMI dalam tahun 2002 dalam bentuk
memorandum, resolusi seminar dan sebagainya serta dialog dengan pemimpin
utama Melayu berkuasa yang relevan (Perdana Menteri Dr. Mahathir dan Pak
Lah), Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan/Pelajaran. Namun
semuanya ternyata tidak diendahkan oleh pemimpin Melayu yang berkuasa itu.
Kini sudah sampai ke hidung. Bangkitlah umatku. Ikutlah bisikan qalbu masingmasing; ikutlah ketua dengan berpada-pada sahaja.

Bibliografi
Aliyu A. 2008. Teaching in mother tongue (Nigeria). http://www.mailarchive.com/ africanlanguages@yahoogroups.com/msg00630.html. Kelih 03/02/09
Cocking, R.R. dan Mestre, J.P., 1988. Linguistics and Cultural Influences on
Learning Mathematics. Hillsdale:Earlbaum
Internet . Review of language, society and education in Singapore :http: //ccat.sas.
upenn.edu/~haroldfs/messeas/handouts/ singapore/ gopi2. html. 02/01/09
Lockwood K. Limited English Proficiency Students and Mathematics. An
Annotated Bibliography.
http://www.mathforum.org/~sarah/Discussion.Sessions/biblio.
Kelih 03/02/09

bilingual.

html.

Marsh, H.W., Hau, K-T. & Kong, C-K. 2000. Late immersion and language of
instruction in Hong Kong High Schools: achievement growth in language and
nonlanguage subjects. Harvard Educational Rev. Fall Issue: 302-346

Norman K.I. & Keating J.F. 1997. Barriers for hispanics and american indians
entering science and mathematics: cultural dilemmas. AETS Conference
http://www. ed.psu.edu/ci/Journals/97pap22.htm. Kelih 04/01/09
Noren E. 2008. Mother-tongue of teaching mathematics project. Stockholm
University, Sweden Email: eva.noren@umn.su.se . Kelih 04/01/09Olarenwaju
A.O. 1996. Using nigerian languages as media of instruction to enhance scientific
and technological development:an action delayed. Fafunwa Foundation Internet
Journal
of
Education
http://
fafunwafoundation.
fafunwafoundation/id10.html. Kelih 04/01/09

tripod.com/

Setati M. 2005. Teaching mathematics in a primary multilingual classroom. Jour.


for Res. In Maths Edu. 36(5): 447-466 http://my.nctm.org/ eresources/
view_media. asp?article_id=7229. Kelih 04/01/09
Warnod H. 2007. French/English Bilingual Program http://www.camberwellps.
vic.edu.au/ . Kelih 04/01/09
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
%%%%%%%%%%%% Makalah Kolokuium Realiti Melayu anjuran Persatuan
Melayu Perlis (PEMANIS)

Anda mungkin juga menyukai