Anda di halaman 1dari 3

Laporan Hari Tanpa Beg Plastik

Umum semua tahu pada setiap hari sabtu adalah merupakan Hari Tanpa Beg Plastik
yang telah bermula pada awal tahun 2010. Kempen ini adalah bertujuan untuk
mencapai objektif seperti mengurangkan penggunaan beg plastik dan
mempertingkatkan kesedaran pengguna awam terhadap impak-impak negatif
penggunaan beg plastik. Kempen ini akan memberi kesedaran dan manfaat kepada
para pengusaha dan pengguna iaitu mengurangkan kos pemprosesan beg plastik
serta mengurangkan pencemaran alam sekitar, juga menjadi sebahagian daripada
kempen mengurangkan pelepasan karbon yang menjejaskan lapisan ozon.

Penggunaan beg plastik dalam pelbagai aktiviti khusus untuk memuatkan


barangan yang dibeli digedung beli belah, pasar raya dan kedai sudah menjadi
amalan biasa sejak berkurun lamanya. Kesedaran masyarakat terhadap sifar
penggunaan beg plastik masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara maju
untuk memastikan bumi ini bebas daripada sebarang pencemaran alam sekitar.

Peniaga-peniaga pasar raya, gedung, farmasi, restoran makanan segera, dan


kedai stesen minyak diwajibkan mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Kebanyakan beg plastik sukar untuk dilupuskan, malah beg plastik yang boleh
dilupuskan tidak akan mereput tanpa kelembapan, cahaya dan oksigen di tempat
pembuangan. Peniaga gerai juga digalakkan bertukar kepada kaedah
pembungkusan yang lebih mesra alam. Di pasar raya-pasar raya, sesiapa yang
masih ingin menggunakan beg plastik boleh memperolehinya dengan bayaran
sebanyak 20 sen sekeping pada hari tersebut. Berjayakah kempen ini jika di pasar
raya-pasar raya kita masih boleh mendapatkan beg plastik walaupun hari tersebut
telah diisytiharkan sebagai hari tanpa beg plastik?Oleh itu,kita digalakkan untuk
membawa beg membeli-belah jika ingin menjimatkan 20 sen tersebut.
Peraturan bagi mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula seperti plastik
daripada sisa pepejal lain perlu diwujudkan supaya plastik boleh dikutip untuk kitar
semula. Bagaimanapun usaha ini tidak akan membuahkan hasil yang baik sekiranya
orang ramai tidak menjalankan tanggungjawab untuk tidak membuang beg plastik di
merata tempat dan mengurangkan penggunaan beg plastik yang disediakan di kedai
dan pasar raya.
Kerajaan juga mengumumkan pengurangan penggunaan beg plastik dengan
menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan beg plastik. Kerajaan
berharap usaha mengurangkan penggunaan beg plastik ini akan membolehkan kita
mencapai wawasan menjadi negara hijau di Malaysia. Oleh yang demikian, seluruh
ahli masyarakat disarankan agar mengurangkan penggunaan beg plastik sejajar
dengan kempen kerajaan demi kesejahteraan hidup bersama.

Anggota masyarakat disarankan untuk membawa beg sendiri atau membawa bakul,
karung kertas yang mudah dibawa atau yang boleh dilipat semasa membeli-belah.
Ini adalah perkara yang sukar dibuat para pengguna yang biasa menggunakan beg
plastik ketika membeli-belah. Jadi, untuk mengelakkan kita menggunakan beg
plastik,kita perlulah sentiasa menggunakan beg yang sama sewaktu membeli-belah
dan letakkan di dalam bonet kereta selalu. Kesedaran ini harus dipupuk oleh
masyarakat kita.

Selain itu,kita juga digalakkan untuk membawa bakul jika hendak ke pasar.Ini adalah
kaedah orang-orang dahulu dan masih lagi menjadi ikutan. Untuk tambahan,
gunakan kertas minyak yang bersaiz tebal semasa membeli daging, ayam atau ikan.
Ingatkan kepada penjual agar membungkus sayuran dan buah-buahan dengan surat
khabar untuk disimpan dan tahan lebih lama daripada mudah lupus. Selain itu, bakul
tersebut haruslah tidak berlubang dibawahnya supaya air dari daging, ayam atau
ikan yang dibeli tidak menitis keluar.

Kesimpulannya, masalah penggunaan beg plastik perlu ditangani dan diatasi


dengan segera.Hari tanpa beg plastik seharusnya ditambah dan masyarakat
seharusnya memandang perkara tersebut dengan pandangan positif. Jika perkara
ini tidak diendahkan , impaknya adalah sangat merbahaya kepada kita. Sebelum
nasi menjadi bubur, langkah-langkah yang efektif patut diambil. Kita sebagai insan
yang mulia perlulah mengambil berat tentang alam kita yang indah ini. Akibat
daripada sikap manusia yang tidak dapat mengawal masalah penggunaan plastik
menyebabkan banyak fenomena yang tidak diingini terjadi. Oleh itu, kita perlulah
menyediakan payung sebelum hujan.Jika masalah ini dapat ditangani dengan
segera, negara kita akan menjadi lebih harmoni dan rakyatnya dapat menghidu
udara yang segar. Tegasnya,penggunaan plastik patut dikurangkan demi
kesejahteraan hidup manusia sejagat.

Laporan disediakan oleh,

(Izzatul Hamizah Binti Azman)


Pelajar Tingkatan 3 Al-Farabi,
SMKA Al-Irshad.

19 September 2014

Anda mungkin juga menyukai