Anda di halaman 1dari 1

Syarahan: Pentingnya Sikap Berhati-hati di Jalan Raya

Kamu akan menyertai pertandingan syarahan peringkat sekolah. Tajuk syarahan


ialah "Pentingnya Sikap Berhati-hati di Jalan Raya".
Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Yang dihormati, Tuan Pengerusi
Majlis, Tuan Guru Besar, barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta
rakan-rakan sekalian. Pada petang ini saya akan menyampaikan syarahan yang
bertajuk "Pentingnya Sikap Berhati-hati di Jalan Raya".
Hadirin yang dihormati,
Sebagai pengguna jalan raya, kita perlu sentiasa berhati-hati di jalan raya.
Sebagai penunggang basikal misalnya, kita tidak digalakkan menunggang secara
bersaing bersama-sama rakan kerana perbuatan ini akan membahayakan diri kita
sendiri dan juga orang lain. Penunggang basikal dan motosikal perlu menunggang di
laluan yang telah disediakan. Peraturan ini adalah untuk kebaikan pengguna jalan
raya juga.
Sebelum kita melintas jalan raya, kita perlu menoleh dahulu ke kiri dan ke
kanan. Setelah memastikan tiada kenderaan, barulah kita melintas dengan berhatihati. Kita tidak seharusnya tergesa-gesa apabila melintas jalan raya kerana
perbuatan itu boleh membahayakan nyawa kita.
Hadirin yang dimuliakan,
Kerajaan telah menyediakan jejantas dengan menggunakan perbelanjaan
yang begitu tinggi untuk keselamatan pejalan kaki. Di tempat-tempat yang sibuk
dengan kenderaan dan berbahaya, sudah semestinyalah kita menggunakan jejantas
yang disediakan. Elakkanlah melintas di tempat-tempat yang sibuk dengan
kenderaan bagi menjamin keselamatan kita.
Jalan raya merupakan kemudahan yang disediakan bagi kita bergerak dari
satu tempat ke tempat yang lain. Kenderaan seperti lori, van, kereta dan motosikal
menggunakan jalan raya ini. Seharusnya kita tidak menjadikan jalan raya sebagai
gelanggang untuk berlumba atau bermain. Tempat yang paling selamat untuk kita
berlumba ialah di litar lumba manakala padang pula merupakan tempat yang
selamat untuk kita bermain.
Hadirin sekalian,
Kesimpulannya, semua pihak perlu menitikberatkan keselamatan nyawa
semasa menggunakan jalan raya. Pendek kata kita perlu sentiasa berwaspada dan
berhati-hati semasa berada di jalan raya. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai