Anda di halaman 1dari 14

Pemarkahan

PPGPJJ SEMESTER 1 SESI 2013/ 2014


KRB 3063 KARYA AGUNG MELAYU

TUGASAN 1

DISEDIAKAN OLEH
NAMA

NO MATRIK

KUMPULAN
UPSI03(A131PJJ)

NAMA PENSYARAH E LEARNING

TARIKH SERAH
28 APRIL 2014

PENGENALAN
Novel merupakan satu genre kesusasteraan moden yang diminati ramai. Ianya tergolong dalam
penulisan kreatif. Sebuah novel yang baik mestilah mempunyai watak-watak yang mampu
membawa cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang diceritakan dan watak
jugalah yang berkuasa menghidupkan cerita. Oleh itu watak ialah elemen terpenting dalam
sesebuah penceritaan.
Sesebuah watak diberikan gambaran latar belakang, fizikal, pemikiran dan tindak-tanduknya
dalam mengembangkan sesebuah penceritaan. Watak ini juga harus dibuat dengan deskripsi yang
jelas, meyakinkan dan peranannya yang besar. Ia boleh digambarkan samada melalui deskripsi
pengarangnya, dialog atau monolog dalaman watak dan juga melalui persepsi watak lain. Watak
akan kelihatan lebih menarik dan lebih memberikan impak jika ianya digambarkan secara tidak
langsung.
Disamping itu, watak juga menggerakkan plot cerita seterusnya mewujudkan konflik. Konflik ini
pula berperanan membentuk struktur dramatik terhadap watak di mana kedua-duanya saling
berkait rapat untuk menghasilkan sebuah novel yang menarik. Kewujudan berbagai-bagai
konflik dalam novel ini biasanya ada jalan penyelesaiannya. Susunan peristiwa demi peristiwa
yang lebih konkrit menganjak konflik ke tahap yang lebih tinggi. Di sinilah terlakarnya unsurunsur saspen dan klimaks yang menjadi titik tertinggi keupayaan penulis untuk memukau
pembaca.

Manakala

peleraian

merupakan

satu

kesudahan

yang

berperanan

untuk

menyempurnakan cerita. Ianya adalah pelengkap cerita menamatkan semua persoalan. (Lim
Swee Tin, 2001)
Bagi menjawab tugasan BMK3043 saya telah memilih untuk membuat ulasan tentang novel
remaja yang ditulis oleh penulis terkenal Khadijah Hashim. Novel yang menjadi pilihan saya
adalah Mencari Azizah. Saya memilih tajuk ini kerana ia merupakan salah satu tulisan Khadijah
Hashim yang hebat.

Khadijah Hashim
Di Malaysia jumlah penulis wanita amat kecil bilangannya, maka tidak hairanlah kalau beberapa
nama mudah diingati oleh peminat-peminat sastera seperti Adibah Amin, Salmi Manja, Fatimah
Busu, Salmah Mohsin, Zurinah Hassan dan Khadijah Hashim. Khadijah Hashim merupakan
salah seorang daripada penulis wanita yang paling aktif menghasilkan pelbagai karya kreatif.
Beliau pernah menulis beberapa buah drama radio sebelum melangkah ke dalam bidang
penulisan cerpen dan novel. Sebagai penulis, Khadijah mempunyai bakat besar terutama sekali
dalam bidang penulisan cerpen dan novel. Malahan, beliau dapat dianggap sebagai seorang
penulis yang berjaya dibandingkan dengan penulis-penulis wanita lain yang lahir seangkatan
dengannya.
Melihat sumbangan penulis wanita yang berasal dari Batu Pahat ini, ternyata beliau berpotensi
besar untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan indah. Setiap kali karya barunya terbit,
hasilnya tidak pernah mengecewakan. Karyanya sering mendapat sambutan, sama ada dalam
kalangan pembaca dewasa mahupun remaja. Kegiatannya dalam penulisan kreatif sehingga kini
masih berterusan lebih-lebih lagi karya-karya yang dihasilkannya itu dapat diterbitkannya
sendiri. Dengan itu beliau agak beruntung kerana kebanyakan karya yang tersiar secara bersiri
dalam akhbar dapat diterbitkan semula dalam bentuk buku. Antara cerita yang dibukukannya
ialah Mencari Azizah, Mira Edora dan Dekat Di sayang Jauh Dikenang, malahan novelnya yang
kedua itu pernah mendapat sambutan apabila diadaptasi menjadi sebuah drama TV. Sehingga
kini tidak kurang daripada 13 buah buku remaja, 18 buah novel dan 7 kumpulan cerpen telah
dihasilkannya.
Novel remaja Mencari Azizah
Mencari Azizah, Kuala Lumpur: K Publishing & Distributors, 1998
Sinopsis Novel
Menerusi Mencari Azizah, Khadijah Hashim mengajak pembaca menyelami jiwa seorang wanita
yang tabah dalam mencari identiti dan kekuatan diri. Novel ini memuatkan nilai-nilai kasih
sayang, kekeluargaan, ketuhanan dan nilai persahabatan yang digarap dalam gaya bahasa yang
menarik dan indah.

Di permulaan cerita, garapan watak Azizah dibuat dengan cukup menarik dan penuh konflik.
Kisah yang bermula di lapangan terbang dalam perjalanan menuju ke Iowa, Chicago, Azizah
membiarkan dirinya terbuai dalam dilema antara mencari kekuatan dan identiti diri serta
perasaan

berbelah-bagi

meninggalkan

anak-anak

demi

untuk

mencapai

cita-citanya

menggenggam segulung MA.


Novel ini juga mengangkat watak Azizah sebagai seorang wanita pan Asian yang amat manis
samada dari segi luaran mahupun dalaman. Namun, Azizah sentiasa dibayangi dengan kehidupan
rumahtangganya yang kecundang. Pergolakan dalam diri Azizah bermula apabila beliau
mendapat tahu suaminya telah berkahwin lain tanpa pengetahuannya. Di perantauan, Azizah
belajar untuk membina semula keyakinan diri disamping mencari kekuatan diri yang telah lama
hilang. Azizah juga berusaha mencari bapanya yang tidak pernah ditemui sepanjang usianya 35
tahun.
Di kemuncak cerita, usaha yang ditunjangi dengan keberanian dan pertolongan rakan-rakannya
untuk mencari ayah membuahkan hasil. Jejak kasih itu telah merubah keseluruhan hidup Azizah.
Dirinya yang dulu dipandang rendah oleh bekas suami dan ibu mertuanya, kini menjadi pujaan
dan harapan mereka untuk menyelamatkan perniagaan dan maruah sebagai keluarga bangsawan.
Novel ini diakhiri dengan cukup dramatik di mana Azizah berjaya mengembalikan semula harga
diri dan kekuatan dirinya, ayah yang tidak pernah ditemui sejak dalam kandungan kini telah
bersua muka, bekas suami dan ibu mertua yang dulu meminggirkannya kini telah menjilat
kembali ludah mereka dan seorang teman yang disangka ikhlas dalam membantu rupanya
mempunyai maksud dan tujuan yang tersirat.
Unsur-unsur pengajaran
Terdapat banyak unsur pengajaran yang boleh didapati daripada novel ini. Saya boleh
membahagikan pengajaran-pengajaran ini dari beberapa sudut pandangan. Saya kategorikan
kepada peribadi,kekeluargaan, persahabatan dan lain-lain.

Yang pertama adalah dari sudut peribadi. Dalam cerita ini pada mulanya Azizah digambarkan
sebagai seorang wanita yang lemah. Segalanya berubah apabila beliau melanjutkan pelajaran ke
peringkat sarjana. Dia berkelana dan meninggalkan anak-anak untuk mengapai segulung ijazah.
Selain melanjutkan pelajaran, Azizah juga bertekad untuk mencari ayah kandungnya. Segalanya
menjadi seperti yang diidamkan.
Yang kedua adalah dari sudut kekeluargaan, pengajaran yang dapat dilihat adalah walaupun
kehidupan kekeluargaan Azizah tidak seindah seperti yang diinginkan, namun dengan semangat
yang kental beliau berjaya meraih kejayaan dan kembali hidup bahagia dengan keluarganya.
Ayah kandungnya meninggalkan dia ketika dia masih kecil. Apabila berkeluarga, bekas suami
dan keluarga mentua tidak melayan Azizah dengan sempurna. Maka kehidupan Azizah bagai
sudah jatuh ditimpa tangga. Namun didalam setiap kepahitan pasti ada terselit kemanisan. Akibat
tertekan dengan masalah peribadi tersebut ia menjadikan Azizah seorang yang tabah dan berani
menghadapi segala masalah. Jika kita melihat dari sudut positif, segala dugaan dan rintangan itu
menjadikan Azizah seorang wanita yang cekal.
Pengajaran lain yang dapat kita pelajari adalah, cita-cita yang kuat dapat mengatasi segala
halangan dan rintangan. Sebagai mana yang berlaku dengan Azizah. Dia bersungguh-sungguh
untuk mencapai cita-citanya mengengam sebuah sarjana dan mencari bapa kandungnya. Cita-cita
yang akhirnya membuahkan hasil dan keluarga akhirnya menerimanya semula. Apa yang boleh
kita pelajari adalah jika kita pasti dengan arah tujuan kita dan ia tidak menyalahi norma-norma
kehidupan, maka kita harus teruskan segalanya dengan semangat yang jitu.
KEKUATAN DAN KELEMAHAN
Melalui watak Azizah, Khadijah Hashim telah berjaya menggambarkan keseluruhan cerita ini.
Sebagai memenuhi norma manusia biasa, pengarang mewujudkan berbagai-bagai situasi bagi
menggambarkan kelebihan dan kelemahan Azizah sebagai seorang wanita dalam menghadapi
kemelut kehidupan.
Di sinilah Azizah telah melalui proses sublimasi iaitu naluri-naluri yang sentiasa mendesak
individu dan berupaya menimbulkan kegelisahan di dalam diri tetapi dilepaskan dalam bentuk
positif yang boleh diterima masyarakat umum. Azizah menenggelamkan rasa gelisah dalam

dirinya dengan mengambil satu langkah positif iaitu menyambung pelajaran ke peringkat MA di
rantau orang. Selain sebagai satu usahanya untuk menimba ilmu, langkah ini juga sebagai satu
cara untuk Azizah mengalihkan rasa sedih dan kecewa terhadap keruntuhan rumahtangganya.
Azizah menjadikan tuntutan menimba ilmu ini sebagai satu cara mencari identiti baru dan
meningkatkan keyakinan diri untuk menghadapi masa akan datang. Pergolakan diri Azizah ini
jelas terpapar di awal novel ini:
Merajuk atau melarikan diri? Moga-moga jauh dari Zamri akan dapat mengubat hati yang luka.
Harap-harap jauh di mata, jauh juga dari ingatan...Aku pergi berbekalkan semangat waja mencari
diri, membetulkan arah. Lebih sepuluh tahun masa terbuang, menghamba diri, membodohkan
diri mengikut kata Zamri semata-mata hendak menjaga hati suami, demi kebahagiaan
rumahtangga.
(Mencari Azizah; hal. 4-5)
KELEBIHAN WATAK AZIZAH
Kelebihan pada watak Azizah adalah Azizah berjaya mengalihkan kesedihannya dengan sesuatu
yang lebih positif iaitu menyambung pelajaran di peringkat MA di sebuah university di Iowa.
Dalam keadaan diri yang penuh dengan konflik jiwa, Azizah berjaya membina semula
keyakinannya. Menurut Nye (1992), pengalihan ialah proses penyaluran tenaga naluri kepada
aktiviti-aktiviti yang merupakan alternatif dan bukannya penyaluran kepada aktiviti-aktiviti
langsung yang merupakan jalan penyelesaiannya. Kesungguhan Azizah ini dapat digambarkan
dalam petikan di bawah ketika Azizah bermonolog panjang dengan dirinya:
Seharusnya aku tidak berada di sini. Kalau setakat hendak mendapat masters, di universiti
Malaysia pun boleh. Tetapi kenapa aku di sini? Bukan. Bukan masanya untuk menyesal. Aku
sendiri yang membuat pilihan belajar di Iowa. Jauh daripada Zamri. Kalau begitu tepatlah kata
Kamaliah, aku datang ke Iowa untuk mengubat hati yang luka. Apapun tanggapan Kamaliah,
sebenarnya tidak penting bagiku. Soal pokok, aku mesti berjaya membina hidup baru.
(Mencari Azizah; hal. 69)

Azizah juga berjaya bangkit daripada kegagalannya di alam rumah tangga. Dengan satu
semangat baru, Azizah cuba keluar dari kepompong seorang wanita yang pasrah menerima apa
saja. Walaupun telah biasa hidup dalam kemewahan dan kesenangan, Azizah berjaya berdikari
dan sanggup menerima cabaran baru di tempat orang. Sikapnya itu dapat dilihat dengan jelas
berdasarkan petikan di bawah :
Azizah kini adalah Azizah baru masih bernyawa, belum patah hati, belum hilang semangat. Aku
mahu hidup seribu tahun lagi! Akan kubuktikan pada dunia bahawa terdirinya Azizah di sini
bukan lari daripada kenyataan hidup. Berdirinya aku di bumi Iowa bukan kerana merajuk
diceraikan Zamri. Semangatku segagah pohon maple itu, tegak berani menghadapi pertukaran
cuaca empat musim.
(Mencari Azizah; hal. 65)
Menurut Robiah (1995), penghargaan kendiri yang tinggi dan padat dilihat melalui ciri-ciri
positif seperti berdikari, sanggup menerima tanggungjawab, bersedia menghadapi cabaran baru
dengan penuh azam, berjaya menghadapi kekecewaan dan berkeupayaan mempengaruhi orang
lain. Penghargaan kendiri ini sebenarnya mempengaruhi tahap keyakinan seseorang terhadap
dirinya sendiri samaada ia bersikap optimis atau sebaliknya. Sebagai seorang yang baru bangkit
dari kegagalannya, Azizah berjaya mengembalikan harga dirinya yang telah lama tercalar. Azizah
berazam untuk membina hidup baru tanpa bergantung harap lagi kepada keluarga bekas
suaminya. Hal ini dipaparkan oleh pengarang seperti dalam petikan "Teguhkan iman, kuatkan
semangat, Azizah sekarang bukan Azizah dulu yang berpaut bergantung pada orang lain. Izinkan
aku mencorak masa depanku" (Mencari Azizah; hal. 17).
Dari satu sudut, Azizah dillihat sebagai seorang wanita yang mendendami bekas suami dan ibu
mertuanya yang selama ini meminggirkannya dan memandang rendah padanya. Ini kerana,
sepanjang perkahwinannya, Azizah seolah-olah tidak punya hak untuk bersuara sebagai seorang
wanita mahupun isteri. Azizah sering diketepikan dalam apa jua perkara yang berkaitan keluarga
mahupun syarikat. Keadaan ini jelas melalui kata-kata Zamri kepada Azizah, Awak tahu apa
tentang business. Duduk saja di rumah jaga anak. (Mencari Azizah; hal. 29)

Azizah juga turut dipinggirkan oleh ibu mertua. Ia dapat dilihat dalam situasi seperti di bawah:
Perbincangan ibu mertua dengan anak-anaknya usah disampuk sebab itu adalah urusan keluarga.
Dia cuma ditugaskan untuk menghidangkan kopi. Dia seolah-olah bukan sebahagian daripada
ahli keluarga itu.
(Mencari Azizah; hal. 151)
Namun Azizah masih dapat mendidik jiwanya agar tidak menurut kata hati. Azizah cuba
menerima takdir hidupnya dengan cara yang paling baik iaitu berserah kepada Allah dan cuba
mencari kembali dirinya yang telah hilang. Azizah pasrah dengan ketentuanNya seperti yang
dipaparkan dalam petikan tersebut:
Kenapa mesti bersedih? Bukankah ini pilihanku? Usah gelisah resah. Di mana pun aku berada
aku masih di bawah lindunganMu...Kenapa aku mesti di sini? Alangkah selesanya kalau di
rumah bersama anak-anak! Allah, berilah aku petunjuk dalam menjalani hidup di tempat yang
jauh ini. Permudahkan hidupku di sini.
(Mencari Azizah; hal. 37 & 110)
Atas keyakinan itulah Azizah tidak henti-henti berdoa. Baginya dia tidak mahu menjadi seorang
hamba yang sombong kepada tuhannya sendiri. Sikap ini jelas ditunjukkan dalam petikan
berikut:
Doa itu ibadat. Mereka yang tidak berdoa pada Allah adalah orang yang sombong. Sombong?
Hendak sombong pada siapa? Aku tidak sombong. Aku tahu betapa kecilnya aku di bumi Mu,
Allah!
(Mencari Azizah; hal. 114)
Sikap Azizah ini amat bertepatan dengan teori Imam Ghazali, jiwa manusia itu dapat dilatih,
dididik, dikuasai dan diubah supaya mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji. Menurut beliau
lagi, mendidik jiwa dan budi pekerti seseorang itu bukanlah mustahil kerana Nabi Muhammad
SAW telah berpesan, perbaikilah akhlak dan kelakuan. (Muhammad Isa, 1998)
Ainon Mohd. (1997) pula berpendapat bahawa estim adalah bagaimana kita menilai diri kita.
Konsep estim ini memberi penekanan bagaimana kita melihat diri sendiri meliputi aspek
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial kita. Dalam membina estim yang positif Azizah telah

menanamkan rasa yakin bahawa dia mampu menentukan kedudukan dirinya. Azizah tahu
bahawa dia bukan anak haram seperti yang digembar-gemburkan oleh orang-orang kampung
seperti dalam petikan di bawah :
Emak dihina oleh orang kampung kerana melahirkan seorang bayi berwajah mat saleh. Orang
kampung memfitnah kononnya emak berlaku sumbang sebelum bernikah.
(Mencari Azizah; hal. 15)
Anak dara gatal! itu gelaran diberi.
Padan muka ditinggalkan dek orang putih! tempelak jiran-jiran Mak Long.
(Mencari Azizah; hal. 57)
Azizah juga sering menerima kutukan dan cercaan orang kerana memiliki wajah mat saleh
terutama daripada ibu mertuanya sendiri. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan di
bawah:
Itulah tuah celaka berwajah pan-asian. Kerana hidung yang cantik berbentuk itulah menjadi
keraguan kepada keluarga Zamri. Ibu mertua bergelar datin itu masih tertanya-tanya siapa
sebenar bapa Azizah meskipun telah diterangkan bahawa ayahnya seorang lelaki Amerika yang
telah memeluk Islam.
(Mencari Azizah; hal. 11)
Namun berdasarkan pengakuan ibunya, Kau anak yang suci. Emak tidak melakukan perkara
terkutuk sebelum bernikah. (Mencari Azizah; hal. 15) dan Kau tetap suci di mata Islam. Emak
tidak melakukan perkara sumbang sebelum bernikah dengan ayah kamu. Allah saja yang tahu
apa sebenar yang berlaku. (Mencari Azizah; hal. 17)
Azizah sanggup menanggung risiko mencanangkan mengenai pencarian ayah kandungnya di
media massa walaupun menerima kutukan dan pandangan sinis orang lain yang mengatakan dia
hanya mahu mencari populariti. Azizah tetap bertegas dengan tindakannya. Ini kerana walau
apapun pendapat dan pandangan orang, keputusan akhirnya masih terletak di tangan sendiri.
Ketegasannya ini jelas dipaparkan melalui petikan, Dalam suasana bening bersendirian
menunggu bas tengahari itu dia masih bertanya: jika bukan aku yang berusaha mencari ayah,
siapa lagi? (Mencari Azizah; hal. 124)

Dalam usaha mencari ayah yang tidak pernah ditemuinya pula, Azizah menggunakan teori Hoy
dan Miskel (1978) yang menjelaskan bahawa proses penyelesaian masalah perlu melalui
peringkat mengenalpasti dan mendefinisikan masalah, menganalisis kesukaran masalah dalam
situasi semasa, mengadakan kriteria untuk penyelesaian, membuat perancangan atau strategi
untuk tindakan dan membuat perancangan untuk merencana, berkomunikasi, menyelenggara dan
menilai. Akhirnya selepas kita menggunakan cara dan strategi penyelesaian itu, barulah kita
menilai kembali keberkesanannya. Setelah meneliti cara terbaik untuk mencari ayahnya, Azizah
bersetuju dengan cadangan Robert, rakannya seuniversiti untuk mengiklankan berkenaan
ayahnya di media massa.
Ah, apa hendak dihairankan, dasar langit terbuka, entahkan emak dan ayah Sudin pun sudah
tahu. Kalau berita itu tersiar di CNN tentu saja tersiar di televisyen Malaysia.
(Mencari Azizah; hal. 186)
Dalam situasi ini, Azizah mengambil risiko tinggi dengan mencari ayahnya melalui televisyen,
akhbar dan internet. Azizah mengenepikan soal malu dan pandangan masyarakat atas usahanya
itu. Seperti yang dikatakan oleh Khalifah Ali ra bahawa orang yang banyak memikirkan soal
risiko, beliau menjadi seorang yang tidak berani. Sifat yakin sebenarnya terletak pada diri
sendiri. Kita boleh memilikinya atau melenyapkan keyakinan itu. (Muhammad Isa, 1998) Atas
keyakinan itulah Azizah tekad untuk terus mencari ayahnya.
Azizah juga menilai dirinya yang baru sebagai seorang yang tabah menghadapi cabaran,
berkeyakinan dan mempunyai kekuatan untuk mengatasi setiap dugaan. Azizah ingin bangkit
dari kehidupannya yang lalu. Azizah ingin membuktikan bahwa dia akan boleh menjadi seorang
Azizah yang baru bukan lagi hanya mengangguk dan mengiakan. Azizah juga ingin
membuktikan bahawa dia seorang yang mempunyai harga diri, bukan untuk dijadikan patung di
dalam rumah.
Menurut James (1890), harga diri ialah bagaimana seseorang itu menilai dirinya sendiri.
Seseorang boleh menilai dirinya dari aspek positif atau negatif. Kebanyakan individu akan
melihat dirinya secara positif dan mereka mampu menghadapi kehidupan yang lebih mencabar.
Biasanya seseorang yang mempunyai darjah harga diri yang tinggi dipengaruhi oleh peristiwa

yang berlaku. Seperti Azizah, pengalaman hidupnya yang lalu mengajarnya menjadi seorang
yang lebih mempunyai harga diri tanpa membiarkan orang lain menguasai hidupnya yang jelas
disampaikan melalui petikan tersebut:
Akulah camar yang sedang terbang membelah lautan. Akulah helang yang terbang tinggi
membelah angkasa. Tidak ada sesiapa yang berkata : jangan itu, jangan ini. Buat itu, buat ini.
Aku tidak akan membenarkan siapa jua menerajui hidupku.
(Mencari Azizah; hal. 6)

Manakala dalam menghadapi suasana baru sebagai seorang pelajar tua pula, situasi Azizah dapat
dikaitkan dengan pendapat Ainon Mohd. (2002) yang menghuraikan teori Dr. Bob Montgomery
dalam The Truth About Success and Motivation, memberi pedoman untuk mencapai kejayaan,
seseorang itu harus menewaskan nafsu yang mendorong kepada kegagalan seperti sifat malas,
tiada mood untuk belajar atau sebarang perbuatan yang tidak membantu kejayaan kita. Sebagai
seorang dewasa yang telah lama meninggalkan alam pembelajaran, Azizah cuba sedaya-upaya
untuk menumpukan perhatian pada pelajaran walau kadangkala terleka melayan perasaan
mahupun gangguan-gangguan lain seperti televisyen. Situasi ini jelas digambarkan dalam
petikan, Assignment belum selesai. Lusa mahu diserahkan kepada pensyarah. Azizah sekarang
bukan Azizah dulu. Mesti bijak mengatur masa, bukan leka menonton televisyen. (Mencari
Azizah; hal. 45)

KELEMAHAN
KESIMPULAN
Kesimpulannya, Mencari Azizah adalah sebuah novel yang indah dan penuh dengan pelbagai
mesej yang merangkumi nilai-nilai kekeluargaan, kepercayaan, saling kebergantungan dan
persahabatan. Pengarangnya, Khadijah Hashim ingin memperlihatkan bahawa cinta dan kasih
sayang merupakan satu perasaan yang kuat bagi memenuhi keperluan emosi dan rohani dalam
jiwa manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang dimuatkan dalam novel ini sarat dengan
pergolakan jiwa dan konflik yang berlaku dalam watak utamanya. Di sinilah letaknya unsur

dedaktik atau unsur pengajaran yang ingin disampaikan dalam novel ini iaitu bagaimana Azizah
menangani konflik dalaman seterusnya mencari kekuatan untuk meneruskan hidup.
Sebagai watak yang protagonis dalam novel ini, Azizah merupakan simbol seorang wanita yang
berhati tabah, optimis melihat masa depannya dan sanggup menghadapi risiko dalam mencari
kebenaran. Perjalanan novel yang penuh dengan konflik ini juga diwarnai dengan watak-watak
sampingan yang antagonis seperti suami Azizah iaitu Zamri dan Datin Mariah, ibu mertuanya.
Kehadiran watak-watak antagonis ini melahirkan satu suasana tegang dalam kehidupan Azizah.
Konflik dan pergelutan jiwa Azizah berlaku sepanjang keterlibatan Azizah bersama watak-watak
ini. Selain itu muncul juga watak-watak sampingan lain yang lebih optimis seperti watak yang
menjadi sahabat Azizah iaitu Robert, Kelvin dan Kamaliah. Watak-watak inilah yang menguasai
perjalanan cerita ini untuk tampil lebih menarik.
Bersesuaian dengan konflik yang banyak ditimbulkan dalam novel ini, Khadijah Hashim
menggambarkan dengan begitu baik sekali bagaimana sesebuah konflik itu berakhir jika dapat
ditangani dengan bijak. Lalu Novel Mencari Azizah ini mengajar kita pelbagai persoalan yang
di kemukakan oleh pengarang cerita ini melalui watak utamanya. Novel ini mengajar kita erti
ketabahan dan kekuatan diri yang disertai dengan nilai-nilai kasih sayang dan kekeluargaan serta
sikap berserah diri pada Tuhan. Pengarangnya juga ingin menunjukkan bahawa setiap usaha
yang dilakukan itu pasti akan membuahkan hasil dan setiap yang berlaku itu pasti ada
hikmahnya. Di sinilah letaknya sebuah harga diri dan kebijaksanaan dalam menangani konflik,
mempertahankan hak dan mencari kebenaran.

BIBLIOGRAFI/ RUJUKAN
http://contohtugasan.blogspot.com/2011/10/zzzt2213-bentuk-bentuk-penulisan-ulasan.html
Ahmad Zabidi Abdul Razak. 2006. Memimpin Diri Sendiri. Kuala Lumpur : PTS Millennia Sdn.
Bhd.

Ainon Mohd. & Abdullah Hasan. 2002. Mendorong diri sendiri. Kuala Lumpur : PTS
Publications & Distributors.
Azizi Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim & Yusof Boon. 2005. Psikologi Sosial Alam
Remaja. Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributors.
Hairunnaja Najmuddin. 2004. Memahami dan Membimbing Remaja Nakal. Kuala Lumpur : PTS
Publications & Distributors.
Hoy, W.K. dan Miskel. G.C.1978. Educational Administrations : Theory, Practice and Research,
New York : Random House Inc.
Khadijah Hashim. 2001. Mencari Azizah. Shah Alam : K Publishing Sdn. Bhd.
Lim Swee Tin. 2001. Dinamika Kreatif Penulisan Cerpen. Shah Alam : Cerdik Publications Sdn.
Bhd.
Maslow, Abraham. 1953. A theory of Human Motivation. Vol 50. Psychilogical Review.
Muhammad Isa Selamat. 1998. Penawar jiwa. Kuala Lumpur : Darul Nukman
Nye, Robert D. 1992. Tiga Pemikiran Psikologi. Terjemahan Mahmood Nazar Ohamed. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Robiah K. Hamzah. 1995. Panduan Membimbing Remaja. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Sears, D.O., Peplau, L.A & Freedman, J.L. 1988. Social Psichology. New Jersey: Prentice Hall,
Inc.

Zainal Madon & Mohd. Sharani Ahmad. 2006. Panduan Mengurus Remaja Moden. Pahang
Darul Makmur : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai