Anda di halaman 1dari 2

Dasar Ekonomi Baru

Sebelum 1970, dasar pembangunan Malaysia disasarkan terutamanya untuk


menggalakkan perkembangan dengan penekanan kepada pasaran eksport. Walaupun
ekonomi berkembang dengan cepat dalam tempoh ini pada purata tahunan 6.0
peratus, aspek pengagihan kurang diberikan penekanan. Ini menghasilkan
ketidakseimbangan di antara kumpulan etnik yang memberi kesan negatif dalam
bentuk rusuhan kaum pada tahun 1969.
Pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 telah melakar sejarah dalam
pembentukan dasar ekonomi Malaysia. DEB menekankan kepentingan mencapai sasaran
sosioekonomi seiring dengan pertumbuhan ekonomi sebagai satu cara mewujudkan keharmonian
dan perpaduan di dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama.
Matlamat utama DEB adalah untuk mewujudkan perpaduan negara. Bagi mencapai sasaran ini,
dua strategi utama telah diwujudkan:

Untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan melalui peningkatan


pendapatan dan penambahan peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa
mengira kaum;.dan

Untuk menyusun semula masyarakat bagi memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi


supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut
fungsi ekonomi.

Salah satu aspek penting DEB adalah berteraskan premis ekonomi yang berkembang pesat. Ini
memandangkan pertumbuhan ekonomi adalah satu keperluan bagi menyediakan peluang kepada
golongan miskin dan kurang bernasib baik untuk membolehkan mereka keluar dari kemiskinan
dan turut serta dalam aktiviti ekonomi. Aspek ini juga memastikan bahawa pengagihan tidak
diperuntukkan dari kekayaan sedia ada tetapi dari pengembangan dan punca baru kekayaan.
Pelaksanaan strategi pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyakat menghasilkan
kemajuan yang ketara menjelang 1990. Kadar kemiskinan berkurangan dari 49.3 peratus pada
tahun 1970 kepada 16.5 peratus pada tahun 1990 dan seterusnya kepada 1.7 peratus pada 2012.
Dalam istilah penstrukturan ekuiti korporat, 66.3 peratus ekuiti korporat di Malaysia dimiliki
oleh warga asing pada tahun 1970, sementara Bumiputera memiliki hanya 2.4 peratus. DEB
menetapkan sasaran penstrukturan berupa 30:40:30, di mana menjelang 1990, pegangan kaum
Bumiputera patut mencapai 30 peratus, rakyat Malaysia yang lain 40 peratus dan warga asing 30
peratus, di dalam konteks ekonomi yang berkembang. Pada tahun 1990, bahagian ekuiti
Bumiputera bertambah kepada 19.3 peratus dari keseluruhan jumlah ekuiti korporat, dan
pegangan rakyat Malaysia yang lain bertambah kepada 46.8 peratus dan 33.9 peratus untuk

warga asing dan nomini. Walaupun Bumiputera tidak mencapai sasaran 30 peratus pegangan
ekuiti menjelang 1990, kemajuan yang dihasilkan oleh mereka adalah cukup besar berbanding
dengan kedudukan mereka pada tahun 1970. Menjelang 2010, jumlah nilai ekuiti telah
berkembang dengan pesat dan meningkatkan nilai pegangan mutlak semua kumpulan.
Strategi pembasmian kemiskinan Malaysia sentiasa menumpukan kepada pembangunan sumber
manusia dan kualiti hidup. Inisiatif yang dilaksanakan menekankan kepada program berbentuk
produktif dan bukan secara kebajikan, kecuali dalam kes-kes tertentu di mana bantuan secara
langsung perlu diberikan. Langkah ini adalah untuk memastikan golongan miskin dapat berdikari
dan turut serta dalam aktiviti ekonomi.
Strategi pembangunan luar bandar melibatkan pelbagai program pembasmian kemiskinan seperti
program agropolitan secara bersepadu dan peladangan kontrak; program keusahawanan termasuk
akses kepada pembiayaan kredit mikro; perkhidmatan sokongan pertanian termasuk infrastruktur
saliran dan pengairan; pembangunan industri kampung/kecil; penyediaan infrastruktur luar
bandar termasuk jalanraya, eletrik dan air; dan perkidmatan sosial seperti kesihatan, sekolah,
bantuan makanan dan penempatan semula setinggan.
Program penyususan semula masyarakat menumpukan kepada strategi berikut:

Campurtangan Kerajaan melalui pewujudan agensi khas untuk memastikan penyertaan


ekonomi dan pemilikan ekuiti Bumiputera yang berkesan;

Memperkenalkan peraturan dan kerjasama khusus, di mana penglibatan dan penyertaan


Bumiputera dipermudahkan bagi suatu tempoh masa;

Peruntukan untuk konsesi fiskal dan bantuan kewangan sebagai sebahagian dari pakej ke
arah pembangunan keusahawanan;

Memesatkan program untuk pendidikan dan latihan;

Menambahkan pemilikan Bumiputera melalui projek penswastaan; dan

Mewujudkan keseimbangan di dalam pekerjaan melalui pertumbuhan ekonomi yang


saksama untuk mencerminkan komposisi etnik.

http://www.epu.gov.my/dasar-ekonomi-baru?
p_p_id=56_INSTANCE_Ia0Q&p_p_lifecycle=0&p_p_state=normal&p_p_mode=view&
p_p_col_id=column-4&p_p_col_count=1&page=2

Anda mungkin juga menyukai