Anda di halaman 1dari 4

Revolusi Industri Ke-4: Mampukah Menginsankan Teknologi?

By Editor - 12/06/2017 6794 0

SHARE Facebook Twitter

Oleh : Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Revolusi Industri – istilah diperkenalkan oleh ahli sejarah terkenal, Arnold Toynbee (1889-1975), adalah
satu fenomena yang dianggap lazim dalam masyarakat moden. Apa lagi masyarakat perindustrian yang
menjadi contoh kejayaan hari ini. Malah, banyak negara ingin menjadi masyarakat perindustrian,
termasuk Malaysia dengan merangka strategi tertentu seperti Wawasan 2020 dan sebagainya. Teras
kepada pembangunan ala-industri ini adalah teknologi umumnya seiring dengan perkembangan sains.
Dalam Wawasan 2020, ini disebut dengan jelas sebagai Cabaran Ke-6 berbunyi:

“Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi
dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang
kepada tamadun sains dan teknologi masa depan”.

Dengan kata lain, tanpa perkembangan teknologi, agak sukar hendak menggerakkan satu bentuk
revolusi industri. Yakni perubahan besar yang turut mengubah struktur masyarakat, cara hidup dan
berfikir, juga nilai serta normanya – sama ada kepada yang lebih baik atau sebaliknya.

Revolusi Industri

Ambil contoh apa yang disebut sebagai sebagai Revolusi Industri Pertama (1760-1830). Ia bergantung
lebih kepada kegunaan air ataupun wap – “steam” – yang kesudahannya berupaya menggerakkan
jentera berasaskan kuasa wap untuk kerja-kerja yang tidak terdaya oleh kudrat manusia. Maka
terciptalah “steam engine” yang turut membawa perubahan besar kepada sistem pengangkutan selain
jentera-jentera lain yang berupaya pula meningkatkan aktiviti perindustrian.

Beberapa dekad kemudian, ini diikuti dengan perkembangan teknologi seterusnya yang melibatkan
kuasa eletrik, lantas mencetuskan Revolusi Industri Kedua pada sekitar 1870-1914. Kuasa elektrik jelas
membawa satu lagi lonjakan status hidup masyarakat melalui pengilangan besar-besaran sepertimana
yang dialami kini walaupun masih ramai penduduk yang tidak menikmatinya. Ini satu aspek yang tidak
banyak mendapat perhatian dan boleh dilihat sebagai suatu kegagalan membawa kesaksamaan kualiti
hidup sejagat melalui teknologi. Baik di Malaysia sekalipun, masih banyak kawasan yang ketiadaan
bekalan eletrik, khususnya di kawasan luar bandar, sungguhpun kita akan meraikan ulangtahun
kemerdekaan ke-60.

Revolusi Digital

Ekoran itu, Revolusi Industri Ketiga pula menyusul berasaskan teknologi maklumat dan komputer
sebagai tonggaknya. Dengan adanya kuasa eletrik, penggunaan komputer merebak dengan pesat dan
membentuk satu lagi gaya hidup baru. Begitu juga, sebaliknya, di tempat-tempat tanpa bekalan eletrik
di mana jurang perbezaan antara di kawasan luar bandar dengan bandar terus ketara. Dengan kata lain,
makna dan kesan revolusi industri menghadapi hambatan tertentu membawa berbagai akibat tidak
langsung ke atas masyarakat keseluruhannya. Jurang pihak “atasan” atau elit yang mampu teknologi dan
pihak yang tidak mampu (golongan miskin dan bawahan) menjadi semakin luas dan sukar untuk
dirapatkan apabila kos dan kepesatan teknologi perkembangan begitu cepat sekali. Hal ini wajar dikenali
apabila berbicara tentang kesan keseluruhan revolusi industri setakat ini kerana umumnya ramai
menganggap “teknologi” sebagai penyelesaian mutlak. Apa lagi jika dilihat dari aspek minda serta
persepsi yang teknologi umumnya merupakan “permainan” bagi mereka yang berada dan penghuni-
penghuni kota saja.

Natijah daripada ini menjurus kepada hakikat bahawa bukan sahaja soal infrastruktur atau “hardware”
yang penting, tetapi lebih lagi sekaligus soal infostruktur atau “mindware” yang wajar diimbangi
sebelum kesan revolusi teknologi menyeluruh dapat dizahirkan serta dikecapi semua.

Di peringkat akhir revolusi ketiga timbul pula teknologi automasi, yakni satu keupayaan teknologi yang
tidak perlu melibatkan manusia secara langsung. Mesin dan jentera boleh bergerak serta “bekerja”
dengan sendiri apabila ia dimuatkan dengan program komputer tertentu bagi melakukan sesuatu aktiviti
terancang. Konsep pengilangan lambakan (“mass production”) diperkenalkan melalui cara ini pada
pertengahan abad ke-20. Ia membawa satu lagi laba amat besar kerana bukan sahaja tenaga manusia
tidak diperlukan, bahkan terus mendapat hasilan yang lebih tinggi lagi cekap. Walaupun ini membawa
beberapa permasalahan baru dari segi pekerjaan dan keadilan sosial apabila beberapa jenis pekerjaan
dinyahkan oleh komputer berautomasi, namun isu ini sering dianggap tidak sepenting. Dalam pada itu,
perkembangan teknologi automasi terus mara kehadapan apabila teknologi digital mempelopori konsep
automasi robot. Malah Revolusi Industri Ketiga juga dipanggil Revolusi Digital.

Internet Pelbagai Benda (IPB)


Terbaru kita sibuk pula dengan satu lagi perkembangan: Revolusi Industri Keempat. Seperti yang lalu; ia
adalah kesinambungan versi ketiga dalam peningkatan automasi beserta rangkaian Internet dan proses-
proses fizikal lain. Hatta muncul pula satu sistem berbentuk siber-fizikal. Melalui sistem ini, kegunaan
robot terus meningkat selaras perkembangan kecerdasan buatan (“artificial intelligence” – AI) dan
kesepaduan Internet Pelbagai Benda (IPB; “Internet of all Things”) – yang merangkai berbagai peranti,
perisian, peralatan dan lain-lain lagi. Maka menyinsinglah Era Kecerdasan Berkait (“Connected
Intelligence Era”), satu titik masa yang meramalkan pertembungan antara alam manusia dengan dunia
robot dalam lonjakan industri seterusnya pada abad ke-21.

Era seumpama ini dikatakan terjadi sekali dalam lingkungan satu generasi yang belum lagi ditempuhi. Di
sinilah letaknya cabaran industri 4.0, satu kenyataan awal yang diperkenalkan di Jerman sebagai
“industrie 4.0”. Dalam hal ini, pengalaman tahun 1760 dikatakan akan berulang apabila beberapa cara
dan urusan hidup dipugar semula. Jika dahulunya wadah pertanian berubah kepada industri, kini wadah
automasi pula kepada Internet Pelbagai Benda; yang mana keduanya menyaksikan penglibatan manusia
terus mengecil, jika tidak pun semakin pupus pada kali ini. Semuanya bergantung kepada kefahaman
kita tentang revolusi industri 4.0 serta bagaimana ianya ditangani; sama ada jurang dan perbedaan
lampau terus melebar atau boleh dirapatkan, kalaupun tidak dihapuskan. Sama ada atau tidak satu
ekosistem baru yang lebih adil dan saksama berpaksikan kesejahteraan dapat dibinakan sesuai dengan
aspirasi dunia baru yang lebih adil.

Apa yang kurang pasti adalah kemungkinan satu ekosistem lain pula yang terbina. Malah berupaya
mengubah bukan saja cara hidup, masyarakat, nilai dan norma, tetapi persepsi tentang “manusia” itu
sendiri. Yakni mencabar kesemulajadiannya! Ini memandangkan perbezaan aspek semulajadi manusia
dan yang tiruan menjadi bertambah sukar untuk dikesan. Ini dibayangkan oleh istilah “transhumanisme”
berdasarkan teknologi “transhumanist” sebagai penggeraknya. Rata-rata ini menggambarkan betapa
alam manusia mula dirangkumkan bersama dunia robot serta AI dan bioteknologi ekoran ciri serta sifat
kemanusiaan itu sendiri sudah dapat dibongkar dan ditiru melalui olahan teknologi hari muka yang lebih
mudah menyelinap ke dalam tubuh badan manusia itu sendiri.

Nilai Kemanusiaan

Pendek kata, manusia dan kemanusiaan akan tergugat apabila manusia ternyah dengan kebangkitan
konsep transhumanisme. Semua ini menjurus kepada kecenderungan manusia bertindak sebagai mesin
atau lebih tepat lagi berfungsi seakan-akan peralatan tidak bernyawa bercirikan kepantasan, kecekapan,
kecerdasan, tanpa-henti dan sebagainya. Soal-soal kemanusiaan – keprihatinan, keadilan, kesejagatan,
kemesraan, kesejahteraan – ditolak sebelah kerana ia tidak wujud dalam dunia kebendaan, sebuah
dunia tanpa “roh” atau “hati nurani.” Kita masih mengalami kemelut tersebut akibat Revolusi Industri
Ketiga apabila manusia tanpa “roh” bermaharajalela meruntuhkan alam sekitar sesuka hatinya. Apakah
bentuk kerosakan yang akan dibawa oleh Revolusi Keempat menjadi tanda-tanya sekiranya manusia
tidak berusaha mengembalikan “roh” dan “hati nurani” mereka. Kekhuatiran ini memuncak jika bukan
sahaja manusia gagal menginsankan teknologi, sebaliknya mereka pula di”tukar”kan menjadi seolah-
olah jentera berautomasi!

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia
(WAAS) serta mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel:
dzulrazak51@gmail.com

Anda mungkin juga menyukai