Anda di halaman 1dari 10

REVOLUSI INDUSTRI 4.

Apakah yang dimaksudkan dengan Revolusi Industri 4.0?

Menurut pengasas Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab dalam bukunya The Fourth Industrial
Revolution menjelaskan Revolusi Industri Keempat ini ditandai dengan kemunculan
superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, suntingan genetik dan perkembangan
neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih mengoptimalkan fungsi otak.

Dalam erti kata lain, hidup manusia akan dipermudahkan dengan bantuan robot yang bakal
menjadi ”kawan” yang akan menguruskan hal ehwal dan tugasan harian. Mungkin sukar untuk
digambarkan logik akalnya apabila melihat pesanan piza yang kita lakukan melalui pesanan
telefon, akan dihantar dengan menggunakan perkhidmatan dron sampai di depan pintu rumah.
Selain itu, segala urusan rumah seperti mencuci baju, memberi makanan haiwan kesayangan dan
mematikan alat pendingin hawa hanya perlu menekan butang di telefon pintar masing-masing
tanpa perlu lagi bersusah payah mengambil perkhidmatan pembantu rumah. Untuk ke pejabat
pula, kita tidak perlu lagi untuk menghidupkan enjin dan memandu di tengah-tengah jalan raya
yang sesak. Semuanya akan selesai dengan hanya menekan butang kekunci, penumpang boleh
menyambung tidur dalam kereta masing-masing dan segala urusan pemanduan akan dikawal
sepenuhnya melalui satelit sampai ke tempat yang ingin dituju dengan selamat. Senario tersebut
walaupun pelik, namun secara perlahan-lahan telah mula berkembang dan berevolusi menjadi
satu bentuk norma yang biasa pada masa akan datang. Dengan menggunakan akronim Revolusi
Industri 4.0 ini, segala urusan harian manusia akan dikongsi bersama robot yang dicipta khusus
untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia. Walaupun teknologi-teknologi ini
masih dalam peringkat pengujian di peringkat global, banyak aplikasi yang digunakan telah pun
kita nikmati. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps yang
menyediakan pemandu tentang maklumat laluan serta perjalanan adalah antara bibit-bibit awal
kepada pengenalan dunia yang dipanggil Internet of Things (IoT).
SEJARAH

Revolusi Industri – istilah diperkenalkan oleh ahli sejarah terkenal, Arnold Toynbee (1889-
1975), adalah satu fenomena yang dianggap lazim dalam masyarakat moden. Sejarah revolusi
bermula pada 1800 (1760-1830), Industri 1.0 adalah mengenai kuasa wap untuk digunakan
dalam kilang-kilang. Ia bergantung lebih kepada kegunaan air ataupun wap yang berupaya
menggerakkan jentera berasaskan kuasa wap untuk kerja-kerja yang tidak terdaya oleh kudrat
manusia. Maka terciptalah steam engine yang turut membawa perubahan besar kepada sistem
pengangkutan selain jentera-jentera lain yang berupaya pula meningkatkan aktiviti perindustrian.
Manakala Industri 2.0 pada tahun 1900 (sekitar 1870-1914) pula menggunakan kuasa elektrik.
Perkembangan teknologi yang melibatkan kuasa eletrik jelas membawa satu lagi lonjakan status
hidup masyarakat melalui pengilangan besar-besaran sepertimana pada hari ini. Revolusi
Industri 3.0 pada tahun 2000 menggunakan komputer dan teknologi maklumat. Di peringkat
akhir revolusi ketiga timbul pula teknologi automasi, yakni satu keupayaan teknologi yang tidak
perlu melibatkan manusia secara langsung. Mesin dan jentera boleh bergerak serta bekerja
dengan sendiri apabila ia dimuatkan dengan program komputer tertentu bagi melakukan sesuatu
aktiviti terancang. Pada tahun 2016 bermula Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) adalah
kesinambungan versi ketiga dalam peningkatan automasi beserta rangkaian Internet dan proses-
proses fizikal lain dan muncul pula satu sistem berbentuk siber-fizikal. Industri 4.0 iaitu tentang
penemuan pelbagai teknologi baharu yang antara lain menggunakan automasi, analisis dan big
data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotic, cloud, Internet of Things (IoT), dan perkara
yang seumpamanya. Ia melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu kepada semua
sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi
digital itu untuk kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Revolusi ini menandakan kemunculan sistem fizikal siber melibatkan keupayaan baharu
sepenuhnya bagi manusia, mesin dan kaedah baharu teknologi. Dengan kata lain, teknologi
automasi itu dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara
langsung. Industri 4.0 juga dapat mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga
yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.
Kepentingan Revolusi Industri 4.0 di Malaysia

Teknologi dunia sedang mengalami perkembangan pesat yang mempengaruhi dunia


bisnes mahupun kehidupan individu pada harini. Menurut Schwab berkata transformasi yang
berlaku adalah sebagai kesan perkembangan teknologi berskala besar dan kompleks, bahkan
belum pernah dialami sepanjang sejarah. Teknologi merupakan salah satu faktor yang
mendorong perubahan dunia. Dengan kata lain, tanpa perkembangan teknologi agak sukar
hendak menggerakkan satu bentuk revolusi industri. Yakni perubahan besar yang turut
mengubah struktur masyarakat, cara hidup dan cara berfikir (Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul
Razak, 2017). Forum Ekonomi Dunia telah mengisyaratkan bahawa dunia hari ini sedang berada
di ambang revolusi industri 4.0 (Mohamad Raimi Ab Rahim, 2016) Justeru itu, Malaysia tidak
boleh lagi membuat sebarang kesilapan serta alpa (Sukor, n.d.). Hal ini kerana akan
mengakibatkan Malaysia ketinggalan serta tenggelam dek kepantasan teknologi

Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) ini berlaku melalui tiga ciri utama iaitu velocity
atau kelajuan, breadth and depth atau keluasan dan kedalaman serta systems impact atau impak
menyeluruh. Ini menyebabkan dunia pada masa hadaapan akan dipenuhi dengan fenomena-
fenomena baharu seperti seperti autonomous car, quantum computing dan artificial intelligence.
Klaus Schwab, menerusi bukunya The Fourth Industrial Revolution menjelaskan Industri 4.0
mengubah cara kita bekerja dan hidup. Perubahan ini dipacu tiga domain teknologi utama iaitu
fizikal, digital dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak Industri 4.0 yang merangkumi
simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things
(IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan,
analisis data raya dan robot automasi.

Celik Industri 4.0

REVOLUSI Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi memberi


cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan
perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya saing. Sebelum ini
revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi
perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Di-ikuti revolusi perindustrian ketiga
berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya. Bagaimanapun, Industri 4.0
mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT),
analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal
meran-cakkan kemajuan landskap dunia moden. Revolusi ini menandakan kemunculan sistem
fizikal siber melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia,mesin dan kaedah baharu
teknologi. Dengan kata lain, teknologi automasi itu dilihat sebagai keupayaan teknologi yang
tidak perlu melibatkan manusia secara langsung. Industri 4.0 juga dapat mengatasi masalah
kebergantungan terhadap sumber tenaga yang secara signifikan akan mengubah masa depan
dunia pekerjaan. Jadi, sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi
penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia ja-uh ketinggalan dalam persaingan di
peringkat global. Baru-baru ini, Ketua Pakar Pendidikan Tinggi Bank Dunia, Francisco
Marmolejo dalam Seminar Revolusi Industri 4.0 berkata, sistem pendidikan tinggi di seluruh
negara juga akan me-ngalami perubahan hasil revolusi Industri 4.0. “Bayangkan pengetahuan
yang ada pada kita hari ini hanya menyumbang satu peratus sahaja menjelang 30 tahun akan
datang dan ketika itu pasaran kerja akan dipenuhi dengan individu atau tenaga kerja
berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis. “Jadi kita memerlukan institut
pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan sedia mengharungi cabaran baharu itu agar mana-
mana golongan masyarakat tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital itu,” katanya dalam
satu seminar anjuran

Kementerian Pendidikan Tinggi di ibu negara itu. Dalam seminar itu, Marmolejo turut
memuji Malaysia selaku negara pertama merangka elemen cabaran Industri 4.0 dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. Selain menyifatkan inisiatif Malaysia
sebagai satu langkah ke hadapan, beliau menyifatkan pelan pemba-ngunan pendidikan tinggi
yang merangkumi 10 lonjakan itu sebagai rangka kerja naratif sangat baik bukan sahaja untuk
masa depan tetapi hari ini. “Saya telah melawat banyak negara dan memerhati usaha-usaha yang
dilakukan dalam menangani isu pembelajaran di seluruh dunia dan sangat jelas langkah yang
diambil Malaysia lebih konkrit dalam pelaksanaannya. “Walaupun kesan revolusi perindustrian
terutama-nya berkaitan sistem pendidikan tinggi dibincang secara global tetapi apa yang
dilakukan di Malaysia menunjukkan komitmen berterusan negara itu. “Ini adalah negara pertama
yang saya melihat usaha berterusan yang diambil oleh kerajaan ini dalam menggalakkan
perbincangan dan membangunkan pendidikan relevan dan selaras dengan Industri 4.0,” katanya.
Tambah beliau, idea yang dipraktikkan Malaysia merupakan langkah paling inovatif untuk
menentukan bagaimana negara akan menjadi pemain signifikan dalam ekonomi global pada
masa hadapan. Apa pun, bidang ilmu dan pendidikan mesti dijadikan sebagai teras dalam usaha
mempersiapkan pelajar dan graduan menangani cabaran baharu revolusi itu.

Cabaran Revolusi Industri 4.0

Seorang guru mempunyai amanah dan tanggung jawab yang berat bagi mendidik pelajarnya.
Peranan guru perlu selari dengan perkembangan persekitaran pendidikan masa kini. Ini menuntut
komitmen guru yang sanggup menghadapi sebarang perubahan dalam abad ke-21 ini. Tiada guru
yang mahukan anak didiknya menjadi insan yang tidak berguna. Amanah yang diberikan kepada
guru dalam mendidik pelajar perlu digalas dengan sebaik mungkin. Guru perlu teruskan tugas
dan tanggung jawab sedia ada dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi. Peranan guru
kini semakin mencabar, mulai sekarang guru perlu bersedia dalam menghadapi revolusi industri
ke-empat. Untuk revolusi pendidikan menjadi kenyataan, inovasi pengajaran dan pembelajaran
dalam kelas dan peranan guru adalah menjadi sangat penting bagi mencapai hasrat tersebut.

Teknologi Digital

Pelajar kini terdedah kepada dunia yang berasaskan teknologi digital dimana internet,
pengkomputeran awan (cloud computing) dan sosial media memberi cabaran kepada sistem
pendidikan formal. Perkembangan teknologi yang pantas ini memerlukan perubahan paradigma
dalam kalangan guru. Adakah guru telah bersedia untuk menghadapi pelajar generasi ini?
Bagaimana untuk menghasilkan pelajar yang serba boleh dalam menyelesaikan isu yang
kompleks, kreatif dan inovatif? Sudah tentu perlu komitmen untuk membentuk alat pedagogi
yang baru. Pendidikan perlu mengadaptasi kepada kaedah baru pengajaran selari dengan
perkembangan pantas teknologi. Teknologi telah menyerap kepada sebahagian besar masyarakat
dan juga dalam alam pekerjaan serta kehidupan seharian kita. Malah ada yang mengatakan
kemahiran yang kita belajar dalam pendidikan formal kini sudah tidak relevan untuk masa akan
datang. Adakah ini benar? Kini istilah seperti robot, kecerdasan buatan (artificial intelligence),
inovasi dan teknologi disruptif sering kita dengar apabila membicarakan tentang revolusi industri
ke- 4. Adakah guru telah bersedia untuk mengintegrasi luasan realiti (augmented reality) dalam
pengajaran mereka? Seperti yang kita ketahui pengintegrasian luasan realiti dalam pengajaran
membolehkan pelajar memahami sesuatu konsep dengan lebih baik.
Pendekatan Pengajaran

Zaman guru sebagai sumber utama ilmu dan maklumat mungkin sudah tidak relevan
masa kini. Pengajaran dan pembelajaran kini perlu penekanan kepada aspek kreatif dan inovatif.
Selain itu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran perlu kepada pendekatan berfokus kepada
pelajar yang berkolaborasi dan saling bergantung antara satu sama lain. Pembelajaran aktif,
pembelajaran berasaskan projek, penyelesaian masalah dan inkuiri dengan peluang untuk terlibat
dengan dunia sebenar perlu menjadi amalan. Dengan berkembangnya sumber maklumat terbuka
dan kandungan secara dalam talian, guru bukan lagi sebagai sumber utama maklumat. Maklumat
di hujung jari ini membolehkan guru dan pelajar mengakses maklumat dengan pantas dan cepat.
Ini bukan bermakna guru tidak diperlukan tetapi peranan mereka sebagai pemberi maklumat
telah berubah kepada pemudahcara dan konsultatif. Pelajar kini diberi kebebasan untuk
menyesuaikan proses pembelajaran mereka melalui Pembelajaran Teradun (Blended Learning),
Kelas Berbalik (Flipped Classroom) dan Membawa Peranti Anda Sendiri (BYOD,Bring Your
Own Device). Pembelajaran juga diperibadikan (Personalised Learning) iaitu pembelajaran
disesuaikan dengan kehendak pelajar kerana mereka juga mempunyai kepelbagaian dalam
pembelajaran. Pembelajaran juga kini bukan hanya tertumpu di dalam kelas tetapi boleh juga
berlaku di rumah atau dimana sahaja mereka berada. Perkara yang dinyatakan di atas
memerlukan perubahan dalam peranan guru sebagai pendidik. Oleh itu, dalam konteks pelatihan
guru, program-program latihan guru dipelbagai institusi perlu seiring dengan perkembangan
masa kini dan sangat mendesak untuk dikemaskini bagi menghadapi revolusi baru ini.

Dalam menghadapi cabaran pendidikan revolusi 4.0, apakah tahap persediaan guru dan
murid masa kini? Adakah semua bidang dan kemahiran Seni Visual sesuai diajar secara maksima
dan dilatih dengan memfokuskan kepada konteks RI 4.0? Ini kerana Laporan Smith dan
Anderson (2014) mendapati 48% pakar membayangkan pada tahun 2025, robot dan agen digital
akan menyebabkan pengangguran manusia, walaupun 52% lagi berpendapat teknologi tidak akan
menggantikan pekerjaan sebaliknya percaya kepintaran manusia akan memberi pekerjaan baru,
mewujudkan industri dan cara hidup baharu. Jika tidak dihadapi dengan pengetahuan dan
kemahiran yang mencukupi, kita akan ketinggalan dan tidak dapat bersaing. Masalah utama yang
dihadapi ialah sejauh mana keadaan fasiliti disediakan dengan sempurna oleh pihak sekolah,
Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya di kawasan luar bandar. Bagi memperkemas
kesediaan kita mendepani RI 4.0, UNESCO menyarankan fasiliti sedia ada diperkembang dan
diperkemas, kerana pelajar kini terdedah kepada dunia yang berasaskan teknologi digital, iaitu
internet, pengkomputeran awan (cloud computing) dan media sosial yang memberi cabaran
kepada sistem pendidikan formal. Aspek pengetahuan guru menjadi perkara penting kerana
bukan semua guru mempunyai kemahiran dan telah didedahkan dengan alat teknologi bagi
melaksanakan inovasi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Kajian yang dijalankan oleh
Kamaruddin Ilias dan Che Aleha Ladin (2018) mendapati pengetahuan guru pelatih terhadap
revolusi Industri 4.0 masih berada pada tahap sederhana. Ini menunjukkan perlunya pendedahan
dari pensyarah dan pelajar khususnya yang akan menjadi guru kerana guru yang akan mencorak
masa depan murid. Perubahan konteks pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat
terutamanya evolusi internet begitu mencabar konsep dan teori pendidikan tradisional,
terutamanya terhadap konsep bilik darjah serta metod pengajaran dan pembelajaran. Kesan
teknologi akan mengubah hubungan sosial dan generasi masa depan. Apabila program software
dipertingkatkan, pengalaman pembelajaran berasaskan teknologi juga perlu dikuasai.

PADA hari ini semua pihak sedang bercakap dan berbincang tentang Revolusi
Perindustrian Keempat (Industri 4.0). Hal ini kerana evolusi perkembangan teknologi ini
dijangka memberi impak besar kepada sektor pekerjaan dalam pelbagai industri dan individu di
semua peringkat. Justeru, mahu tidak mahu kita tidak boleh mengelak mahupun lari daripada
kenyataan betapa lebih separuh pekerjaan di Malaysia juga berdepan dengan ancaman dan risiko
untuk diautomasi, sekali gus mengurangkan peranan manusia.

Industri 4.0 menurut Forbes, adalah ‘kilang pintar’ yang mana sebuah sistem gabungan siber dan
fizikal berkemampuan memantau proses fizikal kilang serta membuat keputusan sendiri (bersifat
autonomi). Sistem fizikal ini mampu berkomunikasi dan bekerjasama antara semua sistem dan
manusia secara langsung melalui laman web. Bagi memahami evolusi ini, kita perlu menyemak
dan memahami revolusi industri sebelum ini di mana revolusi industri pertama berlaku ketika
terciptanya enjin wap dan mesin-mesin terawal yang memudahkan pelbagai kerja pemprosesan
pada ketika itu. Industri 2.0 pula berlaku ketika wujudnya kemudahan elektrik, barisan
pemasangan serta bermulanya proses pengeluaran secara besar-besaran manakala Industri 3.0
muncul ketika kewujudan komputer dan automasi iaitu ketika robot dan mesin mula
menggantikan kerja manusia di barisan pemasangan tersebut. Jadi, melalui Industri 4.0 ini boleh
dijangkakan komputer dan sistem automatik bekerja bersama-sama dalam sebuah kaedah baharu
dengan robot dihubungkan secara wireless ke sistem komputer yang boleh belajar sendiri serta
mampu mengawal robot-robot dengan campur ta-ngan yang sedikit daripada manusia.
Mengambil kira situasi ini, timbul persoalan sejauh mana golongan pekerja di negara ini mampu
mempertahankan kedudukan dan pekerjaan masing-masing? Hakikatnya, kita tidak boleh
menghalang mahupun mengawal perubahan dan perkembangan teknologi serta kesannya kepada
pelbagai sektor pekerjaan.

Dalam pada itu, kita juga sedar ia adalah ancaman besar kepada pekerja dalam semua
bidang industri. Jadi, bagi memastikan masih kekal relevan dan terus boleh bekerja, setiap
pekerja perlu berubah mengikut arus perubahan yang sedang rancak berlaku. Secara prinsipnya
Industri 4.0 memerlukan golongan pekerja berkemahiran tinggi, efisien dan efektif agar dapat
bekerja bersama-sama dengan robot mahupun pelbagai sistem automasi yang bakal diguna pakai
untuk merancakkan proses pengeluaran dan produktiviti. Jika tidak, kemungkinan besar tugas
kita bakal diambil alih sepenuhnya oleh robot dan sistem komputer.

Dalam konteks ini pekerja sebagai pemain utama dalam proses tersebut wajar menilai
kemampuan dan kemahiran masing-masing. Harus diingatkan, kegagalan untuk mengasah bakat
dan kemahiran akan menyebabkan kerja kita diambil alih oleh orang lain ataupun berlaku secara
automasi. Jadi kita perlu merebut peluang untuk me-ngubah minda dan cara kerja seterusnya
mencari ruang untuk menajamkan kemahiran masing-masing. Dewasa ini sudah banyak agensi
kerajaan dan juga pihak swasta mula menawarkan pelbagai program dan latihan untuk
meningkatkan kemahiran pekerja bagi memenuhi keperluan standard Industri 4.0, maka eloklah
kita ambil peluang untuk menyertai program tersebut demi survival kerja dan masa depan
masing-masing. Jangan esok umpama sudah kecurian, baru hendak tutup pintu, kita menyesal
apabila mendapati diri ini tidak lagi relevan dalam sektor pekerjaan yang berpaksikan Industri
4.0. Dalam pada itu, diharapkan juga majikan akan membuka peluang kepada pekerja untuk
menambah kemahiran diperlukan.

Harus diingatkan hanya majikan yang tahu pekerja berkemahiran macam mana mereka
perlukan untuk terus memacu produktiviti masing-masing. Justeru, laburlah sedikit dalam
program-program pembangunan kendiri dan peningkatan bakat serta kemahiran pekerja supaya
mereka mendapat peluang yang sewajarnya bagi terus bersaing dalam cabaran yang begitu
kompetitif ini. Kita percaya akan ada segelintir pekerja terutamanya senior mahupun orang lama
yang akan mula rasa tertekan dengan pelbagai tuntutan dibawa oleh Industri 4.0 ini. Sudah
semestinya mereka mula berkira-kira apakah bakal menjadi korban evolusi teknologi yang mana
tugasan selama ini bakal diganti oleh sistem automatik seterusnya bakal menjadi penganggur dan
hilang mata pencarian. Hal ini pasti akan memberi pelbagai kesan sosial dalam masyarakat kita,
jadi majikan perlu terus membantu golongan ini dengan memberi motivasi dan ruang untuk
meningkatkan kemahiran masing-masing dan kekal relevan. Dan besarlah harapan agar majikan
tidak pula mengambil peluang ini untuk mengetepikan pekerja tempatan atas alasan kurang
berkemahiran dengan membawa masuk lebih ramai lagi pekerja asing.

Aspek yang menjadi cabaran kepada kita semua dalam era IR 4.0.

Pertama soal keselamatan. Integrasi atas talian membuka ruang kepada risiko kebocoran
maklumat, risiko keselamatan dan kecurian siber. Oleh yang demikian, penyelidikan berkaitan
isu keselamatan terutamanya keselamatan siber amat penting. Keduanya Modal. Pelaburan
modal yang amat besar diperlukan dalam usaha membangun IoT, pengkomputeran awan dan
sebagainya. Ia memberi kesan kepada syarikat dan perniagaan kecil yang mempunyai modal
terhad. Mereka ini mungkin gulung tikar. Ketiga adalah pekerjaan dimana fungsi manusia diganti
oleh tenaga robotik. Untuk kekal relavan dalam sektor pekerjaan, pekerja memerlukan
pengetahuan dan kemahiran baru. Keempat ialah Kerahsiaan. Maklumat peribadi dan perniagaan
terdedah kepada semua pemegang taruh. Pendek kata tiada lagi istilah sulit dan persendirian,
rahsia peribadi atau rahsia perniagaan. IR 4.0 membawa pelbagai cabaran khusus kepada sumber
manusia yang menjadi tunjang kepadanya.

Cabaran IR 4.0 kepada sumber manusia iaitu: pertama ialah masalah teknostres.
Teknostres ialah suatu penyakit moden yang disebabkan oleh ketidakupayaan seseorang individu
menampung keperluan teknologi komputer dan automasi. Ia bermula daripada teknofobia
(ketakutan tidak munasabah yang dialami oleh seseorang terhadap teknologi). Teknofobia dan
teknostres banyak dialami oleh generasi ‘baby boomers’ dan ‘X’ lantaran kemajuan teknologi
pada zaman mereka adalah tidak secanggih apa yang akan dibawa oleh IR 4.0. Teknostres akan
membawa pelbagai kesan negatif kepada kesihatan sumber manusia seperti MSD, kelesuan,
kepenatan, masalah penglihatan dan pendengaran, serta kehilangan tumpuan. Keduanya ialah
aduan somatic. Ia adalah aduan yang melibatkan aspek biologi tubuh badan, emosi dan psikologi
yang disebabkan oleh persekitaran. Kajian menunjukkan aduan somatik boleh menjejaskan
kesihatan dan prestasi pekerjaan. Statistik Tahunan PERKESO 2016 merekodkan pelbagai kes
aduan somatik dalam kalangan pekerja di Malaysia. Aduan itu dibahagikan kepada bahagian
kepala (5,290), anggota bahagian atas (20,212) dan anggota bahagian bawah (14,915).

Ketiga ialah gangguan muskuloskletal (MSD). Ia adalah suatu bentuk gangguan pada
bahagian otot rangka yang disebabkan oleh beban statik yang berlaku secara berulang-ulang bagi
tempoh masa yang panjang. MSD menyebabkan kecederaan saraf, tendon, ligamen, tulang, sendi
bahagian atas, sendi bahagian bawah dan tulang belakang. Ia dilaporkan sebagai mewakili 42 –
58 peratus daripada keseluruhan penyakit berkaitan pekerjaan di dunia.

Di Malaysia pula sebanyak 173 kes berkaitan dnegan MSD dilaporkan pada tahun 2016
(Statistik Penyakit Pekerjaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 2016). MSD
memberi kesan langsung kepada produktiviti sumber manusia dan daya saing organisasi. 4. Stres
Pekerjaan: Ia bukanlah suatu perkara asing kepada sumber manusia. Namun demikian, ia
merupakan masalah kesihatan pekerjaan yang perlu diberi perhatian dalam organisasi. Ia
membawa pelbagai kesan kepada psikologi, fisiologi dan gelagat sumber manusia. Impak
psikologi yang dimaksudkan di sini ialah kebimbangan, kesedihan, dan cepat marah. Bagi impak
fisiologi pula ia termasuklah tekanan darah, dan sakit jantung. Impak terhadap gelagat boleh
dikesan melalui penurunan prestasi kerja, gangguan tidur, dan peningkatan kemalangan semasa
bekerja.

Anda mungkin juga menyukai