Anda di halaman 1dari 13

109

BAB 8

K OMUNI K ASI P EMBANGUNAN



OBJEKTIF BAB


Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:
1. Mengenal pasti bidang dan skop komunikasi pembangunan.
2. Menerangkan fungsi komunikasi pembangunan.
3. Menjelaskan proses umum komunikasi pembangunan.



8.1 PENGENALAN

Komunikasi Pembangunan adalah satu bidang tumpuan pengajian
komunikasi dalam Program Komunikasi UUM selain Komunikasi
Organisasi (yang anda ikuti dalam Program PJJ) dan Teknologi
Komunikasi. Walaupun bidang komunikasi pembangunan masih baru
dalam disiplin ilmu komunikasi iaitu bermula sekitar awal 1960-an, tetapi
penyelidikan komunikasi pembangunan yang bersifat interdisiplin
sebenarnya sudah bermula lebih awal lagi. Antara tokoh awal yang
mempelopori bidang komunikasi pembangunan ialah Daniel Lerner (The
Passing of Traditional Society), Wilbur Schramm (Mass Media and National
Development), David McClelland dan Everett M. Rogers (Difusion of
Innovation). Manakala tokoh semasa dari rantau Asia pula terdiri daripada
Jan Serveas, N. Jayaweera, S. Amunugama, Winne Dissanayake, Ronny
Adhikarya (Extention Strategies Campaign), Majid Tehranian, Srivinas
Melkote, Samsuddin A. Rahim dan Ramli Mohamed.

Umumnya, komunikasi pembangunan adalah proses komunikasi untuk
mewujudkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penglibatan
mereka dalam program-program pembangunan. Dalam hal ini, media
komunikasi memainkan peranan penting menyebarkan maklumat
daripada pihak sumber yang mungkin terdiri daripada agensi kerajaan,
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan kepada masyarakat
sasaran. Dalam erti kata lain, komunikasi pembangunan adalah suatu
keadaan, iaitu berlakunya pengaliran maklumat menerusi sesuatu saluran
dengan tujuan untuk mewujudkan perubahan sosial di kalangan khalayak
sasaran.




110
Konsep pembangunan pula merujuk kepada keadaan fizikal dan bukan
fizikal yang berubah ke arah yang lebih baik berbanding keadaan
sebelumnya. Selain itu, pembangunan juga adalah satu proses perubahan
sosial, iaitu idea-idea baru diperkenalkan kepada masyarakat supaya
mereka dapat mencapai tahap keselesaan hidup berbanding dengan
keadaan sebelumnya. Justeru itu, komunikasi pembangunan bolehlah
dikatakan sebagai satu usaha ke arah proses penstrukturan sosial ke arah
yang lebih maju. Dalam konteks ini bukan sahaja kemajuan fizikal
diutamakan, pembangunan sahsiah, nilai kemasyarakatan, perubahan
norma, budaya, sikap serta pendirian ke arah pemodenan adalah sesuatu
yang dititikberatkan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang
berdaya saing dan berfikiran terbuka.

Dalam bab ini anda akan diperkenalkan kepada bidang komunikasi
pembangunan sebagai satu subset disiplin ilmu komunikasi.
Kepelbagaian fungsi komunikasi pembangunan akan dikupas bagi
memperlihatkan peranan komunikasi dalam pembangunan. Di samping
itu, perbincangan juga akan ditumpukan kepada proses umum
perancangan komunikasi pembangunan. Bagi memudahkan anda
membuat bacaan tambahan, beberapa laman web telah dikenal pasti
untuk anda mengakses bahan-bahan semasa mengenai komunikasi
pembangunan.



Cuba anda kenal pasti tugas perjawatan berikut: Pegawai
Daerah, Pegawai Penerangan, Pegawai Pertanian dan
Pegawai KEMAS. Seterusnya, hubung kaitkan tugasan
mereka dengan konsep komunikasi pembangunan.
Adakah mereka ini boleh dikategorikan sebagai
komunikator pembangunan? Apakah ciri-ciri yang perlu
ada pada komunikator pembangunan?


Sila kunjung laman web
www.developmentgateway.org
sebuah forum e-komuniti yang
mengandungi artikel, kajian kes,
forum dan e-sidang yang
berkaitan dengan komunikasi
pembangunan. Anda boleh
membuat bacaan tambahan
dengan merujuk topik
perbincangan yang disediakan
seperti: keberkesanan
pembangunan; pembangunan
ekonomi; pembangunan
kemanusiaan; teknologi dan
pembangunan; alam sekitar; dan
pembangunan kesihatan.





111
8.2 KOMUNIKASI DAN PEMBANGUNAN

Komunikasi pembangunan merupakan disiplin ilmu untuk merancang
perubahan sosial yang bertujuan meningkatkan pembangunan duniawi
bagi menghapuskan kemiskinan, pengangguran dan ketidakadilan
(Quebral & Gomez, 1976 dlm. Mohd Hamdan Adnan, 1992).

Menurut Lucila (dlm. Mohd Hamdan Adnan, 1992), komunikasi
pembangunan merupakan bidang yang mengkaji tentang perancangan,
pelaksanaan dan penilaian projek untuk mempromosikan perubahan
sosial. Dalam pada itu, Jamias (1985) pula menyatakan bahawa terdapat
tiga unsur yang membentuk struktur komunikasi pembangunan iaitu
inovasi, komunikasi dan tindakan (prestasi).

Berdasarkan takrifan komunikasi pembangunan tersebut, kita dapati
terdapat beberapa komponen yang sering dibangkitkan oleh para sarjana.
Komponen tersebut ialah penggunaan media, perubahan sosial,
kesedaran, perancangan dan penilaian program pembangunan. Di sini
kita dapat lihat bahawa media komunikasi memainkan peranan penting
dalam menyebarkan maklumat dan idea baru untuk menimbulkan
kesedaran di kalangan masyarakat. Namun begitu, matlamat komunikasi
pembangunan bukan sekadar menyebarkan maklumat, tetapi lebih
daripada itu mengharapkan penglibatan masyarakat dalam proses
perancangan dan pelaksanaan sesuatu program.

Jadi, apakah yang membezakan komunikasi pembangunan dengan
bidang komunikasi lain? Cuba anda imbas kembali bab-bab terdahulu
yang membincangkan tentang bidang komunikasi lain. Dalam hal ini,
komunikasi pembangunan disandarkan kepada beberapa perkara berikut:

(i) Menumpukan program yang dapat meningkatkan taraf
hidup masyarakat.
(ii) Penggunaan gabungan media secara intensif untuk
menyalurkan maklumat dan seterusnya memujuk
masyakarat untuk menerima idea perubahan dan
pembangunan.
(iii) Mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk
bersama-sama turut serta dalam program pembangunan
yang dirancang.
(iv) Penglibatan secara menyeluruh masyarakat dan kerajaan,
NGO secara berterusan dalam menjamin kejayaan program
pembangunan yang dirancang.
(v) Mewujudkan perubahan sosial dalaman yang dicetuskan
oleh masyarakat itu sendiri dan perubahan sosial hubungan,
iaitu inovasi baru daripada luar diterapkan dalam
masyarakat (Mansor, 1984).




112
(vi) Berlaku hubungan dua hala dan penglibatan menyeluruh
antara penerima pembangunan (masyarakat) dengan
sumber pembangunan (kerajaan dan NGO). Dalam hal ini
yang mendapat faedah nyata adalah penerima
pembangunan manakala sumber pula dapat memenuhi
tanggungjawab sosial dan merealisasikan pembangunan
lestari.

Kesimpulannya, komunikasi bertindak sebagai pendorong dan
pemangkin kepada proses pembangunan. Namun begitu, komunikasi
bukanlah satu faktor utama. Banyak lagi faktor yang terlibat secara saling
bergantungan antara satu sama lain dalam menentukan keberkesanan dan
kejayaan sesuatu program pembangunan.


Bolehkah anda kenal pasti faktor-faktor selain
komunikasi yang mempengaruhi kejayaan pelaksanaan
sesuatu program pembangunan?



SOALAN DALAM TEKS






1. Beri definisi komunikasi pembangunan.
2. Jelaskan maksud tujuan komunikasi pembangunan
untuk perubahan sosial.


Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Sila kunjung laman web:
http://www.comminit.com yang
mengandungi pelbagai artikel,
kajian kes berkaitan dengan
komunikasi pembangunan. Antara
topik yang menarik dan sesuai
untuk bacaan ialah partisipasi
masyarakat, komunikasi kempen,
penilaian program pembangunan,
hak asasi manusia, kewartawanan,
pembangunan lestari dan jaringan
sosial.






113
8.3 PRINSIP UMUM KOMUNIKASI PEMBANGUNAN

Pada peringkat awal pengenalan komunikasi pembangunan, fokus
komunikasi adalah pada sumber (kerajaan, NGO dan lain-lain agensi)
yang berperanan membawa mesej dan memperkenalkan pembaharuan.
Pada peringkat ini proses komunikasi pembangunan berlaku secara
sehala atau top-down, iaitu pihak agensi menentukan semua perancangan
program manakala masyarakat pula bertindak sebagai penerima sahaja.

Kini fokus komunikasi pembangunan mula berubah dengan meletakkan
keperluan dan kepentingan masyarakat lebih utama. Justeru penglibatan
masyarakat dalam proses perancangan adalah penting, sama ada melalui
penyertaan jawatankuasa, dialog, perlantikan wakil, pendapat umum dan
cadangan. Di samping itu, pihak media juga perlu memberikan fokus dan
ruang kepada suara dan pandangan orang ramai bagi tujuan
mempengaruhi proses pembentukan sesuatu dasar dan perancangan
program pembangunan (Mohd Yusof Abdullah, 2002).

Bagi mencapai hasrat murni ini, keberkesanan pelaksanaan program-
program pembangunan oleh pihak kerajaan ataupun NGO perlu
mengambil kira perkara berikut:

(i) Fokus pembangunan adalah kepada faedah masyarakat
secara menyeluruh dengan mendorong serta melibatkan
masyarakat.
(ii) Penyertaan masyarakat perlu diberi ruang dalam
membuat keputusan, mengenal pasti masalah dan
alternatif penyelesaian masalah.
(iii) Komunikasi pembangunan perlu bersifat dua hala,
dinamis dan saling bertindak antara sumber dan penerima
(khalayak).

Sehubungan dengan perbincangan tersebut kita dapati bahawa teras
proses komunikasi pembangunan adalah penyebaran maklumat untuk
tujuan perubahan sosial. Maklumat di sini merujuk kepada inovasi iaitu
sesuatu idea, amalan atau objek yang dianggap sebagai baru oleh individu
atau masyarakat yang menerimanya (Rogers, 1983). Sesuatu inovasi itu
disampaikan melalui proses penyerapan (difusi). Menurut Rogers (1983),
difusi ialah satu proses, iaitu inovasi disampaikan melalui saluran
tertentu. Proses difusi dan penerimaan inovasi melibatkan lima tahap
iaitu

(i) Tahap pengetahuanindividu didedahkan kepada
maklumat inovasi.





114
(ii) Tahap pembujukanindividu membentuk sikap positif
atau negatif terhadap maklumat inovasi yang diterima dan
membuat penilaian terhadap kebaikan dan keburukan
inovasi tersebut.

(iii) Tahap keputusanindividu membuat keputusan untuk
menerima atau menolak inovasi. Pengaruh masa, proses
pembujukan, kesediaan dan keterbukaan minda akan
mempengaruhi keputusan individu.

(iv) Tahap pelaksanaanindividu menerima inovasi dan
terus mengamalkannya dengan mengikuti latihan atau siri
perbincangan untuk meningkatkan kemahiran.

(v) Tahap pengesahanindividu menganalisis keperluan dan
penerusan inovasi yang diamalkan untuk mengesahkan
faedah yang bakal diterima pada masa hadapan.

Kesemua tahap difusi inovasi yang dinyatakan berlaku secara berterusan.
Justeru itu, komunikator pembangunan perlu merancang program secara
strategi dengan mengambil kira perubahan-perubahan sikap masyarakat,
polisi kerajaan dan inovasi teknologi. Dalam hal ini proses pembujukan
melalui komunikasi kemanusiaan dan penyebaran maklumat oleh media
massa secara terancang dan berterusan memainkan peranan penting
dalam usaha mengekalkan minat dan pengesahan khalayak sasaran.



SOALAN DALAM TEKS








3. Jelaskan TIGA (3) prinsip utama komunikasi
pembangunan.
4. Huraikan konsep difusi inovasi dalam konteks
komunikasi pembangunan.
5. Jelaskan DUA (2) tahap difusi inovasi berikut:
(i) Tahap pengetahuan
(ii) Tahap pemujukan



Semak jawapan anda di akhir bab ini.

8.4 FUNGSI KOMUNIKASI PEMBANGUNAN

Dalam proses perubahan, komunikasi memainkan peranan penting
khususnya aktiviti penyebaran maklumat dan inovasi di samping menjadi




115
perantaraan dengan sumber pembangunan. Tanpa komunikasi yang
berkesan dan terancang sukar untuk memastikan masyarakat dapat
menerima maklumat secara menyeluruh. Walaupun terdapat pelbagai
pendapat dan pandangan tentang peranan komunikasi dalam proses
pembangunan, sarjana komunikasi pembangunan Wilbur Schramm
menyatakan komunikasi berperanan penting dalam proses pembangunan
berdasarkan enam fungsi iaitu (Mansor, 1984)

(i) Menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang
pembangunan nasional agar mereka memusatkan
perhatian kepada keperluan perubahan, kesempatan cara
mengadakan perubahan, sasaran perubahan dan
membangkitkan aspirasi nasional.
(ii) Komunikasi bertindak sebagai medium untuk
menjelaskan polisi, rancangan dan hasrat kerajaan.
(iii) Komunikasi berperanan mendidik dan memperkenalkan
kemahiran-kemahiran baru.
(iv) Komunikasi digunakan untuk memperluas pasaran
barangan khsususnya dalam menggerakkan pasaran
ekonomi tradisional.
(v) Komunikasi berfungsi mewujudkan kesedaran untuk
berubah bermula daripada masyarakat.
(vi) Membina jaringan sosial dengan dunia masyarakat luar.

Selain fungsi yang dinyatakan di atas, Hedebro (dlm. Mohd Hamdan &
Zulkarimein, 1992) juga telah mengenal pasti fungsi komunikasi
pembangunan seperti berikut:

(i) Komunikasi dapat mencipta iklim bagi perubahan dengan
mengusahakan nilai, sikap, mental dan bentuk perilaku
yang menunjang modenisasi.
(ii) Komunikasi dapat mengajar keterampilan baru.
(iii) Media massa dapat bertindak sebagai propaganda dan
sumber pengetahuan.
(iv) Media massa boleh menyampaikan pengalaman yang
seolah-olah dialami sendiri sehingga dapat mencipta
keperibadian yang dinamik.
(v) Komunikasi dapat meningkatkan aspirasi yang
merupakan perangsang untuk bertindak nyata.
(vi) Komunikasi dapat membantu masyarakat menemui
norma baru dan keharmonian pada masa peralihan.
(vii) Komunikasi dapat membuat masyarakat cenderung untuk
turut serta dalam perubahan keputusan di tengah-tengah
kehidupan bermasyarakat.




116
(viii) Komunikasi dapat mengubah struktur kekuasaan pada
masyarakat yang berciri tradisional dengan membawa
pengetahuan kepada umum.
(ix) Komunikasi dapat membantu sebilangan besar penduduk
agar menyedari pentingnya erti mereka sebagai
warganegara sehingga dapat membantu meningkatkan
patriotisme.
(x) Komunikasi memudahkan perancangan dan pelaksanaan
program pembangunan yang berkaitan dengan keperluan
penduduk.
(xi) Komunikasi dapat membuat pembangunan ekonomi,
sosial dan politik menjadi suatu proses yang berlangsung
sendiri.

Berdasarkan fungsi-fungsi komunikasi pembangunan yang dinyatakan
oleh Wilbur Schramm dan Hedebro di atas, dapat dirumuskan bahawa
peranan komunikasi bersifat dinamik dan disesuaikan dengan keperluan
masyarakat dan aspirasi nasional. Walau bagaimanapun proses
penyampaian dan perkongsian maklumat perlu dipastikan berlaku secara
dua hala dan dinamis. Ini kerana kejayaan sesuatu program
pembangunan banyak bergantung kepada tahap penyertaan dan
penglibatan masyarakat dalam perancangan program pembangunan.
Begitu juga dengan peranan media massa dan media kemanusiaan yang
saling melengkapi dalam proses penyampaian maklumat (Serveas, 2001).

Secara keseluruhannya dengan mengambil kira takrifan dan fungsi
komunikasi pembangunan yang dinamik dan berubah-ubah mengikut
situasi, maka dapat dirumuskan bahawa terdapat enam peranan utama
komunikasi pembangunan seperti di Jadual 8.1.

Jadual 8.1
Peranan Utama Komunikasi Pembangunan

Peranan utama Aspek-Aspek Komunikasi
Advokasi Usaha-usaha pemujukan, kempen,
mempromosi dan melakukan pemasaran sosial.

Saluran
perkhidmatan
Mendidik, membimbing dan menyampaikan
maklumat pembangunan.

Mekanisme
partisipasi
Wadah perbincangan, maklum balas, hak
bersuara.

Rangkaian kerja Mewujudkan jaringan hubungan antara
masyarakat dengan masyarakat atau masyarakat
dengan pihak berkuasa/agensi.




117
Hebahan inovasi Mewujudkan penemuan baru dalam
penyelidikan seperti pembaharuan kaedah dan
teknologi.

Pembinaan
masyarakat
Memupuk perasaan kenegaraan dan semangat
cintakan negara.



Imbas kembali Bab 1. Adakah wujud persamaan atau
perbezaan peranan dan takrifan komunikasi dengan
komunikasi pembangunan?

Sila kunjung laman web:
www.sdgateway.net yang
mengandungi artikel berkaitan
dengan pembangunan lestari. Sila
akses ke bahagian yang berkaitan
komunikasi pembangunan
khususnya: communities and society,
environment dan managing
sustainability.




SOALAN DALAM TEKS





6. Kenal pasti dan huraikan LIMA (5) peranan
komunikasi pembangunan.



Semak jawapan anda di akhir bab ini.

8.5 PROSES KOMUNIKASI PEMBANGUNAN

Komunikasi pembangunan tidak terhad kepada penyaluran maklumat
pembangunan, malah ia turut melibatkan proses mempromosi,
perbincangan dan pemasaran agenda-agenda perubahan. Justeru itu,
komunikasi pembangunan melibatkan pelbagai bentuk mediamedia
massa, komunikasi interpersonal, kumpulan kecil, kumpulan fokus dan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).




118
Bagi memastikan perencanaan strategi komunikasi pembangunan
berjalan dengan lancar, komunikator pembangunan perlu melibatkan
strategi-strategi perancangan, kajian, pelaksanaan dan penilaian seperti
yang dicadangkan oleh Burke (1999) di Rajah 8.1.

Berdasarkan Rajah 8.1, komunikator pembangunan perlu membuat
perancangan yang terperinci khususnya menentukan khalayak, keperluan
maklumat dan menentukan bentuk mesej yang sesuai dengan khalayak.
Dalam hal ini, proses perancangan dilakukan secara sistematik dan
berterusan untuk menggerakkan aktiviti masyarakat supaya menggunakan
sumber-sumber komunikasi secara berkesan bagi mencapai matlamat
pembangunan. Namum begitu, tahap kejayaan program pembangunan
tertakluk kepada keadaan ekonomi, sosial dan politik sedia ada (Media
Asia, 1987). Oleh itu, pelaksanaan sesuatu program pembangunan tidak
hanya tertumpu kepada penyebaran mesej melalu media massa sahaja.
Komunikasi kemanusiaan dan media tradisional juga berpotensi besar
digemblengkan sebagai medium untuk membujuk masyarakat supaya
turut serta dan terlibat secara bersama dalam proses perancangan dan
pelaksanaan program. Oleh yang demikian, pendekatan multiplicity perlu
dipertimbangkan sesuai dengan objektif program dan persekitaran
khalayak (Servaes, 2001; Lie, 2001).

Rajah 8.1
Proses Strategi Komunikasi Pembangunan


Matlamat projek
Matlamat komunikasi
Penilaian
Kenal pasti khalayak
Menentukan keperluan
maklumat
Pelaksanaan
Pra-uji program
Merangka bahan
komunikasi
Kenal pasti peluang
dan halangan
Kenal pasti mesej dan
saluran
Sumber adaptasi: Burke, A. (1999).





119

Apakah yang dimaksudkan dengan media tradisional?
Fikirkan kesesuaian penggunaan media tradisional dalam
zaman ledakan teknologi maklumat, khususnya dalam
proses penyebaran dan pembujukan program
pembangunan di kalangan masyarakat.

Sila kunjung laman web:
www.idrc.ca yang
mengandungi kertas kerja,
kertas seminar, perbincangan,
artikel dan forum yang
berkaitan dengan hasil
penyelidikan komunikasi dan
pembangunan khususnya di
negara dunia ketiga.


8.6 RUMUSAN

Dalam bab ini kita telah berbincang tentang bidang komunikasi
pembangunan secara umum sekadar pengenalan kepada salah satu
disiplin ilmu komunikasi yang diajar di Program Komunikasi, UUM.
Komunikasi pembangunan adalah suatu proses untuk mewujudkan
perubahan sosial di kalangan masyarakat sasaran. Penggunaan media
massa dan media kemanusiaan seperti komunikasi interpersonal,
kumpulan kecil, mesyuarat dan seminar menjadi nadi kepada penyebaran
maklumat kepada masyarakat. Komunikasi berperanan sebagai
pemangkin dan pendorong kepada kejayaan sesebuah perancangan
program pembangunan. Namun begitu faktor kesediaan, kesedaran dan
penyertaan masyarakat dalam sesuatu program juga merupakan faktor
kejayaan sesuatu program pembangunan (Schramm, 1964).




SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Jelaskan tahap difusi inovasi dalam komunikasi pembangunan
menurut Rogers (1983).

2. Huraikan peranan komunikasi pembangunan berikut:





120
(i) Advokasi
(ii) Rangkaian kerja
(iii) Mekanisme partisipasi

3. Kenal pasti dan huraikan TIGA (3) faktor pendorong kejayaan
sesebuah perancangan program pembangunan.



Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Komunikasi pembangunan merupakan bidang yang mengkaji
tentang perancangan, pelaksanaan dan penilaian projek untuk
mempromosi perubahan sosial [Rujuk bahagian 8.2].

2. Komunikasi untuk perubahan sosial merujuk kepada usaha-usaha
untuk menerapkan inovasi di kalangan masyarakat supaya berlaku
perubahan gaya hidup, mind set, dan peningkatan tahap
sosioekonomi yang lebih baik daripada keadaan sebelumnya.

3. Prinsip utama komunikasi pembangunan:

(i) Penglibatan masyarakat dalam perancangan dan
pelaksanaan program pembangunan.
(ii) Komunikasi bersifat dinamis, dua hala dan saling
bertindak antara agensi pembangunan dengan
masyarakat.
(iii) Fokus perancangan dan faedah pembangunan
adalah untuk masyarakat.

4. Difusi inovasi merujuk kepada proses penyerapan sesuatu idea,
amalan atau teknologi yang dianggap baru dan berguna kepada
masyarakat yang menerimanya.

5. Tahap difusi inovasi:

(i) Pengetahuan = maklumat dan informasi tentang
sesuatu inovasi didedahkan kepada individu
bertujuan untuk menyedarkan mereka tentang
maklumat kebaikan dan faedah inovasi tersebut.
(ii) Pembujukan = proses pembentukan sikap dan
perubahan tingkah laku individu apabila menerima
sesuatu maklumat dan pengetahuan tentang inovasi.




121
6. Lima peranan komunikasi pembangunan [Rujuk bahagian 8.4]
ialah

(i) Penyampaian maklumat pembangunan kepada
khalayak sasaran.
(ii) Mewujudkan sistem rangkaian kerja dan rangkaian
sosial di kalangan masyarakat dan agensi
pembangunan.
(iii) Memupuk perasaan kenegaraan dan perasaan untuk
terus maju.
(iv) Mekanisme partisipasi masyarakat.
(v) Membujuk dan mempromosi idea serta produk
pembangunan.

Anda mungkin juga menyukai