Anda di halaman 1dari 14

.

Pengenalan
Tugasan ini memberi tumpuan kepada pendekatan, kaedah dan teknik yang perlu
dilaksanakan oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Untuk menjawab
tugasan ini, para pelajar diminta memberi pandangan berdasarkan pendapat yang
mengatakan bahawa tidak ada satu pun pendekatan, kaedah dan teknik yang paling
sesuai digunakan dalam bilik darjah, kecuali setiap pendekatan, kaedah dan teknik
tersebut disesuaikan dengan tajuk penulisan yang hendak diajar. Para pelajar juga
dikehendaki mengaitkan pandangan mereka dengan dua pendekatan pengajaran
penulisan yang dikemukakan oleh Raimes. Selain itu, para pelajar juga dikehendaki
merangka satu model pengajaran berdasarkan kaedah bergambar dan carta.
Dalam tugasan ini, saya akan membincangkan perkara-perkara yang dikehendaki
berdasarkan soalan yang dikemukakan dengan mengikut panduan yang telah
diberikan oleh tutor. Perkara yang akan saya bincangkan dalam tugasan ini ialah
tentang definisi pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran secara umum.
Kemudian, saya akan menjelaskan tentang pendekatan pengajaran penulisan yang
dikemukakan oleh Raimes. Seterusnya, saya akan mengemukakan pendapat dan
pandangan saya tentang kesesuaian pendekatan pengajaran penulisan yang
dikemukakan oleh Raimes dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah.
Untuk menjawab soalan kedua dalam tugasan ini, saya akan memilih gambar dan
carta yang sesuai untuk membina model pengajaran sebagaimana kehendak
soalan. Saya juga akan membuat rujukan untuk mendapatkan bahan-bahan yang
berkaitan dan berbincang dengan rakan-rakan serta tutor untuk menghasilkan
tugasan yang baik. Saya berharap agar tugasan yang akan saya jalankan akan
menepati kehendak soalan.
2. Definisi Pendekatan, Kaedah dan Teknik
Kebanyakan orang sukar untuk membezakan antara konsep pendekatan, kaedah
serta teknik pengajaran. Apa lagi terdapat orang yang menganggap bahawa semua
istilah tersebut adalah sama dengan cara pengajaran sahaja. Ini adalah suatu
perkara yang harus diberi perhatian yang serius kerana konsep-konsep tersebut
adalah merupakan asas untuk membentuk sesuatu rancangan pelajaran harian yang
sempurna oleh seseorang guru. Penjelasan tentang perhubungan di antara
keempat-empat konsep adalah amat berguna bagi guru-guru supaya ilmu pedagogi
yang dipelajari itu dapat diamalkan di dalam bilik darjah.
Berdasarkan beberapa sumber rujukan, saya akan memberi sedikit sebanyak
penjelasan tentang pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran serta hubungan
antara satu sama lain. Walau pun difikirkan bahawa konsep-konsep itu merupakan
asas dalam perbincangan pedagogi tetapi kebanyakan pengarang buku pedagogi
masih samar-samar tentang konsep-konsep tersebut.
Untuk menjelaskan konsep-konsep tersebut, perbincangan akan bermula dengan
kaedah pengajaran dan diikuti oleh teknik pengajaran. Selepas kita telah jelas
mengenai kedua-kedua konsep tersebut maka kita akan meneliti konsep pendekatan
pengajaran. Akhir sekali kita akan mengulas perhubungan kesemua konsep tersebut
dalam situasi pengajaran.

Sebelum kita membincangkan konsep kaedah pengajaran adalah eloknya kita


memikirkan secara umum pengertian kaedah. Kaedah mengikut Kamus Dewan
bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu,
sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun
untuk mencapai sesuatu matlamat.
Lantaran itu, jika kita ingin memasak ikan maka kita perlu fikirkan apakah kaedahkaedah memasak yang kita boleh gunakan. Sudah tentunya, kaedah-kaedah yang
biasa kita gunakan ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau
mengukus. Begitu juga kalau kita diminta memberi kaedah-kaedah menyepak bola
kita akan menyatakan kaedah-kaedahnya adalah seperti sepakan sering, sepakan
tinggi, sepakan grounder, sepakan banana serta bermacam-macam lagi. Satu lagi
contoh ialah jika kita ingin peri memburu harimau di dalam hutan, kaedah-kaedah
yang kita boleh gunakan adalah seperti menembak dengan senapang, memanah,
menjerat, menikam atau menombak.
Andaikan kita ingin memasak ikan dengan kaedah menggoreng. Maka sudah tentu
kita perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang khusus dalam menjayakan kaedah
tersebut. Kemahiran khusus tersebut adalah dimaksudkan sebagai teknik. Sebab itu,
bolehlah kita menyatakan bahawa semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu
yang disusun dengan sistematik. Umpamanya untuk menggoreng ikan, kita mesti
memanaskan kuali terlebih dahulu sebelum mencurahkan minyak ke dalamnya.
Untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali, suatu lagi teknik ialah memasukkan
sedikit garam ke dalam minyak yang telah panas di kuali. Api juga harus dikawal
supaya tidak terlalu panas. Kesemua tindakan yang spesifik ini adalah disebut
sebagai teknik menggoreng. Teknik-teknik untuk kaedah memasak ikan secara
memanggang pula adalah amat berbeza.
Untuk menjelaskan lagi hubungan kaedah dengan teknik, kita boleh ambil contoh
memburu harimau. Kalau kita hendak memburu harimau dengan kaedah memanah
maka teknik-tekniknya adalah seperti meneliti arah angin, kemahiran memegang ibu
panah, gerakan tangan untuk membuat sasaran, kedudukan kaki serta tindakan
menarik nafas.
Dalam zaman atom ini, sudah tentu kaedah memburu harimau dengan kaedah
memanah tidak begitu berkesan. Jadi, walaupun seorang pemanah itu betul-betul
mahir dan telah menguasai segala teknik memanah dengan seratus peratus, maka
kemungkinan besar ia dimakan oleh harimau. Itu sebabnya kaedah memburu yang
dipilih adalah kurang sesuai walaupun teknik-teknik kaedah itu adalah baik.
Oleh itu, untuk menjayakan sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah
disertai dengan teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa
menguasai teknik-teknik yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan
menjaminkan tercapainya matlamat kaedah yang diingini.
Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang
mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti
seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri
seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti

cercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan masalah,


brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau Socratik dan lain-lain
lagi.
Menurut Mangantar Simanjuntak (1982), kaedah ialah satu rencana (prosedur) yang
menyeluruh untuk mengajar sesuatu bahan bahasa, yang secara keseluruhannya
mestilah didasarkan kepada pendekatan yang digunakan.
Parera (1986), mendefinisikan kaedah sebagai satu rancangan menyeluruh untuk
menyampaikan secara teratur bahan-bahan bahasa, tidak ada bahagianbahagiannya yang saling bertentangan dan semuanya berdasarkan pendekatan.
Selain itu, kaedah juga boleh didefinisikan sebagai satu rancangan tentang apa yang
akan dilaksanakan sesuai dengan situasi bagi mencapai sesuatu objektif pengajaran
(Ishak Ramly, 2006).
Edward M. Anthony (1963), mengatakan bahawa kaedah ialah cara atau peraturan
membuat sesuatu. Beliau juga mendefinisikan kaedah sebagai satu siri tindakan
guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pengajaran spesifik dalam
jangka masa pendek. Selain itu, beliau berpendapat bahawa kaedah ialah satu
ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu prosedur yang tersusun berlandaskan
kepada sesuatu pendekatan yang dipilih.
Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang
terdapat dalam sesuatu kaedah. Teknik ialah kaedah mencipta sesuatu hasil seni
seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi ketiga).
Edward M. Anthony (1963), mendefinisikan teknik sebagai satu muslihat atau
strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang
maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Beliau juga
mengatakan bahawa teknik ialah kemahiran guru yang digunakan untuk pengelolaan
dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktivitipengajaran dan
pembelajaran.
Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1988), berpendapat bahawa teknik
pengajaran ialah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam
bilik darjah dimana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Jika seseorang
guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka
kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.
Misalnya katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar
sesuatu tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan
nada suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat
murid, gerakan tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa
aktiviti bercerita itu berlangsung.
Kaedah mengajar seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri.
Teknik-teknik syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada sera kadar
percakapan, bahasa yang sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang
disampaikan, menyoal soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajra dan lain-lain
lagi.

Satu lagi contoh kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar
dengan kaedah soalanmaka kita pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang
baik seperti soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar
diberi masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk
menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid,
suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan sebagainya.
Jadi jika kita hendak mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedahkaedah yang sesuai. Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu
tidak berkesan. Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai.
Meskipun demikian, untuk memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti
menguasai teknik-teknik demostrasi.
Sebagai kesimpulan, apabila kita menyebut teknik pengajaran, kita mesti bertanya
teknik pengajaran untuk kaedah apa. Setiap kaedah pengajaran mesti mempunyai
teknik-teknik yang tertentu.
Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk
menuju sesuatu sasaran. Dalam pengertian yang lebih luas pendekatan juga
diertikan sebagi "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk
melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan
teori-teori atau generalisasi yang tertentu.
Sebagai contoh, pendekatan-pendekatan memasak ikan yang kita boleh gunakan
ialah seperti pendekatan Timur atau pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita
dapati keutamaan ditegaskan pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan
dan ciri-ciri makanan seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah
diberi kepada rasa seperti rupa makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai
kalori atau ciri-ciri makanan seimbangan. Pendekatan Barat ini adalah amat
berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi pemakanan yang mempunyai
prinsip-prinsip makanan serta hubungannya dengan kesihatan.
Suatu lagi contoh tentang pendekatan melakukan sesuatu ialah pendekatan
seseorang dalam belajar bermain tenis. Dia boleh menggunakan pendekatan
profesional atau pendekatan konvensional (tradisional atau acquired) atau biasa.
Bagi pendekatan profesional, semua kaedah bermain dipelajari berdasarkan prinsipprinsip sains yang sangat bersistematik. Manakala bagi pendekatan konvensional,
kaedah-kaedah bermain dipelajari berdasarkan pengalaman, perbincangan informal
serta dengan pemerhatian.
Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk
mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata
pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Parera (1986),
mengatakan bahawa pendekatan merupakan satu latar belakang falsafah atau
pandangan mengenai idea utama yang hendak dibahaskan dan merupakan satu
aksioma (pernyataan yang diterima umum dan menjadi asas kepada sesuatu
huraian).

Kamarudin Hj. Husin (1988), mendefinisikan pendekatan sebagai satu kumpulan


andaian yang saling berkait tentang hakikat bahasa, hakikat pengajaran bahasa dan
hakikat pembelajaran bahasa. Selain itu, pendekatan juga dikatakan sebagai cara
atau langkah-langkah bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti
menyelesaikan masalah, Kamus Dewan (1988). Edward M. Anthony (1963),
berpendapat bahawa pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan
proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik.
Pendekatan-pendekatan wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin
utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Sebab itu, ada kalanya
pendekatan menyerupai klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud
berdasarkan kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran.
Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan
murid, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran
bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain.
Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti
pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan
kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan
di sini tidak menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran.
Guru adalah bebas memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan
tersebut.
Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah
pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi
isi mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.
Pendekatan yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan
memusatkan guru manakala pengajaran yang mementingkan murid disebut sebagai
pendekatan memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan
yang memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi
manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran
yang memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah
bermain dan kaedah perbincangan kumpulan.
Terdapat juga pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa
mata pelajaran mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam
dan Manusia menggunakan pendekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Ini
adalah kerana beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan
digabungkan menjadi suatu mata pelajaran yang baru. Pendekatan ini adalah sama
dengan pengajaran Sains Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia digabungkan
dan diajar mengikut tema-tema tertentu.
Akhirnya, dalam pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti
pendekatan komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik,
pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul
berasaskan teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavioris.
Contohnya jika kita mengikut teori mentalis atau kognitif maka pendekatan yang
digunakan adalah seperti pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori

behavioris atau S-R maka pendekatan pengajaran yang digunakan adalah


pendekatan komunikasi dan situasi.
Rumusan yang boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum
dan ia seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan
bagaimana caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk
menuju arah yang ditetapkan oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedahkaedah pengajaran.
Secara
keseluruhannya,
pendekatan
adalah
bersifat
aksiomatik
dan
menggambarkan hakikat bahasa dan proses belajar bahasa yang dijadikan landasan
untuk menyusun kaedah mengajar. Kaedah pula adalah bersifat prosedur dan teknik
merupakan
perlaksanaan
kaedah
dalam
kelas.
3. Pendekatan Pengajaran Penulisan
3.1 Pendekatan pengajaran Penulisan Raimes
Terdapat pelbagai pendekatan, kaedah, danteknik yang dapat diaplikasikan dalam
pengajaran aspek-aspek bahasa termasuk pengajaran penulisan wacana. Tidak ada
satu pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan di dalam bilik
darjah, melainkan masing-masing perlu disesuaikan dengan topik penulisan yang
hendak diajar. Ini bergantung kepada kebijaksanaan guru kerana yang penting ialah
pelajar dapat turut serta dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam
bilik darjah. Pengajaran dan pembelajaran mestilah berpusatkan pelajar. Guru
hendaklah bertindak sebagai pemudah cara.
Raimes mengemukakan empat pendekatan pengajaran penulisan wacana iaitu
Pendekatan Terkawal, Pendekatan Bebas, Pendekatan Pola-Perenggan, dan
Pendekatan Komunikatif ( dalam Juriah Long dan rakan-rakan, 1990:214)
i.

Pendekatan Terkawal
Melalui pendekatan ini, guru dapat memandu danmengawal pelajar daripada
melakukan kesalahan. Pada peringkat awal, guru mengawal secara menyeluruh.
Namun begitu, pelajar masih diberikan kebebasan untuk memilih perbendaharaan
kata atau struktur ayat mereka sendiri.
Sebagai contoh, bentuk-bentuk kawalan yang diberikan oleh guru adalah dengan
menyediakan sebuah penulisan yang menghendaki pelajar mengisi tempat-tempat
kosong dengan perkataan yang sesuai; guru memberikan senarai frasa yang
berkaitan dengan sesuatu topik dan pelajar perlu membina ayat untuk
melengkapkan frasa; guru mengambil satu petikan yang menggambarkan sesuatu
kejadian atau peristiwa kemudian pelajar disuruh menggambarkan semula
keseluruhan pengalaman berdasarkan kejadian itu.

ii.

Pendekatan Bebas
Pendekatan ini memberikebebasan kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat
mereka tentang sesuatu topik penulisan. Walau bagaimanapun, pendekatan ini
hanya sesuai digunakan bagi pelajar yang sudah dapat menguasai bahasa dengan
baik. Misalnya dalam pengajaran penulisan wacana yang ada hubung kait dengan
masalah penggunaan dadah dalam kalangan remaja, guru boleh keratan-keratan
akhbar untuk ditunjukkan kepada pelajar dan menyuruh mereka memberikan

pendapat melalui aktiviti sumbang saran. Melalui cara ini pelajar akan lebih
berminat, aktif dan dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan.
iii.

Pendekatan Komunikatif
Dell Hymes yang merupakan pengasas pendekatan ini antara lain menyatakan
bahawa kecekapan komunikatif merupakan penguasaan bahasa secara naluri yang
dimiliki oleh seseorang pelajar, iaitu keupayaan pelajar mengguna dan memahami
bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu
lain dan jalinannya dengan konteks sosial.
Pendekatan ini menegaskan tentang seseorang yang sudah mempunyai
pengetahuan tentang struktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang
gramatis. Ini tidak bermakna dia sudah dapat berkomunikasi dengan baik dan
berkesan memandangkan kecekapan berbahasa dan berkomunikasi itu juga
menitikberatkan unsur-unsur lain yang boleh mempengaruhinya, seperti aspekaspek sosiolinguistik dan psikolinguistik.
Sebagai contoh, penulisan
memasukkan kata atau frasa
laras bahasa perubatan.
menggunakan bahasa yang
penulisan.

tentang kemajuan teknologi perubatan mestilah


yang ada hubung kait dengan teknologi tersebut, iaitu
Oleh itu, pendekatan ini membolehkan pelajar
sesuai untuk tujuan berkomunikasi termasuk dalam

Dengan menggunakan pendekatan ini, dapat dikatakan bahawa pelajar menulis


adalah untuk dibaca oleh orang lain atau masyarakat. Justeru, guru perlu
memastikan dan menggalakkan pelajar menulis sama seperti dalam situasi
kehidupan seharian mereka. Dalam hal ini, guru harus menyatakan kepada pelajar
bahawa penulisan yang dihasilkan adalah untuk dinikmati oleh pembaca termasuk
penulisan pelajar lain di dalam bilik darjah.
iv.

Pendekatan Pola-Perenggan
Pendekatan ini mengutamakan ciri-ciri pembentukan perenggan yang baik. Ini dapat
melatih pelajar supaya berkeupayaan untuk memberikan pendapat dalam
perenggan dengan kemas dan teratur. Selain itu,pendekatan ini juga dapat
membantu pelajar mengetahui cara-cara meringkaskan penulisan dengan baik.
Antara latihan yang dapat diaplikasikan seperti latihan mengkaji contoh-contoh
perenggan yang baik, menyusun ayat-ayat yang disediakan guru dalam satu
perenggan yang kemas, pelajar mengenal pasti, memilih dan meninggalkan isi-isi
untuk dimasukkan dalam satu perenggan dan pelajar mencari isi penting dan isi
bantu dalam sesuatu perenggan.
3.2 Kesesuaian Pendekatan Pengajaran Penulisan Raimes
Kaedah dan teknik pengajaran dalam bilik darjah amat penting untuk memastikan
pelajar dapat memahami dan mengaplikasi hasil daripada pengajaran yang
dilaksanakan. Penulisan wacana sekolah menengah juga mempunyai banyak
kaedah pengajaran yang boleh digunakan bagi memastikan pelajar dapat menulis
dengan baik. Namun, pendapat mengatakan bahawa tidak ada satu pun
pendekatan, kaedah, atau teknik yang paling sesuai digunakan dalam bilik darjah

kecuali setiap pendekatan, kaedah dan teknik tersebut disesuaikan dengan tajuk
penulisan yang hendak diajar.
Raimes telah mengemukakan empat pendekatan pengajaran penulisan wacana iaitu
Pendekatan Terkawal, Pendekatan Bebas, Pendekatan Komunikatif dan Pendekatan
Pola-Perenggan. Terdapat dua pendekatan yang menarik perhatian saya iaitu
Pendekatan Terkawal dan Pendekatan Bebas. Saya juga bersetuju dengan
pendapat di atas yang mengatakan bahawa tidak ada satu pun pendekatan, kaedah
dan teknik yang paling sesuai digunakan dalam bilik darjah kerana setiap guru
mempunyai pendekatan yang berbeza untuk menyampaikan sesuatu pelajaran.
Selain itu, faktor pelajar juga mendorong guru untuk menggunakan pendekatan yang
berlainan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain, murid
yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza.
Berdasarkan Pendekatan Terkawal yang diperkenalkan oleh Raimes, para pelajar
melakukan aktiviti mengikut panduan yang diberikan oleh guru. Pada pendapat
saya, pendekatan ini sesuai untuk diaplikasikan kepada pelajar-pelajar yang lemah
atau masih belum menguasai sesuatu kemahiran dengan baik. Ini kerana aktiviti
pengajaran dan pembelajaran berdasarkan pendekatan ini adalah lebih mudah dan
akan dapat dilakukan oleh murid-murid yang lemah. Sebagai contoh, murid-murid
hanya perlu mengisi tempat kosong dengan perkataan yang diberi untuk
melengkapkan sebuah karangan.
Sekiranya murid-murid telah menguasai sesuatu kemahiran dengan lebih baik,
kelonggaran akan diberikan kepada murid-murid tersebut untuk melakukan aktiviti
yang lebih mencabar. Ini bermakna murid-murid tersebut mempunyai sedikit
kebebasan untuk menjalankan aktiviti mengikut daya pemikiran atau kemampuan
mereka tetapi masih dikawal oleh guru. Sebagai contoh, jika pada peringkat awal
murid-murid hanya mengisi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai untuk
melengkapkan karangan, pada peringkat ini murid-murid akan melengkapkan ayat
dengan menggunakan frasa yang diberi. Ini menunjukkan bahawa pada peringkat ini
latihan yang diberi adalah lebih mencabar berbanding dengan peringkat awal.
Jelas kepada kita bahawa Pendekatan Terkawal memulakan proses pengajaran
daripada mudah kepada perkara yang lebih susah atau daripada konkrit kepada
abstrak. Pendekatan ini memang sesuai untuk murid-murid yang lemah seterusnya
dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus belajar kerana aktiviti yang
dijalankan adalah bersesuaian dengan kebolehan mereka. Aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang agak sukar dan tidak sesuai dengan kebolehan murid-murid
akan mematahkan semangat mereka untuk terus belajar. Oleh itu, guru perlu
memainkan peranan untuk memberi bimbingan kepada para pelajar sama ada
secara kelas, kumpulan atau individu agar mereka tidak mudah berasa jemu atau
memudahkan mereka untuk menyiapkan sesuatu tugasan.
Dengan menggunakan Pendekatan Terkawal, para pelajar akan diberi panduan dan
bimbingan sepenuhnya. Jadi, mereka akan dapat belajar tentang sesuatu perkara
dengan menggunakan bahan-bahan yang diberi oleh guru sebagai contoh untuk
melaksanakan tugasan yang baru. Misalnya, jika guru memberi lembaran kerja yang
mengandungi format surat rasmi untuk dilengkapkan oleh murid-murid, mereka akan
dapat menjadikan format surat rasmi tersebut sebagai contoh untuk menulis surat

rasmi yang lain dengan tajuk yang berbeza. Jadi, mereka akan dapat mempelajari
sesuatu perkara berdasarkan contoh yang diberi tanpa melakukan banyak
kesalahan.
Berdasarkan pengalaman, para pelajar yang lemah biasanya tidak mampu untuk
berfikir secara mendalam tentang sesuatu perkara dan tidak dapat mengemukakan
pendapat atau idea yang berkaitan dengan sesuatu tajuk tanpa bantuan atau
bimbingan daripada guru. Mereka juga agak malas untuk berfikir. Kadangkala
mereka akan mengemukakan pendapat atau pandangan yang tidak logik atau tidak
berkaitan dengan topik yang dibincangkan. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan
untuk menggalakkan para pelajar mengemukakan pendapat dengan memberi
gambaran tentang sesuatu perkara atau tajuk yang dibincangkan. Dengan ini,
mereka akan berasa lebih yakin untuk memberikan pendapat dan sudah pasti
pendapat atau idea yang dikemukakan tidak akan terpesong.
Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa Pendekatan Terkawal
yang diperkenalkan oleh Raimes ini sesuai diaplikasikan kepada pelajar-pelajar yang
lemah. Ini kerana mereka agak pasif dan masih belum menguasai sesuatu
kemahiran dengan baik. Dengan adanya bimbingan dan latihan yang berterusan,
murid-murid pasti akan dapat menguasai sesuatu kemahiran itu sedikit demi sedikit.
Pendekatan ini tentu sekali tidak sesuai untuk diaplikasikan kepada pelajar-pelajar
yang cemerlang kerana mereka lebih aktif, berfikiran terbuka dan mampu
mengemukakan pendapat mereka berdasarkan sesuatu tajuk yang dibincangkan.
Jadi, pendekatan ini tidak sesuai untuk mereka kerana akan membataskan
pemikiran mereka dan membuatkan mereka berasa terkongkong. Pendekatan yang
lebih sesuai perlu digunakan untuk murid-murid yang aktif.
Satu lagi pendekatan pengajaran penulisan Raimes yang saya pilih ialah
Pendekatan Bebas. Pendekatan Bebas sesuai digunakan untuk mengajar muridmurid yang aktif dan telah menguasai kemahiran bahasa dengan baik. Melalui
pendekatan ini, murid-murid diberi kebebasan untuk mengemukakan idea atau
pendapat tentang isu-isu atau tajuk yang dibincangkan. Pendekatan ini dapat
meningkatkan daya imaginasi dan pemikiran pelajar agar mereka berfikir dengan
lebih kreatif dan kritis. Pelajar juga akan dapat menggunakan pengetahuan sedia
ada mereka untuk mengemukakan pendapat yang bernas atau menyelesaikan
masalah yang dikemukakan. Ini akan mendorong murid-murid supaya rajin
membaca dan mencari maklumat untuk menambahkan pengetahuan mereka.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk Pendekatan Terkawal dan Pendekatan
Bebas adalah berbeza. Antara aktiviti yang sesuai untuk Pendekatan Bebas ialah
perbincangan dan sumbang saran. Melalui aktiviti tersebut murid-murid bebas
memberi pendapat dan pandangan mereka berdasarkan pengetahuan sedia ada.
Mereka juga dapat bergerak aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan. Sebagai contoh, guru mengemukakan soalan atau isu yang perlu
dibincangkan. Kemudian, murid-murid membentuk kumpulan dan berbincang
tentang perkara tersebut. Selepas itu, wakil kumpulan akan membentangkan hasil
perbincangan mereka. Aktiviti sebegini akan memberi peluang kepada murid-murid
untuk bergerak aktif dan menghilangkan rasa bosan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran dilaksanakan.

Kesimpulannya, tidak ada pendekatan, kaedah atau teknik yang terbaik untuk
diaplikasikan di dalam bilik darjah. Ini kerana setiap pelajar adalah berbeza. Jadi,
guru perlu lebih kreatif untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar dengan
menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik yang difikirkan sesuai berdasarkan
ilmu yang hendak disampaikan agar murid-murid dapat menerima ilmu tersebut
dengan baik. Sebagai contoh, guru perlu menggunakan pendekatan, kaedah dan
teknik yang berbeza untuk mengajar murid-murid yang pandai dan murid-murid yang
lemah. Sekiranya guru menggunakan kaedah perbincangan atau sumbang saran
untuk mengajar murid-murid yang lemah, sudah pasti aktiviti pengajaran dan
pembelajaran tersebut tidak berkesan. Begitu juga jika guru menggunakan
Pendekatan Terkawal untuk mengajar murid-murid yang pandai, sudah pasti muridmurid akan berasa bosan dan mengongkong kemahiran berfikir murid-murid. Oleh
itu, guru perlu bijak memilih dan menentukan pendekatan, kaedah dan teknik yang
sesuai untuk mengajar murid-murid agar pengajarannya menarik dan berkesan.
4. Model Pengajaran Penulisan
4.1 Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar dan Carta
Penggunaan kaedah ini bermaksud penulisan yang dihasilkan adalah dengan
berasaskan gambar yang dilihat dan ditunjukkan. Kebiasaannya, gambar bersiri
akan digunakan sebagai bahan bantu mengajar dan peristiwa yang terdapat dalam
gambar-gambar itu akan dijadikan bahan penulisan. Namun begitu, kaedah ini juga
dapat dilaksanakan menerusi teknik penyampaian dengan menggunakan slaid.
Teknik slaid lebih menarik dan dapat menimbulkan minat pelajar kerana
menyeronokkan, ditambah lagi dengan iringan irama muzik yang bersesuaian,
umpamanya pertunjukan slaid tentang kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.
Namun, teknik slaid memerlukan peralatan yang tertentu. Jika menggunakan teknik
ini, pelajar mesti mempunyai daya ingatan yang kuat untuk mengingati gambargambarslaid yang telah ditonton.
Dalam menggunakan kaedah bergambar, terdapat beberapa langkah yang perlu
diikuti dalam menyampaikan pengajaran, iaitu:
Gambar yang digunakan mestilah sesuai sebagai bahan bantu mengajar dan
tahap peringkat pelajar, disamping tidak mengenepikan aspek kualiti gambar;

Guru mengarahkan pelajar meneliti gambar yang disediakan dan memikirkan


perkara-perkara yang dapat diperkatakan mengenainya;

Pelajar disuruh mencatat idea atau isi penting yang hendak diperkatakan
berdasarkan gambar yang dilihat;

Aktiviti sumbang saran dapat dijalankan, iaitu pelajar diberikan peluang


menyuarakan pendapat dan idea mereka secara lisan dan kemudian guru
menulisnya pada papan tulis, sambil menyemak kegramatisan ayat-ayat yang
diutarakan.

Guru mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar tentang isi-isi yang diberikan
dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting; dan

Pelajar menulis dengan berlandaskan perbincangan yang telah dilakukan.

Sementara itu, teknik carta aliran bermaksud guru mengedarkan atau


menunjukkan sebuah carta aliran berdasarkan proses-proses penghasilan sesuatu
bahan atau produk. Teknik carta aliran agak bersistematik mengikut kronologi
peristiwa. Teknik ini ada persamaan dengan teknik gambar bersiri, bahawasanya
setiap proses itu digantikan dengan frasa-frasa yang menceritakan secara ringkas
apa-apa yang berlaku pada setiap peringkat yang dipaparkan dalam carta.
Prosedur-prosedur atau peringkat-peringkat itu boleh ditunjukkan dengan
menggunakan penanda anak panah atau berbentuk paparan carta. Contohnya,
carta aliran yang memperlihatkan proses membuat produk makanan.
4.2 Cara Melaksanakan Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar Dan
Carta
Pengajaran penulisan kaedah bergambar dan carta hampir sama. Oleh itu, saya
menggunakan satu model pengajaran sahaja untuk pengajaran penulisan kaedah
bergambar dan carta. Berikut ialah model pengajaran penulisan kaedah bergambar
dan carta yang saya cadangkan.
Tajuk: Penternak Ayam
Bahan Bantu Mengajar : Gambar Bersiri (Lampiran)
Langkah-langkah Pengajaran
Langkah 1
Guru mengedarkan gambar kepada murid-murid. Guru meminta murid-murid supaya
meneliti aktiviti, peristiwa atau perkara-perkara penting yang dapat diperkatakan
atau diceritakan berdasarkan gambar yang diberi. Guru boleh menetapkan jumlah
aktiviti atau peristiwa yang dikehendaki bagi setiap gambar. Contohnya, guru ingin
murid murid menyenaraikan dua aktiviti atau peristiwa penting bagi setiap gambar.
Selain itu, guru juga boleh memberi kebebasan kepada murid-murid untuk mencari
sebanyak mungkin aktiviti atau peristiwa daripada setiap gambar tersebut.
Langkah 2
Murid-murid diminta mencatat perkara-perkara penting, aktiviti atau peristiwa
berdasarkan gambar yang diberi. Aktiviti ini boleh dilakukan secara individu atau
kumpulan. Jika aktiviti ini dijalankan secara individu, guru hendaklah memainkan
peranan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi aktif. Sebagai contoh,
guru perlu bersoal jawab dengan murid jika tidak ada pelajar yang ingin memberi
pendapat secara suka rela. Bagi pelajar-pelajar yang lemah, guru hendaklah
membimbing mereka agar mereka dapat menyatakan idea dengan lebih yakin.
Sekiranya guru ingin menjalankan aktiviti ini secara kumpulan, guru hendaklah
mengarahkan para pelajar supaya berada dalam kumpulan masing-masing sebelum

aktiviti ini dajalankan. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua dan seorang
pencatat. Guru hendaklah mengarahkan murid-murid supaya berbincang dalam
keadaan yang terkawal. Murid-murid perlu diingatkan supaya mengambil bahagian
dalam sesi perbincangan. Setiap pelajar diwajibkan mengemukakan pendapat
berdasarkan perkara yang dibincangkan. Guru juga boleh menerapkan nilai murni
kepada murid-murid semasa aktiviti kumpulan dijalankan. Contohnya, nilai
bekerjasama dan bertolak ansur.
Semasa aktiviti kumpulan dijalankan, guru perlu memainkan peranan sebagai
fasilitator dengan memantau setiap kumpulan dan memberi bimbingan kepada
kumpulan yang menghadapi masalah. Seelok-eloknya, setiap kumpulan dibekalkan
dengan peralatan yang diperlukan untuk sesi pembentangan hasil kerja. Untuk
peringatan, guru juga perlu menyatakan masa yang diperuntukkan untuk sesi
perbincangan supaya murid-murid tidak terleka.
Langkah 3
Setelah selesai sesi perbincangan, setiap kumpulan dikehendaki menghantar wakil
kumpulan untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing.
Semasa sesi pembentangan, seorang lagi ahli kumpulan dikehendaki mencatat idea
atau isi penting yang dibentangkan oleh pembentang kumpulannya pada papan tulis.
Murid-murid atau ahlikumpulan yang lain diminta mendengar pembentangan itu
dengan teliti dan mencatat idea atau isi penting yang dibentangkan oleh kumpulan
lain.
Apabila setiap kumpulan selesai membentangkan hasil perbincangan mereka,
kumpulan lain diberi peluang untuk memberi komen tentang idea atau isi penting
yang dikemukakan oleh kumpulan tersebut. Kumpulan lain juga perlu peka terhadap
idea atau isi penting yang yang telah dikemukakan oleh kumpulan terdahulu agar
tidak berlaku pertindihan idea. Idea atau isi penting yang sama tidak perlu
dibentangkan oleh kumpulan berikutnya. Selepas itu, murid-murid diminta membaca
idea-idea yang tercatat pada papan tulis hasil perbincangan semua kumpulan. Guru
juga boleh memilih murid-murid secara rawak untuk membina ayat secara lisan
dengan menggunakan idea yang telah diperoleh. Kemudian, guru mengadakan
perbincangan dengan para pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat
rumusan tentang penyusunan isi-isi penting semasa menulis karangan. Di samping
itu, guru juga boleh berbincang tentang sistem bahasa yang dirasakan perlu ada
dalam karangan tersebut. Contohnya, penggunaan penanda wacana, penggunaan
imbuhan, kata tugas dan lain-lain.
Langkah 4
Selepas itu, murid-murid diminta menulis karangan dengan menggunakan idea atau
isi-isi penting yang telah dibincangkan atau dibentangkan oleh setiap kumpulan.
Aktiviti ini boleh dilakukan secara individu atau kumpulan. Jika aktiviti ini dilakukan
secara kumpulan, seorang ahli kumpulan perlu menulis karangan manakala ahli
yang lain membantu membina ayat-ayat yang gramatis. Guru pula memainkan
peranan sebagai fasilitator. Semasa aktiviti ini dijalankan, guru perlu sentiasa
mengingatkan para pelajar tentang kesalahan umum yang sering dilakukan oleh
kebanyakan pelajar semasa menulis.

Setelah selesai menulis, murid perlu menyemak untuk memastikan sama ada
terdapat tulisan yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan
imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
Langkah 5
Seterusnya, beberapa kumpulan akan dipilih untuk membacakan karangan masingmasing. Semasa wakil kumpulan membaca karangan, murid-murid lain diminta
mendengar dengan teliti dan memberi komen terhadap kesalahan yang terdapat
dalam karangan tersebut, contohnya kesalahan dari segi struktur ayat, penggunaan
imbuhan dan sebagainya. Guru juga hendaklah membetulkan kesalahan yang
dilakukan oleh setiap kumpulan pada masa itu juga. Setiap kumpulan diminta
membuat pembetulan terhadap kesalahan yang telah dilakukan sebelum
menghantar karangan mereka kepada guru.
Langkah 6
Guru menyemak karangan tersebut dengan teliti dan membetulkan setiap kesalahan
yang dilakukan oleh murid-murid. Selepas itu, karangan tersebut akan dipulangkan
kepada murid-murid dan setiap ahli kumpulan dikehendaki menulis semula karangan
tersebut dalam buku masing-masing. Setiap kumpulan juga diminta menyediakan
satu salinan karangan yang telah dibaiki untuk ditampal di dalam kelas atau dijilid
untuk dijadikan sebuah buku sebagai rujukan murid-murid.
5. Penutup
Tugasan ini memberi penekanan kepada pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran
khususnya dalam aspek pengajaran penulisan. Setelah melaksanakan tugasan ini,
saya lebih memahami tentang pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang
sepatutnya diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah. Pengetahuan guru-guru tentang pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran
sangat penting untuk membolehkannya melaksanakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah dengan lebih menarik dan berkesan.
Semua guru sepatutnya mengenal pasti tahap pencapaian pelajar mereka untuk
memudahkan mereka merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta
pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai untuk digunakan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Sesungguhnya, pengetahuan
tentang pendekatan, kaedah dan teknik serta pengaplikasiannya oleh guru-guru di
dalam bilik darjah akan memberikan kesan yang positif kepada para pelajar
seterusnya akan dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang akademik.
Kesimpulannya, guru-guru perlu menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik yang
sesuai untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran demi kebaikan
dan kejayaan para pelajar.
Rujukan
Juriah Long, Raminah Hj. Sabran & Sofiah Hamid. (1990). Pendekatan mengajar
bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman Malaysia
Sdn. Bhd.

Raminah Hj. Sabran. (1993). Kecekapan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia.


Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Raminah Sabran & Rahim Syam. (1985). Kaedah pengajaran bahasa Malaysia.
Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. (2001). Sukatan pelajaran kurikulum
bersepadu sekolah menengah bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Zainol Ismail. (2003). Fokus Unggul/ UPSR Penulisan. Johor Bahru: Penerbitan
Pelangi Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai