Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN HARI GURU (WAKIL MURID)

Terima kasih Pengerusi Majlis. Salam sejahtera dan selamat pagi saya ucapkan
kepada Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Guru Penolong Kanan, guru-guru dan
rakan sekalian. Saya sebagai wakil murid, ingin mengucapkan selamat menyambut
Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini.
Hadirin sekalian,
Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengadakan sambutan bagi
mengenang dan menghargai jasa guru. Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih
sebagai Hari Guru. Pada tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa telah dipilih
sebagai tema Hari Guru. Tema ini amat bertepatan sekali dengan dunia pendidikan
sekarang yang amat mencabar untuk melahirkan murid yang lebih kreatif dan
berinovasi. Segalanya bermula daripada inspirasi seorang guru. Lantaran itu,
marilah kita menghargai dan mengingati jasa guru.
Rakan-rakan sekalian,
Insan yang mendidik, mengasuh dan membimbing kita sehingga kita dapat
mencapai kejayaan haruslah kita sanjung. Kesabaran dan kesungguhan mereka
mendidik kita amatlah besar nilainya. Seharusnya jasa itu dikenang sepanjang
hayat. Guru tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat membaca, menulis
dan mengira.
Guru juga merupakan pengganti ibu bapa kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah
menghormati guru. Segala nasihat dan tunjuk ajar guru mestilah kita dengar dan
patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat dan bimbingan mereka.
Hadirin sekalian,
Kesungguhan guru SK Rajau Ensika dapat dilihat melalui kegigihan para guru yang
sanggup menempuh pelbagai cabaran sepanjang dalam perjalanan untuk ke
sekolah semata-mata untuk menyampaikan ilmu kepada kami. Sebagai murid, saya
berasa sangat terharu dengan pengorbanan guru yang sanggup menerjah jalan
yang banjir dan merempuh jalan yang berlumpur semata-mata untuk melihat kami
berjaya. Sesungguhnya kekuatan dan jati diri yang ada pada guru di sekolah ini

menjadikan kami lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sunnguh demi


mengharumkan nama SK Rajau Ensika.

Rakan sekalian,
Guru

juga ialah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin

belajar sehingga kita berjaya. Mereka sedia mendengar segala masalah yang kita
fahami dalam pelajaran. Oleh itu, guru merupakan pendidik yang sangat berdedikasi
semasa mengajar kita di sekolah.
Wahai para guru SK Rajau Ensika yang kami sayangi, jutaan terima kasih kami
ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar. Jasamu sungguh
bererti kepada kami semua. Terima kasih, cikgu. Saya akhiri ucapan saya ini dengan
fragmen sajak Guru Oh Guru karya Usman Awang.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
SEKIAN, TERIMA KASIH.

Anda mungkin juga menyukai