Anda di halaman 1dari 1

KALKATU 

  

Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia meskipun dalam kejadian nyamuk, lalat
atau kalkatu. Ia mengandungi hikmah dan pengajaran kepada manusia yang mahu
memikirkannya. Jika mengikut logik manusia, kenapalah Allah menjadikan nyamuk
sedangkan ia bahaya kepada kesihatan. Sebenarnya dalam kejadian nyamuk banyak
rahsia yang manusia sendiri tidak mengetahuinya. Allah MAHA BIJAK dan MAHA
MENGETAHUI.   

Pada satu malam yang sunyi lagi gelap, keluarlah satu kumpulan kalkatu entah dari
mana menuju ke satu tempat yang terang dan bercahaya. Berpusu-pusu berterbangan
ke arah beberapa buah pelita yang dipasang di halaman rumah. Aku lihat kesemua
kalkatu itu menerkam ke tempat itu. Setiap kali terkam setiap kali kalkatu itu jatuh dan
binasa satu persatu. Binasa disebabkan oleh api yang panas itu. Ada seekor yang tak
mati sekaligus dan mampu terbang lagi. Tetapi ia tidak serik kerana kepanasan, malah
ia sendiri lihat dengan mata kepalanya ramai kawannya yang tersungkur ke bumi.
Namun itu tidak memberi pengajaran kepada kalkatu itu, mungkin kerana kedegilan
dan keseronokan melulu.Tanpa berfikir panjang, kalkatu itu menerkam sekali lagi.
Kali ini ia tidak bernasib baik dan menempah maut.   

Termenung aku sejenak. Apa hikmah Allah jadikan kalkatu? Di hati kecilku berkata
sebodoh-bodoh kalkatu pun ada baiknya kerana selepas kematian itu tidak
dibangkitkan lagi di akhirat. Sebaliknya aku terfikir ramai manusia ketika ini
berotakkan kalkatu. Mereka tahu dadah itu bahaya, namun masih mengambilnya.
mereka tahu tidak bersembahyang boleh menjerumuskan dirinya ke dalam neraka,
namun masih tak hendak bersolat. Mereka tahu merokok membahayakan kesihatan,
namun masih menghisap. Mereka tahu berjudi itu haram, namun tetap berdegil tikam
ekor. Mereka tahu berzina itu dosa, namun tetap melakukannya. Mereka tahu syurga
penuh kenikmatan tapi menjauhinya. Mereka tahu neraka penuh dengan azab tapi
ramai yang hendak ke sana. Mereka tahu syaitan itu musuh utama tapi mengambil
mereka sebagai kawan. Banyak lagi aksi manusia sekarang yang bertubuhkan manusia
namun hakikatnya berotakkan kalkatu.    
                         

MORAL & IKTIBAR    


 

o Allah memberikan otak kepada manusia untuk berfikir. Jika tidak digunakan
atau disalahgunakan manusia akan rugi malah nasibnya lebih dahsyat daripada
kalkatu  .
o Kebanyakan manusia tertipu dengan kemanisan dunia tanpa memikirkan
kemanisan akhirat . 
o Berbondong-bondong manusia mengejar kebahagiaan, hiburan  dan kelazatan
dunia sahaja pada hakikatnya adalah mengejar api neraka.

Anda mungkin juga menyukai