Anda di halaman 1dari 2

PELAJAR MUSLIM CONTOH

Oleh: Ustaz Mustafa Masyhur Rahimullah


Dia hendaklah mengutamakan menerima pelajaran terus daripada guru-gurunya dan jangan
sekali-kali tidak hadir kelas kecuali berlakunya keuzuran yang kuat. Fikirannya hendaklah
sentiasa di dalam keadaan yang ‘alert’ dan memberikan tumpuan yang sepenuhnya ketika
mengikuti pengajaran guru, tidak terganggu dengan urusan yang lain, kerana jika ajaran
guru tersebut dapat dikuasai maka ini akan dapat membantunya di dalam pembelajaran.
Banyak perbezaan yang dia alami jika tidak menghadiri kelas atau tidak mengambil berat
kuliah daripada guru, tentunya ada di setengah-tengah tempat yang kurang jelas atau tidak
betul-betul difahaminya. Adalah lebih baik jika jika dia membaca pelajaran tersebut
sebelum disyarahkan oleh gurunya. Ini akan memberikannya penguasaan yang baik dan
dapat memberikan tumpuan pada aspek pelajaran yang kurang faham.

Dia hendaklah tahu bahawa kebanyakan pelajaran itu ada hubungan di antara satu sama
lain. Pada kebiasaannya sesuatu pelajaran itu sukar difahami jika pelajaran yang sebelumnya
tidak difahami dengan baik. Oleh itu jangan ada pelajaran yang tidak difahaminya. Jika ini
berlaku, maka segeralah berjumpa dengan guru-guru atau kawan-kawan.

Untuk memudahkannya mengusai seluruh pelajaran, di akhir tahun dia perlu membuat
ringkasan bagi setiap bab dan isi-isi yang pokok dan yang cabangnya dengan menggunakan
perkataan yang mudah difahami. Dibuat rajah yang besar bagi setiap mata pelajaran dan
diingatkannya baik-baik, manakala penghuraiannya adalah sebagai isinya yang menutup
rangka yang kasar itu. Setiap isi itu akan melekat di atas rangkanya. Jika tidak ada rangka
yang kasar tersebut, isi-isinya akan bercampur baur sesama sendiri menyebabkan badan
manusia tidak terbentuk. Hendaklah dia yakin kepada dirinya bahawa percubaaan ini adalah
percubaaan yang berjaya.

Penuntut Muslim Contoh hendaklah berusaha supaya dapat menguasai pelajarannya dan
mencapai keputusan yang baik di dalam peperiksaan mengatasi pelajar lain. Ini merupakan
perkara yang dituntut dan satu kewajipan yang akan mengembirakan kedua ibu-bapanya.
Dia juga perlu membuktikan bahawa penglibatannya dalam gerakan Islam tidak akan sekali-
kali mengganggu pelajarannya bahkan mendorongnya mengatasi kawan-kawannya yang
lain. Ini juga adalah sebagai salah satu bentuk dakwah kepada kawan-kawan supaya mereka
tidak bimbang penglibatannya dalam gerakan Islam tidak akan mengganggu pelajaran dan
masih boleh mencapai keputusan yang baik. Tetapi jika penuntut Islam tidak mencapai
keputusan yang baik di dalam peperiksaannya, ini akan menyebabkan kedua ibubapanya
melarangnya daripada melibatkan diri di dalam kerja-kerja dakwah.

Penuntut Muslim hendaklah sentiasa di dalam keadaan zikrullah dan meminta perlindungan
daripada godaan syaitan. Segala amalan, belajar, menjawab di dalam peperiksaan hendaklah
dimulakan dengan membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim dan memohon pertolongan
daripada Allah. Dia hendaklah menunaikan kewajipan terhadap pelajaran dan
mengulangkajinya, kemudian bertawakal kepada Allah, memulakan peperiksaan dengan hati
yang telus, menerima keputusan dengan mengucap Bismillah dan bersyukur kepada Allah
sekiranya berjaya dan kembalikan segalanya itu kepada Allah di atas pertolongan dan
taufikNya. Jika sebaliknya berlaku, janganlah disempitkan perasaan dan jangan berdukacita
dan katakanlah ini adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki. Dia boleh
melakukannya dan akan berusaha lagi dengan penuh keazaman dan ketenangan.

Penuntut perempuan Islam hendaklah berpegang dengan apa yang tersebut dahulu iaitu
hendaklah dia mejaga sifat kewanitaannya dan berpegang teguh dengan adab-adab Islam
seperti berpakaian Islam yang sempurna dari segi rupa bentuknya dan menjauhkan diri
daripada perkara yang dilarang iaitu dari berbagai jenis perhiasan yang dilarang. Dia
hendaklah menjaga dirinya dari tempat yang menimbulkan keraguan dan percampuran,
mengangkat suara tinggi, ketawa kuat dan lain-lain sifat yang tidak layak bagi penuntut
Islam contoh. Dia hendaklah berpegang kepada adab malu, bijak dalam memilih kawan
perempuan serta mendalami masaalah agama terutama yang berkaitan dengan perempuan.
Dia hendaklah melaksanakan peranannya sebagai pendakwah kepada kawan-kawannya.

[Diambil dari buku Suri Tauladan Di Sepanjang Jalan Dakwah oleh Ustaz Mustafa Masyhur
Rahimullah]
Terjemahan : Dr Azmi Md Nor

Anda mungkin juga menyukai