Anda di halaman 1dari 8

SIAPA PELAJAR MUSLIM CEMERLANG???????????????

Setiap daripada pelajar Muslim perlu memiliki kriteria tertentu yang menjadi pemangkin kepada kecemerlangan kehidupannya daripada dunia hinggalah akhirat. Antara ciri tersebut ialah: 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8. Niat Mentaati Allah, Rasulullah dan ibu bapa Menghormati guru Menjauhi dan Meninggalkan kemaksiatan Memilih sahabat yang soleh Bersungguh- sungguh dalam menuntut ilmu Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi Bertawakal Kepada Allah

1. Niat Setiap amalan dimulakan dengan niat. Niat yang betul membantu perjalanan hidup insan lebih terarah dan mencapai matlamat dalam setiap urusan. Seorang pelajar muslim mesti memperbetulkan niat ketika menuntut ilmu. Sabda nabi SAW: "Sesungguhnya amal itu dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan ...." (Imam Nawawi). Niatlah yang menggerak seseorang untuk melakukan sesuatu, sebab itulah niat ada 'nilai' di sisi Allah. Niat yang baik diberi ganjaran seperti melakukannya, apabila seseorang melakukan apa yang diniatkan maka diberi ganjaran sepuluh kali ganda.Sesuatu amal hanya ada nilai di sisi Allah dan diberi ganjaran sekiranya niatnya ikhlas atau niat yang baik yang sesuai dengan tujuan Syarak. Ini bererti amalan yang baik tetapi niatnya tidak baik atau tidak ikhlas tidak dinilai dan tidak diberi ganjaran. Amalan yang dilakukan sebagai menurut adat, tabiat, kebiasaan tidak diberi ganjaran kecuali kalau ada niat ubudiah atau pengabdian diri kepada Allah. Sesungguhnya, menuntut ilmu itu adalah satu bentuk ibadah dan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala, bukannya untuk bermegah-megah ataupun untuk berbantah-bantah dengan ilmu tersebut.Dalam satu hadits riwayat Imam AlHakim, Kaab bin Malik Radhiallahu anhu berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk bertengkar dengan orang-orang bodoh atau supaya hati manusia menghadap kepadanya maka ia akan masuk neraka. (Hadits riwayat Al-Hakim)

2. Mentaati Allah, Rasulullah dan Ibu bapa Ketaatan sepenuhnya kepada Allah, Rasul dan kedua Ibu bapa merupakan kunci kejayaan orang- orang yang beriman. Sejarah lampau membuktikan rahsia kejayaan para sahabat serta ilmuan Islam kerana mentaati dan menghayati seluruh ajaran Islam. Kajilah sejarah Imam Al- Ghazali, Imam Syafie, Imam Malik dan tokoh- tokoh terdahulu. Mereka terdiri daripada golongan yang sentiasa mentaati Allah, RasulNYA dan juga memuliakan ibu bapa. Justeru, sebagai pelajar muslim, menjadi kewajipan untuk berada di atas jalan- jalan yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu daripada kita. Katakanlah, "Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul; kemudian, jika kamu berpaling, hanyalah kepadanya apa yang dibebankan kepadanya, dan kepada kamu apa yang dibebankan kepada kamu. Jika kamu mentaati dia, kamu akan mendapat petunjuk. Adalah hanya atas rasul untuk menyampaikan yang jelas." (Al-Quran 24:54) Taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya adalah sifat mulia yang dituntut bagi diamalkan oleh setiap orang Islam. Taat yang dimaksudkan itu ialah kesetiaan menjunjung serta mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Setiap yang mengaku muslim dan mukmin dikehendaki menumpukan sepenuh taat setia tanpa sedikit pun berbelah bagi kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Taat setia yang penuh ialah mengerjakan semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Selain taat kepada Allah dan Rasul-Nya, tiap-tiap seorang Islam juga diwajibkan taat dan bertangungjawab kepada ibu bapa. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: " Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa." Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu. (Al- Isra: 23)

3. Menghormati guru Pelajar Muslim wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada. Namun, pada hari ini, kita menyaksikan sendiri betapa rosaknya akhlak para pelajar sehingga sanggup menggugut, mencederakan hatta membunuh guru sendiri akibat kurangnya penghayatan agama pada diri pelajar. Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh kerana itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa memuliakan Allah syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia memurkai Allah. Sesiapa yang memurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh kerana itu seorang pelajar mestilah memelihara adab-adab bersama guru. Antara adab- adab dengan guru ialah: 1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru. 2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang. 3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu. 4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya. 5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru. 6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru. 7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu. 8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru. 9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik. 10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru

4. Menjauhi dan Meninggalkan kemaksiatan Seorang pelajar Muslim yang cemerlang seharusnya berusaha untuk menjauhi dan meninggalkan segala kemaksiatan yang bersarang di jiwa. Sebagai insan, manusia memang tidak lari daripada dosa tetapi mestilah berusaha memperbaiki diri dan amalan serta menyucikan jiwanya agar mudah ilmu masuk ke dalam jiwanya. Al-Imam Syafei rahimahullah berkata: Aku mengadu kepada Waki(al-Imam Waki ibn Jarrah rahimahullah, guru kepada alImam Syafei rahimahullah) tentang buruknya hafalanku,maka dia menyuruhku supaya meninggalkan maksiat,dan dia mengatakan kepadaku bahawa sesungguhnya ilmu Allah itu adalah cahaya,dan cahaya Allah itu tidak akan diberikan kepada orang-orang yang membuat maksiat. Dosa dan kemaksiatan adalah sumber dari setiap kejahatan dan musibah yang terjadi di dunia. Antara akibat dosa dan kemaksiatan adalah seseorang terhalang daripada menuntut ilmu serta mudah lupa akan ilmu yang telah dihafalnya. Sesungguhnya ilmu adalah sesuatu yang mulia dan berharga, yang tidak mungkin menetap di hati seseorang yang dipenuhi nafsu-nafsu syahwat, kemaksiatan, dan kemungkaran. Hal ini adalah disebabkan kerena kemuliaan tidak mungkin berada dalam satu tempat yang kotor. Setiap hamba yang bermaksiat kepada Tuhannya, maka ilmu yang ada dalam hatinya akan pergi seukuran maksiatnya. Demikian pula cahaya pemahaman ilmu di dalam hatinya akan padam. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesungguhnya seorang hamba terhalang rezekinya kerana dosa yang dia lakukan. (Riwayat Ahmad dan Hakim) Ibnu Jauzi menjelaskan dampak daripada perbuatan maksiat. Beliau berkata, Berhatihatilah daripada maksiat. Kerana akibatnya sangat buruk. Berhentilah daripada dosa, betapa buruk akibat dan ceritanya. Syaikh Musthafa As-SibaI berkata, Apabila Anda ingin bermaksiat, maka ingatlah diri Anda kepada Allah. Apabila tidak bisa kembali, maka ingatlah akhlak orang-orang besar. Apabila tidak bisa kembali, ingatlah kejelekan (maksiat) bila itu diketahui orang-orang. Apabila tidak kembali, ketahuilah disaat itu anda telah berubah menjadi seekor binatang.

5. Memilih sahabat yang soleh Upayakanlah agar selalu bersahabat dengan orang-orang yang berakhlak mulia, agar dapat meneladani perilaku baik mereka dan sekaligus menggali keuntungan daripada perbuatan dan ucapan mereka. Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya. Di samping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini akan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud : Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman. Dan dalam memilih sahabat, Islam telah menggariskan beberapa syarat yang perlu karena seseorang itu akan dinilai melalui siapakah sahabatnya. Seterusnya sahabatnya dapat menjadi cermin bagi dirinya dan begitulah sebaliknya. Hendaklah bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia kerana sahabat yang berakhlak mulia akan menyelamatkan diri kita sebagaimana pesan Alqamah kepada anaknya: "Jika engkau ingin bersahabat, carilah sahabat yang boleh membantu di waktu kesusahan, yang boleh menyembunyikan keaiban dan kesalahan yang dilakukan, yang menolong di waktu kesempitan, yang akan membalas kebaikanmu dengan kebaikan juga, yang membenarkan katamu selagi engkau berkata benar .

6. Bersungguh- sungguh dalam Menuntut Ilmu Man jadda wa jadda Sesiapa yang berusaha, dia pasti akan berjaya... Proses menuntut ilmu sememangnya memerlukan banyak pengorbanan dan hal ini diketahui oleh Rasulullah. Oleh itu baginda menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang melakukan pengorbanan tersebut dengan bersabda, maksudnya: Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. (Riwayat Muslim) Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Penuntut Muslim hendaklah berusaha supaya dapat menguasai pelajarannya dan mencapai keputusan yang baik di dalam peperiksaan mengatasi pelajar lain. Ini merupakan perkara yang dituntut dan satu kewajipan yang akan mengembirakan kedua ibu-bapanya. Dia juga perlu membuktikan bahawa penglibatannya dalam gerakan Islam tidak akan sekali-kali mengganggu pelajarannya bahkan mendorongnya mengatasi kawan-kawannya yang lain. Ini juga adalah sebagai salah satu bentuk dakwah kepada kawan-kawan supaya mereka tidak bimbang penglibatannya dalam gerakan Islam tidak akan mengganggu pelajaran dan masih boleh mencapai keputusan yang baik. Kesungguhan dalam menuntut ilmu juga akn membentuk sifat mahmudah dalam diri seperti sabar, berdisiplin dan tidak bertangguh dalam pekerjaan. Apabila sifat- sifat ini tumbuh subur dalam jiwa setiap pelajar muslim maka kecemerlangan dalam sahsiahnya akan terserlah sekaligus diterjemahkan dalam kehidupan sehariannya. Dengan itu, tanggung jawab sebagai seorang pelajar dan penuntut ilmu tidak dikesampingkan apabila berhadapan dengan situasi luar daripada kebiasaan.

7. Beramal dengan ilmu yang diperolehi Sebagai pelajar Muslim adalah menjadi tanggung jawab agar beramal dengan setiap ilmu yang diperolehi. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ilmu sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia. Inilah antara punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari. Pelajar Muslim wajib beramal dengan ilmu yang diperolehi dan amanah dengan ilmu tersebut. Orang yang mengamalkan ilmunya akan ditambahi oleh Allah dengan ilmu dalam pelbagai bentuk. Orang yang berusaha memahami agama Islam akan meningkat keimanannya dan iman itu sendiri adalah apa yang dibuktikan dengan hati, lidah dan perbuatan. Keimanan seperti ini akan ditambahi oleh Allah dengan hidayah-Nya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah. [Maksud surah al-Kahf, ayat 13]

8. Bertawakal Kepada Allah Tawakkal atau berserah diri sepenuhnya kepada Allah setelah berusaha adalah sifat yang terpuji. Ia mengajar kita akan satu hakikat yang selalu kita lupa bahawa kita selamanya ialah hamba kepada Allah SWT. Buangkan daripada fikiran dan jiwa bahawa asbab setiap kejayaan kita adalah berdasarkan usaha kita semata- mata. Hanya dengan izin Allah setiap daripada kita memperoleh kejayaan. Usaha yang kita ada merupakan iradat dan inayah daripada Allah. Justeru, pergantungan kita sepenuhnya hanyalah pada Allah semata- mata. Setiap kejayaan dan kecemerlangan yang diingini oleh setiap pelajar muslim perlu melalui tapisan tawakal kerana di situlah terletaknya keyakinan kepada Allah. Sungguhpun demikian, tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu setelah berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati. Konsep tawakal pula tidaklah digunakan sewenang- wenangnya kerana Islam menggalakan setiap daripada penganutnya menoptimumkan usaha dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak berfokus kepada menuntut ilmu semata- mata tetapi atas semua urusan hidup manusia yang pelbagai setelah syarat- syarat tawakal itu dilakukan.

Kesimpulan Pelajar Muslim yang cemerlang adalah sentiasa memastikan dirinya sentiasa di hadapan dalam urusan dunia dan akhirat. Keseimbangan duniawi dan ukhrawi yang dicapai membantu setiap pelajar muslim fokus kepada matlamat hidupnya di dunia ini. Apabila semua perkara ini telah dilaksanakan, bukan setakat hasil duniawi yang dituai tetapi matlamat hidup akhirat yang diraih seiring dengan tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini.

Anda mungkin juga menyukai