Anda di halaman 1dari 3

Hikmah diturunkan al-Quran dan Lailatul qadr

Oleh: MOHD. SUKKI OTHMAN

Al-Quran adalah mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w
sebagai hidayah, panduan dan pedoman dalam kehidupan manusia. Ini dijelaskan menerusi
firman Allah dalam surah al-Isra’: 9.

Menurut Sheikh Manna’ Qattan dalam bukunya Mabahith fi ‘Ulum al-Quran, proses penurunan
al-Quran berlaku dalam dua peringkat. Peringkat pertama ia diturunkan daripada luh mahfuz ke
langit dunia secara sekali gus.

Peringkat kedua pula diturunkan daripada langit dunia kepada Nabi s.a.w secara beransur-ansur
melalui perantaraan malaikat Jibril as. al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur ini
mengambil masa selama hampir 23 tahun.

Ayat pertama diturunkan ialah ayat 1-5 daripada Surah al-‘Alaq yang diturunkan pada 17
Ramadan tahun 610 Masihi di Gua Hira’.

Ayat terakhir ialah ayat 281 surah al-Baqarah yang diturunkan sembilan malam sebelum
kewafatan Rasulullah.

Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca, memahami, menghayati dan
mempraktikkan keseluruhan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan.

Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran
menyenaraikan beberapa tujuan utama al-Quran itu diturunkan. Antaranya ialah:

* Untuk mendapat hidayah daripada Allah.

* Untuk mewujudkan peribadi muslim yang unggul dan seimbang.

* Mewujudkan masyarakat Islam tulen.

* Sebagai senjata dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha untuk menghancurkan
Islam.

Untuk melihat bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap isi dan kandungan al-Quran
tersebut perlulah, ada pada diri kita beberapa ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri-ciri yang
dimaksudkan itu ialah:

* Hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafalnya. Dengan membaca al-Quran ia
dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dengan
membaca al-Quran itu juga, kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat dari Allah,
sebagaimana maksud sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w: “Bacalah al-Quran,
sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”.
* Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan tartil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul
mengikut ilmu tajwid.

* Hendaklah kita sentiasa meneliti, memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan
dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha
memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang
menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran. (Muhammad: 24)

Al-Quran adalah gedung ilmu dan petunjuk yang benar. Ia merupakan khazanah ilmu yang
mampu membentuk pemikiran serta akal manusia. Sebab itu apabila seseorang berfikir dengan
berlandaskan al-Quran, maka ia menjadi satu pemikiran yang kukuh dan sepadu serta berjaya
memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah yang diredai oleh Allah.

Apatah lagi pada bulan Ramadan ini, Allah menjanjikan pahala yang besar terutamanya pada
Lailatul qadr iaitu malam yang padanya diturunkan al-Quran. Lailatul qadr merupakan peluang
terbaik kita, oleh itu jangan sia-siakan peluang keemasan ini.

Mengenai persoalan mengapakah masih ramai hamba Allah yang masih memandang ringan
kepada Lailatul qadr. Mungkin antara sebabnya ialah:

* Mereka mengidap penyakit lemah iman, kurang jelas tentang kebesaran dan kemuliaan serta
ganjaran pahala pada malam al-Qadr, sebaliknya mereka lebih nampak besar perkara-perkara
materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

* Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak sudi untuk melakukan ibadat pada malam-
malam 10 akhir Ramadan. Kerana nafsu ingin berehat, menonton televisyen, berbual-bual
kosong, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut.

Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang
disediakan oleh Allah pada malam al-qadr.

* Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup 100 tahun lagi yang
menyebabkan mereka membiarkan malam-malam 10 terakhir Ramadan berlalu begitu sahaja
tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah yang berupa nikmat Lailatul qadr dengan penuh
kesyukuran dan ikhlas hati. Kita sahut panggilan surah al-Qadr ini dengan azam melaksanakan
sebanyak-banyak ibadat pada 10 malam tersebut.

Caranya, melakukan solat fardu berjemaah, solat sunat tarawih dan witir, membanyakkan bacaan
al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar
Nabi Muhammad s.a.w dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-
hamba Allah yang soleh.

- MOHD. SUKKI OTHMAN ialah Pensyarah (Bahasa Arab) Jabatan Bahasa Moden dan
Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai